Home Novel Cinta Dia Cinta Hati Ku (Dewi Karmila)
Dia Cinta Hati Ku (Dewi Karmila)
Rozita Abd. Wahab
16/1/2015 14:05:22
23,618
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab : 9

BOSAN pula rasanya bila terperap di rumah lalu dia menerima pelawaan Halisa untuk menonton dengan hati separuh terbuka. Separuhnya lagi sudah dibawa terbang oleh Dewi Karmila pulang ke kampungnya. Ikutkan hati mahu saja dia mengikut Dewi Karmila pulang ke kampung halamannya tapi gadis itu tetap tidak mengizinkannya. Siapalah dia yang hendak memaksa, lainlah jika hati si gadis sudah berjaya ditawan sepenuhnya. Hah... berangan saja lah jawabnya... entah-entah tidak sedikit pun ruang yang disediakan untuknya di hati Dewi Karmila. Gadis itu tampak manja dan mesra tapi cukup sukar didekati. Jinaknya jinak merpati... dari jauh Dewi Karmila tersenyum seolah-olah rela menyerahkan diri, tapi bila didekati... Dewi Karmila terus lari, terbang membawa diri.

“Betul ke ni... aku risau nak lepaskan kau balik seorang.” Rizuan merenung wajah Dewi Karmila. Rindulah dia pada gadis pujaan hatinya itu.

“Kenapa pula tak percayakan aku. Selama ni aku balik dengan kereta aku saja tau. Selamat pergi dan selamat aku balik,” balas Dewi karmila.

“Itu dulu... tapi hari ni aku rasa tak sedap hati.” Rizuan meletakkan telapak tangan di dada, seolah-olah cuba menggambarkan apa yang dirasakan di hatinya ketika itu.

“Kenapa ? Sebab aku bawa kereta kawan kau ni.” Giliran Dewi Karmila pula merenung wajah Rizuan. Segera dilarikan pandangan matanya apabila Rizuan masih terus memandang ke arahnya.

“Bukan macam tu...”

“Tak apalah, ambil balik kereta ni. Aku bawa kereta aku saja.” Dewi berpura-pura merajuk.

“Dewi! Kau ni teruk betul... kuat merajuk, cakap macam tu pun dah merajuk. Buruk tau... orang tua merajuk,” ujar Rizuan kemudian dia tertawa kecil.

Dewi Karmila mencebek.

“Hah... buat macam tu pula, lagi buruk.”

Dewi Karmila masih memasamkan muka.

“Okey... okey... kau bawa kereta tu, hati-hati. Kau tak pernah bawa kereta besar macam ni, itu yang buat aku risau,” luah Rizuan. Bimbang pula dia hendak membenarkan Dewi Karmila memandu sendirian, apa lagi itulah kali pertama Dewi Karmila memandu kereta bersaiz besar.

“Ialah... ialah... masuk kali ni dah dekat sepuluh kali kau pesan dengan aku.. takkan kau tak percaya dengan aku. Tadi pun kau dah tengok aku drive kan... tak percaya lagi,” rungut Dewi Karmila.

“Bukan tak percaya... tapi aku risau.” Rizuan bersuara perlahan. Hakikatnya dia keberatan untuk melepaskan Dewi Karmila pergi, walaupun tempohnya cuma beberapa hari sahaja. Dia pasti akan merindui Dewi Karmila. Setiap hari dia akan meluangkan masanya untuk berbual dengan Dewi Karmila.

“Jangan fikirkan yang bukan-bukan Juan. Kalau kau tak yakin dengan aku... aku pun rasa tak sedap hati,” luah Dewi Karmila. Ada kebimbangan bertandang di hatinya selepas mendengar kata-kata Rizuan.

“Hmm... sebab tulah aku kata, benarkan aku ikut.”

“Patutlah... beria-ria buka cerita, rupanya ada udang sebalik batu,” balas Dewi Karmila.

Rizuan tersengih.

“Dahlah... aku nak jalan ni.”

“Dewi ! Betul kau boleh drive ni ?” Rizuan bertanya lagi.

Dewi Karmila menjegilkan matanya.

“Betul... aku confident. Dah, jangan buat hati aku jadi tak betul. Sebabkan kau aku pula yang rasa tak tentu arah,” marah Dewi Karmila.

Rizuan tersenyum. Rindulah dia pada Dewi Karmila nanti.

