Home Novel Cinta Dia Mimpi Indahku
Dia Mimpi Indahku
Rozita Abd. Wahab
21/5/2014 23:51:44
45,486
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab : 7

HARI bahagia yang dinanti akhirnya tiba juga. Dengan sekali lafaz Rifhan kini sah sebagai isteri Hafsyam. Hanya senyuman yang terukir di bibir Rifhan dan air mata mengalir juga ke pipi. Hari ini dia disatukan dengan Hafsyam dalam satu ikatan yang sah di sisi Islam. Tidak ada sesiapa lagi yang mampu menghalang hubungan mereka melainkan ALLAH yang berkehendakkan begitu.

Tatkala Hafsyam menyarungkan cincin ke jari manisnya dan buat pertama kalinya dia menyalami dan mencium tangan Hafsyam suaminya, ada suatu perasaan aneh yang menerjah ke dalam hatinya. Perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Sesungguhnya dia berasa cukup gembira, seolah-olah beban yang selama ini tergalas di bahu sudah dilontarkan jauh-jauh. Hari ini dirinya sudah menjadi tanggungjawab Hafsyam.

Rifhan menghela nafas. Dia tidak bersendirian ketika itu tapi terasa seperti dia berada di dunia yang cukup asing. Cuma hanya dia dan Hafsyam. Tidak ada suara-suara ibu yang melengking marah, tidak ada sindiran dan kata-kata yang menyakitkan telinga yang dituturkan oleh Anita. Mereka bagaikan tidak wujud di dalam hidupnya.

“Rifhan!”

Panggilan itu membawanya kembali ke alam nyata.

“Okey... okey, stop macam tu kejap. Baru boleh ambil gambar.” Suara Zubaidah, sepupu Rifhan cukup jelas di telinga. Hafysam sedang mencium dahinya dan mereka diminta terus berada di dalam keadaan begitu untuk seketika semata-mata untuk merakamkan kenangan yang satu itu.

Hafsyam tergelak kecil tetapi diikut juga arahan Zubaidah. Dia tahu hari ini dia tidak punya pilihan, dia harus mengikut apa saja kata mereka-mereka itu.

Selesai acara membatalkan air sembahyang, mereka berdua diminta duduk di pelamin ringkas yang disediakan di ruang tamu rumah itu. Rumah yang sederhana besarnya itu menjadi sedikit sesak dengan kehadiran saudara mara dan para tetamu. Pelbagai aksi digayakan mengikut arahan jurugambar-jurugambar yang tidak bertauliah.

Rifhan bersalaman dengan ayah. Melihat wajah mendung ayah membuatkan hatinya disapa hiba. Ada genangan di mata ayah. Adakah ayah bersedih kerana terpaksa melepaskan dirinya kepada Hafsyam? Menyerahkan tanggungjawab kepada seorang lelaki yang hari ini bergelar seorang suami? Rifhan cium tangan ayah.

“Ayah, maafkan Han. Doakan Han dan Syam.” Hanya itu yang mampu dituturkan. Dada terasa sebak, bila-bila masa sahaja air mata pasti tumpah jika dia tidak berusaha melawan.

Haji Ahmad mengangguk, diseka air mata yang tiba-tiba sahaja mengalir di pipi. Dia gagal mengawal perasaannya, malu pula rasanya bila menangis begitu. Air mata itu air mata gembira dan sedih. Kedua-dua perasaan itu sudah bercampur menjadi satu.

Hajah Saodah pula mengambil giliran untuk bersalaman dengan anak dan menantu barunya. Biarpun hati terasa amat berat untuk berhadapan dengan pasangan itu namun diteruskan juga apa yang telah dirancang.

Hampir jam 4.00 petang, barulah keadaan menjadi tenang. Tiada lagi tetamu yang datang. Yang tinggal cuma saudara-mara dan jiran terdekat sahaja. Majlis kenduri itu menggunakan khidmat katering. Rakan-rakan Rifhan dan Hafsyam turut sama menghadirkan diri. Tidak akan ada majlis besar-besaran di pihak lelaki, hanya majlis ringkas untuk saudara mara terdekat sahaja untuk menyambut kedatangan satu-satunya menantu di dalam keluarga mereka.

Rifhan duduk bersandar di kerusi yang diletakkan di bawah khemah. Sebahagian dari meja dan kerusi sudah dikemaskan. Disusun dan diletakkan di bahagian tepi.

“Kak, besttak kahwin?” tanya Azira lalu tersenyum-senyum. Sengaja hendak mengusik Rifhan yang kelihatan begitu cantik dan anggun dengan pakaian pengantinnya.

Rifhan dan Hafsyam mengerutkan dahi. Tidak ada soalan lainkah yang hendak ditanya?

“Jangan tanya yang bukan-bukan ya, Zira? Awak tu belajar dulu, jangan dok fikir pasal nak kahwin. Nanti belajar ke lain, terus kahwin,” bebel Rifhan. Dia cukup bimbang andai Azira tidak menamatkan pengajiannya. Dia tidak mahu Azira terlalu bergantung pada orang lain. Adiknya itu harus terus belajar dan menamatkan pengajiannya dengan keputusan yang cemerlang.

