Bab 24
Lima minit sebelum kelas berakhir, Aina telah berjaya menghabiskan
sukatan pelajaran untuk hari itu. Apabila disoal, mereka lebih cergas menjawab
berbanding hari biasa. Sekurang-kurangnya ada respons yang diberikan, walaupun
90% jawapan yang diberikan salah, manakala 10% lagi keluar topik terus. Tak
mengapa, sekurang-kurangnya dah ada usaha nak menjawab. Aina tidak menyangka
akhirnya taktiknya berjaya juga mencuri perhatian pelajar kelas 6 Delta.
‘Nampak gayanya, teruklah aku kena buat kek
hari-hari lepas ni,’ Aina mengeluh sendiri, namun dalam masa yang sama dia juga
berasa gembira dan bangga kerana dapat mendekati mereka. Sekiranya hanya itu
pengorbanan yang diperlukan, dia dengan rela hati akan melakukannya.
‘Tak sangka kek aku ada kuasa untuk memujuk
orang,’ hatinya berbicara lagi.
Lantas ingatan Aina
hinggap kepada Haqym. Ketara benar Haqym terasa hati dengan kata-katanya yang
kasar tadi. Mujur ada sebuah lagi bekas kecil berisi kek yang sengaja
ditinggalkan di dalam laci mejanya. Sebenarnya, kek itu dijadikan bekalan
kalau-kalau gastriknya menyerang pula. Namun, mengingatkan rajuk Haqym
menjadikan dia serba salah.
Aina merangka-rangka dalam kepala untuk
memberikan kek itu kepada Haqym sebagai permintaan maaf atas ketelanjuran
kata-katanya. Memang dia yang salah tadi, emosi tak tentu pasal. Sumpah Aina
tidak terniat untuk menyakiti hati Haqym, satu-satunya sahabat yang Aina miliki
di SM Harapan ini. Sahabat baru yang menyambut kehadirannya dengan mesra dan
tidak pernah gagal membuat dia ketawa.
Loceng berbunyi menggesa Aina segera keluar
dari kelas. Sebaik sahaja Aina melangkah bendul pintu, Danial bertindak pantas
menerpa ke arah Suzana. Dengan selamba dia merampas bekas itu dari Suzana yang
hanya mampu tergamam melihatnya. Nak pasang jurus silat dah tak sempat.
Danial melangkah keluar bersama bekas itu
menuju ke bawah pohon semarak api di tepi padang. Sememangnya Danial selalu
melepak di situ ketika waktu rehat. Nak kata dia lone ranger pun dia tak
kisah. Memang dia lebih suka bersendiri. Tak sudi nak bersesak-sesak di kantin
bersama-sama dengan budak-budak tak cukup umur yang lain, dia orang selalu buat
perangai tak senonoh yang memalukan, contohnya Mazlan yang pelahap tu.
Suzana sempat memaki Danial sebelum
bayang-bayangnya menghilang. “Lanun!!! Aku sumpah kau jadi cendawan!”
Kepala Danial menjengah kembali di muka
pintu. “Bahagian akulah, aku mana makan lagi.”
“Melampau, bolot semua!” Suzana membidas
semula.
Cam turut mencelah. “Tadi jual mahal,
sekarang dengan bekas sekali kau kebas!”
Danial tersengih dan meneruskan niatnya tanpa
mempedulikan kutukan mereka. Boleh saja kalau dia nak tunjuk taring, tentu
mencicit lari dua ekor makhluk kecil yang berani sangat mengata dia tadi. Itu
berani hanya dari jarak 200 meter. Kalau ada di sebelah, diam macam tikus
mondok basah dek hujan.
Tapi hari ini Danial tiada mood hendak
marah-marah. Yang ada di kepalanya hanya mahu segera menikmati kek yang dibuat
oleh Aina. Sengaja dia tidak menunjukkan minat mahu berebut di dalam kelas
tadi. Dia tidak mahu Aina menyaksikan betapa terujanya dia. Mana boleh bagi
Aina berasa menang kerana berjaya menundukkannya, seperti hampir keseluruhan
ahli kelas lain yang nampaknya seperti sudah berlembut hati dengan Aina.
Bukan semudah itu untuk menjinakkan Danial.
Danial tidak akan mudah mengalah dengan Aina, tapi demi kek ini, mengalah
senyap-senyap tak apa kot, bukannya Aina tahu pun. Rezeki jangan ditolak, rugi
besar kalau melepas!
SEMENTARA itu, Haqym sedang tekun memeriksa
buku latihan pelajarnya ketika Aina tiba di bilik guru. Aina teragak-agak untuk
menyapa memandangkan Haqym seperti tidak mengendahkan kehadirannya.
