Home Novel Cinta Dia Mimpi Indahku
Dia Mimpi Indahku
Rozita Abd. Wahab
21/5/2014 23:51:44
45,326
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab : 1

BINGIT telinganya mendengar suara Azira dan Anita yang bertekak di ruang tamu. Entah apa pula yang digaduhkan kali ini. Kedua-dua adiknya itu memang pantang bertemu. Ada sahaja yang hendak digaduhkan. Perkara kecil pun boleh jadi besar. Lemas betul dia dengan kerenah mereka.

Setiap kali Azira masuk ke dalam rumah, pasti ada yang ditegurnya. Adik yang seorang itu pembersih orangnya, tidak gemar dengan keadaan yang bersepah, tetapi berlainan pula dengan Anita. Adik keduanya yang memang tidak sayang mulut dan suka melawan. Biarpun dia tahu dia yang bersalah, dia tetap inginkan kemenangan, pemalas pula tu.

Seketika kemudian dia mendengar suara ibu pula. Tentunya ibu sudah masuk campur. Tidak senang dengan pergaduhan kecil yang tentunya disebabkan oleh Anita. Selalunya begitu, Anita yang akan memulakan biarpun Azira menegur dengan cara yang lembut.

DUMM!!!

Hampir terloncat dia dari kerusi yang didudukinya. Pantas dia menoleh ke arah daun pintu yang seketika tadi ditolak kuat ke dinding. Azira melangkah masuk dengan perasaan marah. Daun pintu ditutup dengan kuat, cuma tidak sekuat ketika dia membukanya tadi. Tubuh kurusnya dihempas di atas katil. Masam cemberut wajahnya.

Rifhan hanya memerhatikan adiknya yang sudah terbaring di atas katil. Simpati pula dia pada si adik yang selalu sahaja menjadi mangsa keadaan. Dia tahu pastinya ibu menyebelahi Anita. Azira mudah memaafkan, mudah beralah dan mengundur diri. Tidak seperti Anita yang hanya tahu mementingkan diri sendiri. Selalu sahaja inginkan kemenangan. Mungkin kerana sejak kecil dia dimanjakan. Manjanya melebihi manja Razila, anak bongsu dalam keluarga.

“Kenapa ni?” Rifhan duduk di birai katil. Disentuh paha adiknya yang sudah mengiring ke kanan bagaikan tidak sudi memandang ke arahnya. Ada esakan yang kedengaran. Bertambah-tambah rasa simpatinya pada si adik. Dia tahu hati Azira sudah terluka, bukan hari ini sahaja tapi sudah terlalu kerap perkara ini berlaku.

“Zira...” Sebagai kakak yang sulung. Walaupun dia anak kedua dalam keluarga, dia tetap merasakan tanggungjawabnya sama seperti anak sulung. Ada abang pun tidak boleh diharap. Umur baru mencecah 24 tahun, sudah sibuk hendak berkahwin. Kerjanya tidak menentu, ketika bujang pun masih meminta pada ibu tapi masih ada hati hendak berumah tangga. Sudahnya... asyik menyusahkan orang. Ada masanya dia pula yang jadi mangsa.

“Ibu tak adil. Kenapa nak lebihkan Nita? Dah terang-terang Nita yang salah tapi ibu tetap menangkan Nita,” adu Azira dengan diiringi esakan.

Rifhan mengeluh. Isu yang sama juga yang dibangkitkan oleh Azira. Tidak berpuas hati dengan layanan ibu kepada mereka adik-beradik.

“Zira, ibu tu sayang kita sama aje, tapi sebab Nita macam tu, ibu terpaksa menyebelahi dia. Ibu tahu Zira anak yang baik. Zira boleh mengalah tapi tidak Nita.” Rifhan cuba memujuk hati si adik. Biar reda kesedihannya.

“Sampai bila Zira nak bersabar dengan Nita. Ibu tak patut buat Zira macam ni. Nita tu pemalas. Lepas makan, minum... ditinggalkan aje pinggan dan cawan atas meja. Salah ke kalau Zira tegur? Bukannya Zira berkasar pun. Zira cakap elok-elok tapi dia tengking Zira balik,” luah Azira, tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sebentar tadi.

Rifhan mengeluh lagi. Anita memang keterlaluan. Tidak pernah memikirkan perasaan orang lain. Apa yang dia tahu cuma diri sendiri, hati sendiri.

“Bila ibu masuk campur macam nilah jadinya... Zira juga yang kena. Ada ke patut Nita yang makan, Zira yang kena angkat. Ibu memang tak adil.” Azira menyambung aduannya. Tetap tidak berpuas hati dengan penghakiman yang ibu adili. Tidak adil namanya jika yang bersalah itu dilepaskan. Orang yang menegur pula yang menjadi mangsa.

Rifhan mengerling jam di dinding. Hati adiknya sudah terluka. Azira akan berkurung di dalam bilik hingga malam. Biar perutnya kosong, asalkan hatinya puas. Biar ibu datang memujuk, tapi tidak mudah untuk dia termakan pujukan ibu.

“Zira dah makan?” tanya Rifhan, cuba untuk memujuk hati si adik.

“Belum.”

“Zira lapar tak?” Rifhan bertanya lagi.

Azira diam seketika. Diseka air mata di pipi. Mujur juga dia masih punya seorang kakak yang memahami perasaannya. Rifhan pun selalu terkena juga, malah ada ketikanya ibu memperlakukan Rifhan seperti orang gaji. Ada saja yang tidak kena di mata ibu. Bila bercakap dengan Rifhan, jarang benar ibu hendak berlembut. Dia sendiri tidak mengerti kenapa ibu harus bersikap begitu dengan kakaknya.

“Lapar.” Azira bersuara. Dia sudah berada di meja makan sebentar tadi namun seleranya mati dek kerenah Anita. Entah sampai bila Anita hendak bersikap begitu.

“Akak pun belum makan. Jom... kita ke depan. Kita beli burger, akak belanja.”

Azira sudah duduk bersila di atas katil. Terubat sedikit hati yang terluka. Ada senyuman tersungging di bibir tapi esakannya masih berbaki.

“Pergi cuci muka dulu... comot.” Rifhan mencubit pipi Azira.

“Hisy...” Azira tidak sempat menepis tangan kakaknya. Rifhan sudah berdiri kemudian melangkah ke meja komputer sambil ketawa-ketawa. Entah apa yang dibuat oleh Rifhan bila menghadap komputer. Dia sendiri jarang menyentuh komputer yang berada di dalam bilik itu.

AZIRA masuk ke bilik kakaknya semula. Sudah bersiap dengan jeans hitam dan T-shirt berwarna merah. Rambutnya yang panjang diikat seperti ekor kuda.

“Nita tanya Zira nak ke mana. Zira buat dek aje,” cerita Azira sambil tersenyum.

Rifhan hanya ketawa. Sudah hilang rajuk dan marah adiknya tapi Anita pasti memberontak jika tahu mereka hendak ke mana.

“Nampak Ila tak?” Teringat pula dia pada adik bongsunya. Dia berkongsi bilik dengan Razila, tetapi sejak petang tadi, kelibat Razila tidak kelihatan.

“Itulah kakak ni. Asal balik aje terus berkurung dalam bilik. Hal kat dalam rumah ni tak nak ambil tahu.”

Ada sindiran dalam kata-kata Azira, tetapi Rifhan tidak ambil hati. Memang dia begitu, tidak suka mengambil tahu hal orang-orang di dalam rumah itu. Malas hendak memeningkan kepalanya.

“Ila ke mana?” tanya Rifhan sekali lagi.

“Berkhemah dengan kawan-kawan dia,” jawab Azira.

Ada perubahan pada wajah Rifhan. Kurang senang dengan jawapan itu. Adik bongsunya masih bersekolah, baru di tingkatan tiga, tapi ibu berikan kebebasan yang sepenuhnya pada Razila. Sewaktu dia seusia Razila dahulu. Pergerakannya sentiasa dikawal, hendak ke mana-mana pun akan disoal siasat terlebih dahulu.

“Senang pula ibu lepaskan.” Terlepas juga kata-kata yang berupa tidak berpuas hati di bibirnya.

“Ibu memang macam tu. Dengan Nita dan Ila macam mana pun tak apa, tapi kalau Zira, huh... macam-macam kerenah,” rungut Azira.

Rifhan menepuk bahu adiknya. “Sudah. Jangan mengumpat ibu, tak baik.”

Azira tersengih. Sedar akan kesilapan diri.

Kedua-duanya menuruni anak tangga ke ruang tamu. Ayah sedang menonton televisyen. Ibu tidak kelihatan. Anita mungkin berada di biliknya.

“Nak ke mana?” Haji Ahmad bertanya sebaik sahaja terpandang kedua-dua anak gadisnya sudah bersiap, seperti hendak keluar saja gayanya.

“Keluar sekejap, ayah. Beli burger kat depan tu,” jawab Rifhan.

“Kan ibu dah masak?”

“Tak apalah, ayah. Ayah kan ada? Ayah temankan ibu makan. Han nak ubah selera. Hari-hari makan nasi... gemuk Han nanti,” balas Rifhan, kemudian tertawa kecil.

“Setakat makan nasi sejemput. Tak ada gemuknya.” Haji Ahmad masih tidak berpuas hati dengan alasan Rifhan. Tahu sangat dia dengan cara pemakanan anak gadisnya itu.

Azira sudah ketawa. Memang Rifhan begitu menjaga pemakanannya. Hanya sedikit nasi yang dijamahnya bila menghadap makan malam bersama keluarga.

“Tak apalah. Ayah... Han keluar dulu.” Rifhan meminta diri.

“Yalah... yalah... karang membebel ibu kamu tu.”

“Sayang ayah.” Rifhan memeluk bahu ayahnya sambil mengenyit mata pada Azira. Ada baiknya mereka berdua segera keluar jika tidak mahu ibu yang menegur. Panjang pula bebelan ibu nanti.

“PANDAI bodek ayah.” Azira bersuara sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari pagar.

Rifhan hanya tergelak. “Nak hidup.”

Langkah terus diatur untuk ke simpang jalan yang jaraknya hanya 200m dari rumah mereka. Sesekali bertukar selera ada juga baiknya. Jemu juga bila hari-hari menjamu selera dengan nasi dan lauk-pauk yang disediakan oleh ibu.

“Kak, Abang Hafsyam ada call akak tak tadi?” Tiba-tiba saja Azira bertanya. Teringat akan perbualan antara Anita di ruang tamu senja tadi. Dia tidak pasti dengan siapa Anita bercakap tetapi dia mendengar Anita menyebut nama Syam. Seingatnya yang selalu membuat panggilan ke rumah itu yang bernama Syam cuma teman lelaki kakaknya.

“Tak ada pula. Kenapa?” Rifhan menoleh ke arah Azira.

“Zira rasa tak sedap hati,” luah Azira.

“Apasal pula?”

“Entahlah... Zira bukan nak tuduh, tapi petang tadi Zira dengan Nita berborak kat telefon. Zira rasa dengan Abang Syam. Dia selalu buat kerja macam tu,” ujar Azira. Bukan niatnya hendak melaga-lagakan kedua-dua orang kakaknya itu tetapi tindakan Anita itu sememangnya tidak wajar.

Rifhan menggigit bibir. Andainya betul kata-kata Azira itu, memang Anita sudah melampau. Sudah dua kali Anita mempermainkan Hafsyam. Masakan Anita berbuat begitu sekali lagi? Dia sudah memberi amaran pada adiknya itu.

“Zira order. Akak nak burger ayam special. Nak callAbang Syam sekejap,” ujar Rifhan.

Azira akur lalu meneruskan langkah ke arah gerai burger.

Rifhan mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam saku jeans lalu menghubungi Hafsyam.

“Han, kenapa lambat sangat ni?”

Rifhan terlopong. Belum sempat dia memberi salam, Hafsyam sudah menyergahnya. “Syam, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Han kat mana?” Buru-buru Hafsyam bertanya.

Rifhan sudah dapat meneka. Tentunya sangkaan Azira tidak tersasar. Anita sudah mempermainkan Hafsyam.

“Kenapa tiba-tiba tanya Han kat mana?” balas Rifhan.

“Han juga yang janji dengan Syam nak datang sini.” Ada ketidakpuasan dalam nada suara Hafsyam.

