Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret emosi
23/1/2019 13:11:02
73,025
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 7

Masuk Pertandingan

Ketika aku  dalam darjah 2 pada tahun 1971 aku memasuki pertandingan antara sekolah buat pertama kali dalam hidup.Aku masuk Pertandingan Membaca Ikrar Rukunegara.

Sedikit latarbelakang bagaimana terbentuknya Rukunegara.

Selepas peristiwa berdarah 13Mei, 1969 Tun Abdul Razak dan pasukan pemikirnya di bawah MAGERAN (MajlisGerakan Negara)  cuba mengenal pasti punca tercetusnya pergaduhan kaum itu. Antara punca yang mencetuskan pergaduhan kaum ialah tidak seimbangnya pengagihan kek ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera. Lanjutan dari itu maka Tun Abdul Razak merangka  Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan membetulkan ketidak seimbangan ini.  Dasar Ekonomi Baru adalah dasar ekonomi yang mempunyai serampang dua mata, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Aku tak berhasrat nak bercerita panjang lebar tentang Dasar Ekonomi Baru. Nanti buku ini  akan jadi buku ekonomi bukannya buku autobiografi.Telah banyak perbincangan dan tulisan tentang Dasar Ekonomi Baru yang telah pun tamat tempoh perlaksanaannya pada tahun 1990 dulu.

Ramai  yang sedar dan tahu tentang Dasar Ekonomi Baru(DEB) tetapi tidak ramai yang sedar tentang sejarah bermulanya Rukunegara.Rukunegara dilancarkan hampir serentak dengan pelancaran DEB pada tahun 1970. Rukunegara dibentuk kerana Allahyarham Tun Abdul Razak merasakan masyarakat Malaysia pada ketika itu kurang jati diri dan lebih berfikir sebagai orang Melayu, Cina,India dan bangsa-bangsa lain dan tidak berfikir sebagai rakyat Malaysia .Rukunegara dirangka berasaskan Pancasila Indonesia.

Berlatarbelakang semangat nasionalisma yang berkobar-kobar pada awal 70an itu kerajaan mengubah banyak dasar bagi memperkukuhkan jati diri rakyat Malaysia amnya dan orang Melayuk hasnya.Ketika itu aku masih ingat lagi ada pak cik yang bertanya kepada abah, “Atan,anak masuk sekolah Melayu ke Sekolah Inggeris?”.  Abah menjawab “ Sekolah Melayu aja,”. Pak cik tu menjawab “ Sekarang sama aja dah sekolah Melayu ke Sekolah Inggeris ke dah sama taraf.” Tegas pak cik itu. Tak tahulah samada jawapan dia sekadar ingin mengambil hati abah atau memang dia merasakan begitu.

Satu pagi ketika cikgu sedang mengajar di dalam kelas, ada kakak pengawas yang mengetuk pintu bilik darjah dan meminta izin guru yang mengajar ketika itu membawa aku keluar kelas sebentar. Aku dibawa oleh kakak pengawas berjumpa dengan seorang guru yang aku dah lupa. Kalau tak silap aku dibawa berjumpa dengan Cikgu Long. (Tentu pembaca masih ingat Cikgu Long yang sentiasa meminta rokok daun dari pak cik tukang kebun yang aku pernah ceritakan dalam bab yang lepas)

Cikgu Long memaklumkan aku dipilih untuk masuk ke Pertandingan Membaca Ikrar Rukunegara yang akan diadakan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan(SRJK) Cina Yu Jern yang terletak di pekan Bukit Pasir, kira-kira 2 kilometer dari sekolah aku.

Sebenarnya pertandingan itu ada dua kategori. Kategori pertama untuk pelajar-pelajar darjah 1 hingga darjah 3.Kategori kedua untuk pelajar-pelajar darjah 4 hingga darjah 6. Walaupun pada ketika itu aku  baru darjah 2 tapi cikgu memilih aku untuk bertanding. Mungkin pelajar lain dalam darjah 3 difikirkan tidak layak untuk bertanding mengikut penilaian cikgu. Untuk kategori darjah 4 hingga darjah 6 diwakili seorang kakak dari darjah 6 yang aku pun dah lupa namanya.

Kami berdua diminta menghafal teks yang agak panjang. Dulu teks berkaitan Rukunegara biasa dicetak di kulit belakang buku latihan.Dulu versi yang dicetak di belakang buku latihan bermula dengan ayat  ‘Bahwa sanya kami rakyat Malaysia berikrar…..’

Selepas mukadimmah 3 peranggan yang agak panjang barulah ikrar Rukunegara mula dibaca

Ikrar Rukunegara berbunyi

Maka Kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut

1.       Kepercayaan kepada Tuhan

2.       Kesetiaan kepada Raja dan Negara

3.       Keluhuran Perlembagaan

4.       Kedaulatan Undang-undang

5.       Kesopanan dan Kesusilaan

 

Pada mulanya kami diminta olehcikgu menghafal keseluruhan teks bermula dari “ Bahawasanya kami rakyat Malaysia……… sehingga ayat terakhir ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.

Untuk seorang budak yang baru berusia 8 tahun, bukan mudah untuk aku menghafal perkataan-perkataan dan ayat-ayat di dalam teks itu. Tambahan pula pada usia 8 tahun aku tak faham pun apa yang aku hafalkan. Oleh kerana cikgu telah mengarahkan aku untuk menghafal, mahu tak mahu aku cuba yang terbaik walapun sukar.

Selang beberapa hari kemudian,kami dapat berita baik. Ada orang memaklumkan kepada cikgu kamu tak perlu menghafal teks itu secara keseluruhan. Kami hanya perlu menghafal bermula dari ayat  “ Maka kami rakyat Malaysia…”bukannya keseluruhan teks.

