Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,522
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

SIAPA Emily? Dan mengapa dia begitu popular di Kolej Segi itu? Nama penuhnya ialah Emily Rose McWilson, seorang gadis kacukan Melayu-Scotland. Cukup jelita, berambut blonde dan bermata biru mengikut genetik ayahnya. Pelajar di jurusan Seni dan Reka Bentuk Kreatif. Paras rupa dan lampainya cukup melayakkan dia bergelar model sambilan dan laris menghiasi ruang majalah dan billboard.Cukup terkenal dengan penampilan dan gaya rangginya yang sentiasa berfesyen up-to-date sehinggakan digelar ikon fesyen di kolej itu.

            Bagaimana dia hilang? Seminggu yang lalu, dia bersama Jenny, Jess dan Alicia pergi menonton Konsert Marathon K-pop di Stadium Melawati, Shah Alam. Dalam kesesakan penonton, dia tiba-tiba gagal dikesan. CCTV di sekitar stadium juga hilang jejaknya. Hanya visual ketika dia mula masuk ke stadium sahaja kelihatan.

            Inspektor Razif dilanda kebuntuan. Sudah berpuluh-puluh kali dia meneliti rakaman CCTV yang diperolehinya daripada pihak pengurusan Stadium Melawati. Namun, dia masih belum ketemu apa-apa petunjuk. Lantas dia membuat keputusan untuk sekali lagi ke Kolej Segi, mencari apa-apa yang dia terlepas pandang. Fokusnya kepada Jenny, Alicia dan Jess kerana tiga sahabat itu menjadi orang yang terakhir bersama Emily.

            Satu pertemuan telah diatur Inspektor Razif di Kafe kolej. Tamat kelas tengah hari tu, Jenny, Alicia dan Jess terus ke lokasi itu.

            “Selamat tengah hari semua,” ucap Inspektor Razif yang sudah beberapa minit menunggu.

            “Selamat tengah hari, tuan,” sahut Jenny, Alicia dan Jess serentak. Seraya mereka melabuh punggung ke kerusi mengadap Inspektor Razif.

            “Okey, maaf saya terpaksa mengambil sedikit masa  untuk menyoal kamu bertiga sekali lagi,” kata Inspektor Razif. Riak wajahnya tenang, cukup untuk menjelaskan betapa pengalamannya yang luas.

            Sebelum ini sesi soal siasat kali pertama telah berjalan di Balai Polis Kota Damansara sewaktu tiga sahabat itu membuat laporan kehilangan Emily selepas 24 jam Emily tidak pulang ke rumah sewa mereka.

            “Tak mengapa. Kami faham, tuan sedang menjalankan tugas.” Jenny membalas berbasa-basi, walaupun pada hakikatnya dia rimas dengan situasi begitu. Lagi tepat, dia agak gemuruh.Selama ini, situasi sebegitu hanya ditontonnya di layar tv atau pawagam. Tapi kini dia harus hadap situasi itu. Baru dia faham perasaan gemuruh itu. Mahu tak gemuruh, kalau tersilap cakap tak pasal-pasal akan dicop orang yang disyaki.

            “Saya tak nak membuang masa kamu, jadi soalan pertama saya… Emily ada teman lelaki?”

            “Ada, tuan.” Alicia pantas membuka mulutnya.

            Jawapannya itu pantas juga mengundang rasa kurang senang kepada Jenny.Jenny merenung tajam ke arah Alicia, seperti satu signal.

            “Siapa?”

           “Err… namanya… namanya… Alex.” Tutur kata Alicia tiba-tiba sahaja jadi tersekat-sekat kerana baru tersedar betapa dia sudah terlanjur kata. Bak kata orang-orang tua, terlajak perahu boleh diundur, tapi kalau dah terlajak kata mana mahu diundur lagi. Dia terlupa arahan Jenny supaya tidak melibatkan Alex dalam hal itu. Cerlangan Jenny terhadap Alicia menjadi semakin tajam.

           “Rakan sekelas kamu?” Inspektor Razif terus menyusun soalannya.Ternyata, jawapan Alicia itu memberi sinar cahaya dalam menerangi terowong kebuntuannya kerana mengikut stastik kes kehilangan remaja beberapa tahun yang lalu mencatatkan lebih 2000 kes mempunyai perkaitan dengan orang yang dikenali si mangsa, terutamanya kekasih.

           “Err… bukan, dia senior kami.” Tergagap suara Alicia kini.  Rasa serba-salahnya kian berat. Kalau dia tidak menjawab soalan itu, apa pula persepsi Inspektor Razif kepadanya? Takut juga dia dituduh cuba menyembunyikan maklumat. Mahu tak mahu harus juga dia menjawab.

