Home Novel Komedi/Romantik Komedi Suamiku, Encik Sotong
Suamiku, Encik Sotong
Syikin Zainal
27/5/2013 15:35:23
493,207
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2

Erica sudah selesai mandi. Dia mengenakan sepasang baju tidur yang berwarna merah jambu. Sesuai sekali dengan warna kulitnya yang putih kemerah-merahan. Menyerlahkan lagi kecantikkannya. Erica membelek wajahnya di cermin. Dia kemudiannya tersenyum sendiri. Rambutnya yang masih basah di biarkan tanpa di sikat. Erica memang prihatin dengan kecantikkan diri. Dia akan memastikan dirinya cantik dan kemas sebelum dia melangkah keluar dari rumah. Di kalangan teman-temannya dia memang dikenali sebagai seorang gadis yang cantik.

“Tak payah beleklah, cantik dah tu,” Farish berkata di muka pintu.

“Wei, kenapa kau masuk bilik aku ni?” marah Erica. Terkejut dia bila mendengar suara Farish.

“Mama Lia panggil makan,” jawab Farish sambil melangkah masuk ke kamar Erica.

“Kau ni bodoh ke apa? Siapa suruh kau masuk ke sini?”

“Muka cantik tapi tak ada budi bahasa, tak ada maknanya,” kata Farish lagi sambil membetulkan rambutnya di hadapan cermin yang bingkainya cantik di ukir.

“Kau ni memang sakit hati dengan aku kan? Kalau tak ada budi bahasa pun tak apa. Aku tetap perempuan sejati. Bukan macam kau. Sotong,” balas Erica.

Farish menarik nafas yang panjang. Kalau diikutkan hatinya, di ganyangnya muka Erica, biar bercalar. Tapi bila di fikirkan balik tiada gunanya dia bertengkar dengan Erica. Dia kemudiannya keluar dari bilik itu. Sengaja dia tidak menutup pintu bilik Erica. Erica tidak habis-habis lagi mengomel.

Di meja makan kelihatan Tengku Atylia sedang sibuk menyuapkan makanannya ke mulut. Erica mengambil tempat di sebelah Amylia. Farish duduk mengadapnya. Erica hanya melihat tingkah Farish yang sedang menyudukan kuah ke pinggannya. Naik geli bila dia melihat cara Farish mencedok kuah itu. Terlalu lembut bagi seorang lelaki.

“Cepat lah sikit, orang lain pun nak makan juga,” Erica bersuara.

“Kan banyak lauk lain. Lauk ni juga yang kau nak tunggu?” jawab Farish.

“Aku punya suka lah nak lauk yang mana. Tak ada kena mengena dengan kau lah,” Suara Erica semakin kuat.

“Sudahlah Rica, Farish. Depan rezeki pun nak gaduh,” tegur Amylia.

“Susahlah semeja dengan orang low class macam ni. Mak Limah.” Panggil Tengku Atylia.

Tergesa-gesa Mak Limah datang ke meja makan bila didengarnya suara Tengku Atylia menjeritkan namanya.

“Ada apa Tengku?” tanya Mak Limah.

“Bawa makanan ke bilik saya. Lemaslah makan kat sini,” arah Tengku Atylia. Dia kemudiannya bangun dari duduknya.

Amylia hanya memandang ke arah Mak Limah sambil menganggukkan kepalanya. Mak Limah kemudiannya mengangkat pinggan itu dan diusungnya mengikut langkah Tengku Atylia.

“Itulah, Rica, Farish. Suka sangat bergaduh. Dari kecil bergaduh sahaja. Tengok tu Mak Ngah dah marah,” Amylia menegur mereka berdua yang telah dianggap seperti anak sendiri.

“Berlagak. High class sangat lah tu,” jawab Erica. Farish tidak menjawab sebaliknya dia terus mengaulkan nasinya perlahan-lahan. Erica mengambil lauk di hadapan Farish dengan kasar.

“Kenapa makan dalam bilik ni? Meja makan dah penuh?” tanya Tengku Eddrus kepada isterinya.

“Hilang selera melihat muka dia orang tu,” jawab Tengku Atylia.

“Awak ni Aty, kan dia orang tu saudara mara awak.”

“Bila masa dia jadi saudara mara saya? Amylia tu entah anak pungut mana yang Bonda ambil. Farish tu pun sama sahaja. Erica tu walaupun anak arwah Kak Long tetapi dia bukan keturunan saya. Saya ni keturunan tengku-tengku.”

“Ni zaman mellenium lah Aty. Mana orang pandang lagi benda-benda macam tu. Sekarang ni sultan pun boleh kahwin dengan rakyat. Awak je yang berfikiran kolot macam tu.”

