Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,528
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 18

INSPEKTOR Razif mengambil keputusan untuk mengunjungi Stadium Melawati, lokasi terakhir Emily dilihat pada pagi itu. Sebelum ini dia hanya mendapat rakaman CCTV di pintu masuk utama stadium sahaja daripada pihak pengurusan stadium. Jadi, dia mahu meninjau setiap ceruk stadium itu dek kerana kebuntuannya yang masih belum menjumpai apa-apa petunjuk kepada penyiasatannya. Belum pernah situasi itu berlaku dalam sejarah perkhidmatannya selaku seorang pegawai penyiasat PDRM. Kes-kes orang hilang yang pernah dikendalinya sebelum ini pasti ada memberinya sebarang petunjuk kalau tak banyak sekalipun. Sebab itu misteri kehilangan Emily ini diibaratkan seperti disedut pesawat UFO.

              Ikutkan hatinya, oleh kerana ketiadaan apa-apa petunjuk mahu sahaja dia menyimpan dahulu fail kes itu di rak, namun dirasakan kes itu unik dan ada suatu magnet menariknya untuk terus menyelesaikan misteri itu. Sebenarnya, kes-kesorang hilang tanpa jejak ini bukan suatu yang aneh pun di Malaysia. Sebagai contohnya di Melaka, mengikut statistik pada tahun 2019, 20 kanak-kanak hilang sejak 9 tahun yang lalu masih gagal dijejak sehingga ke hari ini. Itu belum melibatkan kehilangan remaja dan kes-kes orang hilang di negeri-negeri yang lain.

             Inspektor Razif meneliti pelan dewan konsert yang diperolehinya daripada syarikat penganjur sebelum ini. Bebola matanya kemudian ligat ke persekitaran dalam stadium itu. Sesekali dia mencatit hasil dapatannya ke dalam buku nota kecil yang selalu dibawanya setiap kali turun ke lapangan penyiasatan. Lagaknya tak ubah seperti para detektif yang selalu dipertontonkan dalam drama atau filem penyiasatan di layar perak. Selesai meninjau di dalam stadium, dia menjenguk persekitaran luar pula. Banyak juga nota yang telah dicatitnya.

             “Setiap pintu ada CCTV, kenapa aku diberi satu rakaman sahaja?” rumusnya dengan hati yang geram. Langkah kakinya kemudian berderap laju menuju ke pejabat pengurusan stadium.

             “Saya mahu berjumpa dengan pegawai yang menguruskan rakaman CCTV stadium ini.” Tiba di pejabat pengurusan stadium, Inspektor Razif terus mendapatkan kembali receptionist di kaunter yang ketika itu sedang leka bermain tik tok. Sebelumnya, dia sudah berjumpa dengan petugas itu di awal kedatangannya tadi untuk urusan meminta kebenaran meninjau persekitaran stadium.

              “Maaf encik. Pegawai yang bertugas itu keluar sarapan sekejap.” Gadis receptionist itu membalas selepas seketika membuat carian. Wajahnya merah padam seperti masih menahan malu terkantoi bermain tik tok tadi.

              “Pukul 10 pagi, masih bersarapan?” Sedikit tinggi nada suara Inspektor Razif selepas menjeling jam tangannya. Mula pucat wajah gadis itu tatkala mendengar suara garau Inspektor Razif.

             “Err… maaf… maaf encik.” Tergagap-gagap jadi suara gadis receptionist.

             “Inilah sikap tak produktif orang kita, macam mana nak maju! Sedang sarapanlah, main tik toklah! Kalau orang komplen marah, tapi sikap sendiri yang salah!” Hambur Inspekstor Razif. Sememangnya dia tak pandai memendam rasa geramnya.

             Nada suara tingginya itu mengejutkan semua yang berada dalam ruang pejabat itu. Seorang pekerja yang lebih tinggi pangkatnya segera datang ke kaunter itu.

            “Maaf encik, saya Razman ketua di sini, apa yang boleh saya bantu?”

            “Saya Inspektor Razif, pegawai penyiasat kes kehilangan seorang remaja yang datang menonton konsert di stadium ini kira-kira dua minggu yang lalu. Saya mahu dapatkan semua rakaman CCTV di sekeliling stadium ini sebab saya hanya dapat satu rakaman di pintu masuk utama sahaja sebelum ini. Saya mahu jumpa orang yang menguruskan rakaman itu, tapi katanya orang itu keluar sarapan pulak. Pukul 10 pagi keluar sarapan? Saya ni berkhidmat untuk menjaga keselamatan negara, setiap saaat itu berharga untuk menyelamatkan nyawa. Banyak kerja lain lagi saya nak selesaikan, tak ada masa nak menunggu pekerja encik balik dari sarapan!” Semakin tegang nada suara Inspektor Razif. Melepas geram betul dia. Memang pantang diamengalami situasi sebegitu, orang berdisiplin sepertinya pasti akan meradang.

           “Maaf, Tuan Razif. Okey begini, saya sendiri akan bawa tuan ke bilik kawalan keselamatan stadium. Jom kita ke bilik itu.” Pegawai yang bernama Razman itu cuba mengendurkan ketegangan itu.

            Inspektor Razif mengekorinya ke bilik yang dimaksud. Beberapa minit kemudian, mereka tiba di bilik itu.

           “Okey, apa yang tuan perlukan?” Soal Encik Razman.

           “Saya perlukan semua rakaman di setiap pintu dari awal hingga akhir konsert itu berlangsung.”

           Encik Razman segera membuat carian.

          “Maaf, tuan. Rakaman ini sahaja yang ada,” jelas Encik Razman selepas beberapa ketika membuat carian.

           “Rakaman pintu utama ini saya dah lihat. Saya mahu rakaman di pintuy ang lain, sebab saya lihat tadi di dalam dan luar stadium ada terpasang banyak kamera CCTV selain pintu masuk utama itu.”

           “Err, sekejap ya tuan. Saya hubungi pekerja saya itu untuk bertanya.”

            Encik Razman segera menghubungi pekerjanya yang keluar bersarapan itu. Loud speaker telefon tangannya itu diaktifkan. Selepas beberapa saat menunggu, panggilannya diangkat.

            “Helo, Siva. Encik Razman ni. Saya nak tanya, ada tak rakaman CCTV semua pintu masuk sewaktu Konsert Marathon K-Pop dua minggu lepas?”

            “Yang ada rakaman pintu masuk utama sahaja, bos. Sebab semua kamera yang lain sudah rosak.”

            “Rosak?”

            “Ya, bos. Sudah rosak.”

            “Dah rosak, kenapa tak maklum kepada saya?”

            “Saya sudah isi borang makluman kepada bos sebulan yang lepas,”

            “Betul ke?”

            “Betul, bos. Saya sudah serahkan borang makluman itu kepada Liza, di kaunter receptionist. Salinan borang makluman itu masih juga saya simpan.”

             “Baiklah, nanti saya follow up dengan Liza. Kamu, cepat sikit balik. Dah lebih sejam kamu keluar!”

             “Okey, okey bos. Saya balik sekarang.”

             Panggilan itu dinoktahkan.

            “Err, maaf Tuan Razif. Hanya rakaman itu aje kami ada,” ujar Encik Razman dengan wajah yang malu.

            Inspektor Razif mendengus hampa.

            “Maaf saya nak tegur sikit ya, Encik Razman. Sebagai ketua encik harus jalankan tugas mengikut prosedur. Kena tegur pekerja-pekerja bawahan supaya tak menjejaskan produktiviti kerja. Pukul 10 pagi keluar sarapan, main tik tok waktu bekerja. Apa benda ni? Disebabkan tak ikut prosedurlah produktiviti kerja dah terjejas. Secara tak langsung juga telah menyukarkan penyiasatan saya. Paling saya takut, dek kerana kelemahan pengurusan kawalan keselamatan stadium ini, ada nyawa yang akan melayang!”

            Selepas menghamburkan kata-kata itu, Inspektor Razif terus berlalu meninggalkan Encik Razman yang tertunduk malu.

 

SEMENTARA itu, di Kolej Segi Alicia sudah menunggu di dataran utama kolej. Megat menghantar kiriman mesej WhatsApp secara rahsia mahu berjumpa di situ. Sengaja Megat memilih lokasi itu untuk bersua muka dengan Alicia kerana di dalam kelas ada ramai pelajar yang lain. Lebih-lebih, orang yang disyakinya juga berada di dalam kelas yang sama.

Dari jauh Megat sudah dapat melihat bayang tubuh Alicia berdiri berhampiran menara jam yang berhadapan dengan kolam renang terbuka. Lokasi itu selalu menjadi landmark utama kepada penuntut-penuntut kolej dan juga pelawat kerana sinerinya yang cantik. Ditambah pula dengan berdirinya di situ perkataan gergasi POSSIBLE yang menjadi motto kolej, lokasi wajib untuk berswafoto atau bergambar secara berkumpulan.

            Seakan mengambil pengertian daripada perkataan keramat itu juga, Megat dan Alicia bertambah bersemangat untuk meneruskan penyiasatan mereka.

            “Hai,” sapa Megat dengan wajah bersahaja selalunya.

             “Hai, awak.”

            “Dah lama sampai?”

            Sewaktu Megat menghantar mesej tadi dia menghilangkan diri seketika ke tandas.

            “Baru aje, dapat mesej awak tadi terus saya ke sini. So, apa klu baru yang awak cakapkan dalam mesej tadi?”

            Megat menoleh ke sekitarnya terlebih dahulu, seperti mahu memastikan tiada yang akan mendengar apa yang ingin dikhabarkan kepada Alicia. Mereka perlu berhati-hati kini, kerana perlu menjaga janji kepada Alex.

            “Saya yakin, Brian sememangnya ada kena mengena dengan kehilangan Emily.” Dengan nada perlahan Megat menjelas.

            “Are you sure?”Alicia membeliakkan sedikit matanya.

            Megat mengangguk.

            “How?” Soal Alicia lagi. Dahinya sedikit berkerut.

            “Petang semalam, selepas balik dari kolej saya teman kakak ke Giant. Awak tahu saya terserempak dengan siapa?”

            “Brian?”

            “Yup,”

            “So…”

            Megat meraba poket seluarnya dan mengeluarkan telefon tangannya.

            “T-shirt yang dipakai Brian semalam sama dengan t-shirt yang dipakai oleh Emily dalam gambar ini,” jelas Megat kemudian seraya menyuakan telefonnya kepada Alicia.

            “Awak pasti t-shirtnya sama?” Alicia mahu lebih kepastian.

            “100%! Same colour, and same design,”

            “Oh my gosh! It is a good clue for us!” Wajah Alicia berubah teruja.

            Megat mengangguk dengan senyuman terukir di bibir.

            “Awak masih ingat tak lagi, seminggu yang lalu saya ada beritahu awak yang saya ada bermimpiEmily sedang berada di pantai?”

            “Yup, I’m still remember it,”

            “Malam tadi, saya bermimpi yang sama.”

            “Really?”

             Sekali lagi Megat mengangguk.

            “Jadi, bermakna kita harus siasat lokasi pantai itu?” Alicia cepat menangkap apa yang ingin dimaksudkan oleh Megat.

            “Betul. Kita harus menyiasat ke mana Brian pergi dua tiga hari selepas kehilangan Emily, kerana kita tahu pada hari mula-mula Emily hilang, dia ada alibi berada di Stadium Melawati. Tapi, dua tiga hari selepas kehilangan Emily kita tak tahu dia berada di mana? Mengikut Alex, Emily mengirim gambar ini dua hari selepas kehilangannya. Jadi dalam masa dua hari itu, Brian pastinya bersama Emily. Dan saya yakin gambar ini diambil oleh Brian menggunakan telefon Emily.” Dengan panjang lebar Megat menghuraikan apa yang bersarang di fikirannya.

            “You’re very genius! Tak terfikir saya ke situ.”

            Megat tidak memberi apa-apa reaksi kepada pujian itu.

            “Tapi… saya fikir,kita akan menghadapi sedikit masalah untuk menyiasat ke mana Brian pergi? Sebab Brian, pastinya takkan memberi kerjasama kepada kita.” Sebab itu Megat tak terkesan dengan pujian Alicia tadi kerana dia tahu perjalanan penyiasatan mereka pastinya masih panjang dan berliku.

            Mendengar keluhan Megat itu, Alicia melirik senyum.

            “Don’t worry my dear, I have solution,”

            Mendengar ujaran Alicia itu, Megat menegakkan kembali kepalanya.

            “Really?”

            “Mari kita lihat akaun media sosialnya.” Dengan menjongket-jongket keningnya, Alicia mengajak Megat melihat apa yang terpapar di skrin telefonnya. Sememangnya itu satu solusi yang tak tercapai dek akal Megat tika itu. Sekelip datang satu rasa dalam hatinya, betapa bertuah dia memiliki Alicia di sisi.

            “Just scrolling to that date,” tokok Alicia lagi sambil jemarinya lincah menggeser skrin. Megat menanti dengan sabar.

            “Hah, ini dia!”

            “Pulau Pangkor!” Megat dan Alicia sama-sama tergamam.

            Kemudian mereka saling berpandangan, disusuli senyum yang melirik di bibir. Ternyata di zaman moden ini, mudah sahaja untuk menjejak seseorang itu berada dalam sesuatu masa. Zaman orang mengejar ‘like’ kata orang. Dek kerana terlalu mengejar ‘like’ pastinya seseorang itu takkan menyedari ada sesuatu kesilapanyang telah dilakukannya. Lebih kurang macam peribahasa clever clever squirrel jump, one day fall to the ground also. Kisah-kisah orang yang berbuat jenayah sememangnya selalu begitu, dia fikir dia dah cukup pandai, tapi dalam pandai-pandainya ada juga terselit bodohnya.

            “Kita harus ke Pulau Pangkor!” Megat tak mahu berlengah lagi, terus membuat rancangan.

            “When?”

            “Esok, kita ambil peluang cuti Hari Keputeraan Sultan Selangor yang jatuh pada hari jumaat. Jadi, kita boleh luang masa tiga hari membuat siasatan di sana,”

            “Err, sorry awak. Saya dah janji dengan Jenny dan Jess nak ke Genting.”

            “Oh, okey. Tak mengapa. Saya boleh pergi seorang ke sana,” balas Megat. Ada sedikit rasa hampa yang cuba disembunyikan. Nampaknya satu hasrat sampingan yang terencana di hatinya tak kesampaian.

            Rencananya, selain melakukan siasatan boleh juga dia meluang masa bersama Alicia. Ya lah, alang-alang dah ke lokasi percutian sebegitu elok juga dia menyelam sambil minum air, menghangatkan lagi hubungan mereka yang baru terjalin itu. Lebih-lebih, dia tak pernah merasa pengalaman itu selama ini.

            “Sorry, ya awak. Next time, I will follow you?”

            “Ada next ke?”Tanya Megat yang bodoh kebodohan.

            “Yup, someday in the future we’ll never know,” jawab Alicia dengan berkias, namun cukup bermakna.

            “Okey.” Senyum kemudian membuang jauh-jauh rasa hampa di hati Megat.

            Senyuman turut berjangkit ke bibir Alicia.


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan