Home Novel Cinta Dia Mimpi Indahku
Dia Mimpi Indahku
Rozita Abd. Wahab
21/5/2014 23:51:44
45,304
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab : 3

RIFHAN keluar dari biliknya dengan hati yang sebal. Puas dia menyelongkar almari bajunya. Mencari sehelai blaus yang dihadiahkan oleh Hafsyam untuknya di sebuah pusat membeli-belah beberapa bulan yang lalu. Dia sayangkan blaus itu kerana harganya mahal. Mana mungkin dia dapat melupakan bagaimana suka hatinya dia melihat blaus tersebut tetapi sebaik saja melihat harganya, dia meletakkan blaus itu semula.

“Kenapa?” tanya Hafsyam yang berdiri di belakangnya.

“Mahal.” Rifhan bersuara.

“Mahal sikit pun tak apa, kan? Han dah suka.”

“Tak apalah. Banyak lagi benda penting yang Han boleh beli untuk duit yang Han bayarkan untuk baju ni.”

“Kenapa berkira sangat? Han dah bekerja. Han kena juga fikirkan diri Han. Untuk apa Han bekerja?”

“Untuk famili.” Pantas Rifhan menjawab sambil menentang pandangan Hafsyam.

“Habis untuk diri sendiri? Takkan semuanya Han nak habiskan untuk famili?”

“Han simpan juga, buat bekalan di kemudian hari.” Rifhan tersengih.

Dua hari kemudian, dia mendapat satu bungkusan yang dihantar oleh seorang pemuda. Katanya dari syarikat penghantaran barang. Berdebar juga hatinya ketika membuka bungkusan itu. Alangkah terkejutnya dia melihat isi kandungan bungkusan tersebut merupakan blaus yang disukainya. Pengirimnya ialah Hafsyam. Hampir saja dia menjerit dek terkejut dan gembira. Hafsyam memang lelaki yang baik dan prihatin. Tidak pula dia begitu berhajat untuk memiliki blaus tersebut tapi Hafsyam sudah menghadiahkannya.

Rifhan menolak pintu bilik Azira. Adiknya sedang meniarap di atas katil sambil membaca buku.

“Ada apa, kak?” tanya Azira dengan dahi berkerut. Jarang sekali kakaknya masuk ke biliknya.

“Nampak blaus kuning akak tak?”

“Yang mana satu?”

“Akak ada satu aje blaus warna kuning. Akak mana ada banyak baju warna kuning?” Sedikit keras nada suaranya. Bukan niatnya hendak memarahi Azira. Di dalam fikirannya ketika itu cuma Anita. Adiknya yang seorang itu memang tidak tahu menjaga perasaan orang lain.

“Entah... Zira tak tahu, tapi kalau akak tak percaya, bukalah almari Zira.” Azira menjongketkan bahu. Memang dia tidak tahu. Dia tidak kisah jika Rifhan menyelongkar almari pakaiannya. Memang dia tidak mengambil blaus tersebut.

Rifhan teruskan langkahnya. Dibuka pintu almari pakaian Azira. Diselak setiap pakaian yang tergantung. Memang dia tidak mengharapkan blaus itu berada di situ. Azira bukan orangnya yang suka mengambil barang orang lain.

“Ada?” soal Azira.

Rifhan tahu. Soalan itu satu sindiran. Dia beralih ke arah almari pakaian Anita pula. Anita mungkin sudah berada di tingkat bawah. Sudah bersedia untuk keluar ke pejabat.

Dia tidak peduli. Anita berhak memarahinya kerana menceroboh almari pakaiannya. Dia tetap akan mencari blaus pemberian Hafsyam padanya. Seperti tadi, almari pakaian Anita dibukanya agak kasar. Buntang matanya melihat blaus kesayangannya tergantung di dalam almari pakaian Anita. Menyirap darahnya. Anita memang melampau. Sesuka hati mengambil hak orang lain.

Dicapai blaus tersebut kemudian dia terus melangkah turun ke bawah. Dia mendengar suara ibu berbual dengan ayah dan Anita.

“Han, belum bersiap lagi?” Ibunya menyapa. Mungkin ibu belum sempat mengesan riak kemarahan pada wajahnya. Memang dia sedang marah. Tidak suka hak peribadinya diceroboh oleh orang lain walaupun adiknya sendiri

“Nita!” Sedikit terjerit Rifhan tatkala memandang Anita.

“Apa?” balas Anita, berlapis dahinya.

“Macam mana baju akak boleh ada dalam almari Nita?” soal Rifhan. Diangkat baju yang berada di tangannya. Biar jelas di mata Anita, baju mana yang dimaksudkannya.

Anita meneruskan suapannya. Soalan Rifhan tidak terus dijawab.

“Kenapa diam?” Masih meninggi nada suara Rifhan. Sakit hatinya apabila Anita buat muka selamba.

“Alah... Nita pinjam. Dah pakai hari tu tapi belum sempat basuh lagi,” jawab Anita tanpa memandang ke arah kakaknya.

Mendidih darah muda Rifhan. Anita bercakap tanpa memandang ke arahnya. Tanpa memikirkan perasaannya.

“Kalau meminjam kena minta kebenaran. Akak tak tahu pun ada orang minta pinjam baju ni,” marah Rifhan.

“Kak... pinjam baju pun tak boleh ke?” balas Anita tanpa rasa bersalah.

“Boleh ke tak boleh... itu hak akak. Jangan suka masuk ke bilik orang dan ambil apa saja yang awak suka,” luah Rifhan. Anita perlu menghormati hak orang lain di dalam rumah itu. Jangan kerana ibu memberi muka padanya lalu Anita fikir dia boleh berbuat apa sahaja.

Anita menolak piring berisi nasi goreng yang masih berbaki. Hilang seleranya. Pagi-pagi sudah disergah Rifhan.

“Kacau... pagi-pagi dah bising. Buat orang hilang selera,” rungutnya.

“Siapa benarkan Nita ambil baju akak?” Rifhan menyoal lagi. Tidak berpuas hati dengan sikap kurang sopan Anita.

“Kan Nita dah cakap? Nita pinjam. Ambillah balik. Nita pun tak suka baju tu. Bukannya cantik pun, yang akak nak sibuk sangat.”

Pedas sindirian Anita. Ringan saja Rifhan hendak mengangkat tangannya. Biar melayang ke pipi Anita. Biar adiknya tahu bagaimana caranya hendak meminjam barang yang menjadi milik orang lain.

“Barang akak, hak akak. Jangan memandai nak ambil,” tekan Rifhan.

“Yalah... yalah... Nita pun tak ingin. Perasan... ingat dia cantik sangat pakai baju tu. Kurus sekeping,” sindir Anita tanpa memikirkan perasaan kakaknya.

Mencerlang mata Rifhan, merenung Anita yang menghirup minuman di dalam cawan. Itu satu penghinaan. Biarpun yang berkata itu adalah adiknya tapi penghinaan itu amat menyakitkan.

“Nita!” Suaranya melengking kuat. Kesabarannya sudah menipis. Jarang sekali dia meninggikan suara pada adiknya. Apatah lagi di hadapan ibu dan ayah.

“Han, pasal baju pun Han nak berkasar dengan Nita.”Hajah Saodah membela Anita.

“Tapi dia kurang ajar, ibu. Suka-suka hati ambil barang orang. Tak reti nak cakap, nak minta kebenaran.” Rifhan membela diri.

“Nita kata dia pinjam kan?” tekan Hajah Saodah.

“Pinjam apanya kalau main redah macam tu aje? Tak minta kebenaran. Tau-tau baju ni dah ada dalam almari dia... pinjam ke macam tu. Dah tu... dah pakai tak reti nak basuh.” Rifhan masih tidak mahu mengalah.

“Han, pagi-pagi Han dah cari pasal dengan Nita. Cubalah bersabar sikit. Han tu kakak, Nita tu adik. Takkan tak boleh beralah?” Hajah Saodah masih hendak memenangkan Anita sedangkan terang-terangan lagi Anita yang bersalah. Anita yang mengambil hak orang lain tanpa kebenaran.

Anita tersengih. sukanya dia. Hajah Saodah membela Anita dan menyalahkan Rifhan.

Haji Ahmad yang hanya menjadi pendengar sejak tadi menggelengkan kepalanya. Ada empat orang anak perempuan. Macam-macam hal dan perangai.

Rifhan mengetap bibirnya, geram. Benar kata Azira. Ibu tidak adil. Ibu menyebelahi Anita. Ibu sengaja hendak menyakitkan hatinya. Rifhan berpaling, mahu beredar. Semakin lama dia berada di situ, semakin sakit hatinya melihat senyuman Anita. Seronoklah tu, ibu menyebelahi dirinya.

“Kak... dah marah orang pagi-pagi buta macam ni, buat orang terbantut selera. Takkan nak jalan macam tu aje? Tak reti nak minta maaf ke?” Anita bersuara, menjeling ke arah kakaknya.

Semakin mendidih darah muda Rifhan. Anita memang sengaja mencabar kesabarannya.

“Entah Han ni. Kan ibu dah cakap? Orang yang buat salah kena minta maaf.” Ibu menyokong Anita pula.

Berdesing telinga Rifhan mendengar kata-kata ibu. Secara terang-terangan ibu membela Anita. Ibu langsung tidak memikirkan perasaannya. Apa... Anita sudah mengguna-gunakan ibu hingga ibu terlupa dia juga anak ibu? Sengihan Anita semakin membakar hatinya. Sejak kecil ibu selalu sahaja menangkan Anita. Dia juga anak ibu tapi ibu perlakukannya dirinya seperti dia itu anak angkat... anak pungut.

“Oh... orang salah kena minta maaf? Siapa yang salah sebenarnya ni? Han atau Nita? Siapa yang ambil barang siapa ni?” Rifhan bersuara lagi, meninggi suaranya.

“Kan ibu dah cakap? Kakak kena beralah dengan adik.” Hajah Saodah masih menyebelahi Anita.

Rifhan menggelengkan kepalanya. “Beralah... beralah... Itu saja yang ibu tahu cakap. Nak suruh Han beralah sampai bila? Sampai Nita pijak kepala Han? Sepak kepala Han?” Dia sudah hilang kesabaran. Sakit hatinya mengenangkan sikap ibu. Ketidakadilan yang cukup ketara. Kasih sayang yang diberikan pada anak-anak tidak pernah sama.

“Han...”

“Ibu, Han ni anak siapa? Anak pungut?” potong Rifhan sebelum sempat Hajah Saodah meneruskan ayatnya. Ditentang pandangan mata ibu tanpa memikirkan perasaan wanita itu.

“Ibu layan Nita... macam Nita tu sorang anak ibu. Ibu buat Han macam Han ni bukan anak ibu. Anak yang ibu lahirkan. Han tak pernah berkasar dengan ibu, tapi hari ini... Han minta maaf. Ibu yang buat Han berkasar. Kalau ibu tak suka Han duduk dalam rumah ni, Han boleh keluar. Masih ramai orang kat luar sana yang sudi terima Han,” luah Rifhan. Sudah terlalu lama dia memendam perasaan. Sakitnya menikam ke hati. Sudah acap kali dia diperlakukan begitu dan setiap kali itu juga dia terpaksa beralah dan memberi kemenangan percuma kepada Anita.