“Kolot? Awak tau masa saya nak kahwin dengan awak pun, mak awak tengok juga, saya ni siapa? Awak fikir kalau saya ni bukan anak Tengku Imran, mak awak nak terima? Tak lah Tengku Eddrus. Sebab saya ni Tengku Atylia Tengku Imran, baru mak awak masuk meminang saya,” Tengku Eddrus hanya tersenyum mendengar kata-kata isterinya. Memang benar kata isterinya itu. Perkahwinannya haruslah dikalangan golongan Tengku-tengku sahaja. Itu syaratnya jika dia mahu mendirikan rumahtangga. Syarat yang ditetapkan oleh golongan bangsawan sepertinya. Tetapi itu dahulu, sekarang bagi Tengku Eddrus, syarat itu perlu ditukar. Zaman sekarang yang penting duit dan kuasa.

“Izhan bila nak sampai?” Tengku Eddrus mengalihkan perbualan.

“Kejap lagi sampai lah tu,” jawab Tengku Atylia sambil menguis saki baki nasi yang ada dipinggannya.

Erica menarik nafas yang panjang. Sesekali tangannya di depakan seolah-olah menerima pelukan dari angin malam. Dia menyanyi kecil namun suaranya jelas kedengaran.

“Boringnya,” rungut Erica. Menyesal pula tidak mengikut papanya pulang ke hotel. Sekurang-kurangnya boleh lah juga dia mengajak papanya keluar mengambil angin malam. Melihat keindahan bandar Melaka ini pada waktu malam.

“Rica buat apa sorang-sorang kat luar ni?” Amylia menegur Erica.

“Mama Lia. Terkejut Rica. Ingatkan siapa tadi,” jawab Erica sambil mengikat tocang rambutnya yang semakin panjang itu.

“Siapa lagi, kalau bukan Mama Lia. Kenapa? Ingatkan Mak Ngah ke yang datang?”

“Mak Ngah nak tegur Rica? Kirim salam. Dia nak marah Rica lagi ada,” Erica menjawab. Amylia ketawa mendengar jawapan dari Erica. Anak kepada pasangan Zahid dan arwah Kak longnya, Emilna.

“Kenapa tak ajak Farish sekali, duduk kat taman ni? Rica kan lama tak balik sini,” soal Amylia. Walaupun dia tahu tidak mungkin Erica dan Farish akan duduk dengan damai semeja.

“Mama Lia nak suruh si sotong tu duduk dengan Rica? Tolong sikit. Buang masa sahaja duduk dengan si sotong tu.’

“Tak baik Rica cakap macam tu kat dia. Dia tu lelaki tulen, tapi lembut sikit.” Amylia memihak kepada Farish. Dia mengenali Farish lebih dari yang lain. Farish membesar di hadapan matanya.

“Farish lelaki? Mama Lia. Lelaki tak kan pakai lip balm. Tak pakai losyen. Dan yang penting orang lelaki tak kan melentikkan jari dia macam ni,” kata Erica sambil melentikkan jari jemarinya mengikut apa yang selalu di lakukan oleh Farish. Dia kemudiannya ketawa. Amylia hanya tersenyum kelat.

“Rica tak jadilah nak ke Singapura?” Amylia sengaja mengalih tajuk perbualannya dengan Erica.

“Tak. Geramnya bila di fikirkan. Susah payah kami buat rancangan tetapi Rica yang tak boleh ikut. Entah-entah dia orang sekarang ni tengah seronok lepak kat Sentosa.”

“Lain kali boleh pergi,” Amylia memujuk.

“Susah nak pergi lain kali. Bulan depan dah nak mula semester baru.”

“Tak pa, nanti Mama Lia yang bawa Rica pergi.”

“Janji?”

“Okey. Tapi Farish kena ikut sekali,” jawab Amylia.

“Kenapa pulak nak bawak si sotong tu?”

“Dia kan boleh jadi guard kita,” Amylia menjawab. Erica ketawa mendengar jawapan dari Amylia. Terasa sungguh kelakar.

“Kenapa gelak sampai macam ni sekali?” soal Amylia walaupun dia dapat mengagak jawapan yang bakal diberikan oleh Erica.

“Mana tak tergelak, bukan dia nak jaga kita. Silap-silap kita pulak kena jaga dia.” Jawab Erica.

Ketawa Erica terhenti bila sebuah kereta Honda Accord model baru masuk ke perkarangan rumah agam itu. Kemudian keluar seorang jejaka yang tampan. Wajahnya bersih, rambutnya kemas, badannya tegap dan tinggi. Jejaka itu masuk dan menghampiri Erica dan Amylia.

“Mama Lia,” tegur jejaka tampan itu.

“Iz. Kenapa lambat sangat sampai ni?” tanya Amylia.

“Banyak kerjalah. Ni siapa pulak ni?”

“La, dah lupa ke? Ini kan Erica. Sepupu Iz lah,” jawab Amylia.

Erica tersentak. Sepupu? Iz?

“Rica?”

“Abang Izhan?” kata Erica.

“Erica Soffea. Lama kita jumpa? Makin cantik” jawab Izhan. Anak teruna kepada Tengku Atylia dan Tengku Eddrus.

“Terima kasih,” Erica menjawab dengan tersenyum simpul.

“Farish mana?” tanya Izhan pula.

“Ada kat dalam bilik dia. Iz masuk dulu. Mama dengan Papa Iz ada dalam bilik nenda.”

“Okey. Iz masuk dulu. Lagipun nak mandi ni. Melekit-lekit dah badan ni. Drive dari K.L. Okey Rica, kita sembang lagi nanti,” kata Izhan sambil mencuit pipi gebu milik Erica. Erica hanya membiarkan sahaja.

“Ni kenapa ni? Senyap sahaja, terpegun?” Amylia bertanya kepada Erica.

“Abang Iz ke tu? Hensemnya sekarang. Dulu tak ada pun macam tu,” balas Erica.

“Itulah Rica dah lama tak balik sini. Sampai saudara sendiri pun tak kenal. Nasib baik tak mengorat tu.”

“Bukan tak nak balik lah Mama Lia. Tapi...” jawab Erica.

“Tapi sebab merajuk dengan nenda kan? Rica, nenda tu sebenarnya sayangkan Rica. Tapi dia memang tegas orangnya,” sambung Amylia.

“Bukan sebab dia tegas yang Rica marahkan. Tapi nenda tu tak adil. Lagipun nenda pun tak suka Rica dengan Papa balik sini kan? Ialah kami ni bukan keturunan Tengku-Tengku.”

“Mama Lia pun bukan keturunan tengku, Farish pun bukan keturunan tengku, tapi masih lagi diterima oleh nenda. Rica, yang tak dapat terima Papa Rica hanya lah Mak Ngah sahaja. Orang lain semua boleh terima dengan minda yang terbuka. Kita bukan hidup di zaman kesultanan melayu Melaka. Sekarang ni zaman pemerintan ketua menteri.” Amylia berkata lagi.

“Itu Mama Lia dengan Farish. Rica ni nenda bukan sayang pun. Dari kecil dia hanya sayangkan Farish. Apa yang Farish nak semua dapat. Rica ingat lagi. Masa tu Rica dalam darjah enam, kami sama-sama main dalam bilik bacaan tu. Tapi hanya Rica yang kena marah, Farish selamat je dia. Adil ke tu? Ada dia ingat hari jadi Rica? Rasanya tak, sebab tak pernah pun Rica dapat apa-apa walaupun sekeping kad dari dia. Tapi Farish, Mama Lia maklumkan. Malas lah nak ungkit benda lain,” luah Erica.

“Itu Rica kena faham.Lagipun Rica, Rica kan tak duduk dengan dia. Farish ni duduk dengan dia. Lagi satu, pernah ke Rica ucapkan selamat hari jadi pada dia? Mama Lia rasa, Rica pun tak tahu bila hari jadi dia kan. Masa dia sakit, dia selalu teringatkan pada Rica. Syukurlah, Mama Lia tahu Rica marahkan dia, tak suka pada dia tapi Rica masih lagi datang menjenguk dia di saat-saat akhirnya,” Amylia memegang bahu lembut Erica.

“Mama Lia, Rica bukan tak sayangkan Nenda, tapi entahlah kecik hati sangat dengan dia.”

“Rica tahu tak? Dia rapat dengan Farish sebab dia tak boleh rapat dengan Rica. Bila dia rindukan Rica, dia cuba telefon Rica tapi Rica buat apa? Rica buat endah tak endah sahaja. Sudahnya Farish lah tempat dia menumpang kasih dia. Dia dah tua. Anak-anak sibuk, hanya Farish yang ada di sisinya selalu. Rica pun satu, rasanya masa dia sakit baru Rica datang melawatnya. Kalau tak, balik sini hari raya sahaja. Itupun sehari dua,” Amylia berkata lagi. Kali ini Erica tidak mampu membalas kata-kata yang keluar dari mulut Amylia.

“Dah lah, jom kita masuk. Lama-lama ambil angin malam ni bukan bagus sangat,” ajak Amylia. Erica menganggukkan kepalanya. Kemudian kedua-duanya melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah yang tersergam indah itu.
Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.