Home Novel Komedi/Romantik Komedi BUKAN 'TASTE' AKU
BUKAN 'TASTE' AKU
Syikin Zainal
18/5/2015 15:10:40
45,325
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 9

MANGKUK mana pula yang ‘rem’ motor pagi-pagi ni? Memekak ajelah,” rungut Irdina geram.

Kedamaian paginya tergugat dengan bunyi deruman motosikal pada waktu pagi. Geramnya bukan main. Anum sudah keluar ke tempat kerja. Sebelum itu sempat dia menghantar Maya ke Lapangan Terbang untuk berkursus di Sabah. Tinggallah dia sendirian. Hari ini dia akan masuk kerja pada jam 11.00 pagi.

Irdina menuju ke tingkap, langsir diselaknya sedikit untuk mengintai. Yakin sangat dia bunyi motor yang kuat itu datangnya dari sebelah rumahnya. Sebelum ini, bunyi yang begitu tidak kedengaran sehinggalah rumah sebelah berpenghuni. Malangnya Irdina hanya sempat melihat asap dan bunyi yang semakin menghilang.

“Hisy, tak sempat aku nak tengok. Sekejap aje dia dah blah,” kata Irdina sendiri.

Dia keluar dari rumahnya dengan hanya menutup kepalanya dengan tuala. Matanya menjeling-jeling ke sebelah rumah. Mana tahu ada lagi penghuni yang belum keluar.

“Pagi, Sha,” tegur Irdina kepada Shasha yang sedang menuju ke arahnya.

Shasha kelihatan anggun dengan skirt labuh hingga ke buku lali. Bajunya yang ketat dan sendat itu menampakkan jelas bentuk tubuhnya.

“Pagi, Dina. Jenguk apa tu, dari tadi Sha tengok,” ujar Shasha.

“Tak ada apalah Sha. Ada jiran baru kita ya?”

“Emm... macam tulah. Tapi Dina, tak payah kenal pun tak apa, berlagak nak mampus jantan tu. Apa dia ingat dia handsome sangat ke.”

“Sha dah kenal ke?”

“Semalam, kita ni besar hatilah nak berkenalan. Nak beramah mesra. Sudahnya hati kita disakitinya. Ingat kita ni kebular sangat nak berkenalan dengan dia?” marah Shasha, matanya dijelingkan ke arah rumah yang dimaksudkannya.

Irdina ketawa.

“Perasaan kau aje kot Sha. Orang bekeluarga ke?”

“Entahlah, bujang kot. Sha nampak dia sorang aje. Dah keluar pergi kerja pun, tak dengar ke tadi punya bising dengan motor dia. Macam dia sorang ada motor besar gitu. Tak kuasa akak.”

“Itulah, keluar ni pun nak jenguklah juga, besar mana motor dia tu yang bising sangat. Alih-alih dah hilang. Ni nak pergi kerja ke?”

“Yalah, Cik Dina. Nak pergi kerjalah ni. Okeylah, pergi dulu ya. Muka tu jangan lupa gosok-gosok sikit, buang kulit mati tu. Dah berkarat aku tengok. Kalau dah malas, meh ke salun aku,”ujar Shasha, sempat lagi mempromosikan salunnya.

“Tak apalah Sha. Lagi berkarat lagi bagus. Kalau cantik sangat pun susah, nanti jadi gadis idaman Malaya pula. Silap-silap, kau pun tergoda tengok aku,” usik Irdina.

“Hey, tolong sikit. Kau bukannya taste aku pun. Dahlah, layan kau ni Dina, hilanglah pelanggan aku,” kata Shasha sebelum dia melangkah pergi.

IRDINA sampai ke tempat kerjanya agak awal.

“Selamat pagi Dina,” tegur Latha.

Irdina menjawab. Mereka beriringan menuju ke pejabat untuk punch card.

“Harap-harap tak ramailah orang hari ini kan,” kata Irdina.

“Kita yang bekerja ni suka kalau orang tak ramai yang datang. Tapi, Encik Zamir kalau orang tak datang, mesti dia susah hati kan.”

“Tahu tak apa. Habis tu yang kau orang melangut lagi kat sini apa hal? Tak reti-reti ke nak tolong bahagian dapur ke, lap-lap meja ke. Ini tidak, asyik bersembang sahaja. Punch card sampai berpuluh minit ke?”

Kedengaran suara Zamir dari arah belakang.

“Pagi, Encik Zamir. Awalnya sampai.” Tersipu-sipu Latha menegur majikannya.

Selalunya Zamir akan tiba pada jam 12.00. Pagi ini sebelum pukul 11.00 Zamir sudah terpacak dalam kedai ini.

“Err... kami masuk pukul 11.00, Encik Zamir. Ni baru pukul 10.45. Kerja awal pun bukan boleh claim OT,” jawab Irdiana dengan selamba.

“Buat-buatlah amal sikit kat syarikat ni. Amboi, berkira nampak. Time bonus laju aje. Buat kerja lebih sikit berkira. Kalau macam tu, pergi rehat kat rest room. Tapi ingat, bonus kamu berdua tak ada tahun ni. Awak dua orang berkira dengan saya kan, jadi saya pun kenalah berkira dengan awak,” ugut Zamir.

“Eh, Encik Zamir, saya tak kisah. Saya tak berkira pun. Dina yang berkira. Okeylah, saya nak pergi lap kerusi meja. Okey, Encik Zamir,” kata Latha menyelamatkan dirinya. Pantang sungguh kalau bab-bab bonus.

“Awak Dina?”

“Err... saya main-main aje. Mana ada nak berkira-kira. Kan, Latha? Tak apalah Encik Zamir, saya nak ikut Latha lap meja. Bye,” jawab Irdina lalu dia menarik baju Latha untuk pergi dari situ.

“Ha, tahu pun takut. Budak-budak nilah. Sebut aje tak nak bagi bonus, baru nak buat kerja. Kalau tidak, jangan haraplah,” rungut Zamir lagi.

ZAFRI Iman masuk ke dalam kedai makan itu dengan muka yang selamba. Kalau tidak kerana Zamir yang menyuruhnya datang, jangan haraplah dia nak menapak ke dalam kedai itu. Matanya melilau mencari-cari perempuan yang menyebabkan dahinya dijahit. Berharap-harap agar perempuan itu tidak bekerja hari ini. Dan kalau boleh, dia mahu perempuan itu terus berhenti kerja. Lagi aman.

“Zamir ada?” tanya Zafri kepada Mimi, penyelia di situ.

“Encik Zaf. Encik Zamir ada kat pejabat. Lama tak datang? Okey dah ke?” tanya Mimi.

Dari air mukanya, jelas dia sedang menahan ketawa.

Sudah lebih sebulan Mimi tidak melihat Zafri ke kopitiam ini. Selepas peristiwa menyayat hati itu. Lelaki yang kononnya maco akhirnya jatuh pengsan bila melihat darahnya sendiri.

“Tak mati lagi. Perempuan tu mana? Dah berhenti kerja?” tanya Zafri merujuk kepada Irdina.

“Siapa? Dina ke?”

“Siapa lagi? Minah Serabai tulah.”

“Tak baik tau Encik Zaf ni. Dia ada kat dalam. Encik Zaf nak oder makan ke?”

“Taklah, saya datang ni nak jumpa dengan bos awak. Entah apa hal dia suruh saya datang sini. Saya masuk dululah,” balas Zafri.

Saat Zafri melangkah menuju ke pejabat Zamir, matanya tetap melilau, mencari-cari kelibat Irdina.

“Selamat aku,” kata Zafri ketika membuka pintu kaca pejabat temannya itu.

“Zaf, masuklah. Apa yang selamat tu?” tanya Zamir.

“Selamat daripada Minah Serabai tu. Kalau tak, entah apa balalah yang akan berlaku pada aku ni.”

“Minah Serabai mana pula ni?”

“Siapa lagi, pekerja kau tulah. Aku tak boleh terserempak dengan dia. Kalau terserempak dengan dia, alamatnya bala petaka yang akan menimpa aku,” ujar Zafri.

“Kau ni ada-ada ajelah. Aku nak minta tolong kau sikit ni,” ujar Zamir mengutarakan kata.

“Apa hal, sampai ke sini kau suruh aku datang. Nasib baik aku ni mengenangkan kau banyak tolong aku. Kalau tidak, jangan haraplah aku nak pijak kedai ni. Malu aku. Semuanya sebab Minah Serabai tu.”

“Aku nak minta tolong kau edarkan risalah ni kat kilang kau. Tolong promote kedai aku ni. Sekarang ni pelanggan kurang sikitlah.”

“Itu aje? Kau ni... aku ingatkan apa hal yang penting sangat. Kau tak payah suruhlah, aku dah pun promote kedai kau ni. Tapi, kalau ada risalah macam ni, lagi senang. Tak payahlah habiskan air liur aku. Bukan ada faedah pun. Makan kat sini pun aku kena bayar juga.”

“Kau ni, dengan aku pun nak berkira ke? Kawan ke ni?”

“Iyalah, baklah risalah tu.”

Zamir menghulurkan satu rim kertas yang telah dicetak dengan iklan kedainya.

Zafri mengambil sehelai daripada risalah itu dan dibacanya.

“Macam mana dengan rumah kau?”

“Bolehlah, baru semalam tidur. Ikutkan hati aku malas nak kerja hari ini. Tapi, dah tak dapat cuti, terpaksalah juga. Kau ni hantu betullah Mir.”

“Apa hal pula? Aku dah susah payah cari rumah tu, suka hati kau aje nak cakap aku hantu!” marah Zamir.

“Bukan aku tak hargai, tapi lain kali kau selidik dulu siapa jiran-jiran aku. Ini tidak, kau main redah aje.”

“Dah kau yang tak sabar-sabar nak cari rumah, aku pakai tangkap muat ajelah. Kenapa dengan jiran kau? Bukan rumah kau tu diapit dengan rumah anak dara ke?”

“Banyaklah kau punya anak dara. Kau tau tak, dari belakang memang meleleh air liur tengok lengok, sekali dia pusing, seketul buah halkum kat leher. Hampeh betul!” ujar Zafri geram.

“Maksud kau, pondan ke yang duduk sebelah tu?” soal Zamir dengan tawa yang mengiring.

“Tahu pun kau gelak. Sakit hati betullah aku. Siap nak beramah tamah dengan aku lagi tu. Aduh, lemah semangat aku, kau tahu tak.”

“Ha... Ha... Ha... Padan dengan muka kau. Yang sebelah lagi?”

“Entahlah, tak sempat lagi nak jenguk. Silap-silap, sebelah lagi tomboi. Lagi haru aku. Ingatkan pagi-pagi bolehlah nak cuci mata. Ini tidak, nak keluar rumah pun aku naik seram. Mana tahu kot-kot digodanya aku. Apa entah nama dia, Shasha, Tasya, Nasya. Entahlah, aku pun dah lupa. Sedih betullah. Siap mekap lagi. Tu yang aku tak tahan tu.” Zafri turut ketawa ketika menceritakan hal itu.

“Dahlah, jom kita keluar makan. Kau nak makan apa, hari ini, aku belanja kau makan.”

“Makan kat luarlah. Hilang selera aku nak makan kalau ada Minah Serabai tu.”

“Gila kau. Kedai aku ada, aku nak pergi makan kat kedai orang. Alah, makan kat sini aje. Rasanya dia break sejam kot. Apalah kau ni. Dengan perempuan macam tu pun kau nak ambik pot.”

“Aku bukan apa, Mir. Sebab dialah, aku hilang ketampanan aku.”

“Banyaklah kau punya tampan. Lisa tu tengok poket kau aje tau. Lupa pula aku, kau tak keluar dengan dia ke?”

“Boringlah aku. Asyik nak manja-manja aje. Apa dia ingat aku ni anak kucing. Nak menggesel aje kerjanya. Naik rimas aku.”

“Pulak dah. Macam-macamlah kau ni Zaf,” ujar Zamir, kemudiannya bangun dari duduknya.

Zafri mengekori dari belakang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.