Azira tersengih. “Tanya ajelah...” Azira melangkah pergi, meninggalkan pasangan itu bersendirian di bawah khemah.

Rifhan mengerling ke arah Hafsyam di sisinya. Hafsyam yang kelihatan tampan dan bergaya dengan pakaian pengantin yang tersarung di tubuhnya. Lagak seperti seorang pahlawan melayu tapi kerisnya sudah hilang entah ke mana.

“Kenapa pandang-pandang?” tanya Hafsyam sebaik sahaja menyedari dirinya menjadi perhatian isterinya.

Rifhan tergelak kecil. “Saja-saja nak pandang. Kenapa? Tak boleh?” balas Rifhan.

Hafsyam tersenyum. “Mestilah boleh...”

“Akak, andak suruh masuk dalam!” jerit Razila dari hadapan rumah.

Rifhan menoleh sekilas ke arah Razila. Ada saja yang tidak senang melihat dia berbual berdua-duaan dengan suaminya di situ.

Mereka berdua segera masuk ke dalam rumah. Badan juga sudah melekit, berpeluh dan kepanasan. Pakaian pengantin yang diperbuat dari kain songket itu memang merimaskan.

TIDAK ada lagi suara-suara yang kedengaran. Masing-masing sudah keletihan, penat seharian menguruskan majlis perkahwinan itu. Keluarga dari pihak lelaki sudah berangkat pulang ke kampung halaman. Mekar senyuman ibu dan ayah mertuanya sebaik sahaja mereka berdua duduk untuk bersalaman.

“Syam, jaga Han baik-baik. Han satu-satunya menantu ibu.” Itu pesan Hajah Amnah kepada Hafsyam.

Hafsyam tersenyum dan mengangguk. Masakan dia hendak mempersia-siakan Rifhan? Rifhan gadis pertama yang dicintainya dan andai diizinkan ALLAH, Rifhan jugalah yang terakhir di dalam hidupnya. Setiap perngorbanan yang dilakukan oleh Rifhan sejak mereka di bangku sekolah lagi, tidak mungkin dilupakan begitu sahaja. Apatah lagi saat ini Rifhan sudah sah menjadi isterinya.

Rifhanberbaring di atas katil. Dia benar-benar keletihan. Bila-bila masa sahaja dia akan terlena.

Hafsyam melipat sejadah sebaik selesai mengerjakan solat isyak. Dia menghampiri isterinya yang nampak lena di atas katil.

“Sayang...”

Rifhan membuka mata perlahan. Berat rasanya. Terasa pipi disentuh seseorang. Hafsyam sedang duduk di sisinya.

“Han...” Hafsyam merenung wajah isterinya. Rifhan sudah bangun dan duduk bersila di hadapannya.

Rifhan membalas renungan Hafsyam. Adakah ada sesuatu yang ingin diperkatakan oleh Hafsyam padanya.

“Han sayang Syam?” tanya Hafsyam. Wajah Rifhan masih menjadi tatapannya.

Rifhan tergelak kecil. Dia dan Hafsyam sudah sah menjadi suami isteri. Masakan dia hendak melangkah sejauh itu jika dia tidak menyayangi Hafsyam?

“Hmm... kalau tak sayang?” Dia sengaja hendak bermain tarik tali.

“Kalau Han tak sayang Syam. Siapa lagi nak sayang Syam ni. Dahlah tak ada harta, rupa tak ada... apa pun tak ada,” balas Hafsyam lalu melepaskan keluhan.

“Kita dah nikahlah, Syam. Kita bukan lagi orang asing, kita adalah suami isteri. Syamlah suami Han, kekasih Han, sahabat Han... tidak ada orang lain yang layak mendapat semua tu selain Syam,” bisik Rifhan.

Hafsyam masih merenung wajah Rifhan. “Janji dengan Syam, ya?”

Terjongket kening Rifhan. “Janji apa tu?”

“Han tak akan tinggalkan Syam walau apa pun yang berlaku.”

Rifhan tersenyum, kemudian mengangguk.

“Kalau Syam buat silap, Han tegurlah Syam. Han maafkan Syam.”

Rifhan mengangguk. “Insya-ALLAH, sayang. Syam pun sama... kalau Han buat salah... jangan terus marah Han pula.”

Hafsyam tersenyum. “Tak buat salah, tak marahlah... tapi kalau Han buat salah, memang kena marah, kena rotan,” giat Hafsyam.

Rifhan memuncung. “Tak adillah macam tu. Syam salah... Han kena maafkan macam tu aje.”

Hafsyam menarik tangan isterinya, kemudian dikucup lembut.

“Terima kasih, sayang sebab Han sudi terima Syam.”

“Han pun nak ucap terima kasih juga... sebab Syam sudi kahwin dengan Han. Dari sekolah sampai sekarang asyik berkepit dengan Syam. Inilah dinamakan jodoh yang ditentukan ALLAH,” ujar Rifhan.

Hafsyam lega. Bahagia rasanya mendapat isteri secantik dan sebaik Rifhan. Doanya moga rumah tangga yang terbina itu akan membuahkan kebahagiaan yang berpanjangan. Hanya Rifhan di hatinya. Hanya Rifhan yang disayanginya.

Previous: Bab : 6
Next: Bab : 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.