Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret emosi
23/1/2019 13:11:02
73,313
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 2

Alam Persekolahan

Aku masuk sekolah darjah 1 pada tahun 1970.Sekolah Kebangsaan Sungai Raya Muar yang terletak kira-kira 6 batu atau 9 km dari Bandar Muar. Sebaik sahaja aku memulakan alam persekolahan, emak menghantar aku tinggal dengan nenek  di kampung untuk memudahkan aku ke sekolah. Kalau aku tinggal di estet agak sukaruntuk aku ke sekolah kerana jarak yang agak jauh dari estet ke sekolah rendah yang paling hampir, Sekolah Kebangsaan  Paya Panjang. Walaupun jarak dari kawasan pendudukan kami di estet tidaklah begitu jauh, sekitar 5 atau 6 kilometer kedalam tetapi jalannya tidak berturap. Jalan tambak merah yang berdebu ketika musim panas dan lecak ketika musim hujan.

Tidak ada perkhidmatan bas atau teksi yang masuk ke kawasan penempatan kami yang dipanggil Kongsi Baru.  Ada empat  kawasan penempatan pekerja di Ladang Craigielea yang dikenali dengan  Kongsi1, Kongsi 2, Kongsi Baru dan Batu 15. Setiap kongsi mengandungi  berek-berek penempatan dengan Kongsi Baru mempunyai penempatan paling besar sekitar 200 orang penduduk.Jarak diantara satu Kongsi dengan yang lain lebih kurang 3 atau 4 kilometer yang dihubungkan dengan jalan tambak merah di celah-celah kebun getah.

Penduduk Craigielea Estate kebanyakkannya berbelanja di Pekan Bukit Pasir, pekan yang paling hampir dengan Craigielea. Aku ingat salah satu aktiviti yang ditunggu ialah mengikut abah naik kereta teksi sapu ke Pekan Bukit Pasir untuk berbelanja barang dapur sebulan sekali. Selepas  aku mulab ersekolah  berpindah  ke kampung untuk tinggal bersama nenek  walaupun emak dan abah terus menetap di Craigielea Estate.

Memasuki alam baru persekolahan membawa aku lari dari dunia Geli-Geli Estet. Kalau dulu aku cuma berkawan dengan anak-anak pekerja ladang kali ini pergaulan aku lebih luas. Aku mula rasa keseronokan tinggal di kampung bersama dengan nenek yang aku panggil atuk.Peliknya orang Johor terutamanya orang Muar ketika itu yang tidak membezakan nenek dan atuk. Semuanya dipanggil atuk tak kira lelaki mahupun wanita.

Sebelum tahun 1970  sistem pendidikan negara peninggalan penjajah membahagikan sekolah kepada dua aliran Melayu dan Inggeris., tidak termasuk sekolah-sekolahyang mengekalkan bahasa Ibunda seperti sekolah China dan Tamil. Sekolah aliran Inggeris biasanya terletak di bandar-bandar manakala sekolah kolah aliran Melayu atau Sekolah Kebangsaan terletak di kampung-kampung.

Sekolah Sungai Raya agak unik kerana menempatkan dua sekolah yang berlainan aliran sebelah menyebelah.Kedua-dua sekolah berkongsi  dipagar ioleh pagar yang sama malahan turut berkongsi padang. Tetapi kami mempunyai bangunan bilik darjah yang berbeza dan guru besar yang berbeza. Kantin juga berbeza. Keadaan kantin dan bangunan bilik darjah untuk sekolah aliran Inggeris lebih baik keadaanya berbanding dengan sekolah Kebangsaan yang keadaan bilik darjah dan kantinnya agak daif.Kalau dulu di Afrika Selatan kita pernah dengar sIstem apartheid, sebenarnya aku dah alami pengasingan manusia mengikut darjat dan keturunan sejak dari darjah 1 lagi.

Keadaan dua sekolah dalam kawasan pagar yang sama, berkongsi padang tetapi terpisah kantin dan sistem pembelajaran berterusan sehingga sekitar tahun 1972 atau 1973 apabila sekolah Sungai Raya aliran Inggeris berpindah ke tempat baru berhampiran pekan Bukit Pasir. Sekolah itu sekarang menjadi SRI Bukit Pasir. Kami pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Raya akhirnya dapat menggunakan kemudah bilik darjah yang lebih elok yang ditinggalkan oleh Sekolah  Inggeris. Kami juga akhirnya ada dua kantin yang kami boleh pilih untuk pergi ketika waktu rehat.

Ketika negara mengamalkan dua sistem pendidikan Inggeris dan Melayu, abah memilih untuk mendaftarkan aku ke Sekolah aliran Melayu kerana yuran di sekolah aliran Melayu lebih murah. Bagi golongan Melayu yang agak berada seperti guru, kerani atau orang yang agak berharta akan mendaftarkan anak mereka ke sekolah Inggeris. Ada juga  sepupu  emak yang mempunyai ramai anak yang memilih mendaftarkan anak lelaki ke sekolah Inggeris dan anak perempuan ke sekolah Melayu untuk menjimatkan perbelanjaan. Bila difikirkan semula, perbuatan mendiskriminasi anak-anak mengikut jantina menggambarkan sikap sesetengah bapa yang lebih mengutamakan anak lelaki. Mereka yang bersekolah Inggeris mempunyai peluang yang lebih cerah dalam kerjaya berbanding kami di Sekolah Melayu.

Untuk kita faham latarbelakang sistem pendidikan negara adalah lebih baik jika kita tinjau sedikit sejarah pendidikan negara dan perubahan yang berlaku.Sebagaimana yang dinyatakan tadi sistem pendiidikan negara dibahagikan kepada dua oleh penjajah British kerana mereka mempunyai matlamat tersendiri bagi mengekalkan kuasa kolonialisma  mereka. Orang yang tinggal di bandar mendapat kelebihan belajar dalam aliran Inggeris kerana pada peringkat awal banyak sekolah yang ditubuhkan oleh mubaligh-mubaligh Kristian yang bertujuan menyebarkan ugama mereka. Sekolah aliran Inggeris ini juga bertujuan menyediakan tenaga kerja di peringkat perkeranian atau pengurusan pertengahan di syarikat-syarikat milik British pada ketika itu.Oleh kerana orang bukan Melayu yang ramai menetap di kawasan bandar, secara tak langsung ibu bapa mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Inggeris.

Orang Melayu kebanyakkanya tinggal di kampung-kampung. Mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu. Bagi lulusan sekolah Melayu, jawatan tertinggi dalam perkhidmatan kerajaan yang mereka mampu pergi ialah menjadi guru.

Rusuhan kaum 13 Mei 1969 memberikan peluang kepada Allahyarham Tun Abdul Razak untuk membetulkan ketidakadilan dalam sistem pendidikan negara dengan memperkenalkan sekolah satu aliran, iaitu aliran Kebangsaan walaupun sekolah bahasa ibunda masih dikekalkan.Allahyarham Tun Razak juga yang memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang memberi sumbangan yang amat besar kepada aku untuk lari dari belenggu kemiskinan.

Kami yang masuk kelas 1 tahun 1970 merupakan generasi pertama yang belajar menggunakan satu aliran, bukanl agi dipecahkan kepada aliran Inggeris dan Melayu. Namun perasaan perjudis terhadap pelajar-pelajar aliran Melayu masih berkekalan ketika kami masuk sekolah sepertimana yang aku ceritakan tadi.

Abah seorang yang berwawasan walaupun dia tidak berpendidikan tinggi. Pada ketika itu, tak pernah terdengar prasekolah atau taska. Kami semua merasa pengalaman menjejak kaki ke alam persekolahan untuk kali  pertama hanya ketika masuk ke darjah 1. Tapi abah seorang yang begitu prihatin terhadap masa depan anaknya. Abah menggunakan inisiatifnya sendiri telah membuat papan hitam dan mengupah seorang ‘guru’ mengajar aku mengenal huruf dan membaca sebelum aku masuk ke sekolah lagi.Abah dah gunakan konsep 'home schooling' atau belajar dari rumah sejak tahun 1969 lagi.

Aku masih ingat bagaimana abah pada satu hari membawa balik ke rumah  papan atau plywood yang agak lebar yang aku tak tahu dia jumpa dari mana. Kemungkinan besar dari tapak pembinaan. Dia mengecat papan itu dengan cat hitam. Selepas cat itu kering aku dihadiahkan abah dengan papan hitam. Abah beli kapur tulis dan meminta seorang kakak untuk mengajaraku.Aku boleh membaca dan menulis serta mengira pada umur 5 atau 6 tahun, satu pencapaian yang mungkin biasa kepada anak-anak zaman sekarang tetapi sesuatu yang amat luar biasa pada ketika itu.

Aku masih ingat hari pertama aku masuk sekolah. Walaupun aku tak pernah masuk tadika atau pra sekolah tapi aku begitu yakin semasa di sekolah.Tidak menangis seperti ramai yang lain. Pada ketika itu masih ada pelajar yang masuk darjah 1 belum ada uniform sekolah.Masuk ke darjah 1 memakai baju berwarna warni, macam nak ke majlis jamuan hariraya di sekolah. Salah seorang yang aku masih ingat tidak memakai uniform sekolah ialah sahabatku Ali yang sekarang ini telah menjadi guru besar di salah sebuah sekolah di Melaka. Aku duduk di sebelah meja dengan Ali.Aku amat yakin pada tahun 2019 ini Cikgu Ali tak jumpa pelajar yang masuk darjah satu dengan memakai kemeja T seperti Cikgu Ali pada tahun 1970 dulu.

Satu hari di awal-awal persekolahan aku memberitahu Ali, “ Awak, saya dah pandai bilang satu sampai seratus” , kata aku dengan nada bangga dan terus mengira nombor satu hingga seratus. Kebetulan pada masa aku mengira guru darjah berjalan ke meja tempat kami duduk. Mendengar aku mengira satu hingga ke seratus dia berhenti berjalan dan mendengar dengan teliti cara aku mengira. Kemudiannya dia suruh aku ulang semula kiraan aku. Dari air mukanya dia begitu teruja melihat budak darjah 1 boleh mengira satu hingga seratus. Mungkin dia jarang atau tak pernah berjumpa pelajar ‘sebijak’ aku .

Aku bukanlah seorang yang kuat secara fizikalnya. Tubuhku kecil dan lemah, mungkin kerana kekurangan zat tapi Allah kurniakan otak yang agak bijak. Banyak peristiwa yang lucu dan sedih berlaku selama enam tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya Muar.

Antara peristiwa yang tak dapat aku lupakan ialah aku terjatuh semasa membawa mi goreng yang dipesan oleh cikgu.Dulu cikgu-cikgu di sekolah selalu meminta tolong pelajar yang boleh diharapkan untuk ke kantin dan memesan makanan bagi pihak guru dan membawa makanan yang dipesan ke bilik rehat guru yang terletak agak jauh dari kantin.

Satu hari aku diarahkan oleh seorang guru untuk memesan mi goreng dari kantin. Dalam perjalanan membawa sepinggan mi goreng ke bilik rehat guru entah macam mana aku tersepak batu dan terjatuh. Rasa malu dikerumuni oleh pelajar-pelajar lain yang ramai sebab pada masa itu waktu rehat.

Tiba-tiba ada seorang pelajar yang menjerit, “ Mohammad lukalah, ada darah kat atas bibir dia,” kata pelajar itu. Aku rasa hairan sebab aku tak rasa sakit atau pedih walapun dikatakan aku luka. Rupa-rupanya yang disangka darah ialah lada merah yang di dalam mi goreng yang melekat di atas bibir aku.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.