Home Alternatif Alternatif Menganggur Bukan Alasan Untuk Tidak Berwang
Menganggur Bukan Alasan Untuk Tidak Berwang
Atie Atiya
28/6/2015 11:15:14
8,432
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
Senarai Bab
-1-
 

                                         Menganggur Bukan Alasan Untuk Tidak Berwang

                                                     Realisasikan imiginasi menjadi realiti.

                                                                       -Atie Atiya-


                                   “Sesungguhnya bersama setiap kesulitan ada kemudahan”

                                                                    SURAH AL-INSYIRAH

                                                                           -Ayat 6-


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kerana menjadikan tulisan ini sebagai bahan bacaan anda. Tulisan ini dikarang bagi membantu anda merancang status kewangan sebelum tamat belajar. Tulisan ini juga mengandungi beberapa contoh pekerjaan yang boleh membantu anda mendapatkan wang ketika berstatus penganggur.

Seseorang yang bergelar mahasiswa atau pelajar perlu memandang perihal kewangan ini secara serius. Perancangan yang rapi perlu anda titipkan ketika masih bergelar mahasiswa. Ini kerana, cara anda berbelanja ketika masih bergelar mahasiswa akan menentukan status kewangan anda ketika sudah tamat belajar.

Percaya atau tidak ketika era pengangguran anda akan merasai kesempitan wang kerana masih tidak mempunyai pekerjaan. Masa ini barulah anda mula mahu menyesal kerana tidak menggunakan wang sebaiknya ketika masih bergelar mahasiswa.

Berstatus sebagai seorang penganggur bukanlah satu perkara yang mudah untuk digalas. Status ini amat membebankan fikiran graduan yang baru sahaja menamatkan pelajaran. Pertanyaan daripada orang sekeliling tentang bilakah kita akan mendapat pekerjaan menjadikan fikiran bertambah kusut.

Peristiwa 1

“Saadah, bila kamu nak bekerja? Mak cik tengok dah dekat setahun lebih kamu dekat rumah,”tanya jiran sebelah rumah.

“Ermm.. Tak tahu lagi mak cik.. Belum ada panggilan..”

“Anak Mak Som kamu dah dapat kerja tau.. Baru sahaja habis belajar.. Mudah dia dapat kerja.. Keputusan dia elok.. Pandai orangnya..”

Peristiwa 2

“Eh,kamu ni tak kerja-kerja lagi ke? Bukan ke dah lama kamu habis belajar?”

“Belum,pak cik..”

“Kamu buat apa masa belajar dulu? Main-main? Kalau keputusan kamu bagus mesti

kamu dah dapat kerja ni..”

Peristiwa 3

“Ayah, Along nak duit boleh? Nak ke kedai..”

“Duit-duit… Kalau kamu kerja kan senang.. Adik kamu tu ramai lagi yang nak pakai

duit ayah.. Kamu carilah kerja,” nasihat ayah.

Walhal duit yang diminta adalah untuk membeli akhbar untuk melihat iklan-iklan kerja kosong.

Hati mula terasa. Padahal keputusan peperiksaan anda selalu mendapat anugerah dekan. Anda bukannya tidak pandai. Hati mula menjauh. Terasa kekurangan diri disebabkan orang tidak nampak kelebihan anda. Mereka tidak pernah melihat keputusan anda di dalam peperiksaan. Tapi, takkanlah anda nak pamer depan-depan muka mereka tentang keputusan yang anda dapat itu.

“Ya Allah.. Sedihnya hati ini.. Aku telah berusaha sebaik mungkin ketika belajar.. Bukakanlah pintu rezekiku…”

Setelah berbulan lamanya menunggu permohonan pekerjaan kita diluluskan, surat hutang pinjaman pelajaran mula datang menuntut. Fikiran yang dah kusut semakin kusut. Keperluan harian semakin meningkat. Baju sudah semakin lusuh, kasut sudah terkoyak. Mahu diganti baru, tetapi poket kosong. Sekarang, surat hutang sudah sampai. Mana nak cari wang? Dahlah, hutang wajib dibayar. Aduhaii…

Disebabkan tidak mempunyai pendapatan, belanja harian terpaksa ditanggung oleh ibu bapa. Lama-kelamaan rasa segan mula menyelubungi diri.

“Kasihan mak dan abah.. Sepatutnya aku yang memberi mereka duit belanja ketika ini.. Sudah sampai masanya untuk mereka berehat.. Ini aku pula yang menghabiskan duit mereka.”Air mata mula menitis meratapi nasib diri yang tidak bergaji.

Impak daripada status menganggur ini sangat berat. Seseorang itu mungkin akan kehilangan keyakinan diri dan berada di dalam kemurungan. Apa yang dipelajari di universiti dahulu mungkin lama kelamaan akan hilang di dalam ingatan disebabkan anda tidak beramal dengannya.

Sampai bilakah impak ini harus menguasai diri anda? Jangan biarkan ia menguasai anda! Kerana apa? Kerana anda adalah seorang yang hebat! Anda tahu apa kehebatan anda. Maka, anda harus tonjolkan ia. Inilah masanya untuk anda menyerlah! Janganlah anda biarkan kata-kata orang yang mengguris hati anda terus melemahkan anda. Anda harus bangkit. Jadikan kata-kata mereka sebagai peransang untuk anda bangun melangkah menuju kejayaan.

Berterima kasihlah kepada mereka yang mengutuk diri anda yang berstatus penganggur. Pandanglah kutukan mereka daripada sudut positif. Jangan marahkan mereka kerana secara realiti anda memang seorang penganggur. Anda perlu terima hakikat itu.

Setiap manusia yang dilahirkan dikurniakan akal fikiran dan kebolehan tersendiri. Termasuklah diri anda. Jika anda tidak yakin tentang hal ini, maka orang sekeliling akan terus bercerita tentang anda. Jadi,ayuhlah keluar daripada kepompong kesedihan yang telah lama menyelubungi diri anda. Pasang azam yang kukuh kedalam jiwa anda. Simpan ia kemas-kemas. Jangan sampai ia terlepas dan hanyut di bawa arus kehidupan. Tetapkan azam tentang apa yang harus anda capai ketika ini. Pasang imiginasi di dalam minda dan jadikan ia realiti melalui perbuatan dan usaha anda.

Percayalah, imiginasi yang baik dan membina akan mempengaruhi usaha anda. Semakin kuat daya imiginasi anda, semakin kuat keinginanan anda untuk berusaha mencapainya. Jangan pula anda jadikan ia seperti angan-angan Mat Jenin.

Jika suatu saat anda rasakan anda sudah penat berusaha dan seakan rasa mahu mengalah, pandanglah kembali imiginasi atau impian yang pernah anda bina suatu ketika dahulu. Bayangkan kemanisan kejayaan yang bakal anda perolehi jika teruskan berusaha. Usaha,usaha dan terus berusaha.

Previous:
Next: -2-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.