Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret emosi
23/1/2019 13:11:02
31,111
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 6

Bab 6

Emak ‘ Meninggal Dunia’

Emak melahirkan adik perempuanku yang ke tiga Bibah semasa aku berusia 8 tahun .Seorang lagi adik perempuan,Besah yang dilahirkan ketika aku berusia 6 tahun.Aku tidak ingat sangat tentang kelahiran Besah tetapi aku ingat tentang peristiwa emak melahirkan Bibah kerana peristiwa yang akan aku ceritakan.

Seperti yang aku ceritakan dalam bab terdahulu, aku dihantar untuk tinggal di kampung bersama nenek sebaik sahaja aku memasuk alam persekolahan. Emak, abah dan adikku Besah tinggal di Geli-Geli Estet.Estet menyediakan pusat asuhan kanak-kanak semasa ibu bapa bekerja. Ada dua orang pengasuh yang menjaga kanak-kanak. Kami di Geli-GeliEstet memanggil pusat asuhan itu sebagai ‘kandang’. Aku  tak pasti kenapa pusat asuhan kanak-kanak dipanggil kandang. Mungkin bentuknya seakan-akan kandang ternakan haiwan. Di situ semua anak-anak pekerja estet terdiri dari pelbagai bangsa  tinggal besama dan makan bersama semasa ibubapa bekerja. Pihak estet tidak menyediakan makanan dan susu untuk anak-anak. Ibubapa membekalkan makanan dan segala keperluan lain seperti susu, kain lampin untuk anak masing-masing.Besah diletakkan di kandang semasa emak bekerja. Aku agak bernasib baik tidak merasa duduk di kandang kerana telah bersekolah dan tinggal di kampung bersama nenek.

Apabila emak telah sarat megandung dan akan melahirkan anak ketiga, dia balik ke kampung untuk melahirkan. Ketika itu belum ada peraturan kerajaan yang mewajibkan ibu melahirkan anak di hospital seperti sekarang. Seingat aku,dari lima beradik cuma adik aku yang nombor 4 dan nombor 5 sahaja yang dilahirkan di hospital. Aku,Besah dan Bibah dilahirkan di rumah di kampung.

Selepas melahirkan Bibah keadaan kesihatan emak tidak begitu baik. Semasa dalam pantang emak mengalami sakit yang agak serius dan terlantar di rumah. Pada ketika itu jarang orang sakit nak ke hospital. Mungkin perasaan takut berjumpa doktor  menghantui mereka atau kurang kemampuan untuk ke hospital.Kami tidak ada pengangkutan sendiri untuk ke hospital walaupun dari rumah kami ke hospital jaraknya cuma kira-kira 9 kilometer sahaja. Masyarakat kampung ketika itu lebih percaya kepada perubatan tradisional.

Ketika emak dalam pantang selepas melahirkan Bibah, abah tinggal seorang di estet. Hari Ahad hari hujung minggu dan pekerja estet tidak bekerja pada hari Ahad. Biasanya pada petang Sabtu abah akan mengayuh basikal dari estet ke rumah di kampung untuk menjengah kami bertiga dan nenek. Jarak estet ke rumah lebih kurang 10 kilometer.Walaupu ntidak begitu jauh tetapi sebahagian dari jalan masuk ke estet melalui jalan tambak merah yang berdebu ketika panas dan becak ketika hujan seperti yang aku ceritakan dalam bab terdahulu.

Aku masih ingat satu hari abah balik ke rumah pada hari yang kami tidak jangka, bukannya hari Sabtu seperti kebiasaannya. Aku ketika itu sedang bermain-main dengan Besah, adik nombor 2.Emak sedang berbaring kerana kurang sihat. Sebaik sahaja abah menongkat basikal dan naik ke tangga rumah soalan pertama abah ‘ Emak mana?’ Aku menjawab ‘ Tu,tengah baring.”

Sebaik sahaja abah melihat emak berbaring bersama bayi Bibah, abah terus menangis teresak-sesak sambil duduk bersandar di dinding rumah. Kami kehairanan melihat abah yang menangis.Sudahlah abah balik ke rumah ketika hari bekerja dan tiba-tiba menangis bila melihat emak dan kami semua. Pada ketika itu kami semua tidak faham dengan apa yang berlaku.

Kira-kira setengah jam kemudian,sebuah bas yang biasa membawa anak-anak estet ke sekolah berhenti betul-betuldi depan rumah kami. Sebenarnya ada dua buah bas yang membawa anak-anak estet ke sekolah. Kedua –dua bas dipandu oleh lelaki cina pertengahan umur, seorang kami panggil namanya sebagai ‘Champon’ dan seorang lagi ‘Ayong’. Petang itu bas Champon yang membawa penuh satu bas pekerja estet yang datang untuk menziarah ‘jenazah’emak’. Mereka dimaklumkan pihak pengurusan estet yang emak telah meninggal dunia.

Mereka terkejut melihat emak masih hidup. . Niat mereka menziarah kawan sekerja yang meninggal dunia bertukar menjadi menziarah rakan yang sakit sahaja Aku ketika itu yang masih lagi kanak-kanak tidak faham apa sebenarnya yang berlaku..Tetapi kemudiannya apabila aku semakin membesar dan episod emak ‘meninggal dunia’ itu diceritakan semula oleh emak barulah aku faham cerita sebenarnya.

Komunikasi pada tahun 1970an amat jauh berbeza berbanding dengan sekarang. Dulu tidak ada telefon pintar. Telefon rumah pun hanya mampu dimiliki oleh golongan berada sahaja. Bagi mereka yang tinggal ditempat yang terpencil seperti di estet komunikasi tentunya lebih sukar.

Di Geli-Geli estet, telefon cuma ada di pejabat estet. Pada hari kejadian kerani estet yang bertugas  telah menerima panggilan telefon dari Hospital Muar meminta maklumkan kepada pekerjanya bernama Atan, nama abahku, yang isterinya telah meninggal dunia.Seorang mandur Melayu yang juga kawan rapat abah diminta pihak estet menyampaikan berita buruk kepada abah dan meminta abah balik segera.Mandur Atim yang ditugaskan untuk menyampaikan berita ‘kematian’emak tidak sampai hati nak menyatakan yang emak sudah meninggal. Dia cuma memaklumkan yang Timah, emak, sedang sakit kuat dan diminta abah balik dengan segera.Mandur Atim mencari abah di tempat kerja dan memaklumkannya.

Sebaik sahaja mendengar berita itu abah terus mengayuh basikal balik ke kampung . Berita kematian emak tersebar dengan cepat di kalangan pekerja estet dan mereka semua bersepakat menyewa bas Champon untuk menziarah jenazah emak di kampung.

Mandur Atim sempat berpesan kepada Champon agar perhatikan juga sepanjang perjalanan ke kampung itu untuk melihat abah, takut-takut abah berhenti di mana-mana sepanjang perjalanan kekampung disebabkan oleh terlalu terkejut dengan berita itu.

Sebenarnya semasa abah mengayuh basikal balik ke kampung berita tentang kematian emak sudah tersebar dengan cepat dikalangan pekerja estet. Malahan abah ditegur salah seorang pekerja yang bertembung dengannya semasa berbasikal dan bertanya ‘ Atan, Timah meninggal ye?.” Kalau mandur Atim cuma mengatakan emak sakit tetapi kali ini abah mendapat pertanyaan orang lain tentang berita emak meninggal dunia. Aku boleh bayangkan perasaan abah ketika dia menunggang basikal seorang diri balik kekampung dengan perasaan yang teramat sedih. Tidak hairanlah dia menangis dengan begitu kuat sebaik sahaja melihat emak masih hidup.

Apa yang berlaku sebenarya ialah salah faham dan salah dengar pihak yang menerima panggilan dari Hospital Muar.Pihak hospital memaklumkan isteri Hassan seorang lagi pekerja estet yang meninggal dunia di hospital dunia, tetapi kerani yang menerima panggilan telefon tersilap dengar isteri Atan, nama abah.

Akibat dari maklumat yang sala hitu, terjadilah episod yang lucu dan sedih. Simpati kepada keluarga arwah simati tetapi satu kelucuan kepada kami semua apabila kisah itu selalu diceritakan semula di kalangan kami sekeluarga.

Walapun ketika kejadian berlaku aku masih kanak-kanak tetapi apabila aku semakin meningkat dewasa dan mengenangkan semula  peristiwa itu ada beberapa pengajaran yang aku dapat.

Aku tahu abah sayang sangat-sangat kepada emak. Aku berazam untuk menjaga isteriku sepertimana abah menyayangi emak dengan sepenuh hati.Aku juga belajar menilai erti persahabatan.Pekerja estet bukannya orang senang. Mereka semua orang miskin tetapi semangat persahabatan dikalangan mereka amat tinggi. Mereka sanggup menyewa bas untuk menziarah rakan walaupun mungkin bayaran sewaaan bas yang dibayar oleh mereka bersamaan dengan gaji sehari mereka bekerja.

Abah seorang yang tidak berpendidikan tinggi tetapi abah ada nilai-nilai baik yang menjadi contoh tauladan kepada kami anak-anak.Semasa aku sudah dewasa dan telah mendirikan rumahtangga abah pernah berkata kepada aku semasa kami bersembang. Kata-kata abah yang aku masih ingat sehingga hari ini ‘ Kita jaga anak kita, jangan jaga anak orang. Kita jaga isteri kita, jangan jaga isteri orang.” Kata-kata yang amat simple tapi penuh makna.

Alfatihah untuk abah, Haji Atan bin Manap yang telah meninggal dunia pada Ogos, 2012

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.