Selalunya kalau Haqym ternampak saja
kelibatnya, dari jauh sepuluh batu lagi Haqym dah menjerit sakan menegur Aina.
Pasti Haqym masih berkecil hati dengannya. Aina harus beralah kali ini. Dengan
sukarelanya Aina menyapa Haqym terlebih dahulu.
“Hai!”
“Hai.” Haqym menjawab sepatah tanpa
mengangkat kepalanya.
Begitu saja jawapannya? Memang sah Haqym
masih marahkan dia. Itupun dah cukup bagus Haqym sudi menjawab.
Aina yang mula rasa terkilan cuba memujuk
hatinya dengan berpura-pura membuka laci mencari sesuatu. Kala itu matanya
menangkap bekas berisi kek yang terletak di dalam laci. Aina tersenyum. Inilah
modalnya untuk memujuk Haqym. Biarpun bekal makan tengah harinya terpaksa
dikorbankan. Aina menulis di atas kertas memo merah jambu.
I am sorry for every bad things I said... :(
Janganlah merajuk lama-lama, buruk juga rupanya ya bila orang lelaki merajuk?
Aina menolak bekas itu ke meja Haqym sebelum
berlalu keluar dari bilik itu. Dia tidak berani menunggu reaksi Haqym. Aina tak
sanggup menerima sebarang penolakan yang hanya akan menambahkan saja pedih di
hatinya.
Haqym agak terkejut
pada mulanya melihat bekas yang disua tiba-tiba ke hadapannya. Nota merah jambu
itu Haqym baca, dan akhirnya dia tersenyum senang. Haqym tidak menduga Aina
akan bersungguh-sungguh memujuknya. Seronok pula ada yang sanggup memujuk.
Nanti bolehlah merajuk kerap lagi. Haqym sebenarnya tidaklah terlalu marahkan
Aina, hanya terasa hati sedikit. Sengaja dia mengacah Aina dengan berpura-pura
terkilan, saja nak melihat reaksi Aina.
Haqym membuka bekas itu dan merasa kek lapis
sedikit. Wah, sedap! Haqym tersengih girang. Berdesup-desup kek lapis itu
disumbat ke dalam mulut. Sekejap saja sudah hampir licin semuanya. Inilah
masalah Haqym, kalau soal makanan saja, memang cepat lupa diri.
Ketika Aina kembali ke
tempat duduk, Haqym pura-pura tidak mengendahkannya. Mata Aina menangkap
notanya tadi kini melekat di atas mejanya. Dia hampa seketika, pasti Haqym
memulangkan ia kerana tidak sudimenerima permintaan maafnya. Tapi bekas
keknya tidak pula dikembalikan! Dalam merajuk pun sempat lagi nak bersikap
tamak. Aina hanya menjeling hampa akan memo itu. Seketika kemudian barulah Aina
menyedari ada tambahan di atas kertas tersebut.
Acah aje, tahu pun takut. Padan muka
awak. Hehe.
I am sorry too, selalu buatkan awak terkejut walaupun dah tahu awak tak
suka, janji tak buat dah! :)
Aina tergelak. Haqym mengangkat muka dan
tersenyum kembali kepada Aina.
“Pandai berlakon!” Suara Aina kedengaran
lebih ceria.
“Mestilah, kalau tak, mana dapat kek ni,”
kata Haqym sambil menyuap tiga ketul kek sekali gus ke mulut.
“Tamak haloba!”
Ketawa Aina pecah. Cikgu
Hasnah yang baru sahaja duduk di kerusi bersebelahan Haqym pantas menumpukan
perhatian pada mereka. Beberapa orang guru lain turut singgah sebentar.
“Amboi, Cikgu Aina bawa kek untuk Cikgu Haqym
ke? Dekat kami tak bagi pun,” suara Cikgu Hasnah kedengaran seperti menyindir.
“Well, well... There is definitely something fishy here.” Cikgu Maimon, guru
Bahasa Inggeris itu pula menambah.
Usikan itu disambung pula oleh Cikgu Rozaida, “Biasalah, orang
muda, tak lama lagi makan nasi minyaklah kita.”
Aina yang mula berasa tidak senang dengan
gosip itu segera menyangkal. “Eh, mana ada. Kami kawan aje, mana ada apa-apa
pun.”
Cikgu Hasnah memerli kembali.“Yalah
tu, apa orang kata, teman tapi mesra?”
Haqym yang pada awalnya tersengih seronok
dengan usikan-usikan itu menjadi serba salah apabila menyedari reaksi Aina yang
kelihatan kurang senang. Mahu tidak mahu, Haqym terpaksa menawarkan kek di
tangannya kepada guru-guru yang singgah di meja mereka untuk menutup mulut para
kaki gosip itu.
“Ala, kecil hati pulak puan-puan semua.
Memang Aina bawakan untuk kita pun.”
Aina mengangguk bersetuju, nasib baik Haqym
cepat terfikirkan idea itu. Aina menambah, “Haah, tapi sikit aje, kelas saya
dah pulun yang lain.”
“Baik sangat cikgu dengan anak murid.” Cikgu
Rozaida bersuara, kemudian disampuk oleh Cikgu Hasnah.
“Budak-budak tu bukan boleh dimanjakan
sangat, kena bertegas sikit dengan dia orang.Makin baik kita melayan, makin pijak kepalalah nanti.”
“Saya tak setuju.Saya
rasa bila kita skema sangat, puak-puak yang nakal tu lagilah melawan. Semakin
susahlah kita nak menyampaikan ilmu. Tapi kalau kita gunakan pendekatan secara
baik, mereka akan dapat menerima kita sebagai salah seorang dari kalangan
mereka. Dia orang takkan tergamak nak pulaukan kita semasa kita mengajar atau
kecewakan kita dengan pencapaian yang kurang elok. Itu teori sayalah, lain
orang lain caranya, kan?”
Cikgu Hasnah mencebik mendengarkan jawapan
Aina. Baginya Aina adalah guru muda yang baru sahaja setahun jagung, apalah
sangat yang Aina tahu. Boleh dihitung baru berapa hari saja Aina mengajar,
sudah tunjuk pandai mahu berhujah dengan teorinya.
“Ikut pandai Cikgu Aina lah. Tapi ikutkan
pengalaman kami, memang kena gunakan cara tegas terhadap pelajar. Kalau ikutkan
pengalaman kamilah.”
Sengaja perkataan
‘pengalaman’ itu ditekankannya. Mahu mengingatkan tahap pengalaman Aina yang
jauh ketinggalan berbanding mereka mungkin. Cikgu Maimon turut mengangguk
sebelum beredar bersama Cikgu Hasnah.Ke kantin mungkin. Dua
orang rakan karib ni memang, kalau tak bergosip, makan. Itu sajalah aktiviti
mereka. Betapa tak produktif!
Haqym menggeleng. Matanya memandang tepat ke
wajah Aina.
“Patutnya awak iyakan aje cakap Cikgu Hasnah
tu.Nanti dia anti dengan awak
pulak sebab awak bantah cakap dia.Dia tu memang pantang mengaku kalah, walaupun
dah terang-terangan dia yang silap. Syok sendirilah katakan.”
“Saya ada pendapat sendiri, takkanlah nak
terima semua yang Cikgu Hasnah cakap kalau saya tak setuju dengan dia? Itu
hipokrit namanya, dan saya tak mahu jadi orang yang hipokrit,” tukas Aina.
“Saya faham. Secara peribadinya saya
sangat-sangat bersetuju dengan awak. Tapi awak tak kenal lagi Cikgu Hasnah tu,
nanti susah awak dibuatnya. Dia tu sama taraf dengan mami jarum. Apa pun, yang
sudah tu sudahlah. Cuma kalau awak nak dengar nasihat saya, lain kali bagi aje
dia menang.”
Aina mendengus. Tidak puas hati.
Nampaknya awal-awal lagi
perang dah diisytiharkan. Ah, pedulikanlah Cikgu Hasnah tu. Dia cakap apa yang
dia fikirkan betul. Lagipun, sekarang Aina sudah ada kawan baik yang setia jadi
penyokong. Silap-silap Haqym akan tubuhkan fans club untuk Aina. Haqym
memang penyokong yang boleh diharap. Percuma pula tu, tak payah bayar. Kena
rajin belanja makan sajalah kot. Itu saja yang Haqym kisahkan. Makan, makan,
dan makan.
Aina mengulas senyuman manis untuk Haqym.
Kalau ikutkan hati yang girang kerana sudah berdamai semula dengan rakannya
itu, mata pun Aina hendak kelip-kelipkan macam tweety bird. Haqym
sekadar menjongketkan bahu lalu meneruskan semula kerjanya yang terbengkalai
tadi.
Nak senyum-senyum pulak awek ni, tahulah
senyuman awak tu manis. Nanti jatuh cinta balik macam mana. Kalau nak kira
betul-betul, belum habis merajuk lagi ni sebenarnya.Err, agak-agak dapat kek
lagi tak?
Bersambung...
*Novel
AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh
tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata.
Penulis boleh dihubungi di:
FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.