Home Novel Cinta Dia Mimpi Indahku
Dia Mimpi Indahku
Rozita Abd. Wahab
21/5/2014 23:51:44
45,327
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab : 8

"CANTIK tak rumah ni?” tanya Hafsyam sambil menggenggam erat tangan isterinya. Mereka berada di hadapan sebuah rumah teres setingkat. Itulah rumah yang bakal disewa daripada seorang rakan sekerjanya, Normah.

Normah terpaksa berpindah ke Kelantan kerana mengikut suaminya yang dinaikkan pangkat dan bertugas di sana. Hampir lima bulan suami isteri itu duduk berasingan. Normah bersama dua orang anak mereka di Kuala Lumpur. Suaminya pula bersendirian di Kelantan. Normah akur dengan permintaan suaminya, meminta dia berhenti bekerja dan berpindah ke Kelantan.

Justeru, Normah sendiri menawarkan rumah itu untuk disewakan. Dia belum berniat untuk menjual rumah yang dibeli ketika mereka baru berkahwin. Kata Normah, rumah itu banyak kenangannya.

Normalah yang menawarkan rumahnya untuk disewa kerana wanita itu sudah membuat keputusan untuk berpindah ke Kelantan.

“Syam dengar tak?”

Hafsyam menoleh ke arah Rifhan di sisi. Entah apa yang Rifhan katakan, dia tidak pasti.

“Berangan apa tu? Han panggil tak dengar,” tegur Rifhan lalu menampar lengan suaminya.

Hafsyam tersenyum. “Bukan berangan, cuma teringatkan Kak Normah, tuan punya rumah ni.”

Rifhan mengangguk kecil, tanda mengerti. Dia juga pernah bertemu dengan rakan sekerja Hafsyam itu. Orangnya baik, cantik... masih punya potongan badan yang menarik walaupun sudah beranak dua.

“Han tak kisah. Duduk kat mana pun tak apa, asalkan bersama Syam,” ujarnya.

Seminggu lamanya mereka berdua tinggal bersama keluarganya. Sememangnya mereka sudah merancang hendak keluar dari rumah itu. Hafsyam sudah mendapatkan sebuah pangsapuri cuma belum membuat keputusan untuk berpindah ke pangsapuri tersebut disebabkan jarak yang agak jauh dari tempat mereka bekerja. Namun rezeki mereka apabila Normah menawarkan rumahnya untuk disewa.

Sememangnya Rifhan tidak sabar hendak tinggal di rumah sendiri. Sebelum berkahwin dulu, ibu melarangnya keluar dari rumah itu tetapi selepas dia dan Hafsyam berkahwin ibu sudah tidak sabar hendak melihat dia dan Hafsyam berpindah keluar. Ibu tidak menyenangi mereka berdua. Dia tahu semua itu angkara Anita. Adiknya itu yang menjadi batu api, menghasut ibu agar mereka berdua segera meninggalkan rumah itu.

“Kak Normah kata, guna saja barang-barang yang dah ada dalam rumah tu, dia tak kisah. Asalkan kita jaga dengan baik,” ujar Hafsyam mematikan lamunan isterinya.

Rifhan mengangguk. Syukur alhamdulillah, tidak banyak barangan yang perlu dibeli. Keperluan asas di dalam rumah itu sudah mencukupi tapi dia sendiri sudah menyediakan sedikit bahagian bagi melengkapkan keperluan mereka di rumah itu.

“Okey... kita tengok sekali lagi apa yang kita perlu beli.” Rifhan menoleh ke arah Hafsyam. Sudah tidak sabar dia hendak meneruskan tugasnya. Rumah yang baru saja ditinggalkan dua minggu yang lalu agak bersepah dan tidak terurus.

Setelah melihat sekali lagi keadaan di dalam rumah tersebut, mereka duduk dan berbincang tentang apa lagi yang perlu disediakan. Rifhan menyediakan satu senarai yang panjang tapi kebanyakannya barang-barang keperluan asas.

“Jom kita keluar shopping dulu. Beli barang yang kita nak guna untuk bersihkan rumah ni,” cadang Rifhan.

“Boleh... tapi makan dululah. Syam dah lapar,” balas Hafsyam. Disentuh perutnya yang sudah berbunyi sejak tadi.

Rifhan tergelak kecil. Jam di tangan baru saja mencecah pukul 11.00 pagi, tetapi suaminya sudah kelaparan.

Sepetang mereka berdua menghabiskan masa membersih­kan rumah tersebut. Rumah teres setingkat yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air.

Kedua-duanya duduk bersandar di kerusi rotan. Berkeriut bunyinya. Mungkin sudah agak lama usianya tapi masih boleh digunakan.

“Penatnya.” Rifhan melentokkan kepalanya di bahu Hafsyam. Mata dipejamkan. Enaknya kalau dia dapat berehat dan tidur sepuasnya.

Hafsyam tersenyum. “Kita tidur sini malam ni,” cadangnya.

Rifhan membuka matanya. Cadangan yang baik tapi sebaiknya mereka bermalam di rumah keluarganya dulu. Mereka belum memaklumkan perkara itu pada ibu dan ayah. Dia tidak mahu membuatkan ayah berkecil hati tetapi dia tahu, ibu dan Anita pasti akan bersorak kegembiraan jika dia dan Hafsyam meninggalkan rumah itu dengan segera. Anita sudah tidak sabar berpindah ke biliknya. Dipaksanya Razila berkongsi bilik dengan Azira kerana dia mahu menggunakan bilik itu sendirian. Ibu pula menyokong apa saja yang diminta oleh Anita. Bertambah-tambahlah rasa sakit hatinya pada Anita.

“Esoklah kita pindah. Malam ni kita beritahu ibu dan ayah dulu. Lepas tu Han kemaskan barang-barang kita, esok kita pindah. Barang-barang kita pun tak banyak.”

“Okey bos, saya menurut saja.” Hafsyam mengenyit matanya dan Rifhan terus tertawa.

HAJI AHMAD hanya mendiamkan diri sebaik sahaja Rifhan memaklumkan yang pasangan itu akan berpindah ke rumah sewa keesokan harinya. Sememangnya dia sedar anak dan menantunya tidak betah untuk terus tinggal di rumah itu dek kerana kerenah isterinya dan Anita. Sudah penat dia menasihati isterinya namun dia tidak melihat sebarang perubahan. Hajah Saodah hanya tahu mencari kesalahan Rifhan dan Hafsyam. Ada saja yang tidak kena di matanya. Dia sendiri tidak mengerti kenapa isterinya harus bertindak sedemikian rupa sedangkan Rifhan dan Hafsyam tidak pernah berkasar atau menyakiti hatinya.

“Eloklah tu, lagi cepat lagi baik.” Hajah Saodah yang bersuara selepas mendengar kata-kata Rifhan. Rimas matanya melihat pasangan itu.

Haji Ahmad melirikkan mata ke arah isterinya. Tidakkah isterinya tahu bagaimana hendak menjaga hati anak dan menantu mereka atau sekurang-kurangnya menghargai pengorbanan Rifhan selama ini? Rifhan yang banyak menanggung perbelanjaan di dalam rumah itu. Hendak diharapkan wang pencennya yang tidak seberapa itu, memanglah tidak mencukupi. Entah siapa yang hendak diharapkan selepas ini.

“Dah ada rumahnya?” tanya Haji Ahmad.

Rifhan mengangguk.

“Tak apa, elok juga kamu tinggal berdua. Belajar hidup berdikari, tidak ada orang lain yang campur tangan. Duduk kat sini pun, buat sakit kepala saja dengan orang dalam rumah ni.” Haji Ahmad bersuara tanpa memandang ke arah sesiapa. Matanya masih melekat pada buku agama di tangan. Buku yang dibelikan oleh Rifhan beberapa minggu yang lalu. Dia yang meminta Rifhan mencari buku tersebut.

Hajah Saodah mengerling ke arah suaminya. Tentu kata-kata itu ditujukan padanya.

“Saya pun tak sakit kepala kalau dia orang ni tak ada kat rumah ni,” balasnya selamba.

Haji Ahmad tersenyum. Tahu juga isterinya kata-kata itu ditujukan pada siapa.

“Kalau ada apa-apa yang Han perlukan dari dalam rumah ni, Han ambillah,” usul lelaki itu.

“Eh... jangan abang nak memandai. Tak ada sesiapa pun yang boleh ambil barang-barang dalam rumah ni. Semua ni barang kita, barang saya,” potong Hajah Saodah. Sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan suaminya. Rifhan tidak berhak untuk mengambil barang-barang di dalam rumah itu sekalipun barang tersebut dibeli oleh anak itu.

Rifhan hendak ketawa tapi dia cuba bertahan. Malu pula dia pada Hafsyam namun mujur Hafsyam sudah sedia maklum akan sikap ibu, cuma ketika itu Hafsyam melihat dan mendengar sahaja. Apa yang diceritakan pada Hafsyam selama ini adalah satu kenyataan dan bukanlah dia mereka-reka cerita.

“Ayah jangan bimbang. Han tak perlukan apa-apa. Rumah tu dah lengkap. Tuan rumah sewakan rumah dan benarkan kami guna barang-barang yang ada dalam rumah tu,” ujar Rifhan. “Han takkan ambil apa pun dari rumah ni, apa yang Han belikan tu, untuk ayah dan ibu,” sambungnya. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa.

“Apa sangatlah yang kau dah beli kalau nak banding dengan Nita?” Hajah Saodah bersuara sinis.

Tergeleng-geleng kepala Haji Ahmad dibuatnya. Ada saja yang hendak dijawab oleh isterinya. Berkali-kali dia berpesan agar tidak menyakiti hati anak-anak. Jangan membezakan kasih sayang pada anak-anak tapi isterinya tidak pernah ambil peduli. Anita itu ditatang seperti menatang minyak yang penuh tapi anak-anak yang lain dipinggirkan begitu sahaja.

Rifhan menarik nafas panjang-panjang. Tidak sudah-sudah ibu hendak membandingkan dirinya dan Anita. Ibu tidak pernah berpuas hati dengan dirinya.

“Tak apalah, ibu. Han tau apa hak Han dalam rumah ni tapi Han tak akan ambil. Ibu jangan bimbang.” Kata-katanya cuma sampai di situ. Ikutkan hati mahu saja dia menyambung lagi, meluahkan ketidakpuasan tapi dia tidak mahu menjadi anak yang kurang ajar. Biarlah... itu hak ibu. Ibu boleh bercakap apa sahaja, dia tidak mahu memikirkannya lagi. Cukuplah hingga hari ini. Mulai esok dia dan Hafsyam akan memulakan hidup baru di rumah mereka sendiri. Berdua tanpa gangguan sesiapa. Moga hidup mereka akan lebih aman dan tenteram, tidak ada rasa sakit hati dan tidak berpuas hati dek sikap pilih kasih ibu yang cukup ketara.

Previous: Bab : 7
Next: Bab : 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.