           “Tapi tuan, waktu kejadian Alex berada di Australia. Pastinya dia tak ada kena-mengena dengan kehilangan Emily.” Jenny pantas cuba menyingkirkan Alex dari kes itu selepas signal yang diberinya tidak dipatuhi oleh Alicia.

           “Walaupun dia ada alibi sekalipun, saya harus siasat dari semua aspek. Maklumat sebegini sangat penting.” Inspektor Razif menegas. Dalam fikirannya mula merasakan ada sesuatu yang cuba dirahsiakan.

           Jenny akur. Jess masih mengunci mulutnya, sedikit bertentangan dengan perangai sebenarnya yang suka kepoh. Barangkali kerana sebelum datang berjumpa dengan Inspektor Razif tadi, Jenny sudah memberi amaran supaya mengehad mulutnya dan semestinya tidak melibatkan Alex dalam hal itu.

           “Sejauh mana hubungan mereka?”

           “Maksud tuan, intim?” Soal Jenny.

           “Maksud saya, adakah hubungan mereka itu sudah lama atau baru? Tapi memandangkan kamu dah menyebut perkataan itu, adakah hubungan mereka sampai ke tahap itu?”

           “Err… itu, kami tak pasti tuan,” jawab Jenny walaupun pada hakikatnya Alex dan Emily sudah sampai ke tahap itu. Entah apa yang mahu dirahsiakannya? Sedangkan, di kolej itu sudah terang lagi bersuluh hubungan antara dua remaja itu sudah berlangsung sejak Emily mula mendaftar di kolej itu lagi. Perkenalan pandangan pertama kata orang. Waktu itu Alex berperanan sebagai salah seorang petugas di kaunter pendaftaran pelajar baru.

          “Jadi bermaksud hubungan mereka itu barulah, begitu?”

          “Err... ya, tuan.” Jenny kini mengawal sesi soal siasat itu. Alicia mahu tak mahu terpaksa mengunci mulutnya selepas dicerlang mata oleh Jenny walaupun banyak yang dia tahu sebenarnya.

          “Hmmm… sebelum kehilangan Emily, ada kamu bertiga lihat mereka berdua bergaduh?” Soal Inspektor Razif lagi selepas mencatat maklumat terdahulu yang diberi oleh Jenny pada buku notanya.

          Alicia seperti mahu membuka mulutnya kembali, tapi cepat-cepat kakinya disepak oleh Jess di bawah meja.

          “Tak ada tuan, hubungan mereka baik-baik sahaja.” Jenny menjawab dengan pantas. Alicia menunduk sedikit kepalanya seperti hampa.

         “Okey, selain Alex… Emily ada rapat dengan sesiapa lagi?” Inspektor Razif terus dengan soalan lanjutnya. Semakin dalam cuba dikorek.

          “Selain Alex, dia cuma rapat dengan kami bertiga.”

          “Bagaimana dengan musuh, ada dia bermusuh dengan sesiapa di sini?”

          “Err… setahu kami, tak ada. Cuma ada seorang pelajar yang dia cukup tak suka.”

          “Siapa?”

          “Nama pelajar itu Megat!”

          Terkejut Alicia dengan penjelasan Jenny itu. Jess juga meyakinkan dakwaan itu dengan bersungguh mengangguk kepalanya.

          “Err…tapi tuan, Megat bukan bermusuh dengan Emily. Emily tak suka kepada Megat hanya kerana Megat pernah menumpahkan minuman ke atas bajunya, itu aje. Kejadian itupun berlaku secara tidak sengaja. Lagipun Megat itu orangnya pendiam, dan selalu mengelak daripada orang lain.” Alicia tidak dapat membendung lagi rasa hatinya. Kebenaran harus dijelaskan.

          Pasti kata-kata Alicia itu membangkitkan kembali rasa bengang kepada Jenny dan Jess.

          “Saya tidak fikir kejadian itu tak sengaja, tuan. Saya rasa Megat itu ada menaruh rasa marah kepada Emily. Sebab itu, dia tumpahkan minuman itu ke atas baju Emily.” Jenny cuba menyangkal kenyataan Alicia sebentar tadi.

         “Marah?” Inspektor Razif mengerut sedikit dahinya. Ternyata perkataan marah itu menarik perhatiannya kerana banyak-banyak kes yang dikendalikannya sebelum ini bermotifkan perkataan itulah. Tak menunggu lama, terus dia mencatat perkataan itu sebagai nota pentingnya.

         “Ya, tuan. Megat pasti ada menaruh rasa marah terhadap Emily, sebab Emily selalu melempar kata-kata sinis kepadanya.” Jess seperti biasa menjadi pengadu domba bagi pihak Jenny. Tak perlu diberi signal oleh Jenny, dia faham dengan sendiri tugasnya.

          “Kata-kata sinis yang bagaimana?” Inspektor Razif semakin serius.

          “Err… seperti, Emily menggelarnya weirdo.”

           “Weirdo?” Dahi Inspektor Razif sekali lagi berkerut.

           “Ya, tuan. Weirdo! Atau maksudnya si pelik yang jelik!

           “Sebab apa Emily menggelarnya begitu?” Inspektor Razif menjadi lebih serius.

           “Sebab Megat ni seorang yang aneh. Dia tak suka bergaul dengan sesiapa. Dia macam dalam dunia dia sendiri.”

           “Pernah Megat melakukan sesuatu yang pelik di kolej ini?” Ternyata Inspektor Razif berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang diri Megat.

           “Hah, ada tuan! Pagi tadi dia ada mintak barang kepunyaan Emily daripada Alicia. Katanya, dia ada kuasa psikik dapat lihat bayangan Emily. Saya rasa dia itu gilalah, tuan. Seorang yang psikopat!” jelas Jess bersungguh-sungguh dengan mimik wajahnya sekali.

           “Kuasa psikik?” Terbit senyum sinis di tubir bibir Inspektor Razif.

           “Ya, tuan. Dia cakap dia ada kuasa psikik. Tapi kami tak percaya dia ada kuasa sebegitu. Entah-entah dia yang sembunyikan Emily di mana-mana, lepas itu berpura-pura konon-konon dia ada kuasa psikik dan tahu di mana Emily berada. Saya fikir dia itu mahukan perhatian daripada semua orang, sebab selama ini tiada siapa yang pedulikan dia.”         Jenny menokok. Semakin keras tuduhannya.

           Tergamam Alicia mendengar kenyataan yang tiada asas Jenny dan Jess itu. Kenyataan mereka berdua itu baginya tidak lebih  hanya menyerkap jarang kerana hati masing-masing telah disaluti perasaan benci terhadap Megat. Namun, tiada daya untuk dia membangkang kerana takut Jenny dan Jess naik angin dengannya.

           “Banyak tengok movie kut dia tu.” Senyum sinis di bibir Inspektor Razif makin lebar sambil menggeleng-geleng kepalanya. Sememang susah untuk sesiapa sahaja mempercayai perkara itu.

           “Saya pun rasa begitu.” Jenny menyokong. Jess pula mengangguk-angguk kepalanya.

           “Apa-apapun saya tak boleh ketepikan dia. Di mana saya boleh berjumpa Megat?” Inspektor Razif menulis nama Megat dalam buku notanya.

          “Kalau waktu-waktu macam ini, dia tidur kat stadium. Di situlah dia selalu memencilkan dirinya,” jelas Jenny lancar. Sememangnya semua orang di kolej itu tahu di mana Megat berada kala itu, walaupun ironinya dia menganggap lokasi itu tempat rahsianya.

          “Saya juga mahu berjumpa dengan Alex,” tingkah Inspektor Razif lagi.

          Jenny kembali ditebak dengan rasa serba-salah bila nama Alex diungkit kembali.

          “Err, Alex masih di Australia tuan,” jawab Jenny dengan air muka yang berubah.

          “Kalau begitu saya jumpa dia selepas dia pulang ke Malaysia nanti. Hmmm, ada apa-apa lagi yang kamu bertiga ingin kongsikan dengan saya?” ujarI nspektor Razif dengan soalan terakhirnya. Seperti juga dia berpuas hati dengan sesi soal siasat itu.

          “Err… dah tak ada apa-apa, tuan. Apa yang kami tahu, semua dah kami jelaskan.” Jenny mewakili tiga sahabat itu. Sememangnya dia mahu segera menoktahkan sesi soal siasat itu.

         “Kalau begitu, terima kasih saya ucapkan kepada kamu bertiga kerana memberi kerjasama kepada saya,” ucap Inspektor Razif. Dia juga mahu segera ke stadium mencari Megat pula, alang-alang dia sudah berada di kolej itu.

         “Sama-sama, tuan.” Jenny dan Jess membalas serentak. Alicia sekadar mengukir senyum. Daripada senyuman kelatnya, ternyata dia memendam rasa kerana kata-kata yang tak terluah. Lambat-lambat kemudian dia bangun untuk mengekori Jenny dan Jess yang cepat-cepat mahu beredar meninggalkan kafe itu.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan