Home Buku Kisah Hidup Dari Estet ke United States
Dari Estet ke United States
Pencoret emosi
23/1/2019 13:11:02
73,308
Kategori: Buku
Genre: Kisah Hidup
Bab 12

Bab 12

Kenangan di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya

Sebelum aku menceritakan pengalaman bersekolah di sekolah menengah, aku ingin menceritakan banyak pengalaman menarik semasa aku bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya.

Banyak peristiwa manis, lucu,pahit yang aku dan kawan-kawan rasai sepanjang 6 tahun kami bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya .Antara perkara lucu yang aku masih ingat sampai sekarang ialah peristiwa aku membasuh pemadam papan hitam.

Semasa aku dalam darjah 2 atau darjah 3 ( aku dah tak ingat tarikh sebenar_, di dalam kelas aku ada pelajar yang lewat daftar. Dia mendaftar masuk ke sekolah mungkin pada usia 10 atau 11 tahun. Nama pelajar itu Shahdan. Shahdan dimasukkan ke dalam kelas kami walaupun usianya mungkin 11 atau 12 tahun berbanding kami yang rata-rata berusia 8 tahun.

Oleh kerana tubuh Shahdan agak besar berbanding dengan kami, dia kerap kali diharapkan oleh cikgu untuk menjalankan tugas seperti membantu cikgu mengangkat buku latihan masuk ke bilik darjah dan membersihkan pemadam.

Satu hari Shahdan tidak hadir ke sekolah.Aku diminta oleh cikgu membersihkan pemadam papan hitam. Dulu cikgu mengajar menggunakan papan hitam dan kapur. Istilah papan hitam itu macam kurang tepat sebab sebenarnya papan hitam itu berwarna kehijaun. Setelah menulis di papan hitam, cikgu akan menggunakan pemadam untuk memadam. Apabila digunakan untuk tempoh yang agak lama pemadam tidak akan berkesan untuk memadam tulisan di papan hitam kerana debu kapur yang telah banyak melekat di pemadam. Pemadam perlu di tepuk di tempat lain, biasanya di longkang supaya debu kapur tulisan yang melekat di pemadam akan tanggal dan pemadam boleh digunakan dengan berkesan lagi.

Sebaik sahaja cikgu meminta aku membersihkan pemadam papan hitam aku tidak tahu langsung apa yang aku patut buat. Selama ini tugas itu  dilakukan oleh Shahdan. Aku bertindak mengikut lojik akal.Aku pergi ke tandas dan mencuci pemadam dengan air. Sebaik sahaja aku membawa semula pemadam yang telah siap ‘dicuci’ ke dalam kelas semua kawan-kawan sekelas mentertawakan aku. Malunya tak boleh nak cakap. Kerja semudah itu pun aku tak tahu. Tapi cikgu tidak marah. Dia cuma menyuruh aku menjemur pemadam yang basah di bawah cahaya matahari sehingga kering.Pada hari itu aku belajar satu pelajaran penting, pemadam papan hitam tIdak perlu dibasuh.

Aku juga diberi peranan di sekolah bermula dari peringkat bawah sehingga dilantik menjadi ketua pengawas semasa dalam darjah 6.

Salah satu tugas aku ialah menaikkan bendera semasa perhimpunan mingguan sekolah. Ada dua orang pelajar yang terlibat pada satu-satu masa. Aku biasanya ditugaskan menaikkan bendera Malaysia sementara seorang pelajar perempuan yang aku dah lupa namanya menaikkan bendera negeri Johor.Semasa menaikkan bendera Malaysia pelajar-pelajar menyanyikan lagu Negaraku. Walaupun tugas mennaikkan bendera bukanlah susah sangat tetapi perlu juga kemahiran tertentu. Rahsia menaikkan bendera ialah menaikkan perlahan-lahan dan melajukan apabila lagu telah sampai ke penghujung.Kita tidak mahu bendera telah sampai ke puncak tetapi lagu belum habis dinyanyikan.

Salah satu peristiwa yang aku tidak lupa ialah bila aku ditegur oleh Guru Besar semasa mengikat bendera. Aku dan kawan aku meletakkan bendera di atas tanah sebelum membuka tali ikatan di tiang bendera untuk kami ikat bendera. Perbuatan kami ditegur oleh besar kerana dikatakan tidak menghormati bendera negara. Guru besar mengingatkan kami yang bendera adalah maruah negara dan jangan sesekali di letak di atas tanah tetapi mesti diletak ditempat yang tinggi. Pesanan guru besar aku ingat sampai sekarang.

Sekitar tahun 73 atau 74 sekolah menerima televisyen untuk kegunaan pelajar-pelajar menonton rancangan TV Pendidikan. Apabila TV Pendidikan mula diperkenalkan, kami pelajar-pelajar dibawa menonton mengikut darjah. Walaupun rancangan TV Pendidikan pada ketika itu bukanlah menarik sangat dengan televisyen hitam putih tetapi menonton rancangan TV Pendidikan adalah salah satu aktiviti yang kami semua tunggu.Sekurang-kurangya peluang menonton rancangan TV Pendidikan membolehkan kami lari dari rutin di dalam bilik darjah yang membosankan. Kami akan diarahkan beratur dan dibawa ke bilik tontonan. Aku ingat lagi pada ketika itu kadangkala kami terpaksa menunggu dengan agak lama sebelum rancangan bermula. Semasa menunggu di dalam bilik tontonan kami tidak berbuat apa-apa kecuali berbual sesama sendiri.Mungkin dahulu   susunan rancangan tidak dimaklumkan kepada cikgu dengan lebih tepat berbanding dengan zaman sekarang.

Walaupun satu-satunya set televisyen di sekolah itu sepatutnya digunakan untuk menonton siaran televisyen Pendidikan tetapi kadang-kadang kemudahan itu disalah gunakan oleh guru-guru sendiri. Aku masih ingat lagi pada ketika itu kerap kali juga RTM menyiarkan siaran langsung pertandingan tinju melibatkan petinju terkenal Muhammad Ali. Jika ada pertandingan tinju hampir  semua guru akan meninggalkan bilik darjah dan berhimpun di bilik tv untuk menonton pertandingan tinju. Pelajar-pelajar dibiarkan sendirian di dalam bilik darjah masing-masing.

Pernah sekali aku bersama dengan kawan baik aku teringin sangat menonton perlawanan tinju tetapi pelajar-pelajar tidak dibenarkan masuk. Aku dan Othman memberanikan diri pergi ke bilik tontonan dan mengintai-intai dari luar. Terdengar sorak sorai cikgu-cikgu di dalam bilik tontonan sedangkan aku dan Othman hanya mampu mendengar suara sahaja di luar bilik. Entah macam mana salah seorang guru tersedar kehadiran kami. Kami berdua tidak dimarahi cikgu tetapi dibenarkan oleh cikgu untuk bersama-sama menonton perlawanan  tinju itu. Apabila kami menceritakan pengalaman kami menonton perlawanan tinju bersama-sama dengan cikgu di bilik tontonan kami berdua menjadi bahan iri hati rakan-rakan yang lain.

Satu lagi perisitwa yang aku tidak boleh lupakan semasa bersekolah apabila cikgu hampir hilang kepercayaan kepada aku. Perisitiwa itu berlaku ketika aku dalam darjah 6.

Peraturan sekolah menetapkan ketika waktu rehat pelajar-pelajar tidak dibenarkan berada di dalam bilik darjah. Pengawas ditugaskan mengawal bilik darjah ketika waktu rehat. Aku sebagai pengawas memang ditugaskan menjaga bilik darjah.

Pada satu hari seorang pelajar mengadu kepada cikgu dia kehilangan wang sebanyak Lima Ringgit. Pada masa itu amat jarang pelajar membawa wang ke sekolah sebanyak itu. Selepas menerima aduan cikgu mula menjalankan siasatan. Oleh kerana aku sahaja yang berada di bilik darjah ketika waktu rehat, cikgu mula mengesyaki aku yang mengambil duit itu dari beg pelajar berkenaan. Aku sendiri dapat rasakan cikgu mula mengesyakki aku dari cara cikgu bertanya.

