Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
129,174
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6

Bab 6


 Aina tiba di tepi pantai itu lewat setengah jam dari yang dijanjikan. Izraf sudahsedia duduk menunggu di sebuah kerusi kayu yang sengaja diletakkan di resort itu sebagai tempat bersantai. Izraf cepat-cepat melambai apabila ternampak Aina yang tercongok mencarinya. Aina menghampiri Izraf dengan wajah merah padam, malu kerana hampir tidak dapat mengecam Izraf.

Walaupun keluarga mereka rapat, namun sudah lebih sepuluh tahun Aina tidak berjumpa Izraf. Pada usia 18 tahun, Izraf menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi di Kuala Lumpur. Kemudian, Izraf ke Universiti Malaya selama empat tahun. Seakan tidak jemu menuntut ilmu, Izraf menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana pula dalam bidang architecture and designdi kota New York. Baru dua tahun Izraf bekerja sebagai ketua arkitek di syarikatayahnya.

Dato’ Muzaffar sebenarnya sudah tidak sabar lagi mahu menyerahkan jawatan pengarah Muzaffar Holdings kepada Izraf. Sembilan belas tahun dia menguruskan syarikat itu sendiri, kini dia cuma ingin segera bersara dan menghabiskan usia senjanya dengan amal ibadah. Ke kota Mekah pun dia masih belum berkesempatan. Niat itu terpaksa ditunda disebabkan tugas dan komitmennya terhadap syarikat selama ini. Ditambah pula dengan keadaan isterinya yang sering terlantar di hospital sejak akhir-akhir ini. Ia bukanlah masa yang sesuai untuk dia meninggalkan isterinya yang tercinta, lebih-lebih lagi sebelum satu-satunya permintaan isterinya itu dipenuhi.

Kalau ikutkan hati, sekarang juga Dato’ Muzaffar mahu menandatangani penyerahan syarikat itu kepada Izraf. Namun, Izraf pula berkeras mahu bekerja dari bawah terlebih dahulu supaya dapat menyediakan dirinya dengan pengalaman dan kepakaran sebelum memegang tampuk utama syarikat itu.

Pada siapa lagi Dato’ Muzaffar boleh menggantungkan harapan, anaknya cuma dua orang, yang bongsu pula perempuan. Sarah Nadiyah tidak pernah menunjukkan minat terhadap urusan syarikat. Pada usianya 22 tahun, dia terlalu taksub terhadap dunia peragaan. Tidak terlalu cantik, namun wajahnya yang fotogenik setelah dihiasi solekan boleh dikatakan cukup menarik menjadikan dia antara model terlaris. Mahu tidak mahu, Dato’ Muzaffar terpaksa akur menanti saatnya sehingga Izraf cukup bersedia untuk menggantikannya.

Aina melangkah laju menuju ke arah Izraf. Malang tidak berbau, belum pun sempat Aina sampai ke kerusi di tempat Izraf duduk, kakinya tersadung pada tali yang berada di pasir pantai itu. Tali pada pagar hiasan yang lurut agaknya.

Izraf yang sudah sedia berdiri untuk menyambut ketibaan Aina bertindak pantas menangkap tubuh Aina. Dengan tubuhnya yang sasa, mudah sahaja Izraf menyanggah berat Aina yang kecil molek itu. Guni beras lagi beratlah daripada Aina. Kedua-duanya kaku, pandangan mata merekaterkunci buat beberapa detik. Wajah Aina yang merah padam menyedarkan Izraf gadis itu masih di dalam pelukannya. Izraf segera melepaskan Aina, sambil mengukir senyuman yang ketara gementarnya. Izraf sedaya-upaya cuba meredakan getaran di dadanya. Takkan insiden sekecil itu sudah menunjukkan kelemahan Izraf. Lelaki kena macho.

Terasa mahu menitis air mata Aina menahan malu. Tidak disangka, pertemuan semula mereka setelah sekian lama tidak berjumpa dimulakan dengan pelukan pula. Walau tidak disengajakan, Aina sendiri hairan mengapa pula jantungnya tidak dapat berfungsi dengan normal ketika itu.

Lain macam benar degupan jantungnya, entah-entah Aina ada sakit jantung. Eh bukan orang tua saja boleh kena serangan jantung, sakit jantung ni ada banyak, ada jantung berlubang, jantung terbalik. Mungkin juga kerana tidak ada lelaki yang pernah menyentuh waima sekadar tangannya, dan tiba-tiba hari ini dengan mudah sahaja dia sudah berada dalam pelukan lelaki itu. Ah, itukan kira darurat, bukan sengaja!

Aina menepis rasa malu yang kian bermaharajalela dengan memberi salam.

“Assalamualaikum. Thanks tolong Aina.”

“Waalaikumussalam...maaf abang pegang tadi, refleks tu, tak sengaja.” Izraf tersenyum melihat Aina tersipu-sipu. Comel betul! Macam nak cubit pipi tu. Sabar Izraf, sabar... Jangan gelojoh sangat, buat malu kaum saja.

“Tak mengapa, kan darurat. Kalau abang tak sambut, jatuhlah Aina macam nangka busuk. Malu tahap tapir betul! Abang tolong erase rupa bentuk Aina nak jatuh tadi tu dalam otak abang, dengan mulut ternganga macam buaya. Eii... huduh bebenor.”

Izraf terus ketawa berdekah-dekah mendengarkan perumpamaan Aina itu.

“Ada pulak ya tahap tapir? First time abang dengar, tu malu skala yang keberapa dah tu? Tak sangka Aina kelakar, dulu Aina pemalu sangat.”

Aina hanya tergelak, tidak pula berniat untuk menerangkan perumpamaannya itu. Sungguh, dia tidak menyangka akan berasa selesa berbual dengan lelaki itu, walhal sudah terlalu lama mereka tidak bertemu. Mungkin kerana Aina tiada sebarang perasaan terhadap Izraf, maka Aina tidak berasa ada keperluan untuk mengawal tingkah lakunya. Aina bebas berkelakuan macam mana sekalipun, terasa selesa pula boleh menjadi dirinya sendiri di hadapan Izraf. Lantaklah apa pun persepsi Izraf, kalau Izraf berpendapat Aina buruk lagak pun lebih bagus, mungkin Izraf sendiri yang akan membatalkan lamaran keluarganya nanti. Ini pun kira strategi juga.

“Dah lapan tahun agaknya kita tak jumpa, kan? Dah banyak perkara yang berubah dalam tempoh itu. Dulu Aina dalam proses transisi, dari budak-budak nak jadi remaja, emosi pun lain macam, itu yang pendiam.”

“Mana ada lapan tahun, dah sepuluh tahun pun. Kita tak jumpa since abang masuk matrikulasi, masa tu abang 18 tahun. Aina pulak baru masuk form one kan? Kita selisih, abang habis sekolah, Aina baru masuk,” tukas Izraf pantas.

Aina terkesima. Tidak menyangka yang ingatan Izraf begitu kuat sekali. Mungkinkah Izraf menghitung setiap detik yang berlalu itu?

‘Ah, apa aku mengarut ni! Mana mungkin dia mengingati aku macam tu sekali. Entah sudah berapa ramai gadis yang pernah bercinta dengannya, takkanlah sehingga ke luar negara dia masih belum menemui sesiapa untuk dijadikan ratu hatinya. Tak mungkin! Tambahan pula, gadis-gadis barat cantik-cantik belaka, semua stok America’s Next Top Model, siapalah dirinya untuk mendapat tempat dalam ingatan Izraf. Atau mungkin juga sekarang ini pun Izraf dah ada seseorang yang istimewa sedang menghuni hatinya?’Aina cuba menduga-duga sendiri. Tidak mahu menambahkan serabut kepalanya.

Aina menyambung dialog mereka yang tergendala sebentar gara-gara fikirannya yang menerawang entah ke mana. Jiwa kacau betul! Ah, biarlah, mungkin Izraf fikir dia sedang mengingat dan menghitung tempoh waktu sepanjang mereka tidak bertemu.

“Eh, yalah...Aina masuk form one kat Sekolah Berasrama Penuh. Lupa pulak abang dulu pun belajar kat sana. Lepas tu Aina ke matrikulasi, terus ke UPSI. Memang selisih, seorang ke utara, seorang ke selatan.”

“Haah, betullah tu.Sebab itulah lama kita tak jumpa. Waktu Aina kecil-kecil dulu, Aina selalu main barbie dolldengan Sarah. Abang pun nak tumpang sama, tapi kau orang tak bagi join. Komplot betul! Ingat lagi tak?”

Aina ketawa kecil, mengingatkan keakraban mereka bertiga sewaktu kecil dulu. Adiknya, Ilhami Syauqina, tidak berpeluang bermesra dengan mereka kerana dia masih kecil ketika itu. Disebabkan Aina gemar mengusik adiknya sehingga menyebabkan Ilhami selalu menangis, Hajah Aishah kerap menghantar Aina ke rumah Dato’ Muzaffar.

Boleh dikatakan, Izraf dan Sarah adalah playdates Aina. Bermain, makan, malah mandi pun bersama-sama. Kadang-kadang Aina tidur di rumah itu kerana Sarah tidak mahu berenggang dengan Aina. Maka mereka pun akan tidur bertiga di bilik Sarah. Bilik yang dicat dengan warna biru gelap dan berlantaikan marmar biru cerah, manakala silingnya dihiasi bintang-bintang ‘glow in the dark’, terasa seperti sedang berlayar di lautan di waktu malam ketika hendak beradu.

Aina biasanya akan tidur di tengah-tengah kerana Sarah dan Izraf kerap bergaduh, langsung tidak boleh duduk dekat, bagai anjing dengan kucing lagaknya. Tapi ketika itu mereka kan masih budak-budak lagi. Aina sendiri baruenam tahun. Bila meningkat remaja, hubungan mereka mula renggang. Masing-masing menjadi malu-malu bila bersua. Ditambah pula terpisah sekian lama kerana belajar, mereka akhirnya terus terputus hubungan. Hanya orang tua mereka yang masih kekal akrab.

“Aina ingat semuanya. Seronok sangat masa dulu-dulu.” Aina menjawab setelah lama mengenang masa kecilnya.

Kedua-duanya terdiam sejenak. Aina tunduk, merangka-rangka ayat untuk memulakan bicara yang lebih serius, iaitu topik utama tentang pernikahan mereka yang akan dilangsungkan. Izraf pula kelihatan tenang menikmati bayu petang walau dia sudah menjangka topik yang ingin dibuka oleh Aina.

“Abang... kita dah macam adik-beradik sejak kecil. Tiba-tiba mama dan papa abang masuk meminang pulak. Aina terkejut sangat. Tak tahu nak buat keputusan macam mana. Ditelan mati mak, diluah mati ayah. Serba salah rasanya. Aina nak tahu pendapat abang.” Suara Aina akhirnya memecah kebisuan.

Izraf menghela nafas berat. Lambat-lambat dia menyusun kata. “Abang mintak maaf kalau lamaran keluarga abang menyusahkan Aina. Sebenarnya mama risaukan abang, bulan Jun ini abang dah 29 tahun. Mama tengah sakit, satu-satunya niat mama yang belum tertunai, dia nak tengok abang kahwin sebelum umur abang 30 tahun, dan sementara mama masih larat nak buat persiapan untuk perkahwinan abang. Abang pun tak sampai hati nak tolak.”

“Tapi kenapa mesti Aina? Aina susah nak terima semua ni. Dahlah tu, kita cuma diberi masa tiga bulan aje untuk buat persediaan. Bukan sekadar persiapan kenduri, tapi kekuatan mental jugak perlu. Aina tak pernah terfikir akan berkahwin seawal ini,” rengus Aina, agak keras.