Berita itu aku dan kakak darjah 6 sambut dengan kelegaan. Kurang sedikit beban kami untuk menghafal.

Sebaik sahaja kami berjaya menghafal 5 prinsip Rukunegara, kami dilatih pula oleh cikgu untuk membuat persembahan.Kami tidak boleh berdiri kaku di depan khalayak ramai. Kakak darjah 6 dilatih oleh guru berbeza.

Aku dah lupa nama guru yang melatih aku. Tapi apa yang aku ingat, aku cuma diajar untuk naik ke pentas,tunduk hormat kepada penonton, mengangkat tangan kanan dan membaca ikrar. Cikgu yang melatih kakak darjah 6 menggunakan pendekatan yang berbeza. Kakak itu diminta bermain dengan tona suara, tinggi dan rendah, melakukan aksi ketika diatas pentas dan pelbagai aksi lagi. Mungkin sesuai dengan usia dia yang tinggi sikit dari usia aku.

Pada hari pertandingan kami berdua di bawa naik kereta cikgu ke SRJK Cina Yu Jern Bukit Pasir. Kami diminta oleh cikgu memakai pakaian sekolah yang paling cantik yang kami ada. Aku berdebar melihat begitu ramai peserta yang akan bertanding.

Bila sampai giliran aku, aku naik ke pentas dan mengucap salam kepada penonton di bawah. Itulah kali pertama aku bercakap menggunakan mikrofon. Sebaik sahaja aku mengucap salam, suara aku bergema ke seluruh dewan. Satu perasaan janggal dalam diri aku bila aku bercakap, suara aku  keluar dari ‘speaker’menyebabkan aku tak boleh meneruskan lagi ikrar aku.

Aku jadi gugup dah hilang semua yang aku hafal dengan baik sebelum ini. Sehingga sekarang aku tidak ingat samada aku berjaya menghabiskan lafaz ikrar Rukunegara itu atau tidak semasa melangkah turun dari pentas. Aku pun tak ingat aku di kedudukan yang ke berapa dalam pertandingan itu.

Rasanya kakak darjah 6 itu dapat keputusan yang lebih baik walaupun kami bertanding dalam kategori berbeza. Apa yang aku tahu kami berdua tidak layak bertanding ke peringkat yang seterusnya.

Satu lagi peristiwa yang aku tidak dapat lupakan ialah pengalaman menyambut Hari Kebangsaan  Peringkat Daerah yang diadakan di rumah Pegawai Daerah Muar, di Tanjung Emas.

Aku diantara 3 pelajar sekolah aku yang dipilih cikgu mewakili Sekolah Kebangsaan Sungai Raya ke majlis itu.Cikgu Haliza (masih ingat tak cikgu Haliza yang cantik tu?) ditugaskan untuk membawa kami ke Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Muar . Kami bertiga dibawa oleh cikgu Haliza bermalam di rumahnya. Aku dengan seorang pelajar lelaki yang aku dah lupa namanya dan seorang pelajar perempuan diambil oleh Cikgu Haliza dari rumah masing-masing.

Seingat aku setibanya kami di rumah Cikgu Haliza, Cikgu Haliza telah menyediakan bilik untuk aku dan rakan aku di tingkat atas rumah dia. Kawan perempuan pula di bawa ke bilik yang berasingan. Sampai sahaja di rumah cikgu, cikgu terus memberi taklimat kepada kami bertiga tentang program kami selama satu malam di rumah cikgu. Cikgu telah mengatur jadual untuk kami solat, berehat, study dan menonton televisyen. Itulah pendedahan kali pertama dalam hidup aku tentang adanya masa untuk study,untuk makan dan sebagainya. Sebelum ini memang aku tak pernah tahu bahawa ada masa untuk belajar sebab aku tak pernah pun buka buku sebaik sahaja balik dari sekolah.

Petang itu kami dibawa oleh Cikgu Haliza dengan keretanya melihat Bandar Muar. Kami rasa teruja melihat Bandar Muar.Bukannya jauh sangat pun rumah aku dari Bandar Muar, cuma 6  batu atau lebih kurang 9 kilometer sahaja tetapi masa itu dapat melihat Bandar Muar agaknya macam dapat melihat kota London atau Paris.

Cikgu Haliza juga menunjukkan sekolah dia dulu, Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar atau lebih dikenali dengan panggilan SABGS (Sultan Abu Bakar Girls School).

Keesokan paginya kami dibawa oleh Cikgu Haliza ke rumah Pegawai Daerah Muar untuk sambutan Hari Kebangsaan .Ketika itu aku betul-betul merasa seperti rusa masuk kampung. Aku melihat disekeliling aku ramai pelajar-pelajar yang sebaya dengan aku (8 atau 9 tahun)yang bertutur menggunakan Bahasa Inggeris sesama  mereka. Aku betul-betul merasa rendah diri dengan apa yang aku lihat. Aku dapati pelajar-pelajar dari bandar lebih berkeyakinan tinggi berbanding kami yang dari kampung walaupun jaraknya Cuma 6 atau 7 batu sahaja antara satu sama lain.

Aku kemudiannya mendapat tahu dari cikgu yang pelajar-pelajar itu ramai datang dari Sekolah Sultan Ismail 1 yang dulunya menggunakan bahasa pengantar Bahasa Inggeris. Balik dari menimba pengalaman baru aku berazam untuk memperbaii diriku agar setanding dengan pelajar dari Sekolah Sultan Ismail 1

 

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.