“Dewi! Kirim salam dengan family kau,” pesan Rizuan.

“Insya-ALLAH... sorry ya, kau kena drive kereta aku yang comel tu hari ni. Jaga elok-elok tau, nyawa aku tu... hilang kereta tu, patah kaki aku.” Itu pesanan yang Dewi Karmila untuk Rizuan.

Rizuan tersenyum. “Yalah sayang.”

Bulat mata Dewi Karmila merenung wajah Rizuan. Lelaki itu masih dengan sengihannya. Tak habis-habis dengan sifat miangnya.

“Tak habis-habis nak main-mainkan aku. Okey... aku jalan dulu, Assalamualaikum.” Dewi Karmila memberi salam. Ada baiknya dia segera beredar sebelum Rizuan terus-terusan menyekat langkahnya.

“Waalaikumussalam.”

Matanya dipejamkan, andai Dewi Karmila menukar fikirannya dan membenarkan dia mengikut gadis itu pulang ke kampungnya, dialah manusia yang paling gembira.

“Juan! You ni tengok wayang ke, berangan.”

Lengannya dicuit si gadis di sisi, pantas dia menoleh. Ah... dia bersama Halisa dan bukannya Dewi Karmila. Sejak masuk ke dalam panggung itu tadi, ingatannya hanya pada si gadis yang berada jauh dari mata. Alangkah indahnya andai gadis yang berada di sisinya ketika itu adalah Dewi Karmila.

Filem yang ditayangkan sudah berakhir... namun Rizuan masih tersandar pada kerusi yang sama. Entah cerita apa yang dihidangkan di hadapannya. Langsung tidak difahami jalan ceritanya, fikirannya tertumpu pada Dewi Karmila yang entah di mana-mana.

“Hey! Tak nak keluar ke ?” Halisa menyiku lengan Rizuan.

“Dah habis?” tanya Rizuan, terpinga-pinga.

Halisa merengus geram.

“Tak habis-habis berangan.”

Rizuan tersengih, diekori langkah si gadis yang sudah mendahuluinya untuk keluar dari panggung tersebut.

“Hey! Juan !”

Pantas Rizuan menoleh apabila namanya dipanggil seseorang.

“Rina! Hey Pian... kau pun ada.”

Rizuan dan Sofian berjabat tangan. Ada kelegaan yang menyelinap ke ruang hatinya apabila melihat pasangan itu. Amrina dan Sofian. Jadi benarlah Sofian itu cuma sahabat Dewi Karmila kerana saat ini Sofian bersama Amrina.

Girl friend ?” Amrina meneka, gadis di sisi Rizuan kelihatan cantik dan menarik, seksi. Cita rasa Rizuan bukan sembarangan, sesuai dengan dirinya juga.

“Halisa!”

Rizuan perkenalkan Halisa pada Amrina dan Sofian yang hanya tersenyum sejak tadi. Entah apa yang sedang difikirkan oleh mereka bila melihatkan cara pemakaian Halisa.

“Hmm... you all berdua menonton juga,” Rizuan sekadar meneka. Kebetulan mereka terserempak di luar panggung tersebut.

“Sesekali... si Pian ni, Dewi tak ada. Dia pun jadi tak tentu hala. Aku pun bosan duduk kat rumah... dah orang ajak, orang nak belanja, ikut sajalah.” Amrina tertawa kecil. Itu cerita benar, Sofian yang mengajak dia keluar untuk menonton.

Sofian tersengih. Tentunya Rizuan juga sedia maklum tentang kepulangan Dewi Karmila ke kampung halamannya.

“Okey... kami gerak dulu.” Sofian yang hanya mendiamkan diri sejak tadi membuka mulut. Lemas jadinya bila berhadapan dengan Rizuan yang menjadi saingannya untuk mendapatkan Dewi Karmila. Ada waktunya dia merasakan Rizuan yang menjadi penghalang tapi saat ini, tatkala bertemu Rizuan bersama seorang gadis bernama Halisa itu, hati sedikit berbunga. Masakan Dewi Karmila terpikat pada si lelaki mata keranjang itu. Lelaki yang tentunya lebih tertarik pada gadis-gadis seksi dan menggoda tapi apa pula alasannya hingga Dewi Karmila menolak cintanya. Bukan sehari dua dia mengenali Dewi Karmila... sudah bertahun namun si gadis tetap enggan menerima cintanya.

“Okey... Pian, jumpa lagi nanti.”

Kedua tangan bertaut sekali lagi. Halisa dan Amrina juga berjabat tangan.

“Siapa tadi tu ?” soal Halisa sebaik saja Amrina dan Sofian hilang dari pandangan mata.

“Kawan office mate I,” jawab Rizuan.

“Kawan office mate you... tapi mesra semacam aja.” Hati Halisa dicuit rasa curiga.

“Salah ke... I pernah keluar dengan mereka berdua, bila I keluar dengan office mate I tu,” tekan Rizuan. Ada rasa tidak enak menyerbu hatinya.

Office mate! Lelaki or perempuan?” Halisa bertanya lagi.

Rizuan menggeleng perlahan... apa perlunya Halisa mempersoalkan siapa rakan sekerja yang dimaksudkannya. Tidak ada bezanya sama ada orang yang dimaksudkan itu lelaki atau perempuan.

“You belum jawab soalan I.”

Rizuan merengus kasar. Apa hak Halisa hendak mengambil tahu tentang hal-hal peribadinya.

“Perempuan.”

“Hmm... patutlah I tengok muka you dah lain macam. Takutlah tu... takut pecah tembelang,” tuduh Halisa tanpa memikirkan perasaan lelaki di hadapannya itu.

“Dah tu... Lisa, kalau you rasa tak senang dengan I, tak suka cara I, kita tak perlu keluar lagi. You pun cuma kawan I... cuma kawan. I tak suka you ambil tahu hal-hal peribadi I.”

Rizuan sudah bersedia untuk beredar... apa gunanya dia menunggu di situ. Gadis di hadapannya itu cuma seorang kawan biasa, tidak lebih dari itu.

“Juan ! I...” Ada kesal datang bertandang di hati Halisa. Bukan niatnya hendak menyakiti hati Rizuan.

Sorry Lisa. I pergi dulu.”

Rizuan kotakan kata-katanya. Gadis itu ditinggalkan tanpa menoleh walaupun sekali. Namanya dipanggil tetapi dia tidak peduli, di hatinya cuma ada satu nama... bukan Halisa... bukan Azmira atau Noranis tapi Dewi Karmila. Apa agaknya yang sedang dibuat oleh si gadis ketika itu. Dewi Karmila tidak pernah mempertikaikan siapa kawan-kawannya baik lelaki atau perempuan.

Diatur langkahnya ke arah tempat yang agak sunyi, jauh dari kebisingan yang membingitkan telinga. Hati dipaut rasa rindu pada si gadis yang jauh dari mata.

“Assalamualaikum.” Rizuan memberi salam sebaik sahaja deringan di hujung talian tidak kedengaran lagi.

“Waalaikumussalam. Hey ! Juan.. apa hal ni, tiba-tiba call aku, kau risau kan kereta kawan kau tu ya.”

Ceria suara Dewi Karmila mencuit hatinya. Ah... Dewi Karmila tidakkah kau tahu, hati lelaki ni diusik kerinduan.

“Juan! Kau dengar tak ?” soal Dewi Karmila. Sedikit terjerit suaranya.

“Dengar... saja aku nak bagi peluang kau bercakap,” balas Rizuan. Dia ingin mendengar suara gadis yang dirindunya itu.

Tawa si gadis menerpa gegendang telinganya, lunak dan menyenangkan.

“Kau kat mana ?” tanya Dewi Karmila.

“KLCC... baru keluar panggung,” jujur jawapan yang diberikan oleh Rizuan. Untuk apa dia berbohong dengan Dewi Karmila.

“Hmm... awek mana pula yang kau usung hari ni. Seronoklah ya... ketam dapat berjalan.”

Dewi Karmila ketawa lagi dan Rizuan hanya mampu tersenyum. Wajah kelat Halisa terbayang di ruang matanya. Si ketam sudah tidak ada hati hendak berjalan kerana hatinya cuma untuk Dewi Karmila.

“Kau tahu aku jumpa siapa tadi ?” Rizuan cuba mengubah topik perbualan. Mahu juga dia mendengar reaksi Dewi Karmila selepas mendengar apa yang disampaikan nanti.

“Kau tak cakap, mana aku tahu. Tak kuasa aku nak jadi pak nujum.” Dewi Karmila ketawa lagi.

“Aku jumpa Rina dan Pian, baru keluar panggung,” ujar Rizuan.

“Ia ke... Alhamdulillah.”

Hah... tidak menjadi idea yang datang secara spontan itu, bukannya reaksi cemburu yang diterima dari Dewi Karmila tapi sebaliknya pula.

“Aku memang suka kalau Rina pilih Pian, dia orang tu memang sepadan.”

Ah... Dewi Karmila! Hati kau pada siapa sebenarnya ? Lelaki mana lagi yang memaut hati mu hingga kau menolak lelaki sekacak dan sebaik Sofian.

“Siapa tu?”

Dia mendengar suara seorang lelaki di hujung talian.

“Juan!”

“Sampaikan salam aku kat dia.”

“Dewi!” Hati dijentik rasa cemburu.. siapakah lelaki itu?

Sorry Juan..” Gadis itu masih ketawa. “Ada orang kirim salam pada kau.”

“Siapa ?” Debar di dadanya terasa semakin menyakitkan.

“Nama dia Zulastri... satu-satunya lelaki dalam hidup aku.” Tawa si gadis terasa menyakitkan. Duummmm.... bagaikan detuman mercun yang meletupkan hatinya. Dewi Karmila sudah punya pilihan hati... lelaki yang sebentar tadi didengar suaranya. Zulastri itu namanya.

“Juan! Kau dengar tak... kalau nak berangan jangan call aku.”

“Aku dengar ...” Rizuan gugup.

“Hmm... apa hal sebenarnya ni ?” tanya Dewi Karmila. Ada perubahan pada nada suara Rizuan.

Mahu saja dia menjerit... aku rindu kan kau Dewi Karmila tapi kau lukakan hati aku. Di sana, kau bersuka ria dengan lelaki lain, di sini aku keresahan merindui mu.

“Aku... aku...” Rizuan tidak mampu meneruskan ayatnya. Mahu saja diluahkan rasa rindunya agar Dewi Karmila tahu apa yang ada di hatinya saat itu. Sarat dek rasa rindu pada Dewi Karmila.

“Apa ni... cakap ajalah.”

“Kau di mana ni ?”

“Berkelah dengan family aku. Kau dengar tak bunyi tu.”

Dia memasang telinga. Ombak... apakah Dewi Karmila berada di tepi pantai bersama keluarganya.

“Kau di tepi pantai.”

“Hmm... thanks Juan. Kalau kau tak pinjamkan kereta tu, tak dapatlah aku keluar dengan keluarga aku macam ni. Zul tu payah sikit.... kalau dengan Viva aku, tak boleh bawa dia. Kalau bawa dia... alamat orang lain tak boleh ikut sama la.”

Siapakah Zulastri sebenarnya? Kenapa pula Dewi Karmila memerlukan kereta yang besar untuk Zulastri. Apakah yang diinginkan oleh lelaki itu dari Dewi Karmila? Kemewahan... Kesenangan?

“Juan! Kau ni tak ada kerja lain, asyik berangan.”

“Aku ada kat sini. Bila kau balik ?”

“Baru satu hari aku kat sini.. kau dah tanya bila nak balik. Apa punya kawan... bagilah masa aku enjoydengan familyaku. Zul ni... bila aku balik, baru dia nampak dunia luar.”

Siapakah Zulastri dalam hidup Dewi Karmila ? Soalan itu juga yang mengganggu benaknya. Kenapa Dewi Karmila begitu mengambil berat tentang Zulastri? Tawa si gadis kembali bergema... tawa dek kerana kata-kata si lelaki di seberang sana tapi telinganya gagal menangkap apakah yang disebut oleh lelaki itu.

“Okey Juan. Zul ni pantang tengok aku bergayut kat phone... kalau tak kacau tak sah. Kau jangan risau, kereta kawan kau tu sihat walafiat... dua hari lagi aku balik. Viva aku tu jaga elok-elok tau. Juan! Kau dengar tak ?”

“Dengar.”

“Apasal kau ni macam tak ada mood aja.”

Benar Dewi Karmila. Kegembiraan aku sudah dibawa terbang oleh suara si lelaki yang bersama dengan mu ketika itu.

“Okey... Juan. Assalamulaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Dia kehampaan. Benar-benar hampa... rindunya melaut untuk Dewi Karmila di seberang di sana , jauh di di utara tanah air. Dewi Karmila sedang bergembira bersama keluarganya dan lelaki bernama Zul, Siapa Zulastri ? Lagi-lagi persoalan itu juga yang mengganggu fikirannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.