Allah masih melindungi aku apabila seoarang pelajar mengaku dia nampak  Ramli membeli makanan di kantin sewaktu rehat menggunakan wang Lima Ringgit. Seperti yang aku katakan tadi, pada ketika itu amat jarang pelajar sekolah membawa wang sebanyak itu. Paling banyak pun 10 sen atau 20 sen. Setelah mendapat maklumat dari pelajar berkenaaan cikgu terus menyoal Ramli dan akhirnya Ramli mengaku dia mencuri wang Lima Ringgit itu.Nama baik aku selamat dari dicemari oleh peristiwa itu.( Nama Ramli bukan nama sebenar untuk melindungi privasi individu berkenaan).

Aku memang gemar membaca. Semua buku di dalam perpustakaan kecil di sekolah habis aku baca. Aku juga gemar membaca akhbar Mingguan Utusan Pelajar. Aku masih ingat lagi ketika tinggal dengan keluarga Pak Long Ahmad, aku akan mengayuh basikal setiap petang Rabu ke Pekan Bukit Pasir untuk membeli akhbar Utusan Pelajar.Pada ketika itu hanya ada sebuah kedai India yang menjual akhbar termasuk Utusan Pelajar.

Aku juga gemar mengumpul komik.Setiap kali aku mengikut abah ke Bandar Muar perkara pertama yang aku beli ialah komik. Pada ketika itu antara komik kegilaan pelajar termasuklah komik Bujal. Walaupun abah bukan orang yang berada tetapi dia tahu aku amat minat membaca komik dan tidak pernah menghampakan aku.

Seperti yang pernah aku ceritakan dulu, aku kerap kali mendapat nombor 1 ketika peperiksaan. Bila cikgu tanya apa hadiah yang aku dapat kerana mendapat tempat pertama dalam peperiksaan,kebiasaannya aku jawab tak dapat apa-apa. Cuma ada sekali atau dua kali abah dan emak menghadiahkan aku kerana mendapat tempat pertama. Mak pernah menghadiahkan aku dengan  sebuah basikal.

Ada sekali aku memberitahu abah aku ingin makan nasi beriani sebagai hadiah mendapat tempat pertama. Abah membawa aku dan adik ke Bandar Muar untuk meraikan kejayaan aku mendapat tempat pertama. Masa itu kami ke Bandar dengan menaiki bas sebab abah tidak ada kenderaan sendiri. Puas satu Bandar Muar kami berjalan namun tidak berjumpa pun kedai menjual nasi beriani. Aku dan adik aku sudah keletihan. Seingat aku semasa peristiwa ini emak tidak ikut serta. Oleh kerana terlalu letih berjalan satu Bandar Muar mencari nasi beriani tetapi tak jumpa aku mencadangkan kepada abah untuk makan di mana –mana kedai makan, tak perlu mencari kedai nasi beriani. Tapi abah tetap ingin mencari nasi beriani. Akhirnya kami jumpa juga dengan kedai yang menjual nasi beriani. Terlihat kepuasan di wajah abah apabila berjaya menyempurnakan hajat aku untuk makan nasi beriani. Walaupun kalau dizaman sekarang terlalu mudah untuk aku mencari makanan yang aku hendak tetapi setiap kali aku makan nasi beriani aku teringat peristiwa itu. Betapa susah payahnya abah demi untuk anak-anak.

Aku ingat semasa dalam darjah 6 sempena perayaan Hari Guru pihak sekolah meraikan dengan pelbagai aktivti. Salah satu aktiviti ialah pentomin. Aku turut berlakon di dalam pentomin memegang watak sebagai orang kaya yang berlagak. Cikgu Rashid meminta aku membawa baju yang paling cantik yang aku ada sesuai dengan watak orang kaya. Apabila aku membawa baju yang paling cantik yang aku ada, cikgu Rashid tidak berpuas hati sebab baju aku tidak cukup ‘ cantik’ untuk menggambarkan watak orang kaya. Dengan pertolongan rakan-rakan lain, aku berjaya meminjam baju dari kawan-kawan yang lebih cantik dan sesuai dengan watak aku sebagai orang kaya.Berlagaklah aku sebagai orang kaya dengan baju yang dipinjam
Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.