“Aina! Nak ke mana tu? Dengar dulu cakap ayah, Aina!” Suara Haji
Hafizuddin meninggi apabila melihat Aina berlari menuju ke biliknya sebaik
sahaja mendapat tahu bahawa dia dan Hajah Aishah telah menerima lamaran
daripada keluarga yang selama ini merupakan rakan karib mereka.
Aina terhenti dan berpaling semula menghadap
Haji Hafizuddin. Tidak pernah seumur hidupnya meninggikan suara terhadap orang
tuanya. Aina anak yang teramat taat dan tidak pandai membantah. Tetapi kali
ini, buat pertama kalinya Aina harus berani bersuara untuk mempertahankan
haknya. Aina tidak sudi soal yang akan menentukan masa depan dan seluruh
hidupnya nanti telah diputuskan begitu saja tanpa menanyakan pada yang empunya
diri terlebih dahulu. Mana boleh macam ni, ayah...waaa.
“Ayah kuku besi! Ayah tak boleh semudah itu
terima lamaran Uncle Muzaffar, ayah tak tanya pun pendapat Aina, Aina suka ke
tidak dengan anak dia orang, Aina sudi ke tidak bersuamikan anak dia orang.
Aina yang empunya badan ayah, Aina yang kena kahwin. Aina dah lama tak jumpa
Emir Izraf tu, kami kenal pun hanya masa kecil dulu, rupa bentuk dia sekarang
Aina langsung tak tahu. Entah-entah dah besar macam bapak gajah, perangai pulak
bengis macam bouncer kelab malam. Macam manalah Aina nak sehidup semati
dengan orang yang Aina tak cinta? Sampai hati ayah!”
“Aina,
jangan nak melawan ayah pulak. Berdosa seorang anak meninggikan suara terhadap
ibu bapanya, Aina. Ayah mintak maaf sebab tak tanya pendapat Aina terlebih
dahulu, tapi ayah terpaksa jugak terima lamaran tu, Aina. Datin Hanim sekarang
terlantar di hospital, penyakit kanser dia dah semakin teruk. Dia nak sangat
tengok Izraf kahwin dengan gadis baik-baik sementara dia masih ada. Dia
berkenan betul dengan Aina, sebab tu datin pinang Aina untuk anaknya. Kalau
Aina dalam kedudukan ayah sekarang, Aina sanggup ke nak tolak permintaan datin?
Keluarga kita dah kenal lama Aina, dah macam saudara, ayah tak gamak nak
menolak.”
“Aina
tahu, dan Aina kasihankan Auntie Hanim, tapi takkanlah Aina nak bina rumah
tangga Aina atas dasar kasihan? Jangan kerana persahabatan yang ayah agungkan
sangat tu, ayah nak musnahkan hidup Aina pulak. Aina bukannya kenal sangat
dengan Izraf semenjak kami dewasa ni, macam mana Aina nak terima dia sebagai
suami? Dalam tempoh tiga bulan kami akan
diijabkabulkan, apa yang sempat Aina kenali tentang dia, ayah?Kalau ayah
berkeras sangat nak kami bersatu pun, berilah masa untuk Aina mengenali dia,
lihat sama ada kami serasi atau tidak. Ayah mintaklah tempoh setahun dua dari uncle
dan auntie. Tolonglah Aina, ayah...” Suara Aina mula kendurmengenangkan keadaan Datin Hanim,
namun hati Aina masih tidak mampu merelakan lamaran itu. Jika terpaksa melutut
merayu pun Aina sanggup ketika ini. Hendak bernikah pada usia semuda itu? Aina
menggeleng, otaknya tidak dapat menerima kenyataan itu.
“Aina, dengar cakap ayah nak, datin tu tak
tahulah berapa lama aje lagi dia mampu bertahan dengan keadaannya yang lemah begitu.
Hanya mampu berserah pada
kuasa ALLAH sahaja sekarang. Datin tak mahu buat kimoterapi, para doktor
pun dah habis ikhtiar dan minta Dato’ Muzaffar bawa datin balik ke rumah. Kata
doktor, datin kena gembira dan tak boleh ada tekanan sebab nanti keadaannya
semakin lemah.Aina
fikirlah sendiri, munasabahkah kita nak mintak tempoh panjang-panjang pula dari dia?” Haji
Hafizuddin bersuara kelat, agak kesal dengan Aina yang tidak cuba memahami
keadaan.
Hajah Aishah pula
menambah untuk memujuk anak gadisnya, “Aina, cinta boleh hadir setelah
bernikah, yang penting Aina kena buka hati Aina dengan rela dan redha. Mak percaya Aina
akan bahagia nanti dengan izin ALLAH. Mak sendiri dah jumpa Izraf. Izraf
sekarang bekerja sebagai arkitek di syarikat papa dia, nanti dialah yang akan
ambil alih Syarikat Muzaffar Holdings.Izraf baik budaknya,
bersopan-santun, hormatkan orang tua. Lembut sahaja tutur kata bila bercakap, elok
akhlaknya. Sejuk hati kami kalau Aina bersuamikan Izraf tu. Kami bukan nak
jodohkan Aina dengan lelaki yang tak tentu hala, tiada ibu bapa yang nak
melihat anaknya derita, Aina.”
Jauh di sudut hati Hajah Aishah, dia juga
mahu Aina bernikah atas dasar cinta demi kebahagiaan anaknya itu, namun keadaan
sekarang tidak memungkinkan perkara itu berlaku. Hajah Aishah kasihankan Aina
kerana tidak dapat membuat keputusan itu untuk dirinya, tetapi dia yakin
pilihan mereka tidak silap.
Dalam soal itu, Hajah Aishah sependapat
dengan Haji Hafizuddin, keputusan mereka berdua bukan sahaja untuk memenuhi
permintaan sahabat karib mereka, tetapi juga telah dipertimbangkan
semasak-masaknya demi
Aina.
Kata-kata Hajah Aishah yang bernada keibuan
itu akhirnya sedikit sebanyak berjaya melunakkan hati Aina. Aina terduduk lemah
di muka pintu. Apa sahaja
alasannya, ada saja jawapan mak dan ayah sehinggakan sukar untuk Aina fikirkan
alasan lain bagi membatalkan keputusan kuasa veto ayah itu. Orang tua
itu pun nampak sahaja cool macam Pierce Brosnan, tapi kalau dah marah,
Rambo pun angkat bendera putih.
Bukannya Aina tidak
faham cara ayahnya mentadbir keluarga selama ini. Aina tidak mahu mengeruhkan
lagi keadaan. Hajah Aishah cepat-cepat memeluk Aina dan membantu mengesat air
mata yang membasahi pipi anak gadisnya itu. Haji Hafizuddin ikut duduk di
sebelah Aina dan kemudiannya memeluk bahu Aina.
“Ayah, mak, Aina ada satu permintaan. Aina
akan bersetuju dengan perkahwinan ini, tapi dengan satu syarat. Aina hendak jumpa Izraf
terlebih dahulu. Hanya Aina dan Izraf. Aina nak berbicara dari hati ke hati
dengan dia.” Suara Aina yang lemah itu membuatkan Hajah Aishah mengucup
ubun-ubun Aina berulang kali penuh simpati.
“Ayah izinkan. Tapi Aina
dan Izraf kena pandai jaga diri. Jangan ke tempat sunyi. Kamu tu dah kira sah
bertunang, sebab ayah dah terima lamaran mereka. Jadi, ayah harap Aina pakai
cincin tu bila jumpa Izraf nanti. Kita kena jaga hati mereka jugak, tak
bolehlah nak tunjuk sangat yang kita terpaksa, ya Aina?”
Dalam nada lembut, ada amaran diselitkan di
situ. Sehinggakan cincin pun ayah dah terima, memang dah tak boleh U-turn
nampaknya. Ah, pantang menyerah sebelum ajal, pantang mengalah sebelum mencuba
sedaya-upaya.
“Aina jangan bercakap
kasar dengan Izraf pulak ya sayang, mak dan ayah percaya Aina pandai menjaga
hati orang. Kasihan pada Izraf, dia pun terpaksa berkorban jugak demi mamanya.”
Hajah Aishah turut menasihati Aina dengan
lembut. Kena ada usahasama yang padu daripada mereka suami isteri jika hendak
menundukkan Aina. Anak gadisnya itu nampak sahaja kecil-kecil cili padi, tapi
pedas berapi, kepala batu pula tu. Memang Aina tidak pernah membantah arahan
mereka suami isteri, tetapi jika ada perkara yang Aina tak suka, memang susah sangat nak pujuk
dia beralah.
Ilhami, adik Aina itulah
yang selalu bising-bising kerana tidak dapat mengubah keputusan Aina. Hendak ke
pasar sekalipun, kalau katanya nak ke pasar tani, pasar tanilah jawabnya, jangan
memandai-mandai mengajak
ke pasar malam. Cadangan
yang pasti ditolak bulat-bulat. Andai Aina menurut kehendak mereka kali
ini, Hajah Aishah amat bersyukur.
Jauh di lubuk hati, Haji
Hafizuddin risau Aina meminta peluang untuk berjumpa berdua dengan Izraf adalah
bertujuan untuk memomok-momokkan Izraf supaya keluarganya menarik balik lamaran
mereka. Bukannya Haji Hafizuddin tidak dapat meneka fikiran yang bermain di kepala
Aina, tengok matanya yang berbintang-bintang, sudah ketara benar ada idea yang sedang dijana
oleh otak Aina.
Namun, mahu tidak mahu, Haji Hafizuddin
terpaksa juga memberi kebenaran kepada Aina kerana dia tidak mahu Aina menukar
fikiran. Persetujuan Aina tadi pun telah membawa seribu kelegaan kepada mereka
suami isteri.
Kerbau berpegang pada tali, manusia berpegang
pada janji. Tak adalah kerbau tu reti nak pegang tali kan, tapi dah ditambat,
tak ke manalah jawabnya. Sama macam keadaan Haji Hafizuddin ketika itu, dia
sudah terlanjur berjanji demi memenuhi permintaan Datin Hanim, mahu atau tidak,
kata mesti dikota. Tak ada butang undo untuk ditekan.
Mendengar pesanan itu, Aina hanya mengangguk.
Walau apa pun syarat yang dikenakan, semua itu dirasakan Aina hanya sekecil
kuman berbanding dengan arahan ibu bapanya supaya dia mengahwini Izraf. Apa
yang penting bagi Aina kini adalah untuk bertemu dengan Izraf terlebih dahulu.
Tahulah dia hendak uruskan nanti.
Bersambung...
*Novel AKU JATUH CINTA
akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri
untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:
FB:
https://www.facebook.com/anna.nabila.90
Terima
kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.