Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret emosi
23/1/2019 13:11:02
33,320
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 15

Hidup di Kampung

Aku menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran yang sekarang in bersamaan dengan PT3 pada tahun 1978.Keputusan aku agak memberangsangkan apabila aku berjaya mendapat 5A dengan 9 Agregat. Meletakkan aku sebagai salah seorang pelajar terbaik sekolah.Bagi pembaca generasi masa kini yang tidak tahu apa itu sistem agregat kena tanya ayah atau emak atau sesiapa yang pernah mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Kalau nak diterangkan di sini nanti menjadi terlalu akademik pula jadinya.Diringkaskan sistem agregat menggunakan konsep semakin rendah agregat semakin bagus. Agregat 5 adalah gred yang terbaik. Pada tahun aku mengambil SRP ada dua pelajar dari sekolah yang mendapat 8 agregat dan ada beberapa orang lagi yang mendapat 9 agregat termasuk aku.

Untuk mendapat penghormatan gambar dimasukkan ke dalam majalah tahunan sekolah dua pelajar yang mendapat 8 agregat iaitu Lee Kok Heng dan Ghulam Altaf telah secara automatik mendapat tempat. Cuma 3 pelajar terbaik sahaja yang akan disiarkan gambar di majalah sekolah.

Untuk slot yang ke tiga terdapat beberapa orang pelajar yang mendapat 9 agregat termasuk aku tetapi Shukri  Sulaiman berjaya mendapat slot gambarnya disiarkan di majalah tahunan sekolah kerana dia mendapat 6 A walaupun aku dan dia mendapat agregat yang sama. Kami sama-sama mendapat 9 agregat.

Kegagalan menempatkan diri sebagai salah seorang 3 pelajar terbaik di sekolah dan mendapat penghormatan gambar disiarkan di majalah sekolah sedikit sebanyak mengecewakan aku. Namun begitu memikirkan dengan latarbelakang keluarga yang serba kekurangan aku boleh berbangga dengan pencapaian aku yang agak cemerlang.

Pada tahun 1979 aku memulakanTingkatan 4 di sekolah yang sama, Sekolah Tinggi Muar. Aku ditempatkan di Tingkatan 4 Sains 1. Suasana pembelajaran lebih mencabar terutamanya untuk matapelajaran sains seperti Kimia, Fizik, Biologi dan Matematik Tambahan. Aku tidak ada masalah dengan matematik moden kerana cikgu Lye Hye Hye yang mengajar kami seoarang guru yang berpengalaman dan pengajaran beliau amat sistematik.

Pada tahun 1979 juga abah dan  mak membuat keputusan untuk berpindah kekampung. Kami sekeluarga mula mendiami rumah yang abah dah bina tapi diduduki oleh Pok Long sekeluarga.Pak Long sekeluarga telah berpindah ke rumah dia sendiri yang dibina tak jauh dari rumah kami  Atok telah meninggal dunia ada tahun 1977 ketika aku dalam Tingkatan 2.

Emak memang suka tinggal dikampung sebab dekat dengan saudara emak. Keliling rumah kami semuanya rumah sepupu emak. Abah aja yang tak berapa suka tinggal di kampung bukan sebab rumah kami berdekatan dengan rumah sanak saudara emak. Punca utama abah tidak suka tinggal di kampung kerana dia terpaksa berulang alik dengan emak naik motor ke estet. Ini bermakna abah dan emak kena bangun lebih awal berbanding ketika kami tinggal di estet dulu. Seawal pukul 5 pagi abah dah bangun mengejutkan kami adik beradik untuk ke sekolah.

Aku seronok tinggal dikampung.Banyak sebab kenapa aku seronok tinggal di kampung. Di kampung banyak aktiviti yang aku boleh sertai di kampung. Ada kelas belajar bermain kompang.Cikgu kompang namanya Pak Cik Mukri. Kerja sepenuh masanya sebagai tukang gunting rambut.Mengajar budak-budak kampung bermain kompang  tanpa sebarang bayaran mungkin sebagai hobi beliau.

Satu lagi aktiviti kampung yang aku suka ialah belajar silat. Guru silat di kampung namanya Pak Bakar, berasal dari Kedah tapi berpindah di kampung kami kerana tugas. Walaupun aku minat juga belajar ilmu silat dari Pak Bakar bersama dengan rakan-rakan sekampung yang lain tetapi aku sedikit terlambat. Sebaik sahaja aku berpindah ke kampung Pak Bakar sudah tidak mengajar silat lagi kerana semua pelajarnya telah ‘katam’ ilmu silat dari Pak Bakar.Kalau tidak mungkin aku sekarang bergelar pendekar

Sejak tinggal di kampung aku  ke sekolah tidak lagi naik bas Ah Yong.Sekarang aku naik bas Syarikat Muar Motor Bas yang ada bas khusus mengambil pelajar sekolah. Syarikat bas menjual pas bulanan yang akan digunakan untuk menaiki bas. Tak perlulah membayar tambang bas setiap hari.

Setiap pagi aku dan  dua pupu aku Hamidon serta seorang lagi anak jiran bernama Rahimah akan sama-sama menunggu bas setiap pagi di tempat yang sama. Kami bertiga sebaya dalam Tingkatan 4. Setiap pagi bas memang padat dengan penumpang yang terdiri dari pelajar sekolah. Jangan harap dapat  tempat duduk setiap kali naik bas. Biasanya tempat kami di atas tangga bas sahaja sebab sebaik sahaja sampai di tempat kami menunggu bas telah penuh dengan pelajar-pelajar lain dari kampung yang dilalui bas itu terlebih dulu.Sepanjang dua tahun naik bas sekolah boleh dibilang dengan sebelah jari berapa kali dapat merasa  duduk di tempat duduk bas. Kalau dapat duduk pun selepas bas menurunkan pelajar di Sekolah Menengah Tun Perak sebelum bas menuju ke Bandar Muar. Hamidon dan Rahimah belajar di Sekolah Dato Sri Amar Diraja yang juga terletak di bandar Muar.

Semasa mula-mula berpindah dikampung rumah kami tidak ada televisyen. Kalau nak menonton televisyen terpaksa menumpang di rumah jiran. Satu hari abah dan emak memaklumkan yang mereka bercadang nak beli set televisyen untuk kami. Berita itu aku sambut gembira.Tak perlu lagi berulang ke rumah jiran untuk menonton televisyen. Pada ketika itu tahun 1979  siaran tv warna baru sahaja dilancarkan. Ketika itu belum ada lagi orang kampung yang memiliki televisyen warna. Emak dan aku lebih cenderung untuk membeli televisyen warna tapi abah  berhajat untuk membeli televisyen hitam putih sahaja kerana harganya yang lebih murah. Akhirnya kami berjaya memujuk abah untuk membeli televisyen warna 14 inci dari sebuah kedai menjual peralatan eletrik di pekan Bukit Pasir.Aku dah lupa berapa hargnya tapi abah membayar  secara ansuran bulanan. Tahun1979 belum ujud lagi Courts Mammoth atau Seng Heng.

Satu perkara lucu yang aku ingat apabila kami telah membeli televisyen, ada seorang penduduk kampung yang memberitahu abah warna pada televisyen cuma bertahan selama 5 tahun sahaja.Selepas 5 tahun warna itu akan hilang dan televisyen itu akan menjadi televisyen hitam putih. Kalau dia bercakap perkara itu pada tahun 2019 mungkin hanya akan jadi bahan tertawa sahaja tetapi pada tahun 1979 siaran televisyen warna baru sahaja diperkenalkan kerajaan dan terlalu banyak ‘misteri’ yang menyelubungi teknologi televisyen warna ini.

Selepas mendengar kata-kata dari orang kampung abah meluahkan rasa kecewanya kerana membuat keputusan yang salah, membayar harga mahal untuk televisyen warna yang akan bertukar menjadit elevisyen hitam putih selepas 5 tahun. Nak dipulangkan balik kedai tak akan terima. Akhirnya aku terpaksa mengambil langkah meyakinkan abah yang warna televisyen tidak akan bertukar menjadi hitam putih selepas 5 tahun.

Aku membayangkan bila ada televisyen sendiri di rumah aku boleh menonton rancangan kegemaran aku bila-bila masa aku suka dan tanpa gangguan. Sangkaan aku meleset apabila rumahaku seolah-olah menjadi mini pawagam apabila setiap malam apabila rumah kami menjadi tumpuan masyarakat kampung datang menonton siaran kegemaran mereka.Walaupun pada penghujung tahun 70an telah banyak rumah yang adat elevisyen tetapi rumah kami satu-satunya rumah yang ada televisyen berwarna.

Biasanya pada sebelah malam aku memperuntukkan masa untuk belajar. Oleh kerana rumah aku telah menjadi mini pawagam aku terpaksa mencari tempat lain untuk belajar. Rumah aku walaupun tidak besar mana tapi ada juga ruang untuk aku belajar. Oleh kerana televisyen di letak di ruangan menghala ke dapur, aku biasanya akan ke ruang depan rumah untuk belajar tanpa gangguan. Ruang depan rumah didirikan di atas tiang sementara ruang kawasan dapur di lantai simen. Dari ruang depan rumah nak keruangan menghala ke dapur perlu menuruni anak tangga.

Hidup bermasyarakat di kampung tidak ada konsep privasi. Semuanya dikongsi atas dasar sama sekampung. Konsep itu nampaknya semakin hari semakin luntur apabila teknologi menjadi semakin murah dan individu bersikap lebih individualistik.

Aku masih ingat lagi bagaimana ketika rumah kamu belum ada peti sejuk. Jika  ada ikan atau daging yang perlu disimpan di peti sejuk emak akan menumpangkan di peti sejuk  di rumah mak cik Emboh sepupu emak.  Mak Cik Emboh adalah ibu kepada Hamidon yang setiap pagi bersama dengan aku menunggu bas sekolah seperti yang aku ceritakan tadi.Menumpang barangan di peti sejuk   rumah jiran mungkin tidak berlaku di zaman sekarang. Kami hanya berhenti menumpang menyimpan di peti sejuk Mak Cik Emboh apabila emak menadapat hadiah peti sejuk dari salah seorang adik beradik kami.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.