Dia terus berpaling. Dia tahu ibu memandang tepat ke wajahnya. Dia tahu ibu terkejut dengan kelancangan mulutnya tapi ibu perlu sedar. Bukan hanya Anita seorang anak ibu. Dia juga anak ibu, tetapi kenapa ibu tidak adil dalam perkara itu?

Masuk saja ke dalam bilik, Rifhan terus memasukkan pakaian ke dalam beg. Dia sudah nekad. Dia akan keluar dari rumah itu. Hatinya sudah terluka dengan kata-kata ibu.

“Kak!” tegur Azira yang berdiri di muka pintu. Memandang ke arah kakaknya dengan pandangan yang sayu. Dia juga seperti Rifhan. Kerap kali menjadi mangsa ketidakadilan penghakiman ibu.

“Akak nak ke mana?” Azira bertanya. Perlahan suaranya. Bimbang Rifhan akan memarahinya pula.

“Dunia ni luas lagi, Zira. Akak boleh sewa bilik dengan kawan-kawan,” jawab Rifhan tanpa memandang ke arah Azira. Lincah tangannya melipat pakaian lalu dimasukkan ke dalam beg.

“Akak tak sayang Zira dan Ila?”

Rifhan terdiam lalu memandang Azira. Dia sayangkan Azira dan Razila. Mereka berdua sangat rapat dengannya.

“Siapa yang nak bela Zira kalau ibu marah Zira? Siapa yang nak menyebelahi Zira kalau Nita kenakan Zira lagi?” Azira sebak.

Rifhan merenung wajah sayu Azira. Adik yang seorang itu bergantung harap padanya. Dia yang menyara pembelajaran Azira selama ini. Dia juga yang menjadi guru pada adiknya. Andai dia keluar dari rumah itu, siapa pula yang akan memberi tunjuk ajar pada Azira? Ditolak beg ke tepi. Dia tidak perlu mementingkan diri sendiri.

‘Sabar, Rifhan. Bukan ke kau seorang sabar?’ Beristighfar dia berkali-kali. Baru dia tersedar. Emosinya sukar dikawal, kemarahannnya datang mendadak sedangkan dia bukan orangnya yang cepat melatah. Diraup wajahya berkali-kali sambil cuba menenangkan hati yang sedang marah.

“Akak tak pergi mana.” Rifhan bersuara.

“Terima kasih, kak.” Itu ucapan Azira sebelum adiknya berlalu.

Rifhan bangun semula. Dia perlu ke pejabat. Ada mesyuarat yang perlu dihadiri. Dia tidak mahu terlewat. Niat hendak bergaya dengan blaus, pemberian Hafsyam terpaksa dibatalkan.

SEBAIK turun dari bilik, dilihatnya tidak ada sesiapa di meja makan. Anita tentunya sudah keluar untuk ke pejabat. Mungkin juga dijemput teman lelakinya yang berkereta besar. Itu yang dibangga-banggakan oleh Anita. Memang Anita gadis yang cantik tapi sayang sekali hatinya tidak secantik wajahnya.

“Han dah nak pergi?” Haji Ahmad menyapa Rifhan.

Rifhan menoleh ke arah ruang tamu. Seperti biasa, Haji Ahmad akan duduk di situ sambil membaca surat khabar yang dihantar oleh Ramu. Dilencongkan langkahnya, kemudian menyalami ayahnya.

“Han pergi dulu. Lambat nanti terlepas bas. Ada meetingpagi ni.”

Haji Ahmad hanya mengangguk. Merenung kosong anak keduanya yang lemah lembut dan sopan santun tapi yang lembut itu jangan disangka tidak akan meletup. Anita memang sudah melampau. Isterinya juga tidak berlaku adil dengan anak-anak. Anita sering dijemput dan dihantar oleh lelaki berkereta besar. Isterinya melebih-lebihkan Anita. Bangga dengan anak yang seorang itu hingga mengetepikan perasaan anak-anak yang lain. Hafsyam teman lelaki Rifhan tidak pernah disenangi kehadirannya. Katanya... setakat Viva buruk, siapa pun mampu membelinya. Memang isterinya tidak pernah senang dengan Rifhan.

Rifhan bertembung dengan ibu di muka pintu. Tiada senyuman di bibir si anak. Kasut disarung kemudian dia terus melangkah ke pintu pagar.

“Kenapa dengan anak dara awak tu?” Hajah Saodah bertanya kepada suaminya. Dilihatnya wajah Rifhan masam mencuka. Masih marahkah Rifhan kerana perkara kecil tadi.

“Tanya saya pulak? Awak tu yang kena fikir sendiri kenapa anak awak yang lembut tu tiba-tiba hari ni jadi biadab. Jadi garang.” Haji Ahmad menyindir.

Hajah Saodah melabuhkan punggungnya di sofa yang lembut. Sofa yang dibeli oleh Anita. Kata anak gadisnya, teman lelakinya yang membayarkan harga sofa tersebut. Beribu-ribu ringgit nilainya.

“Itulah... biadab betul Han tu,” rungutnya.

Tergeleng-geleng kepala Haji Ahmad. Masih tidak sedar diri rupa-rupanya. Hati si anak sudah dilukakan. Si ibu pula masih duduk bersenang-senang di atas sofa sambil tersenyum. Tidak faham betul dia dengan sikap isterinya itu. Mata duitan.

Rifhan melangkah pantas ke perhentian bas. Dia tahu dia sudah terlewat. Wajah-wajah yang sering berada di situ bersamanya sudah tidak ada. Tentunya bas yang selalu dinaikinya sudah berlalu. Gara-gara marahkan Anita, dia pula yang terlewat tetapi Anita memang melampau. Dikerling jam di tangan. Memang dia sudah terlewat dan dia tidak punya pilihan selain menghubungi Hafsyam.

“Syam.”

“Assalamualaikum, sayang.”

“Waalaikumussalam. Syam kat mana ni?”

“Kat rumah lagi. Kenapa? Dah rindu?”

“Alah, Syam ni... jangan main-main, jemput Han. Han kat bus stop ni. Han dah terlewat. Ada meetingpagi ni,” ujar Rifhan lalu menjeling jam di tangan. Dia begitu berharap Hafsyam dapat menjemputnya.

“Okey... Han tunggu sekejap. Nanti Syam sampai.”

Sepuluh minit Rifhan menanti. Kedatangan yang sangat diharapkan namun dia dikejutkan oleh Hafsyam. Lelaki itu datang dengan motosikal yang ditunggangnya malam tadi. Ah, dia pula mengenakan baju kurung pula.

“Han, kenapa ni? Kata dah lambat.” Hafsyam menegur sebaik sahaja berhenti di hadapan Rifhan. Gadis itu kelihatan masam mencuka. Dia menghulurkan topi keledar kepada Rifhan, namun gadis itu memandang sipi. “Han... kenapa ni?”

“Kenapa naik motor?” tanya Rifhan, sedikit meninggi nada suaranya.

Hafsyam tergelak mendengar pertanyaan Rifhan. Itu penyebabnya hingga Rifhan memuncung.

“Kawan Syam belum pulangkan kereta. Nak buat macam mana. Jom naik motor. Lagi cepat sampai. Han kan dah lewat?”

“Han pakai baju kurung. Macam mana nak naik?”

Hafsyam ketawa lagi. Seronok pula dia melihat kekalutan pada wajah Rifhan.

“Naik macam semalamlah... tapi jaga-jaga sikit kain tu,” pesan Hafsyam.

Seperti lembu dicucuk hidung, Rifhan mengenakan topi keledar di kepalanya. Dia duduk juga di belakang Hafsyam. Diletakkan beg tangannya di tengah-tengah kemudian di memegang bahu Hafsyam.

“Dah sedia?” Lelaki itu memecut motosikalnya.

“Syam, jangan main-main,” marah Rifhan lalu menepuk bahu Hafsyam. Dia memaut kedua-dua bahu Hafsyam kejap. Kecut perutnya apabila Hafsyam mencelah di antara kenderaan di jalan raya.

Sebaik sampai di hadapan bangunan pejabatnya, Rifhan melepaskan nafas kelegaan. Dia harus segera masuk ke dalam pejabat. Ada beberapa dokumen yang perlu disiapkan sebelum masuk ke dalam bilik mesyuarat. Cukuplah dia dihentam teruk oleh Encik Kamarul dek kegagalannya menyiapkan dokumen yang hendak dibincangkan pada mesyuarat tersebut. Lelaki yang tidak ada perasaan itu hanya bercakap mengikut sesedap mulutnya sahaja. Tidak kira lelaki atau perempuan. Tidak kira di mana tempatnya. Bila marah dia akan marah.

Tugasnya sebagai pembantu akauntan memerlukan dia untuk menyediakan dokumen audit untuk syarikat yang telah diaudit, dokumen yang terlebih dahulu disemak oleh akauntan. Kali ini dia sudah bersedia. Encik Fakhrul sudah menyemak dokumen-dokumen tersebut dan dia perlu memastikan semuanya sudah tersedia di dalam bilik mesyuarat nanti. Tidak akan dibiarkan Encik Kamarul mengenakannya sekali lagi.

“Kenapa Han lewat pagi ni?” tanya Hafsyam sambil memandang Rifhan menanggalkan topi keledar.

“Panjang cerita. Nanti-nantilah Han cerita,” ujar Rifhan. Beg tangan sudah disangkut ke bahu. Kelibat Encik Kamarul sudah kelihatan melangkah masuk ke dalam bangunan. Lelaki bermisai lebat itu menjeling sekilas ke arahnya. ‘Huh... nak jeling-jeling pulak, aku korek mata tu nanti baru tau.’

“Siapa tu?” Hafsyam bertanya, menyedari jelingan lelaki itu sebentar tadi.

“Musuh nombor satu,” jawab Rifhan. Serius wajahnya.

Hafsyam tergelak mendengar jawapan daripada bibir comel Rifhan. Gadis secantik dan selembut Rifhan juga ada musuh.

“Okeylah, Han dah lewat ni. Nanti kena bambu lagi,” ujar Rifhan. Di dalam fikirannya ketika itu cuma Encik Kamarul, entah apa pula ideanya hari ini hendak mengenakan orang.

“Okey, sayang... Syam jemput Han petang nanti.”

“Tak payahlah. Han balik naik bas. Han tak nak susahkan Syam.” Rifhan cuba menolak dengan baik. Cukuplah dia menyusahkan Hafsyam pada awal pagi begitu.

“Mana ada susahnya? Kalau susah pun bukan untuk orang lain. Untuk bakal isteri Syam juga, tapi Han kenalah tunggu. Dari Shah Alam nak ke KL, ambil masa juga,” ujar Hafsyam. Dia bekerja di sebuah syarikat pembinaan sebagai arkitek. Tugasnya memerlukan dia turut sama berada di tapak pembinaan dan ada ketikanya dia terpaksa pulang lewat. Hari ini dia akan memastikan tugasnya diselesaikan dengan segera agar dia dapat menjemput buah hatinya.

“Yalah... Han tunggu tapi apa-apa hal Syam call Han, ya? pesan Rifhan.

Yes, boss.” Hafsyam sudah ketawa melihat Rifhan yang mencemik. “Bye, sayang.

Bye... thanks,” balas Rifhan lalu melambai pada Hafsyam yang sudah bergerak meninggalkan pekarangan bangunan itu. Hilang kelibat Hafsyam daripada pandangan matanya, dia segera memanjat anak tangga, kemudian masuk ke ruang lobi untuk ke tingkat sembilan.

Previous: Bab : 2
Next: Bab : 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.