Home Novel Komedi/Romantik Komedi BUKAN 'TASTE' AKU
BUKAN 'TASTE' AKU
Syikin Zainal
18/5/2015 15:10:40
45,468
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

“LAMBATNYA!”tukas Zafri sendirian. Rasa rindu pada pemilik nama Lisa semakin menjadi. Rindu pada aksi manjanya yang mengalahkan anak kucing yang kelaparan.

Zafri atau nama sebenarnya Zafri Iman merupakan jurutera di Sun Teknologi. Orangnya tidaklah terlalu kacak, sederhana sahaja, tapi ramai yang tertarik kerana auranya. Dia memang pandai memikat. Pandai menyusun ayat.

Lisa, entah buah hati Zafri yang ke berapa, dia sendiri tidak tahu. Dia suka berdekatan dengan kaum Hawa. Baginya, bermanja-manja dengan kaum ini seperti menjalani satu terapi. Melihat kecantikan teman wanita yang sentiasa ada di sisi, seolah-olah melegakan. Siapakah yang tidak suka pada yang cantik?

“Lama tunggu ke Zaf?” tanya Lisa sambil melirik manja.

Dia terlewat hampir setengah jam daripada janji temunya dengan Zafri.

“Tak lama sangat. Baru setengah jam. Demi Lisa, lima jam pun Zaf sanggup tunggu,” balas Zafri, tetapi dalam hati, menyumpah jugalah.

Hampir berlumut dia menunggu di situ. Nasib baiklah cuaca tidak berapa panas. Zafri menghulurkan topi keledar yang berwarna hitam pekat kepada Lisa. Kemudian dia menolong Lisa memakaikan topi keledar.

Motor ditunggang laju menyusuri Jalan Duta. Makin laju, makin kuat pelukan yang diterima Zafri. Tersengih-sengih Zafri. Kemudian dia memperlahankan superbike yang berkelajuan 500 cc itu. Superbike yang berwarna merah putih berhenti di hadapan kedai makan ala-ala kopitiam. Lisa membetulkan rambutnya yang berterbangan ditiup angin.

“Zaf, lain kali naik keretalah. Lisa tak selesa naik superbike ni. Tengok ni, rambut pun dah tak elok,” rungut Lisa, jari-jemarinya terus mengurai-uraikan helaian rambutnya.

“Alah, naik superbikelah best Lisa. Boleh peluk-peluk.”

“Gatallah Zaf ni!” marah Lisa manja.

“Nak makan kat sini ke?” tanya Lisa kepada Zafri.

“Haah.Kedai ni kawan Zaf yang punya. Kiranya Zaf pun ada syer jugalah kat sini. Murah sikit.”

“Kedekut.”

“Bukanlah, cermat aje. Maklumlah, banyak benda lain yang nak kena maintain,” kata Zafri sambil kakinya melangkah laju menuju ke dalam kedai makan itu.

“Makan sini ke?” tanya seorang pelayan.

Zafri menoleh, rasanya ini kali pertama dia melihat gadis yang bertudung itu. Dia membaca tanda nama yang tertera di pakaian seragam hitam putih itu.

“Dina. Sedap nama tu. Tapi, macam tak berapa nak cerdik. Kalau dah pelanggan duduk kat meja ni, mestilah nak makan dik. Takkanlah abang nak bawak balik,” balas Zafri sambil tersenyum.

Lisa tergelak kecil mendengarnya. Muka Irdina kemerahan, menahan malu dan marah.

“Lain kali kalau pelanggan duduk kat meja, tanya nak makan apa, encik. Faham?” ujar Zafri lagi.

Irdina menganggukkan kepalanya. Dia meletakkan menu dan berlalu pergi.

Pen yang ada di tangannya dibaling perlahan.

“Kenapa Dina?” tanya Latha, gadis India yang merupakan teman sekerjanya.

Customertulah. Berlagak gila. Apa dia ingat aku ni budak bodoh apa?” rungut Irdina.

“Yang mana satu?” tanya Latha lagi.

“Yang pakai baju macam nak pergi race haram tu. Berlagak. Jangan-jangan bawak kapcai aje.” Irdina memuncungkan mulutnya.

“Oh, yang itu kawan Encik Zamir. Nama dia Zaf. Dia selalu makan kat sini dan selalu tukar-tukar awek,” terang Latha lagi.

“Muka macam tembok pun banyak awek ke? Hisy, tak ada mata ke awek-awek tu?”

“Muka macam tembok? Aku tengok okey aje,” balas Latha sambil mata terus memandang ke arah Zafri. Mencari di mana cacatnya Zafri.

“Okey apa ke benda. Janggut sejemput, macam kambing aje aku tengok.”

Latha ketawa mendengarnya.

“Sampai hati kau, Dina. Macam kambing kau cakap. He... He... He... Pergilah, dia panggil tu.”

Irdina melangkah dalam keterpaksaan.

“Nak makan apa, encik?”

Kambing,sambung Irdina dalam hati. Mukanya merah kerana cuba menahan ketawa.

“Emm... bagi saya mi kari dua. Minum, ice white coffee dan jus oren. Cepat sikit. Girlfriendabang dah lapar ni. Kang tak pasal-pasal dia pengsan,” ujar Zafri.

Peduli apa aku kalau awek kau pengsan, bisk Irdiana dalam hati.

Tidak lama kemudian, Irdina membawa makanan yang dipesan oleh Zafri dan teman wanitanya. Setelah meletakkan makanan itu di atas meja, dia meninggalkan kedua-duanya menikmati hidangan masing-masing.

“Alahai, meluatnya aku tengok. Kau tengok tu Latha, apa perempuan tu tak ada tangan ke nak makan. Sampai nak kena suap-suap pula dah,” bisik Irdina.

“Kau jangan tak tahu. Tangan perempuan tu patah, sebab tu kena suap. Jangan-jangan perempuan tu OKU tak?” kata Mimi, seorang lagi kakitangan di situ.

Latha dan Irdina ketawa agak kuat, hingga menarik tumpuan dua tiga pelanggan di dalam premis itu.

Zafri menjeling. Dan jelingan itu tepat pada mata Irdina. Irdina cuba memaniskan mukanya.

USAImakan, Zafri menggamit Irdina. Irdina menghampiri. Zafri kemudiannya memberikan not RM50 kepada Irdina.

“Yang lebih tu, ambil untuk awak, upah ketawa tadi,” kata Zafri dengan masam. Walaupun dia tidak mendengar, tetapi dia merasakan yang gadis-gadis itu sedang ketawakannya.

“Err... kami ketawa sebab lain, encik,” jawab Irdina serba salah.

“Ada saya kata awak ketawakan saya. Saya cuma nak bagi upah kat awak sebab ketawa tadi. Ketawa awak tadi menyenangkan hati saya. Macam badut. Esok-esok kalau saya datang lagi, saya nak awak ketawa lagi. Kalau boleh, pakai mikrofon. Tak pun pakai pembesar suara, boleh?”

Memang kurang asam jawa betul mamat ni. Tak apa, Dina, sabar, sabar... Kalau aku nampak kau kat luar, sah-sah aku langgar kau dengan EX5 aku.

Irdina menuju ke kaunter, lalu menyerahkan duit kepada juruwang. Bakinya diambil dan dengan segera dia keluar dari premis itu. Matanya melilau mencari kelibat Zafri dan teman wanitanya. Matanya tertancap pada sebuah superbike yang diyakini pemandunya ialah Zafri. Dia menahan dengan mendepakan kedua-dua belah tangannya, betul-betul di tengah jalan.

Zafri menekan brek dengan kuat. Bukan setakat brek kaki, brek tangan juga terpaksa digunakan.

“Kau ni kenapa? Dah puas hidup ke?” tengking Zafri. Cermin helmetnya diangkat.

Memang betul, Zafri yang menunggang superbike itu.

“Nah, ini baki duit encik.” Irdina menyerahkan kembali duit baki.

“Kan saya bagi kat awak tadi, upah gelak.” Suara Zafri semakin kuat. Tak faham ke perempuan ni, getusnya dalam hati.

“Tak payahlah, encik. Gelak saya ikhlas dari hati. Nah, ambil balik duit ni, buat upah orang suapkan makanan dalam mulut,” kata Irdina.

Selepas menyerahkan baki kepada Zafri, Irdian berlalu pergi dengan bangganya.

“Zaf, biadabnya perempuan tu,” kata Lisa menaikkan lagi marah dan geram Zafri.

“Tak apa, hari ni hari dia. Tengoklah nanti. Nanti Zaf beritahu kat kawan Zaf. Siap dia,” kata Zafri dengan geram. Dia kemudiannya meneruskan perjalanannya.

“HAI, Dina, baru seminggu kerja muka dah masam mencuka. Kenapa ni awak?” tegur Anum.

Maya hanya menjeling.

“Anum tak pergi kerja ke hari ni?” tanya Irdina sambil melemparkan beg sandang ke sofa.

“Saya kerjalah awak, tapi hari ni tak ada hal. Balik awallah. Awak ni kenapa? Masam aje.”

“Malas nak cerita. Ada customer berlagak gila datang ke kedai. Tak pernah jumpalah lelaki berlagak macam tu. Mengalahkan artis. Kalau kacak, tak apalah juga. Ini muka dahlah macam tembok pecah, janggut macam kambing. Geramnya saya,” kata Irdina dengan aksi geramnya.

“La, siapa?” Maya tertarik untuk mendengarnya.

“Manalah saya tahu dia siapa. Tapi, dia orang panggil Zaf. Kiranya regular customerlah kat situ. Dia orang cakap dia selalu datang, tapi selalu dengan awek yang bertukar-tukar. Tergamak dia cakap saya tak berapa nak cerdik.”

“Dia cakap awak tak berapa nak cerdik? Menarik tu.” Kini Anum pula memberi tumpuan.

“Anum, tak baik tau.” Irdina pura-pura merajuk.

“Bukan saya cakap awak tak berapa nak cerdik. Tapi, saya tertarik kenapa dia cakap kat awak macam tu.”

“Sebab saya tertanya, sama ada dia nak makan kat situ ke atau nak bawak balik.”

“Pasal tu aje, dia cakap awak tak berapa nak cerdik?” sampuk Maya.

“Itulah pasal. Lepas tu, dia main suap-suap dengan awek dia. Mimi, kawan sekerja saya buat lawak, saya gelaklah. Dia perasan. Lepas tu dia panggil saya, bagi duit, yang lebih tu dia suruh saya simpan buat upah sebab gelakkan dia.”

“Tapi memang awak gelakkan dia kan Dina?”

“Memanglah Maya. Tapi dia tu berlagak. Gila-gila punya berlagak. Saya pun ambil duit dia. Dapat aje baki duit dia yang konon-kononnya upah saya sebab gelakkan dia, terus aje saya tahan dia, saya bagi balik kat dia. Sebelum tu, saya cakap kat dia. Ambil balik duit ni, buat upah orang suapkan makan. Lepas tu terus saya blah. Mesti berasap dia menyumpah seranah saya kan?” soal Irdina.

Maya dan Anum ketawa.

“Awak ni Dina, macam-macamlah. Kesian kat mamat tu. Mesti dia terkulat-kulat?”

“Bukan setakat terkulat-kulat, Maya. Dah tahap berlumut,” balas Irdina, dia ketawa. Dan dia masih lagi terbayangkan air muka Zafri ketika itu.

“MIR, aku tengah bengang gila kat staf kau. Ada ke aku yang handsome, tampan dan bergaya ni diperkotak-katikkan. Angin betul aku.” Zafri merungut tatkala sampai di rumah temannya itu.

“Kau ni kenapa? Datang rumah aku, bising-bising pasal staf aku,” tanya Zamir. Kepalanya digaru walaupun tidak gatal.

“Tadi aku ke kedai makan kau. Siapa erk nama budak baru tu? Dini, Diko. Entah apa ke namanya.”

“Oh, Dina kot. Budak baru kat situ. Apa hal pula dengan dia? Aku tengok budak tu okey aje.”

“Okey kau cakap? Biadab budak tu kau tahu tak? Kalau ada sepuluh staf kau macam tu, lingkuplah kopitiam kau. Kau pecat aje budak tu.”

“Takkanlah aku nak pecat bodoh-bodoh macam tu aje. Mesti ada sebab. Kau bagi satu alasan yang kukuh kenapa aku kena pecat dia?”

“Sebab dia biadab. Kau tahu tak dia tahan motor aku tengah-tengah jalan semata-mata nak pulangkan baki, padahal baki tu aku dah serahkan pada dia, buat upah dia gelakkan aku.”

“La, pula dah. Sejak bila pula kau upah orang gelakkan kau ni? Kalau macam tu, aku pun nak jadi tukang gelak.” Zamir berkata dan ketawa.

Zafri yang sedang marah, menumbuk bahu kawannya itu.

“Sakitlah, kau ni kenapa Zaf. Aku tak pernah dengar pula ada upah ketawa. Pasal apa yang kau pergi upah dia sebab ketawakan kau.”

“Aku tak tahu sebab apa dia ketawakan aku. Tapi masa dia pulangkan duit baki tu, sempat lagi dia soundaku. Ada ke patut dia suruh aku upahkan orang suapkan makanan untuk aku. Apa dia ingat aku ni cacat anggota ke apa? Siot betullah minah tu.”

“Ni mesti kau main suap-suap dengan awek kau ni kan? Padan dengan muka kau.”

“Agak-agaklah wei. Sekarang, tu alasan aku untuk kau pecat dia. Lagi satu, kau buatlah kursus cara-cara melayan pelanggan kat staf kau. Lagi berkembang perniagaan kau, Mir.”

“Kukuh, jitu dan padu alasan yang kau berikan tu Zaf. Kau pun, agak-agaklah sikit. Ada ke patut sebab tu aku nak pecat dia. Tak konkrit langsung. Kau lupakanlah. Eh, pasal ni aje kau datang rumah aku ni?”

“Taklah, aku datang ni sebab nak ajak kau konvoi ke Melaka minggu depan. Setakat ni dah 10 biji yang setuju nak konvoi. Kau macam mana?”

“Aku tak bolehlah wei. Minggu ni aku ada kenduri kat rumah mak anjang aku. Anak dia yang baru habis belajar kat Australia nak balik.”

“Mak anjang kau yang buat kenduri, bukan kau. Alah, bolehlah. Tak cukup geng, macam tak lengkaplah beb,” pujuk Zafri.

Dia dan Zamir sudah berkawan sejak di universiti lagi. Dua-dua meminati sukan permotoran.

“Maaflah Zaf, aku memang tak boleh,” putus Zamir.

“Tak apalah kalau macam tu. Habis, cadangan aku tadi macam mana?”

“Cadangan? Cadangan apa?” Zamir benar-benar terlupa. Seingatnya, daripada tadi Zafri tidak mencadangkan apa-apa kepadanya.

“Alahai, nyanyuk dah kawan aku ni. Cadangan suruh kau pecat Diko tu.”

“Oh, Dinalah. Yang tu, maaflah, alasan kau tak konkrit. Kau cari alasan lain okey.”

“Eleh, macam ni ke kawan? Aku tak kira, kau pecat juga budak tu.”

“Kau ni main arah-arah aje. Kau ada syer ke?”

“Apa kau ingat aku tak ada syer?”

“Bila masa pula kau jadi sleeping partneraku ni?” tanya Zamir.

“Eh, tak ada ke?” Zafri bertanya dengan muka yang tak malu.

“Banyaklah kau punya syer,” balas Zamir.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.