Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,600
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5

Bab 5


 “Aina! Nak ke mana tu? Dengar dulu cakap ayah, Aina!” Suara Haji Hafizuddin meninggi apabila melihat Aina berlari menuju ke biliknya sebaik sahaja mendapat tahu bahawa dia dan Hajah Aishah telah menerima lamaran daripada keluarga yang selama ini merupakan rakan karib mereka.

Aina terhenti dan berpaling semula menghadap Haji Hafizuddin. Tidak pernah seumur hidupnya meninggikan suara terhadap orang tuanya. Aina anak yang teramat taat dan tidak pandai membantah. Tetapi kali ini, buat pertama kalinya Aina harus berani bersuara untuk mempertahankan haknya. Aina tidak sudi soal yang akan menentukan masa depan dan seluruh hidupnya nanti telah diputuskan begitu saja tanpa menanyakan pada yang empunya diri terlebih dahulu. Mana boleh macam ni, ayah...waaa.

“Ayah kuku besi! Ayah tak boleh semudah itu terima lamaran Uncle Muzaffar, ayah tak tanya pun pendapat Aina, Aina suka ke tidak dengan anak dia orang, Aina sudi ke tidak bersuamikan anak dia orang. Aina yang empunya badan ayah, Aina yang kena kahwin. Aina dah lama tak jumpa Emir Izraf tu, kami kenal pun hanya masa kecil dulu, rupa bentuk dia sekarang Aina langsung tak tahu. Entah-entah dah besar macam bapak gajah, perangai pulak bengis macam bouncer kelab malam. Macam manalah Aina nak sehidup semati dengan orang yang Aina tak cinta? Sampai hati ayah!”

“Aina, jangan nak melawan ayah pulak. Berdosa seorang anak meninggikan suara terhadap ibu bapanya, Aina. Ayah mintak maaf sebab tak tanya pendapat Aina terlebih dahulu, tapi ayah terpaksa jugak terima lamaran tu, Aina. Datin Hanim sekarang terlantar di hospital, penyakit kanser dia dah semakin teruk. Dia nak sangat tengok Izraf kahwin dengan gadis baik-baik sementara dia masih ada. Dia berkenan betul dengan Aina, sebab tu datin pinang Aina untuk anaknya. Kalau Aina dalam kedudukan ayah sekarang, Aina sanggup ke nak tolak permintaan datin? Keluarga kita dah kenal lama Aina, dah macam saudara, ayah tak gamak nak menolak.”

“Aina tahu, dan Aina kasihankan Auntie Hanim, tapi takkanlah Aina nak bina rumah tangga Aina atas dasar kasihan? Jangan kerana persahabatan yang ayah agungkan sangat tu, ayah nak musnahkan hidup Aina pulak. Aina bukannya kenal sangat dengan Izraf semenjak kami dewasa ni, macam mana Aina nak terima dia sebagai suami? Dalam tempoh tiga bulan kami akan diijabkabulkan, apa yang sempat Aina kenali tentang dia, ayah?Kalau ayah berkeras sangat nak kami bersatu pun, berilah masa untuk Aina mengenali dia, lihat sama ada kami serasi atau tidak. Ayah mintaklah tempoh setahun dua dari uncle dan auntie. Tolonglah Aina, ayah...” Suara Aina mula kendurmengenangkan keadaan Datin Hanim, namun hati Aina masih tidak mampu merelakan lamaran itu. Jika terpaksa melutut merayu pun Aina sanggup ketika ini. Hendak bernikah pada usia semuda itu? Aina menggeleng, otaknya tidak dapat menerima kenyataan itu.

“Aina, dengar cakap ayah nak, datin tu tak tahulah berapa lama aje lagi dia mampu bertahan dengan keadaannya yang lemah begitu. Hanya mampu berserah pada kuasa ALLAH sahaja sekarang. Datin tak mahu buat kimoterapi, para doktor pun dah habis ikhtiar dan minta Dato’ Muzaffar bawa datin balik ke rumah. Kata doktor, datin kena gembira dan tak boleh ada tekanan sebab nanti keadaannya semakin lemah.Aina fikirlah sendiri, munasabahkah kita nak mintak tempoh panjang-panjang pula dari dia?” Haji Hafizuddin bersuara kelat, agak kesal dengan Aina yang tidak cuba memahami keadaan.

Hajah Aishah pula menambah untuk memujuk anak gadisnya, “Aina, cinta boleh hadir setelah bernikah, yang penting Aina kena buka hati Aina dengan rela dan redha. Mak percaya Aina akan bahagia nanti dengan izin ALLAH. Mak sendiri dah jumpa Izraf. Izraf sekarang bekerja sebagai arkitek di syarikat papa dia, nanti dialah yang akan ambil alih Syarikat Muzaffar Holdings.Izraf baik budaknya, bersopan-santun, hormatkan orang tua. Lembut sahaja tutur kata bila bercakap, elok akhlaknya. Sejuk hati kami kalau Aina bersuamikan Izraf tu. Kami bukan nak jodohkan Aina dengan lelaki yang tak tentu hala, tiada ibu bapa yang nak melihat anaknya derita, Aina.”

Jauh di sudut hati Hajah Aishah, dia juga mahu Aina bernikah atas dasar cinta demi kebahagiaan anaknya itu, namun keadaan sekarang tidak memungkinkan perkara itu berlaku. Hajah Aishah kasihankan Aina kerana tidak dapat membuat keputusan itu untuk dirinya, tetapi dia yakin pilihan mereka tidak silap.

Dalam soal itu, Hajah Aishah sependapat dengan Haji Hafizuddin, keputusan mereka berdua bukan sahaja untuk memenuhi permintaan sahabat karib mereka, tetapi juga telah dipertimbangkan semasak-masaknya demi Aina.

Kata-kata Hajah Aishah yang bernada keibuan itu akhirnya sedikit sebanyak berjaya melunakkan hati Aina. Aina terduduk lemah di muka pintu. Apa sahaja alasannya, ada saja jawapan mak dan ayah sehinggakan sukar untuk Aina fikirkan alasan lain bagi membatalkan keputusan kuasa veto ayah itu. Orang tua itu pun nampak sahaja cool macam Pierce Brosnan, tapi kalau dah marah, Rambo pun angkat bendera putih.

Bukannya Aina tidak faham cara ayahnya mentadbir keluarga selama ini. Aina tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Hajah Aishah cepat-cepat memeluk Aina dan membantu mengesat air mata yang membasahi pipi anak gadisnya itu. Haji Hafizuddin ikut duduk di sebelah Aina dan kemudiannya memeluk bahu Aina.

“Ayah, mak, Aina ada satu permintaan. Aina akan bersetuju dengan perkahwinan ini, tapi dengan satu syarat. Aina hendak jumpa Izraf terlebih dahulu. Hanya Aina dan Izraf. Aina nak berbicara dari hati ke hati dengan dia.” Suara Aina yang lemah itu membuatkan Hajah Aishah mengucup ubun-ubun Aina berulang kali penuh simpati.

“Ayah izinkan. Tapi Aina dan Izraf kena pandai jaga diri. Jangan ke tempat sunyi. Kamu tu dah kira sah bertunang, sebab ayah dah terima lamaran mereka. Jadi, ayah harap Aina pakai cincin tu bila jumpa Izraf nanti. Kita kena jaga hati mereka jugak, tak bolehlah nak tunjuk sangat yang kita terpaksa, ya Aina?”

Dalam nada lembut, ada amaran diselitkan di situ. Sehinggakan cincin pun ayah dah terima, memang dah tak boleh U-turn nampaknya. Ah, pantang menyerah sebelum ajal, pantang mengalah sebelum mencuba sedaya-upaya.

“Aina jangan bercakap kasar dengan Izraf pulak ya sayang, mak dan ayah percaya Aina pandai menjaga hati orang. Kasihan pada Izraf, dia pun terpaksa berkorban jugak demi mamanya.”

Hajah Aishah turut menasihati Aina dengan lembut. Kena ada usahasama yang padu daripada mereka suami isteri jika hendak menundukkan Aina. Anak gadisnya itu nampak sahaja kecil-kecil cili padi, tapi pedas berapi, kepala batu pula tu. Memang Aina tidak pernah membantah arahan mereka suami isteri, tetapi jika ada perkara yang Aina tak suka, memang susah sangat nak pujuk dia beralah.

Ilhami, adik Aina itulah yang selalu bising-bising kerana tidak dapat mengubah keputusan Aina. Hendak ke pasar sekalipun, kalau katanya nak ke pasar tani, pasar tanilah jawabnya, jangan memandai-mandai mengajak ke pasar malam. Cadangan yang pasti ditolak bulat-bulat. Andai Aina menurut kehendak mereka kali ini, Hajah Aishah amat bersyukur.

Jauh di lubuk hati, Haji Hafizuddin risau Aina meminta peluang untuk berjumpa berdua dengan Izraf adalah bertujuan untuk memomok-momokkan Izraf supaya keluarganya menarik balik lamaran mereka. Bukannya Haji Hafizuddin tidak dapat meneka fikiran yang bermain di kepala Aina, tengok matanya yang berbintang-bintang, sudah ketara benar ada idea yang sedang dijana oleh otak Aina.

Namun, mahu tidak mahu, Haji Hafizuddin terpaksa juga memberi kebenaran kepada Aina kerana dia tidak mahu Aina menukar fikiran. Persetujuan Aina tadi pun telah membawa seribu kelegaan kepada mereka suami isteri.

Kerbau berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji. Tak adalah kerbau tu reti nak pegang tali kan, tapi dah ditambat, tak ke manalah jawabnya. Sama macam keadaan Haji Hafizuddin ketika itu, dia sudah terlanjur berjanji demi memenuhi permintaan Datin Hanim, mahu atau tidak, kata mesti dikota. Tak ada butang undo untuk ditekan.

Mendengar pesanan itu, Aina hanya mengangguk. Walau apa pun syarat yang dikenakan, semua itu dirasakan Aina hanya sekecil kuman berbanding dengan arahan ibu bapanya supaya dia mengahwini Izraf. Apa yang penting bagi Aina kini adalah untuk bertemu dengan Izraf terlebih dahulu. Tahulah dia hendak uruskan nanti.


Bersambung...



*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.




Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.