Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,532
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 16

Bab 16

     


     Hari Jumaat. Dua hari selepas perang dunia dilancarkan antara Aina dan Danial.

Aina datang ke kelas seperti biasa walaupun ada debar kerisauan di hatinya mengenangkan peristiwa Danial keluar dari kelas begitu sahaja tempoh hari, malah terus ponteng sekolah pada hari berkenaan.

Buku kedatangan pelajar yang dihantar ke tangannya juga merekodkan Danial tidak hadir kelmarin. Masih marahkah Danial kepadanya? Akan hadirkah dia ke sekolah hari ini? Aina sedar kata-katanya tempoh hari agak keterlaluan. Aina tidak sepatutnya berkasar begitu, apatah lagi sehingga memandai-mandai menyebut tentang soal keluarga. Rasanya dia sudah melebihi batas. Aina terlalu terikut-ikut dengan perasaan marahnya sehingga tidak mampu mengawal tutur katanya. Itulah kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata tak ada gear reverse.

Letih juga Izraf menenangkan perasaan Aina apabila dia menceritakan kejadian itu kepada Izraf. Puas Izraf menasihatinya supaya berlembut, tetapi tak pasal-pasal dengan Izraf pun Aina lancarkan mogok. Nak bersembang bukan main payah, pasang muka zombi sepanjang masa. Siapa suruh, orang tengah marah bagilah sokongan moraldulu, ini tidak, masa itu jugalah dia nak kasiceramah, mahu tak terkena tempias api yang tersembur-sembur dari hidung naganya.

Mahu tidak mahu, terpaksalah Izraf membawa Aina ke 7 Eleven tengah-tengah malam untuk mencari coklat Ferrero Rocher. Setelah dapat makan coklat setengah kotak barulah reda rajuk Aina. Punyalah mentekederah. Keupayaan Aina makan memang tak sepadan dengan badan. Macam bela saka!

Coklat memang ada kuasa magik dalam upacara pujuk-memujuk. Kalau berkesan pada Aina, pada murid-muridnya juga mungkin akan berkesan. Biarlah dikatakan recycle idea Izraf, yang penting Aina menyuntik elemen inovasi ke dalam idea itu, buat coklat sendiri!

Dengan susah payah Aina membeli-belah bahan-bahan membuat coklat pada malam buta. Hampir-hampir chocolate fountain pun diangkutnya sekali. Tapi takkanlah nak bawa chocolate fountain ke kelas, dah jadi macam kelas memasak pula nanti. Sudahnya semalaman Aina bersengkang mata menyiapkan coklat-coklat pelbagai bentuk dan rupa itu, besar kecil besar kecil saja rupanya, mata pun dah tak boleh nak fokus. Cukup sekotak besar barulah Aina tidur. Itu kalau tak dapat pujuk lagi, tak tahulah. Penuh keikhlasan dan kasih sayang dah tu. Lagipun, mana boleh ambil hati lama-lama dengan guru, nanti ilmu tak berkat baru tahu. Ah, mengugut pun mengugutlah!

Masuk sahaja ke dalam kelas itu, mata Aina pantas mengesan kelibat Danial yang duduk di tepi tingkap bahagian belakang. Aina berpura-pura tidak kisah, tapi hatinya meloncat girang Danial tidak berpanjangan meneruskan mogoknya. Lebih senang usahanya untuk memujuk. Tak payahlah nak lari mengejar keliling sekolah.

Aina mengeluarkan kotak coklat yang dibawanya di dalam beg anyaman tangan. Sanggup diusung beg itu macam mak cik-mak cik demi untuk pastikan coklat yang dibawanya tidak bertaburan. Ini masanya untuk Aina ambil hati mereka semula setelah memarahi mereka kelmarin. Marah mana boleh bertahun. Lagipun, Aina mahu pelajarnya faham bahawa marahnya bersebab, bukan kerana mahu memusuhi mereka.

“Assalamualaikum, selamat pagi. Kelas, hari ini saya bawa coklat untuk kamu semua. Saya nak bekalkan gula yang cukup supaya kamu alert dan tak ada yang tidur kejap lagi. Tapi seorang dapat seketul saja, nanti terlebih gula kamu jadi hiperaktif pulak. Juga merangkap permintaan maaf saya sekiranya ada yang tersinggung dengan saya kelmarin. Mungkin ada kata-kata saya yang menyakiti hati kamu. Saya tak menyesal dengan apa yang saya katakan, memang saya nak kamu ada kesedaran dalam diri, cuma saya ingin menarik balik kata-kata tertentu yang mungkin keterlaluan pada kamu. Saya mintak maaf ya. Hah Cam, silalah ambil dulu. Saya tahu awak dah tak sabar-sabar, dari tadi saya nampak awak kecur liur.” Aina bermukadimah sambil matanya melirik Danial berulang kali.

Sememangnya Aina sengaja menujukan kata-kata itu kepada Danial. Dia sedar, pasti ada sesuatu yang terlalu menyinggung perasaan pada leterannya kelmarin sehingga membuatkan Danial begitu marah sekali. Danial berpura-pura tidak faham dengan niat Aina. Cam segera bersuara dengan mulut lasernya.

“Cik Aina, saya tak makan coklat,nanti rosak gigi yang saya jaga dengan sepenuh kasih sayang semenjak kecil ni.”

‘Ah, masih merajuk rupanya mereka,’ bisik hati Aina kesal.

“Danial?” Aina masih cuba memujuk walaupun hatinya sudah tergores dengan penolakan Cam.

“Macamlah kita ni budak tadika, nak rasuah dengan coklat. Aku dah 21 tahun kan, dah dewasa, bukan begitu Shafiq?Dah beli coklat tu, kenapa tak beli lolipop sekali? Cara nak berdamai macam budak hingusan! What a joke!”

Danial tidak mengendahkan pelawaan Aina sebaliknya bercakap dengan Shafiq sambil ketawa sinis. Shafiq turut ketawa. Kalau tak buat-buat ketawa, nanti kena luku oleh big bossnya itu. Namun, suara Danial yang kuat sudah cukup menunjukkan Danial sengaja hendak Aina mendengar sindiran itu. Ayatnya tempoh hari sebiji Danial pulangkan semula. Patutlah dikatakan memulangkan paku buah keras, sakit rupanya bila kena pada sasaran.

Dengan tidak semena-mena, air mata Aina yang sudah bertakung di tubir mata semenjak tadi jatuh berjuraian. Aina sanggup mengambil langkah pertama untuk berdamai sudah cukup menjatuhkan maruahnya, inikan pula dibuat endah tak endah begitu. Mudah benar air mata Aina jatuh, entah mengapa Aina menjadi begitu sensitif. Apa yang dia tahu, dia sudah kehabisan modal mahu berbaik dengan mereka. Aina sedar mereka masih remaja, kerana itu Aina cuba memujuk walaupun dengan cara yang mungkin kebudak-budakan.

Niat Aina, apabila menjadi easy going maka mereka akan merasakan Aina seperti sebahagian daripada mereka, nanti lebih mudah untuk mereka menerima Aina. Tapi sebaliknya yang berlaku, jangankan hendak menghargai usahanya untuk berbaik, dapat perlian secukup rasa adalah. Aina tidak dapat menahan sebak, lalu meninggalkan kotak coklat itu kepada Marliana sebelum meninggalkan kelas.

“Mar, awak bagi kepada yang sudi. Kalau semua tak sudi, awak buang aje. Saya tak nak simpan, sebab saya buat dengan tangan sendiri dan memang niat nak bagi pada kamu.” Sempat Aina berpesan sebelum berlari menuju ke tandas.

Tandas pun tandaslah, dia lebih sanggup menahan bau pencuci lantai bersembunyi di tempat itu berbanding membiarkan orang lain ternampak dia menangis. Dia malu. Kerana menangis bererti dia kalah. Tak sepatutnya dia tewas dengan semudah itu.

Seisi kelas tergamam dengan reaksi Aina, lebih-lebih lagi Danial. Dia tidak menyangka sedikit kata yang diucapkan mampu mendera hati Aina begitu sekali. Dia hanya ingin memulangkan paku buah keras. Seingatnya Aina tabah dan kuat menghadapi mereka. Dia juga kelihatan lincah, bukan jenis yang terlalu lembut dan mudah dibuli macam Cikgu Laura.

Clare sepantas kilat terus menyalahkan Cam. Cubaan nak mengkambing-hitamkan. “Tengok apa kau dah buat Cam, semua tu kau punya pasal! Mulut tak ada insurans! Kau pergi pujuk Cik Aina sekarang! Aku rasa setakat ini, Cik Aina satu-satunya guru yang sudi nak berbaik-baik dengan kita. Kau orang janganlah zalim sangat!”

“Apasal aku pulak? Masa aku cakap dia tak blah lagi, lepas Danial cakap baru Cik Aina nangis. Kau pergilah cakap dengan Danial!” balas Cam, tidak mahu mengaku salah.

