Selama seminggu Aina dan Izraf bergelumang dengan habuk dan perabot untuk
persiapan rumah baharu mereka. Rumah yang sebelum itu telah menjadi tempat
tinggal rasmi labah-labah dan mungkin juga seekor duatikus
comel.
Banglo dua tingkat yang terletak di pinggir sebuah bukit kecil itu
dibina mengikutrekaan Izraf. Amat memukau mata yang memandang. Ada banyak jendela tinggi dan
anjung yang luas, sekilas pandang macam istana mini.
Lengkap dengan patio di tingkat atas,
terdapat set meja kopi dan kerusi berukir bunga mawar yang kelihatan begitu
klasik terletak di sudut kediaman itu. Manakala di suatu sudut yang lain pula
terletak dua buah kerusi pantai dengan meja kecil di sebelahnya. Ala-ala
berjemur di pantai Bahamas.
Tingginya imaginasi!
Dapat dibayangkan betapa santainya duduk-duduk mengambil angin di waktu petang,
atau
berbaring malas berbumbungkan lautan bintang
di waktu malam. Kalau hujung minggu pula, bolehlah mereka berdua bersarapan di
anjung itu sambil menikmati zat vitamin E yang diberikan percuma oleh sang
suria. Sudah bermacam-macam angan-angan Aina. Makin dibiarkan, makin berhubung
sel-sel otaknya.
Di halaman rumah pula terdapat taman mini
bunga mawar yang sedang rimbun berbunga cukup tujuh warna iaitu, merah, merah
jambu, kuning, putih, oren dan ungu. Senang Aina hendak mandi tujuh jenis bunga
nanti, petik saja. Boleh buat Balinese Spa di rumah, jimat kos. Di
sebelah kiri laman rumah pula ditanam dengan rumput karpet, disertai air terjun
buatan di penjuru. Manakala di kawasan belakang rumah pula ditanam dengan pokok
buluh madu yang rimbun meneduhkan suasana.
Tanaman buluh sememangnya diketahui umum mampu
menyegarkan udara kerana ia menghasilkan 35% lebih oksigen berbanding pokok
biasa. Sudahlah rumah atas bukit, siap ada pokok buluh lagi, kalau pencuri
hendak masuk pada waktu malam pun boleh batal niat gara-gara naik seram
agaknya. Nasib baiklah tak ada tanah perkuburan berdekatan. Boleh tahan
menyeramkan cita rasa Izraf, terlampau alam semula jadi sangat. Tahulah Izraf dulu ahli kelab pencinta
alam.
Masuk sahaja ke dalam
rumah, jubin putih bersih memberi ilusi ruangan kelihatan lebih luas. Hampir keseluruhan
rumah itu bercat krim, terasa bersih dan menyamankan. Ada lima buah bilik
kesemuanya. Bilik tidur utama putih sedondon dengan
set bilik tidur berwarna krim. Cadar serta comforter juga berwarna putih
bersih. Katil bertiang empat daripada kayu jati gelap itu dihiasi langsir
panjang yang telus pandang. Menimbulkan mood seperti sedang berehat di chalet lima bintang.
Sebuah bilik tamu dan
sebuah lagi bilik bacaan yang disiapkan dengan rak-rak buku hingga ke siling,
sudah diisi hampir penuh dengan pelbagai bahan bacaan. Aina seronok bukan
kepalang, memang hobinya mengumpul dan membaca buku, macam tahu-tahu saja
Izraf. Hampir sahaja Aina memeluk Izraf gara-gara terlalu seronok, tapi
terpaksa dikawal perasaannya takut nanti Izraf menuduh dia rakus pula.
Wah, macam perpustakaan
mini! Kalau Shah Jahan hadiahkan Taj Mahal untuk permaisurinya, maka Emir Izraf
hadiahkan perpustakaan peribadi untuk Aina Humaira. Ini jauh lebih romantik!
Tapi satu saja masalahnya, Izraf macam lupa isterinya itu bersaiz mini, rak
buku pula tinggi melangit, nampaknya nanti kena beli tangga untuk panjat kalau
nak ambil buku. Ini satu penghinaan. Ah tak kisahlah, yang penting Aina sudah
dapat mengagak 90% masanya akan dihabiskan di dalam bilik ini nanti. Andai dia
hilang selama dua hari, tak usah kecoh-kecoh buat laporan polis, cari saja di
bilik itu.
Ketika melihat dua buah bilik yang lain
masing-masing dicat dengan warna biru muda dan merah jambu lembut, Aina jadi
tersipu-sipu dengan usikan Izraf sebelum Izraf menghilang ke ruang tamu.
“Untuk anak-anak kelak, baby girl
dapat bilik pink, baby boy pulak dapat yang biru.”
Gurauan Izraf itu masih bermain-main di
telinga Aina. Indahnya anganan itu, namun bagai terlalu jauh dari capaian
kerana bermula dari hari pernikahan mereka sehingga ke detik ini, hubungan
suami isteri di antara mereka masih belum sempurna. Aina sendiri tidak mengerti
apa sebabnya Izraf seperti selalu mengelak dan cuba mengawal diri dari
mendekatinya. Pelik, kan? Jika lelaki lain pasti tidak akan melepaskan peluang
bila sudah berdua-duaan dengan gadis, tambah-tambah telah sah di sisi agama dan
undang-undang sebagai haknya yang halal.
Mungkin hati Izraf masih belum dapat menerima
dirinya sebagai seorang isteri, bukankah Izraf juga sama sepertinya, terpaksa
mematuhi kehendak Datin Hanim? Mana mungkin Izraf sudi menyentuh insan yang
tidak dicintai. Mungkin juga ada seseorang yang telah menghuni takhta hati
Izraf. Kalau tiada sesiapa di hatinya, masakan Izraf memasang Tembok Besar
China dalam hubungan mereka?
Ah, andai begitu ceritanya, lantas siapalah
Aina di dalam hidup Izraf? Sama-sama pelakon drama seperti Izraf, memainkan
watak masing-masing untuk menggembirakan keluarga mereka? Hairan, Izraf
melayannya dengan begitu baik, tidak adakah sedikit pun perasaan cinta berputik
di hati Izraf? Tapi, sejak dulu lagi Izraf memang melayan Aina dengan baik.
Bukannya perkara baru jika sekarang pun Izraf melayan Aina sebaik itu. Melayan
dengan baik tidak semestinya bermaksud cinta.
“Huh!”
Aina mengeluh dalam hati. Serabut bila
difikirkan, semakin Aina memikirkan soal itu, semakin banyak pula persoalan
lain yang timbul.
Bersambung...
*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di
pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan
autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:
FB:
https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.