Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,553
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

MATA Megat ketara merahnya. Seumpama biji saga. Itulah bahananya malam tadi dia berjaga sampai ke pagi gara-gara gangguan daripada Emily dan Nona yang masuk ke dalam mimpinya silih ganti setiap kali dia cuba menutup mata.

            “Kau tengok si wierdo tu, pagi-pagi dah lepas gian.” Jenny meletuskan kata-kata sindiran tatkala Megat melewati mejanya. Selepas Emily, dialah orang nombor dua yang paling menyampah dengan Megat. Kadang-kala juga, dia seperti terlebih sudu daripada kuah. Entah apa salah Megat kepadanya? Megat sendiri tidak pasti.

            “Itulah, berpada-pada lah kut kalau nak layan kepala pun. Kita pun layan kepala jugak, tapi tunggulah malam-malam sikit. Ni tak sempat malam, pagi-pagi dah layan.” Jess di sebelahnya menambah perisa. Nama sebenarnya Jason, tapi mengada-ngada mahu dikenali sebagai Jess. Penyokong kuat si Sajat dia ni. Kalau si Sajat tu sedap jugalah mata memandang, ada juga bentuk badannya. Tapi dia ni macam badak berendam. Kalau dah berDNA Sajat, pasti juga si Jess ni suka menunjuk-nunjuk bagaikan dialah primadona di kolej itu. Mulut si nyah seorang ini  boleh tahan juga puakanya. Dah idolanya Diva AA, memang copy pastelah juga orangnya.

            “Lepas gian? Layan kepala?”Alicia yang lurus bendul mengerut dahinya.

            Jenny segera membuat isyarat seumpama seorang doktor melakukan suntikan ke lengannya.

            “Aku still tak faham.” Alicia menggaru-garu kepalanya yang pada hakikatnya tiada kutu.

            “Hissy! Apalah dungu sangat kau ni? Drug addict!” Jess, bab menokok memang ringan mulutnya.

            “Drug addict?” Alicia antara terkejut dan sangsi.

            “Yalah, kalau mata dah merah macam itu, apa lagi?” terjuih-juih mulut Jess demi meyakinkan Alicia.

            “Kau ni Alicia,  patut pergi Low Yatt balik nanti. Tambah RAM otak kau tu, biar laju sikit!” sindir Jenny pula.

            “I agree!” Sahut Jess.

            Apa kata Jenny memang akan disokong oleh Jess. Begitulah sebaliknya. Memang mereka berdua agak rapat dan susah untuk dipisahkan. Kalau nak dibandingkan dengan Emily pun, Jenny lebih rapat dengan Jess. Sampaikan tidurpun pernah sekatil. Begitu sekali tahap kepercayaan Jenny terhadap Jess. Dia tak tahu sebenarnya waktu dia tidur, Jess mengambil kesempatan menatap setiap inci tubuhnya. Kemudian si sotong itu melampias nafsu berahinya dengan berfantasi di dalam bilik air. Luak jugaklah sabun mandi dikerjakannya. Kalau dah jantan, takkan hilang syahwatnya.

            “Tapi banyak sebab lain lagi kan mata boleh jadi merah?” Alicia meluahkan kesangsiannya.

            “Hissy kau ni, Alicia. Jangan jadi tonggong sangat! Memang sah dia tu ambik dadah!” Jess jadi bengang bila Alicia masih cuba menyangkal kata-katanya dan Jenny.

             Sememangnya itulah habuan yang selalu Alicia dapat setiap hari. Tapi, apa yang diterima daripada Emily lagi teruk. Kalau tak maki, kena caci. Kena herdik tu dah jadi macam makanan rujinya.  Tak cukup dengan itu, Emily, Jenny dan Jess  juga menjadikannya seperti keldai atau balaci.Namun, dia redha aje sebab terlalu obsess dengan kepopularan Emily, Jenny dan Jess di kolej itu. Berada di sisi Emily, Jenny dan Jess sememangnya satu impian kepadanya. Sebelum bersama dengan trio itu, dia hanya dipandang sebagai seorang gadis geek  yang menyemak mata sahaja di kolej itu.

            Alicia mengukir sengih, pura-pura dia bersetuju dengan pandangan Jenny dan Jess. Dia tidak mahu dua pembuli itu meradang. Namun, jauh di sudut hatinya masih ada rasa skeptikal. Dalam bodoh-bodohnya, dia masih peka dengan orang di sekitarnya. Pada hematnya, Megat bukan begitu orangnya.

           Megat melabuh sauh punggungnya pada kerusi. Seperti biasa, di meja paling ceruk di dalam kelas itu. Kelas pagi itu pun bermula. Namun, Megat menerawang ke dunia yang lain.

           Apa makna gangguan-gangguan malam tadi? Takkan semua itu hanya mimpi? Mimpi takkan datang secepat aku menutup mata! Bersilih ganti pulak tu.

           Apakah ianya satu petanda?

           Tanpa sedar jemari Megat telah mencoret kata-kata itu pada lembaran notanya.

           “Petanda? Petanda apa pulak ni Megat?”

            Megat tersentak bila mendengar suara teguran itu. Bola matanya kemudian terkebil-kebil apabila semua orang sedang mentertawakannya. Semua mata di dalam kelas itu juga mengarah kepadanya.

            “Err… tak ada apa-apa Encik David,” cepat-cepat dia membalas pertanyaan pensyarahnya yang sudah berdiri di sisi mejanya.

             “Awak ni Megat… sampai ke dunia mana sudah awak mengembara?” Encik David menggeleng-geleng kepalanya dengan senyuman. Dalam ramai-ramai pensyarah, Encik Davidlah satu-satunya yang paling friendly dengan Megat.

            Makin galak suara ketawa didengari, seolah melupakan seketika kesuraman berita kehilangan Emily.

            “Err… maaf, Encik David,” ungkap Megat dengan malu-malu.

             Encik David sekadar melebarkan lagi senyumannya sebelum berlalu kehadapan kelas semula. Sememangnya dia memahami karekter Megat.

             Dengan malu-malu, Megat membetulkan dudukannya.

             Di satu sudut yang lain pula, satu pandagan masih terhala ke arah Megat.

             So Adorable…

             Gadis berkaca mata tebal itu berbisik sepi, seakan tertawan dengan persona Megat yang kemerahan pipi saat itu.


USAI kelas tengah hari itu, Megat terus menapak ke arah port rahsianya. Walaupun fikirannya masih dihantui perasaan seram dengan kejadian semalam, sudah tiada tempat lain lagi di kolej itu boleh ditujuinya. Stadium mini itulah satu-satunya tempat yang paling terpencil saat itu sebab tak mungkin ada pelajar yang akan datang bermain bola di situ kala matahari tegak di atas kepala.

             Sauh punggung dilabuhnya ke bangku konkrit dengan pandangan mata melilau ke sekeliling. Sudah semesti rasa seram masih menghambatnya. Tabiat selalunya kemudian diulang, namun sudah tertekad di kepalanya satu perkara.Matanya takkan ditutup hari itu walaupun sekuat manapun rasa mengantuk menghasut.

             Itu kata fikirannya, tapi matanya tak kata begitu. Perlahan-lahan kelopak matanya meruyup, dan secepat adiwira The Flash, Emily dan Nona dating menjenguknya.

              “What the heck!”

              Dia melompat dari baringan. Bola matanya berputar ke sekeliling. Sama juga seperti semalam, tiada sesiapapun di situ. Yang ada hanyalah bangku konkrit, bumbung grandstand, padang bola berumput tiruan dan tiang gol. Sesekali, ada juga angina datang menjengah.

             Dia melabuh semula punggungnya. Rasa terkejut tadi beransur-ansur kendur. Rasa seram juga entah mengapa tidak muncul kali ini. Barangkali rasa itu sudah menjadi lali. Manakan tidak lali? Bila berulang kali disergah benda yang sama, lama-lama dah tak rasa apa-apa lagi.

             Apakah Emily dan Nona cuba memberitahu aku sesuatu?

             Terdetik persoalan itu di fikiran Megat.

             Tapi mengapa aku?

              Fikirannya kini berperang pula dengan rasa was-was.

             Apakah aku ada kuasa psi…

            Kata hati itu tergendala. Lantas tangannya menaip di laman Google.


Difinisi: 1 berkaitan dengan jiwa atau minda manusia. 2 berkaitan dengan fikiran atau fenomena yang tidak dapat dijelaskan oleh hukum alam, seperti mempunyai kekuatan dalaman yang luar biasa atau mempunyai kebolehan meramal sesuatu yang akan berlaku: kuasa -3 orang yang mempunyai kebolehan, seperti kekuatan dalaman yang luar biasa atau yang boleh meramal sesuatu yang akan berlaku. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)


            Tertera maksud perkataan psikik di skrin telefonnya. Kamus Pelajar Edisi Kedua sebagai sumber rujukan. Kalau dah difinisi itu datang daripada sumber yang boleh dipercayai, takkan mahu dipertikaikan lagi.

            Dia melepaskan satu dengusan.

            Betulkah aku mempunyai kuasa psikik? Bagaimana pula aku bolehmemiliki kuasa ini? Kenapa sekarang dan sebelum ini tak?  Persoalan-persoalan itu seperti peluru muncul di benak fikirnya.

            Adakah kerana kemalangan itu?

            Satu kemungkinan kemudian melintas di fikirannya.

            “Kalau betul aku memiliki kuasa psikik, balik nanti aku akan buktikannya!” Kata-kata itu akhirnya menjadi konklusi sementara untuk menenangkan fikirannya yang sedang bercelaru itu.

 

TAMAT waktu kolej petang itu, Megat tidak terus balik ke rumah. Dia melencong ke lokasi dia menjumpai rantai leher ketika berjoging petang semalam.

            Kalau betul rantai itu milik Nona dan Nona ingin memberitahunya sesuatu, pasti jawapannya ada disekitar itu! Megat membuat hipotesis. Keraguannya mahu segera dihapuskan dengan satu bukti.

            Tiba di lokasi itu,dia melilaukan matanya untuk menjejak rantai itu kembali. Sepanjang perjalanan ke situ tadi, hatinya tidak putus-putus berdoa moga-moga rantai itu masih ada di sekitar itu. Doanya dimakbulkan.

            Rantai leher itu masih ada di situ. Pantas dia mengambil rantai itu. Dia menggenggam rantai itu buat seketika. Serentak dengan itu, dia memejamkan matanya.

            Tiba-tiba...

            Meow!

            Muncul suara seekor kucing yang nadanya seperti merintih. Kemudian perlahan-lahan muncul seekor kucing parsi berwarna putih di layar gelap matanya.

            Nona!

            Megat memanggil nama itu demi memastikan kucing itu benar-benatr Nona.

            Meow! Meow!

            Kucing parsi gebu-gabas berwarna putih itu  seakan menyahut penggilan Megat dan dia datang menggeser-geser badannya pada kaki Megat. Seketika kemudian kucing itu seperti mengajak Megat ke arah sebuah longkang.

            Megat membuka matanya semula. Serentak itu bayang kucing parsi berwarna putih tadi hilang dari pandangnya. Hidungnya kemudian menangkap bau busuk bawaan angin yang bertiup ketika itu. Bau seakan bangkai. Pandangannya segera mencari arah longkang yang dilihat dalam bayangan sebentar tadi. Akhirnya, kedudukan longkang itu dapat dijejaknya.

            Dalam debar dia mengatur langkah kakinya ke arah longkang itu, lebih kurang 50 meter  dari tempat dia menjumpai rantai leher tadi. Semakin hampir dia dengan longkang itu, semakin kuat bau busuk dihidunya. Tidak tertahan dengan bau itu, dia menekup hidungnya.

            Akhirnya dia tiba betil-betul di tepi longkang. Longkang itu agak besar dan dalam. Bau busuk semakin menusup. Dengan berhati-hati dia memanjangkan lehernya untuk menjenguk apa yang ada di dalam longkang itu.

            Ya Tuhan! 

            Dia sangat tergamam dengan apa yang dilihatnya. Sekujur tubuh seekor kucing berwarna putih yang sudah kembung perutnya.

            Nona… bisik hatinya sayu. Sememang itulah kucing yang dilihatnya dalam bayangan tadi.

            Betulkah ini,Tuhan?

            Walaupun masih bersisa keraguan di hati, tetapi mungkin itulah jawapan yang dicarinya.

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan