Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,718
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 14

BRIAN kini menjadi sasaran utama. Segala klu telah menghala kepadanya. Tengah hari itu, Megat memerhati setiap gerak gerin Brian. Sejak mula dia keluar dari kelas bersama dua rakan akrabnya, Megat mengekori tanpa disedari.

            Dalam perjalanan yang belum diketahui arah tuju itu, tiba-tiba Brian kelihatan meraba poket seluarnya. Secara automatik juga langkah kaki Megat terhenti. Mujur juga terhenti betul-betul di depan pintu tandas, dapat dia menyelinap sedikit tubuhnya ke dalam tandas agar Brian tidak nampak. Brian dilihat memeriksa telefonnya.

            “Guys, kauorang pergi dululah. Nanti jumpa di café.” Kedengaran Brian memberi arahan itu kepada dua  rakannya. Dua rakannya itu akur.

            Brian selepas itu mengubah arah langkahan kakinya. Tampak menuju ke ruang parkir kereta. Dengan penuh berhati-hati Megat terus mengekori.

            Tiba di ruang parkir, Brian memanjangkan lehernya seperti mencari seseorang.

            Alex!

           Kejutan itu terbisik di hati Megat saat dia dapat menjejak orang yang dicari oleh Brian. Dia segera menyembunyikan dirinya di balik satu tiang konkrit. Video telefonnya kemudian disetkan menghala kepada dua pelajar yang semua orang di kolej itu ketahui, cukup akrab sekali sebelum ini.

            “Apahal, bro?” Brian menyapa Alex, jelas butiran suaranya dari tempat Megat bersembunyi itu.

            “Kau jangan nak buat tanyalah!” Alex membalas dengan nada suara yang tinggi. Raut wajahnya juga jelas seperti seorang yang sedang dilanda bengang dan marah.

            “Apa ni, bro? Aku tak fahamlah.” Brian terkebil-kebil dan berlagak seperti seorang yang tidak mengerti.

            Geram dengan reaksi Brian itu, Alex kemudian menerpa ke arah Brian dan mencekak leher bajunya. Dengan tubuh yang lebih sasa, mudah sahaja Alex membuatkan Brian terjinjit.

            “Di mana Emily?” Soal Alex. Wajahnya kian berang.

            “Apa ni, bro? Mana aku tahu Emily kat mana?” Brian meronta-ronta cuba melepaskan diri dari cekakan itu.

            Alex seperti bersedia untuk melepaskan satu tumbukan. Tangannya sudah tergenggam ketat, namun entah mengapa pergerakannya tergendala. Tiada ayunan dilepaskan. Cekakannya juga dileraikan.

            “Aku tahu kau yang sembunyikan Emily,” ungkap Alex. Nada suaranya juga entah mengapa berubah sedikit kendur. Seperti dia menyedari dengan kekerasan, Brian tidak akan berterus-terang kepadanya.

            “Aku cakap aku tak tahu, tak tahulah!” Giliran Brian pula yang meninggikan suara.

            Cukup untuk mendatangkan rasa pelik kepada Megat. Seolah kini, Brian pula yang menguasai keadaan.

            Alex jadi terpana.

            “Kau jangan salahkan orang lain sebab Emily menghilangkan diri, kau salahkan  diri kau dulu! Kalau bukan kerana kau, semua ini takkan terjadi!” Herdik Brian lagi.

            “Siut kau!” Rasa berang Alex kembali berbangkit. Tangannya juga kembali tergenggam.

            “Kau nak pukul aku? Hah, pukul lah! Tapi kau ingat, rahsia kau di tangan aku. Kau mahu rahsia itu tersebar?” Dengan berani dan ukiran senyum sinis, Brian mencabar.

            Sekali lagi reaksi Alex jadi tersekat.

            Walaupun ketinggian Brian dan Alex hampir setara, namun saiz tubuh Alex lebih sasa. Mudah-mudah sahaja dia boleh merebahkan Brian. Tapi itu tidak terjadi. Alex tiba-tiba jadi menikus.

           “Aku rasa, aku dah tak ada apa-apa urusan dengan kau. Jadi, lebih baik aku belah!” Dengan angkuh sekali Brian melontarkan kata-kata itu sebelum menyusun langkah mengepak dadanya, meninggalkan ruang parkir itu.

           Menyedari Brian melangkah ke arahnya, Megat cepat-cepat menunduk kepalanya dan berlindung di balik sebuah kereta. Selepas Brian hilang daripada pandangan, barulah dia bangun semula.

          “Celaka kau Brian!”

           Dapat dilihat oleh Megat, Alex melepaskan rasa geram denga nmenghempaskan tangan pada bumbung keretanya.

           Megat menjadi semakin tertanya. Semakin juga banyak drama telah tertayang kepadanya. Perlahan-lahan kemudian dia mengukir senyum kerana dirasakan terowong sempit di fikirannya kian terbuka. Dia mahu segera menunjukkan video yang telah dirakamnya itu kepada Alicia.

 

PETANG itu, selepas tamat sesi kolejnya Megat bertemu Alicia di Restoran McDonalds, Kota Damansara.

            “Penyiasatan kita dah jadi semakin menarik, semakin banyak dramanya,” ulas Alicia dengan wajah teruja.

            Megat sekadarmengangguk dengan senyum tawar, tidak mahu terbawa-bawa dengan rasa teruja Alicia itu kerana memikirkan perjalanan penyiasatan mereka masih panjang.

            “Jadi, apa fikiran awak tentang senario di dalam video yang awak rakam tengah hari tadi itu?” Soal Alicia.

            “Hmm… aku fikir sememangnya ada sesuatu ketegangan di antara Brian dan Alex.” Megat memberi justifikasinya secara kasar.

            “Saya pun fikir begitu. Apa maksud Brian sebenarnya, rahsia Alex di tangannya?” Ada kerutan di dahi Alicia.

            “I don’t know.” Megat tidak mahu cepat membuat andaian, walaupun ada satu lintasan di fikirannya. Dia harus mencari satu jawapan yang konkrit terlebih dahulu.

            “So, what’s next?” Soal Alicia lagi, seperti dia tidak sabar-sabar mahu mengetahui perancangan penyiasatan Megat seterusnya.

            “Hmm… memandangkan Brian enggan memberi kerjasama, aku rasa kita harus beralih kepada Alex,” ujar Megat selepas beberapa saat mengerah fikirannya.

            “Saya pun terfikir begitu.” Alicia bersetuju dengan rancangan Megat.

            Dalam rancak berbual, mereka tidak menyedari telah diperhati seorang lelaki dari satu sudut restoran. Lelaki itu kemudian bangkit dari labuhan punggungnya dan menapak ke arah mereka.

            “Megat kan?” Lelaki itu menyapa.

            “Err… ya,” balas Megat sedikit tergagap.

            “Awak? Sorry, saya dah lupa nama awak.” Lelaki itu bersuara lagi. Pandangan matanya tertumpu kepada Alicia.

            “Alicia,” jawabAlicia pantas.

            “Oh ya, Alicia. Baru saya ingat. Kamu berdua kenal saya lagi tak?” Lelaki itu tanpa dipelawa terus melabuhpunggung di sebelah Megat.

            “Kenal, Inspektor Razif,” jawab Megat dan Alicia serentak.

            “Baru habis kelas ya?” Soal Inspektor Razif lagi.

            Megat dan Alicia mengangguk.

            “Mana kawan awak dua orang lagi?” Inspektor Razif menuju soalan kepada Alicia.

            “Oh, mereka dah balik rumah, tuan,” jawab Alicia.

            Jantung Megat dan Alicia terasa berdegup lebih kencang dari sebelumnya.

            Situasi juga menjadi semakin janggal.

            “Kamu berdua selalu lepak bersama ke?” Dah nama pegawai penyiasat, pasti banyak soalnya.

            Dalam kegugupan Alicia dan Megat menjawab dengan dua jawapan yang kontra. Seorang mengangguk, manakala seorang lagi menggeleng. Cukup untuk membuatkan dahi Inspektor Razif sedikit berkerut.

            “Err… nak kata selalu, tak jugak, tuan.” Megat yang perasan kerutan itu segera memberi satu jawapan yang lebih meyakinkan.

            “Tuan selalu makan di sini ke?” Celah Alicia pula, seperti dia mahu meredakan rasa gugup sendiri.

            “Nak kata selalu, tak jugak. Tapi kalau saya dilanda kebuntuan di sinilah saya mencari ilham. Balai saya belakang itu aje.” Jelas Inspektor Razif sambil menjeling sinis kepada Megat. Tidak pasti sama ada kesinisan itu berpunca daripada dia mengulangi dialog terdahulu Megat atau  lebih kepada memerli Megat yang selalu mencari ilham di stadium mini kolej?

            Mendengar jawapan itu, Alicia dan Megat sekadar mengukir senyum berbasa-basi.

            “Ada apa-apa perkembangan tentang Emily?” Itulah tujuan sebenar Inspektor Razif datang menyapa mereka berdua.

            Soalan itu membuatkan Megat dan Alicia sedikit tersentap. Mereka saling berpandangan.

            “Err, belum ada apa-apa, tuan. Belum ada apa-apa khabar berita tentangnya.” Megat merasakan dia harus membalas sebelum Alicia membuka mulutnya. Dia tidak mahu Inspektok Razif mengetahui tentang penyiasatan yang sedang mereka lakukan.

            Mendengar balasan Megat itu, Alicia juga seperti mengerti.

            “Hmm, itu yang membuatkan saya mencari ilham di sini,” keluh Inspektor Razif selepas menghela satu nafas.

            “Maksud tuan, tuan sedang dilanda kebuntuan?” Alicia yang sememangnya lurus bendul itu cepat datang rasa ingin tahunya.

            “Ya, kes ini sangat pelik. Seperti tiada apa-apa jejak yang boleh saya susuri. Sebenarnya, saya baru sahaja selesai menyoal-siasat senior awak berdua, Alex. Tapi senior awak itu mempunyai alibi yang kukuh. Rekod passportnya betul membuktikan dia di Australia sewaktu kejadian itu berlaku. Saya juga telah menghubungi kakaknya di sana, dan kakaknya telah mengesahkan alibinya itu.”

            Masing-masing jadi terdiam selepas mendengar penjelasan Inspektor Razif itu. Walaupun Alicia datang rasa berbelah baginya, namun mengenangkan janji yang telah dipersetujui bersama dengan Megat, cuba ditahan rasa itu sedaya mungkin. Ikut hati, mahu sahaja dia menjelaskan hasil jumpaan penyiasatan mereka kepada Inspektor Razif.

            “Okeylah Megat, Alicia. Saya tak mahu menganggu kamu berdua, tapi kalau ada apa-apa yang ingin dikongsikan dengan saya, kamu tahukan nombor saya?” ungkap Inspektor Razif, mahu mengundur diri.

            Megat dan Alicia menjawab dengan anggukan.

            Inspektor Razif kemudian berlalu pergi.

            Megat dan Alicia sama-sama menarik nafas lega.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan