Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret emosi
23/1/2019 13:11:02
73,039
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 5

Disorok hantu

Membesar di kampung adalah pengalaman yang cukup manis dan indah dalam hidupku. Aku membesar di kampung emak. Kampung Batu 6 ( lebih tepat lagi Batu 5 3/4)) Bukit Pasir Muar. Abah telah membina rumah yang sederhana saiznya di tapak rumah aku dilahirkan. Aku tak ingat pada tahun berapa abah membina rumah itu.Mungkin sekitar tahun 1968 atau 1969. Aku masih ingat abah berdiri di tepi tingkap dan berkata ‘ Nanti kita duduk rumah ni dengan mak’. Seingat aku, adik aku yang nombor dua belum dilahirkan ketika itu. Aku ada 5 adik beradik dan aku anak sulung.

Sebaik sahaja aku masuk ke darjah 1, emak membuat keputusan menghantar aku tinggal di kampung bersama dengan nenek yang aku panggil atuk . Emak dan abah duduk di Geli-Geli Estet.Nenek menjagaaku dengan baik  bagai menatang minyak yang penuh. Maklumlah, cucu pertama dia.

Seminggu sekali, emak dan abah akan balik ke kampung dan menghantar makanan serta wang belanja persekolahan. Nenek juga mengajar anak-anak kampung mengaji AlQuran. Setiap malam ramai  anak-anak kampung yang datang ke rumah untuk belajar mengaji AlQuran.

Tinggal di kampung dikelilingi jiran-jiran yang ada pertalian keluarga. Kiri dan kanan semuanya sepupu emak. Orang kampung Batu 6 kebanyakannya berkerja sebagai penoreh getah. Ada segelintir yang berkerja kerajaan sebagai buruh kasar atau sekarang dikenali sebagai pekerja am.Seingat aku tidak ada yang memegang jawatan tinggi seperti doktor atau jurutera pada ketika itu. Guru adalah jawatan tertinggi yang  disandang oleh orang Kampung Batu 6. Berbeza dengan generasi sekarang. Anak-anak Batu 6 ada yang memegang ijazah Phd,berkerja sebagai Pengurus Bank dan pelbagai jawatan yang tak pernah termimpi mampu dicapai pada tahun 1970 dulu.

Di kampung pada ketika itu cuma ada sebuah rumah sahaja yang mampu memiliki peti televisyen. Pada masa itu seingat aku cuma ada satu saluran saja, RTM. Tidak seperti sekarang dengan ratusan saluran melalui stesen televisyen berbayar. Semua orang kampung akan berkunjung ke rumah Pak Long Kahar untuk menonton televisyen terutamanya ketika tayangan filem Melayu seminggu sekali. Rumah Pak Long Kahar seolah-olah panggung wayang. Setiap yang masuk ke rumah terpaksa membayar 10 sen seorang untuk menonton filem Melayu. Seingat aku pada malam lain tidak pula dikenakan bayaran.

Televisyen di rumah Pak Long Kahar adalah televisyen menggunakan CRT (Cathode Ray Tube) jenis lama yang cukup berat. Televisyen itu agak uzur, mungkin dah betukar tuan beberapa kali sebelum menetap di rumah Pak Long Kahar.Apabila televisyen itu dipasang  akan kedengaran suara dulu. Selang beberapa saat kemudian barulah gambar kelihatan. Jika dipasang terlalu lama, televisyen akan menghantar isyarat untuk berehat. Gambar akan menjadi bengkang-bengkok dan televisyen akan dimatikan untuk beberapa minit sebelum dipasang semula. Kononnya takut televisyen itu akan meletup kerana terlampau panas jika dibiarkan terpasang berterusan.Bayangkan kekecewaan kami apabila tuan rumah mematikan televisyen ketika kami sedang seronok menghayati adegan di dalam filem Melayu yang ditayangkan. Dulu filem ditayangkan tanpa iklan. Tetapi filem akan dihentikan untuk berita dan disambung selepas tamat siaran berita. Semasa berita, televisyen akan dimatikan untuk memberi peluang televisyen ‘berehat’. Jika ada laporan Parlimen, penantian kami akan lebih lama. Bayangkan filem yang ditayangkan bermula pada pukul 10 malam kadang-kala akan tamat selepas 12 tengah malam. Kadang-kadang kami terpaksa menunggu begitu lama untuk filem disambungkan selepas berita sedangkan baki filem yang tinggal Cuma 5 atau 10 minit saja lagi.Sebaik sahaja tamat tayangan filem, sibuklah emak-emak dan ayah-ayah mengejutkan anak-anak mereka yang dah tertidur untuk balik. Pada masa itu kebanyakan kami hanya berjalan kaki atau berbasikal sahaja. Jarang yang mampu membeli motorsikal, apatah lagi kereta seperti sekarang.Sebaik sahaja habis tayangan kami berduyun-duyun balik berjalan kaki ke rumah masing-masing.Ada yang mendukung anak yang tengah tidur, ada yang bersembang kosong sebelum sampai ke rumah.

Untuk beberapa hari berikutnya topik perbualan kami ketika bersembang ialah mengulas adegan-adegan dalam filem yang baru kami tonton, terutamanya filem-filem P. Ramlee. Mungkin di zaman kanak-kanak tidak banyak perkara yang boleh dibincangkan. Jika ada adegan yang lucu dan mencuit hati di dalam filem kami akan mengulas sambil ramai-ramai tertawa mengingatkan gelagat pelakon-pelakon filem.

Pada hari-hari lain kami juga menonton rancangan televisyen di rumah Pak Long Kahar. Kebanyakan program televisyen pada ketika itu terdiri dari siri-siri televisyen Berbahasa Inggeris. Antaranya yang aku ingat ialah, The three Stooges, Voyage to the Bottom of the Sea, The Man from UNCLE  dan bermacam cerita yang lain. Sesekali ada juga filem Hindustan. Namun, bilangan penonton tidak seramai ketika tayangan gambar Melayu.

Pak Long Kahar tuan rumah televisyen  juga bomoh yang mengubat orang sakit. Aku kerap kali melihat dia mengubat orang dengan menurun.Ketika dia menurun dia tak sedarkan diri dan bersuara garau, seolah-olah menjadi orang lain. Kami kanak-kanak pada masa itu memang rasa kagum dengan keupayaan PakLong Kahar itu. Apatah lagi di mata kami Pak Long Kahar orang kaya kerana mampu memiliki set televisyen walaupun set televisyen buruk dan selalu meragam.

Selang beberapa tahun kemudian keadaan menjadi lebih baik apabila beberapa buah rumah lagi di kampung mula memiliki televisyen. Antaranya rumah Pak Cik Usop bekas tentera dan rumah Pak Nin tukang gunting rambut.Ketika itu kami kurang ke rumah Pak Long Kahar tapi lebih ke rumah Pak Cik  Usop yang lebih selesa. Televisyennya pun lebih baik dari di rumah Pak Long Kahar.

Pada ketika itu, sekitar tahun1972 atau 1973 RTM menyiarkan siri  Jepun yang dialih bahasa ke Bahasa Melayu. Antara siri kegemaran kami budak-budak   termasuklah siri Giant Robot dan Ultraman.

Malangya waktu siaran tidak sesuai sebab hampir sangat dengan waktu Maghrib. Nenek aku amat tidak suka kami pergi ke rumah Pak Cik Usop di waktu Maghrib. Selain menganggu tuan rumah,nenek juga tidak gemar apabila kesemua anak murid kelas Al Quran dia akan ponteng kelas.

Satu hari, aku minta izin dari nenek untuk bersama-sama dengan kawan-kawan pergi ke rumah Pak Cik Usop untuk menonton televisyen sedangkan pada masa itu waktu Maghrib dah hampir masuk. Aku berkeras juga untuk pergi kerana ramai sudah kawan-kawan yang menunggu di luar rumah untuk mengajak aku pergi sekali.

Melihat kedegilan aku, nenek aku memanggil Pak Ngah Timan yang rumahnya terletak tidak jauh dari rumah aku. Pak Ngah Timan, sepupu emak amat-amat digeruni oleh semua budak-budak di kampung itu kerana dia garang. “ Timan, tengok budak ni tak nak mengaji. Nak gi tengokTV.”

Mendengar nenek memanggil nama Pak Ngah Timan, aku serta merta melompat masuk ke bawah dapur untuk bersembunyi. Dulu orang memasak menggunakan kayu api. Kebetulannya tidak banyak kayu api yang tinggal di bawah tempat memasak, sedang elok untuk aku masuk menyembunyikan diri.

Aku mendengar suara Pak NgahTiman dan nenek bertanya ‘ Nampak Mohamad tak? “ Aku dengar dengan jelas jawapan dari kawan-kawan aku di luar rumah mengatakan mereka tak nampak aku.

Lama kelamaan aku tidak mendengar lagi suara sesiapa di luar sana. Nak keluar dari tempat persembunyian rasa takut. Mahu tak mahu aku terus membisu mendiamkan diri di bawah dapur.Aku tak tahu berapa lama aku berada di bawah dapur sehingga aku tengok nenek mengambil wudhu di bilik air yang setentang dengan dapur. Sebaik sahaja nenek beredar untuk mendirikan solat aku keluar dari tempat persembunyian dan duduk dibelakang nenek.

Sebaik sahaja nenek selesai memberi salam di tahhiyat akhir dia merasa amat terkejut apabila dia melihat aku berada di belakang dia. Serta merta dia menjerit memanggil orang kampung  dan memaklumkan yang aku telah dijumpai.

Rupa-rupanya aku telah bersembunyi  agak lama di bawah dapur.Puas penduduk satu kampung mencari aku.Mereka pergi ke rumah Pak cik Usop aku tak ada. Setelah mencari beberapa lama , Busu Yassin salah seorang dari penduduk kampung dalam pasukan mencari dan menyelamat itu mencadangkan supaya melihat di bawah dapur tapi aku tidak ada di situ. Persoalannya, di manakah aku pada ketika itu? Mustahil bepuluh pasang mata gagal melihat aku duduk ditempat meletak kayu api  yang tak besar manapun. Sehingga sekarang aku masih gagal menghurai salah satu misteri terbesar dalam hidupku.

Setelah gagal mencari aku, orang kampung pun bersurai. Nenek mengambil Wudhu untuk Solat Isyak . Ketika itulah baru aku dapat melihat nenek. Orang kampung yang mencari aku tak pula aku nampak.

Satu lagi peristiwa yang aku tidak lupa ialah pemergian Allahyarham P. Ramlee pada tahun 1973. Aku dimaklumkan berita kematian P. Ramlee oleh Rahim, dua pupu dengan aku.Pada masa itu aku dalam darjah 4.

Berhampiran dengan rumah aku ada nenek saudara aku yang aku panggil Tok Eda. Toka Eda tidak ada suami dan anak.Dia tinggal seorang diri. Berita kematian P. Ramlee memang mengejutkan semua orang tetapi Tok Eda peminat tegar P.Ramlee. Kesedihannya melebihi orang-orang kampung yang lain. Selama lebih kurang seminggu dari tarikh kematian P. Ramlee setiap akhbar menyiarkan cerita berkaitan dengan P. Ramlee. Tok Eda tidak pandai membaca. Dia meminta kawan aku yang aku dah lupa nama untuk membeli semua suratkhabar yang ada menyiarkan kisah P. RamleeBukit Pasir . Tok Eda meminta aku membacakan berita berkaitan dengan P.Ramlee. Sambil aku membaca akhbar berita tentang P. Ramlee Tok Eda menangis teresak-esak sambil mengesat air mata. Rasanya zaman sekarang susah nak cari peminat artis setegar Tok Eda

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.