“Janji? Datang ke mana?” soal Rifhan. Sengaja dia bermain tarik tali dengan Hafsyam. Biar Hafsyam lebih berhati-hati selepas ini. Seharusnya Hisyam sudah dapat membezakan suaranya dan suara Anita.

“Han jangan nak mainkan Syam. Dah dua puluh minit Syam tunggu kat sini.”

Rifhan mengeluh. Simpati dia pada Hafsyam yang sudah dipermainkan oleh Anita. “Bila pula Han berjanji?”

“Petang tadi Syam call. ALLAH...” Hafsyam sudah menyepi. Tentunya baru tersedar dia sudah tertipu dengan lakonan Anita.

“Bila masanya Syam call Han? Tak ada pula Han bercakap dengan Syam.” Rifhan tersenyum sendiri. Sudah tahu siapa punya angkara.

“Ini mesti si Nita punya kerja,” rungut Hafsyam.

“Mana Han tahu? Kalau nak marah pun janganlah main sembur saja. Han tak janji apa-apa pun dengan Syam. Tak pasal-pasal Syam marah Han.” Rifhan memperlahankan suaranya, seolah-olah terasa hati dengan Hafsyam.

“Nita ni memang melampau,” marah Hafsyam.

“Yang Syam tu pun satu... takkan suara Nita dengan suara Han pun Syam tak kenal?” balas Rifhan.

“Syam cakap nak bercakap dengan Han, dia pun mengaku,” ujar Hafsyam.

“Syam, Han dah pesan kan? Kalau masa Han dah balik kerja, jangan call telefon rumah. Call handphone Han, okey?”

“Dah call... tapi tak dapat. Yalah... yalah... Syam juga yang salah.” Hafsyam terpaksa mengakui kesilapannya.

“Han tak salahkan Syam. Patutnya Syam kena peka... suara kekasih sendiri pun tak kenal. Kata sayanglah... rindulah... Tak dengar suara sehari pun dah rindu,” omel Rifhan. Geram juga dia dengan sikap Hafsyam.

“Dah Nita mengaku. Nita tu memang menyusahkan.” Masih ketara nada ketidakpuasan Hafsyam.

Rifhan mengetap bibirnya. Memang Anita sudah melampau namun dia tidak suka dengan kata-kata Hafsyam itu. Buruk-buruk Anita, gadis itu tetap adiknya dan Hafsyam masih orang luar. Cuma kekasih hatinya, belum menjadi sebahagian dariapada dirinya.

“Okeylah... Syam minta maaf. Syam tak patut marah Han.” Hafsyam memohon maaf. Tentunya baru tersedar tentang kesilapannya kerana dia hanya mendiamkan diri.

“Tau pun.”

“Okey... sorryya, sayang? Next timeSyam hati-hati tapi Han pun kenalah tegur si Nita tu.”

Rifhan masih mendiamkan diri.

“Han kat mana ni?” tanya Hafsyam.

“Kat luar,” jawab Rifhan.

“Yalah... kat luar tu kat mana?”

“Kat simpang depan ni. Beli burger.”

“Makan burger aje? Makin kuruslah sayang Syam ni.”

Tersenyum Rifhan mendengar kata-kata Hafsyam.

“Syam ambil Han sekarang, boleh? Syam dah ada kat luar. Mati-mati Syam ingat Han akan datang ke sini. Rupa-rupanya Syam kena tipu.” Hafsyam sudah ketawa.

“Han dah beli burger. Malaslah nak keluar.”

“Janganlah malas-malas. Syam tak jadi pinang nanti, baru tau.” Hafsyam bergurau.

Rifhan sudah tersenyum-senyum. Hafsyam memang begitu. Marahnya tidak pernah ke mana. Lelaki itu memang pandai memujuk.

“Han dengan siapa?”

“Zira.”

“Dengan Zira tak apa. Kalau Nita, Syam tak nak bawa.”

Rifhan ketawa kecil. Hafsyam juga tidak senang dengan Anita. Dia sendiri tidak tahu kenapa Anita suka menimbulkan masalah.

“Han tunggu kat situ. Syam datang sekarang.”

“Malaslah, Syam. Marah ayah nanti.” Rifhan cuba mengelak. Dia tidak meminta izin daripada ayahnya untuk keluar dengan Hafsyam.

“Tak apa... Syam call ayah Han sekarang juga.”

“Syam!” Rifhan sudah terjerit, kurang bersetuju dengan tindakan Hafsyam.

“Okay... bye, Han. Tunggu kat situ. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” balas Rifhan. Tentunya Hafsyam tidak mendengar jawapan salamnya. Hafsyam sudah memutuskan talian. Tersenyum dia mengingatkan perbualan singkatnya dengan Hafsyam seketika tadi.

“Kak, duit!” Azira menjerit meminta duit daripada kakaknya. Burger yang dipesan sudah siap.

Rifhan menghulurkan RM10.

Selepas membuat bayaran, Azira memulangkan wang baki kepada Rifhan.

“Simpan. Buat belanja.” Rifhan menolak.

Thanks,” ucap Azira, lebar senyumannya.

“Memang Nita kenakan Abang Syam,” adu Rifhan.

“Huh... teruk betul Nita tu. Dah melampau sangat,” bebel Azira. Tidak berpuas hati dengan tindakan Anita.

“Nak buat macam mana, Mira? Buruk-buruk Nita tu, dia tetap adik akak... kakak Zira juga.”

Azira menjuihkan bibirnya. Rifhan memang begitu. Terlalu memberi ruang kepada Anita. Manalah kakaknya yang seorang itu tidak naik tocang.

“Abang Syam nak ajak akak keluar. Sekejap lagi dia sampai. Zira ikut sekali ya?” usul Rifhan. Ayah pasti tidak akan marah jika Azira mengikutnya bersama Hafsyam.

“Hisy, buat apa nak ikut? Tak naklah.” Azira menolak.

“Abang Syam cakap.... kalau dengan Zira, dia tak kisah. Tapi kalau Nita... dia tak kasi ikut,” ujar Rifhan.

Ketawa Azira mendengar kata-kata Rifhan. Kakaknya itu turut sama ketawa. Bangga juga dia kerana Hafsyam lebih menyenangi dirinya berbanding Anita.

SEBUAH motosikal berhenti di hadapan mereka. Rifhan dan Azira hanya memandang. Siapa pula penunggang motosikal yang tiba-tiba berhenti di hadapan mereka? Rifhan menahan debar, bimbang juga jika lelaki itu berniat jahat.

“Ya ALLAH... Syam!” Terkejut Rifhan sebaik sahaja lelaki itu membuka topi keledar.

Hafsyam tersengih.

Azira turut sama ketawa.

“Apasal? Takkan terkejut kut?”

“Yalah... tak pernah-pernah bawa motor. Tiba-tiba saja hari ni bawa motor.”

“Kalau Syam naik motor. Han tak pandanglah ya,” rungut Hafsyam.

“Memang pun,” balas Rifhan sambil tersenyum-senyum.

“Abang Syam ni... kata nak ajak Zira sekali, tapi naik motor.” Azira sudah bercekak pinggang di hadapan Hafsyam sambil menjegilkan matanya.

Sorry, terlupa... tak sedar diri sekejap tadi. Kereta Abang Syam... ada orang pinjam, terpaksalah pakai kapcai dia ni, tapi kalau Zira nak ikut juga boleh. Tak ada hal. Zira duduk dalam bakul kat depan ni,” berderai tawa Hafsyam dan Rifhan.

Azira yang pada mulanya hanya mencebek turut sama ketawa. Hafsyam memang begitu. Suka mengusik dan bergurau. Alangkah baiknya jika lelaki itu menjadi abang iparnya... tapi kalau jadi kekasihnya, tentunya dialah manusia yang paling gembira. Hafsyam memang menarik di matanya. Kacak dan memikat. Senyuman dan tawa Hafsyam menggoda hatinya. Ah, masakan dia hendak merampas Hafsyam daripada kakaknya? Tidak mungkin dia menjadi perampas.

Lalu dia meminta diri untuk balik ke rumah. Kakaknya akan keluar dengan Hafsyam. Terpaksalah dia berhadapan dengan ayah namun menurut Hafsyam, lelaki itu sudah meminta keizinan daripada ayah untuk membawa kakaknya keluar.

Next: Bab : 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.