“Aku pulak yang kena cakap, kau orang bincanglah sendiri. Aku tak nak terlibat! Bukan dengan aku yang Cik Aina terasa,” kata Clare kesal.

Cam baru hendak membuka mulut melawan, tetapi Danial sudah terlebih dahulu bersuara.

“Dah, dah! Jangan bising-bising. Sakit kepala aku tahu tak! Fine, biar aku yang pujuk dia.”Sebelum kemarahannya bangkit, baik dia hentikan tuduh-menuduh antara mereka.

Danial mengambil kotak coklat itu daripada Marliana kemudian mengagihkannya kepada seisi kelas sehingga hampir habis. Tiada siapa berani menolak apabila Danial yang mengagihkan. Yang tak makan coklat pun tiba-tibamengunyah dengan rela bila ditenung oleh Danial.

Semua tahu siapa Danial, ketua gengster. Dia ada kumpulan pengikutnya sendiri. Namun, mereka tidak pernah bergaduh di kawasan sekolah, menyebabkan Danial sentiasa terlepas dari hukuman. Lagipun, keluarga Danial merupakan penyumbang terbesar Sekolah SM Harapan, malah keluarganya adalah pengasas sekolah itu.

SM Harapan boleh dikatakan warisan keluarga sepertimana Bukit Harapan yang merupakan harta keluarga Danial. Pengetua pun tidak berani mengusik Danial walaupun Danial sentiasa menjadi agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat PIBG. Walaupun sudah tiga tahun mengulang STPM, sekolah masih tidak berani mengeluarkan apa-apa amaran kepada Danial. Danial nampaknya seperti tidak berminat untuk meluluskan dirinya, sengaja menangguh-nangguhkan untuk tamat belajar. Seronok sangat agaknya jadi pelajar paling senior dan berkuasa di sekolah itu.

Kotak yang sudah hampir kosong itu disimpan Danial. Hanya tinggal tiga biji coklat di dalamnya, kebetulan yang berbaki itu ketiga-tiganya berbentuk hati. Sudah terang lagi bersuluh, ini satu petanda! Bukan begitu?

Danial tersengih senang. Yang lain terpinga-pinga, kenapa tiba-tiba Danial begitu murah hati tersenyum mesra? Selalu wajahnya serius saja, kalau tidak muka masam. Ini tersenyum kambing memanjang pula. Buang tabiat!

Pada waktu rehat, Danial ke koperasi untuk membeli sebatang lolipop berwarna merah jambu dan menyimpannya di dalam bekas yang hampir kosong itu. Baki tiga biji coklat yang tinggal itu disimpan dalam tisu. Harap-harap tak cair.Balik nanti dia akan bekukan cepat-cepat dalam peti sejuk.

Tidak sampai hati Danial nak makan, kata Aina tadi dia buat sendiri, kena simpanlah jadi kenang-kenangan. Harapnya coklat itu tak berubah bentuk jadi bebola leper, hilang petanda cintanya nanti! Dalam marah-marah pun, hatinya masih membisikkan nama Aina. Hei hati, kenapalah degil sangat!

Selepas waktu rehat, Danial seperti penyiasat pula mengintai bilik guru. Nasib baik matanya terang, tak perlu bawa teropong. Setelah memastikan Aina tiada di dalam bilik itu, senyap-senyap Danial meletakkan bekas itu di atas meja Aina. Hanya itu cara yang dia fikirkan untuk memujuk hati Aina. Tadi Danial mencemuh cara Aina memujuk mereka, kali ini dia pula yang berikan Aina lolipop, bermaksud dia menarik balik sindirannya kepada Aina yang mengatakan cara Aina itu kebudak-budakan.

Biarlah kali ini Syed Danial Iskandar buat perangai budak-budak atau tak matang. Silakan label apa saja, yang penting hati Aina harus dipujuk. Dibuatnya Aina pun angkat kaki, tak sanggup dia hendak berganti guru lagi, belum tentu guru baru nanti secomel Aina.

Kalau terbayang Cikgu Din Misai, makin menjadi-jadi rasa tak sanggup itu dan semakin kuat keinginannya mahu memujuk Aina. Rasa bersalah pula melihat air mata Aina tadi gugur. Sejahat-jahat Danial, setakat karate jejaka-jejaka jongos tiada masalah, tapi belum pernah dia buat anak gadis orang menangis. Pantang tujuh keturunan untuk dia membuatkan air mata seorang perempuan jatuh kerananya. Sekurang-kurangnya, tidak di hadapannya.

Danial, Danial... Tak pernah-pernah dia menjilat ludah sendiri. Ini kali pertama. Kerana seorang gadis bernama Aina.


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.