Izraf hanya diam. Membiarkan Aina bertenang dan mencari semula kata-katanya. Biarlah Aina meluahkansemua beban yang menghimpit fikirannya. Izraf akur dengan keterpaksaan Aina, sudah pasti berat hati Aina untuk menyetujui cadangan drastik itu.

“Ada tiga perkara Aina kena sediakan diri sebelum Aina hendak menikah. Yang pertama, ilmu agama, Aina rasa Aina belum cukup sempurna sebagai wanita solehah, Aina takut Aina tak boleh jadi isteri yang diredhai. Yang kedua, ilmu rumah tangga. Aina ni masak pun tak retibang. Macam mana nak jadi isteri orang? Dan yang ketiga, ilmu dunia. Aina baru habis belajar, Aina nak kerja dulu untuk membina karier. Kalau ada rezeki, Aina mungkin akan sambung belajar pula. Aina belum puas menimba ilmu. Abang nampak tak masih banyak kurangnya Aina, masih banyak yang Aina kena penuhi sebelum Aina berkahwin. Dalam masa tiga bulan, macam mana Aina nak buat semua tu? Kenapa abang tak kahwin aje dengan girlfriend abang, kan senang?”

Izraf terdiam, seminit. Mencari kekuatan untuk meyakinkan Aina. Misinya bukan mudah mahu melembutkan hati Aina, apatah lagi soal menawan hati, itu tak masuk list buat masa ini. Izraf kemudiannya menghela nafas dalam-dalam sebelum mengeluarkan hujah.

“Aina, abang tak nampak sebarang kekurangan pada diri Aina. Lepas kahwin, kita sama-sama timba ilmu agama dan ilmu rumah tangga. Kalau ada kelas nak mendalami ilmu-ilmu tu, kita enroll, abang pun kena belajar banyak jugak. Tentang karier mahupun pelajaran Aina, abang janji, abang takkan pernah menghalang perjalanan Aina, sambunglah sejauh mana Aina suka, setinggi mana Aina nak, abang lagi suka dan lagi bangga. Tentang pilihan, mama nak Aina jugak yang jadi menantu dia. Aina pun tahukan mama degil macam mana? Lagipun, abang memang tak ada girlfriend, macam mana abang nak cadangkan orang lain?” Berat suara Izraf, mohon Aina mengerti.

“Kalau tak ada girlfriend pun takkanlah tak ada gadis yang abang suka? Abang suruhlah auntie pinang dia. Kan mudah untuk semua orang. Abang pun tak payahlah nak berkahwin tanpa cinta. Dahlah kita dulu dah macam adik-beradik. Lepas tu punyalah lama kita tak jumpa. Tup-tup jumpa, terus kena kahwin. Aina tak boleh terima!”

“Mama tak kisah siapa pilihan abang, tapi mama dah bagi kata putus, mama nak Aina jugak jadi menantu dia.”

“Habis tu Aina yang jadi mangsa? Abang tak adil! Semua orang tak adil pada Aina!” Agak tinggi suara Aina. Kecewa kerana tersepit menjadi mangsa keadaan.

“Mama sayangkan Aina. Mama dah tak dapat tunggu abang lama-lama. Aina percaya pada janji abang, abang tak akan sia-siakan Aina. Itu aje abang mampu cakap.”

Aina mengeluh, pemberontakannya tak ke mana. Pandai betul Izraf berlembut, balik-balik ungkit pasal Auntie Hanim, ini yang buat dia lemah.

“Tapi Aina tak bersedia lagi. Sangat-sangat tak bersedia. Aina tak habis latihan mengajar lagi, Aina bukan duduk kat sini, Aina jauh di Kedah. Masa tiga bulan yang diberikan tu tak sempat pun untuk kita mendalami isi hati satu sama lain. Aina habis aje praktikal, balik sini seminggu, terus kena kahwin. Macam mana dengan semua persediaan?” luah Aina, suaranya mengendur. Sengaja ditekannya ayat ‘sangat-sangat tak bersedia’ itu.

Izraf terdiam seketika. Seperti berfikir dalam-dalam lagaknya. Kemudian barulah Izraf memberi jawapan dengan suara yang kedengaran lebih yakin.

“Tak apa Aina. Lepas nikah nanti barulah kita sesuaikan diri. Abang dah ada rumah, tapi rumah tu pun baru siap. Nanti decoration kita buat sama-sama. Abang faham Aina tak sedia lagi. Jadi demi keselesaan Aina, abang janji kita akan tinggal berdua aje. Kita tak perlu tinggal dengan mama dan papa. Kalau masa tu Aina masih tak bersedia terima abang, abang takkan paksa Aina.Yang penting kita tinggal bersama dulu. Then, we take things slowly. Buat masa ni Aina jangan bimbang. Aina selesaikan aje dulu praktikal Aina. Segala persediaan untuk hari kahwin kita abang yang akan uruskan. Kalau Aina sudi kahwin dengan abang pun dah besar sangat pengorbanan Aina, dan lagi besar maknanya pada abang.”

Izraf tiba-tiba terdiam seperti tersedar dia telah terlepas cakap. Izraf cepat menyambung ayatnya kembali sebelum Aina sempat mengesan kelainan pada nadanya sebentar tadi, “Maksud abang, amat besar maknanya pada mama.”

Aina terdiam. Sudah tiada helah mahupun alasan yang mampu difikirkannya. Mengenangkan kebaikan keluarga Izraf serta keadaan kesihatan Datin Hanim, Aina sedar dia sudah tiada pilihan lain lagi.

“Baiklah, kalau macam tu kata abang, Aina dah tak boleh cakap apa, Aina ikutkan aje.” Pasrah suara Aina.

“Terima kasih, Aina. Abang janji, abang akan cuba membahagiakan Aina sehabis daya abang.”

Aina sekadar mengganguk. Jauh di lubuk hatinya dia agak terharu dengan ketulusan Izraf. Izraf pula berasa amat lega kerana satu persetujuan yang bakal menggembirakan hati mamanya telah termeterai. Malah apa yang lebih penting, persetujuan Aina itu amat bermakna.

Sudah sekian lama dia menyayangi gadis itu dalam diam. Tidak pernah dia mencintai gadis lain kerana pintu hatinya seperti telah tertutup untuk orang lain. Namun, mudah sahaja hatinya cair apabila berhadapan dengan Aina.

Selama tidak bertemu Aina ketika mereka sama-sama menginjak usia remaja dan dewasa, segala gambar Aina yang diletakkan oleh Sarah Nadiyah dalam album sering kali Izraf curi-curi menatapnya. Dia tidak cukup berani untuk mendekati Aina, cukuplah sekadar memerhatinya dalam diam dan mengikuti perkembangan gadis itu dari cerita-cerita Sarah Nadiyah. Itu pun, ceritanya bukanlah banyak sangat, semakin mereka dewasa, semakin renggang hubungan Aina dan Sarah, masing-masing sibuk dengan haluan sendiri.

Kini menatap wajah sendu Aina cukup menyayat hatinya. Izraf cukup mengerti keengganan Aina untuk menamatkan zaman bujangnya pada usia begitu muda, namun apa yang lebih penting bagi Izraf adalah untuk memiliki gadis itu, dengan apa cara sekalipun biarpun terpaksa menggunakan nama mamanya.

Ah, pasti Aina akan membencinya nanti jika tahu dia mengambil kesempatan di atas kehendak mamanya. Tapi Izraf bukannya menipu, memang keadaan kesihatan Datin Hanim semakin merosot, dan memang benar usul untuk meminang Aina itu datang dari Datin Hanim sendiri. Apa yang semua orang tak tahu, Izraf sebenarnya siap menari gelek di dalam bilik kerana terlalu gembira dengan cadangan mamanya. Kalau ikutkan, sebenarnya Izraf yang lebih beria-ia hendakkan Aina menjadi surinya cuma belum sempat diutarakan niatnya itu. Dalam hati, Izraf bertekad untuk menawan hati Aina biarpun secara perlahan-lahan. Yang penting, Aina Humaira bakal menjadi miliknya!


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.