Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 13

SEPERTI yang dijangka, dirinya teruk dimarahi ibunya malam itu apabila dia pulang dari pejabat. Isu tentang blind date yang dirosakkannya, menjadi agenda utama ibunya. Pagi tadi dia melarikan diri, sekarang hendak tak hendak, terpaksalah kemarahan wanita itu dihadapi dan diterima bulat-bulat.

Tak habis-habis wanita itu meleter padanya hingga naik sebu telinganya menadah. Sesekali dia menjeling Ubek yang sedang membaca di ruang tamu. Matanya turut mengintai susuk ayahnya yang sedang menonton berita di televisyen. Adoii..tak ada belas kasihan langsung babah dengan abang ni! Rungut Cika.

“Hah awak nak ke mana tu? Umi tak habis cakap lagi.” Teriak Puan Bahyah apabila dilihatnya Cika mahu beredar.

“Umi, dahlah tu. Cika penat sangat hari ni. Dahlah hari ni Cika ada emergency, now Umi pulak nak tambah penat Cika. Apa kata umi sambung esok ajelah.” Balas Cika.

Puan Bahyah sudah bercekak pinggang memerhatikan anak gadisnya. Bertuah punya budak! Ada ke di suruhnya aku sambung meleter esok pulak.

“Jangan nak beri alasan macam-macam. Pagi tadi pandai je awak diam-diam ke pejabat. Dah tak nak dengar leteren umi lagi? Degil tak mahu dengar cakap umi awak ni dah?” Tekan Puan Bahyah dengan wajah merah padam.

“Umi tahu awak memang sengaja sabotaj temujanji yang umi aturkan tu kan? Sama macam awak buat pada semua anak-anak kawan umi yang lain. Sama macam yang awak dah buat pada semua lelaki-lelaki yang umi perkenalkan tu. Cika tahu tak betapa susahnya umi aturkan temujanji awak dengan anak kawan umi tu. Anak saudara jiran Mak Long awak tu baik budaknya.”

Cika tersengih. Yalah! Baik sangatlah si Zain tu. Baru sepuluh minit, lelaki itu sudah pecut lari. Meninggalkannya begitu sahaja!

“Umi, Cika memang tak berkenan dengan Zain anak saudara Auntie Sapiah tu. Lain macam aje Cika tengok dia.”

“Lain macam apanya? Awak tu yang umi tengok semacam.” Sergah Puan Bahyah. Enggan mendengar apa-apa alasan meniti dari bibir anak gadisnya.

“Zain tu bersopan santun budaknya. Kerja pun bagus, ada rumah sendiri dan kereta sendiri. Muka pun sejuk mata memandang. Takkan awak tak berkenan langsung?” Keluh Puan Bahyah.

“Umi, Cika bukan pandang semua tu. Sekalipun dia anak datuk ke, anak tan sri ke, Cika tak peduli. I don’t care.” Jawab Cika.

Ubek menjeling ke arah Cika. Muka selamba adiknya itu menyulam senyuman di bibirnya. Namun dia pura-pura meneruskan pembacaan kerana tidak mahu terheret sama dalam perbalahan yang sudah jadi rutin antara ibunya dengan Cika.

“Pandailah awak bercakap. I don’t care konon. Habis, kalau umi bawa balik pengemis tepi jalan tu untuk awak pilih, awak nak ke?” Sindir Puan Bahyah.

“Cika tak kisah umi. Lagipun duit Cika kat bank pun berlambak. Sekadar nak tanggung seorang dua takde masalah.” Jawab Cika selamba.

Wajah Puan Bahyah sudah cemberut memerhatikan anaknya. Dasar budak keras kepala! Lain yang aku cakap, lain yang dia faham. Lama-lama aku boleh jadi gila melayan si Cika ni, rungut Puan Bahyah sambil menggelengkan kepalanya.

“Umi tak peduli. Awak ingat umi akan putus asa dengan perangai awak ni? Umi dah cari seorang lagi calon yang terbaik untuk awak. Umi yakin awak mesti suka dia. Esok petang awak kena luangkan masa. Umi nak bawa awak jumpa dengan kawan umi dan anaknya. Minggu lepas umi ada jumpa dengan Auntie Jamilah. Anak dia Idham baru balik dari oversea. Awak tentu masih ingat dengan Idham bukan?”

Wajah Cika segera berubah seratus peratus. Tubuhnya menggeletar. Idham? Idham Harizkah yang dimaksudkan uminya?

“Idham yang mana pulak ni?” Encik Nordin menyampuk. Ubek turut menoleh. Terkesima mendengar nama itu dicanang ibunya. Dia mengerling wajah Cika yang kelihatan muram.

“Ala abang ni. Anak Jamilah kawan universiti saya. Kan dia dah beberapa kali datang ke rumah kita ni, takkan abang tak perasan.” Keluh Puan Bahyah.

“Oh Jamilah suaminya Encik Othman tu ya? Apa khabar dia? Dah lama saya tak jumpa dengan Othman tu.” Tutur Encik Nordin.

Puan Bahyah tidak menjawab. Malas mahu mengungkit soal Othman, suami kawan baiknya itu sedangkan hal yang sepatutnya mereka bincang ialah soal Cika dan Idham Hariz.

“Cika, umi tak mahu dengar alasan awak lagi. Umi dah telefon Auntie Jamilah awak. Esok awak mesti…” Kata-kata Puan Bahyah terhenti. Apabila dia menoleh, Cika sudah hilang dari ruang tamu. Matanya mencari wajah Ubek. Anak bujangnya hanya tersengih lalu menghalakan ibu jarinya ke arah anak tangga, menandakan Cika sudah menghilang ke biliknya. Puan Bahyah terduduk lemah di samping suaminya.

“Bang, awak tengoklah anak awak tu. Pening kepala saya ni nak fikir fasal Cika tu.” Dia mengadu pula pada suaminya. Tapi melihat mata Encik Nordin masih ralit di kaca televisyen, muncung Puan Bahyah sudah sedepa panjangnya.

“Abang ni memang tak ambil berat langsung cakap-cakap saya. Padanlah dua anak abang ni sama-sama tak makan nasihat.” Rungut Puan Bahyah geram.

“Syyy…” Encik Nordin tiba-tiba menunjukkan isyarat supaya Puan Bahyah berdiam diri. Matanya ralit pada isi berita yang sedang disampaikan.

“Yah, tadi Cika kata hari ni dia ada emergencykan?” Tanya Encik Nordin.

Puan Bahyah mencebik. “Nak menipu kitalah tu. Emergency apanya kalau dia asyik merayap dengan Gina ke sana ke mari.” Rungut Puan Bahyah.

“Tapi abang rasa kali ni Cika tak bohong.” Ujar Encik Nordin. Puan Bahyah berpaling ke arah suaminya. Encik Nordin menunjukkan ke arah televisyen. Kata-kata Encik Nordin turut menjemput perhatian Ubek. Matanya sudah disorot ke arah skrin televisyen plasma 42 inci di hadapannya.

“Seorang pemilik syarikat agen hartanah iaitu Syafika Nordin menjadi wirawati membantu pihak polis memujuk salah seorang lelaki yang bertindak mahu membunuh diri hari ini. Dalam satu kejadian di bangunan Wisma Anson pagi tadi, lelaki yang dikenali sebagai Mat bin Topup dikatakan kecewa apabila diberhentikan kerja oleh majikannya. Beliau telah datang ke firma guaman Aaziz & Co untuk memfailkan saman ke atas Kilang Biskut Ting Tong. Tapi setelah diberitahu oleh pihak guaman yang beliau tidak mempunyai cukup bukti untuk menyaman kilang terbabit kerana pemberhentian beliau mengikut saluran yang betul, lelaki itu tiba-tiba mengamuk lalu mengugut mahu membunuh diri. Tapi tindakan berani Syafika telah berjaya menyelamatkan lelaki tersebut dan membantu usaha-usaha pihak polis….”

Gambar Cika sedang ditemuramah oleh wartawan turut dipaparkan seiring dengan isi berita yang disampaikan.

Ubek berpaling ke arah ibubapanya. Kedua-duanya sudah terlopong sambil memandang ke arah skrin televisyen. Mulut ibunya paling luas terbuka dengan wajah terkebil-kebil hampir tidak percaya. Ubek hanya mampu menarik nafas panjang. Wow, Cika sudah jadi hero hari ini! Not bad sis!

* * * *

SELESAI isi berita itu dipaparkan, dia terus menutup televisyen dengan remote controldi tangannya. Bibirnya segera menguntum senyuman. Lucu sebaik teringatkan gadis di dalam televisyen itu. Gadis yang aneh! Sepanjang hidupnya, baru kali ini dia jumpa seorang gadis yang serupa itu.

Satu Malaysia sibuk kecohkan gadis itu sebagai wirawati yang membantu menyelamatkan orang yang kononnya mahu membunuh diri. Tapi tidak ada seorang pun yang mahu bertanya, apa gadis itu buat di serambi yang sama ketika itu. Jangan kata gadis itu sekadar makan angin di beranda itu, kerana itu alasan yang paling bodoh. Sama bodoh dengan alasan gadis itu sengaja memanjat dari pejabatnya ke arah bangunan firma guaman itu semata-mata mahu menyelamatkan lelaki itu. Siapa yang percaya? Hanya orang bodoh sahaja yang akan percaya!

Sewaktu kejadian dia berada di situ. Bunyi riuh rendah di situ membuatkan dia seperti orang lain juga, turut berasak-asak mahu melihat apa sebenarnya yang berlaku. Ketika itulah dia melihat gadis itu. Syafika Nordin!

Mulanya dia tidak mengecam siapa gadis itu. Tapi semakin lama dia memerhatikan gadis itu dari penjuru tingkap, barulah dia mengenali gadis itu. Gadis yang sama yang bertekak dengannya tempohari di Jumbo Jeep.

Asalnya dia sekadar berseronok memerhatikan gadis itu cuba memujuk lelaki tua itu. Tapi menyedari bahaya yang datang, dia yang paling hampir di seberang tingkap yang satu lagi sempat menarik tangan gadis itu sebelum gadis itu tergelincir dan mungkin jatuh.

Sedar tak sedar, semua orang sudah meluru ke arah mereka. Dia pula terpaksa melepaskan tangannya lalu cepat-cepat beredar dari situ. Dia tahu gadis itu ada melihatnya. Dia nampak jelas wajah gadis cengil itu berubah sebaik melihat kemunculannya.

Now kau berhutang budi dengan aku.” Bisiknya seraya tersenyum.

Dengan langkah malas dia segera menuju ke arah akuarium kecil yang terletak di atas meja. Akuarium itu diangkat tinggi sambil matanya meninjau isi akuarium itu. Labi-labi peliharaannya sedang enak tidur setelah diberi makan daun kangkung sebentar tadi.

“Nemo, aku tahu kau dah kenyang, tapi kenapa kau asyik tidur aje sepanjang hari ni? Aku pun tak tahulah kenapa kau jadi malas dua tiga menjak ni!” Rungutnya sambil menjentik-jentik permukaan akuarium itu. Sengaja mahu mengejutkan si labi-labi yang tak bergerak-gerak sejak tadi.

Look Nemo, kalau kau tak nak dengar cakap aku, jangan harap aku cari pallettu lagi kat Pejabat Haiwan. Sampai ke tualah kau makan kangkung rebus aje.”

Terkelip-kelip matanya memerhatikan Nemo. Tapi Nemo tetap buat muka sardin tanpa ada tanda-tanda mahu bergerak. Nemo memang pemalas. Dia tiba-tiba ketawa kecil. Apa yang aku buat ni? Right now kau tengah mengugut seekor labi-labi, Nadim. Memang sah, kau dah gila!

Dia menjegilkan biji matanya ke arah Nemo. “Bad Nemo. Kau yang buat tuan kau jadi gila.” Dia menyalahkan labi-labi itu seratus peratus. Sejenak kemudian dia ketawa lagi. Dia menghindar dari akuarium Nemo lalu mencapai gitar akustiknya. Tubuhnya dihempas ke arah sofa bulat yang sengaja diletakkan di beranda apartmen, betul-betul menghadap ke arah bangunan Menara KL yang ditaburi lampu-lampu penyeri malam.

Sambil menyandarkan tubuhnya, Nadim mula memetik tali gitarnya sambil mengalunkan senikata Touch My Hand, nyanyian David Archuleta.

Saw you from a distance
Saw you from the stage
Something about the look in your eyes
Something about your beautiful face

In a sea of people
There is only you
I never knew what the song was about
But suddenly now I do

Trying to reach out to you, touch my hand
Reach out as far as you can
Only me, only you, and the band
Trying to reach out to you, hold my hand

Come on, don’t be afraid. Hold my hand. You can do it.” Suatu suara tiba-tiba bergema di dalam kepalanya. Serentak petikan tali gitarnya tiba-tiba terhenti. Jari-jemarinya tiba-tiba kaku.

Nadim, come on sayang. You can do it, trust me.” Suara itu terus hadir bersama fragmen seraut wajah yang tersenyum manis ke arahnya.

I can’t swim.”

Mesti boleh, trust me.”

Dia memejamkan matanya. Buih-buih air terbayang di fikirannya. Tubuhnya bagaikan dapat merasakan puing-puing arus yang menolaknya.

Nadim…you love the music, but I’m fallen in love with the sea.” Bisikan itu terus bergema dan bergetar di sanubarinya. Sesaat dua dia membuka matanya. Pandangannya melurus, merenung kegelapan malam pekat yang kian kelam di matanya. Satu wajah, satu suara dari masa silamnya ingin dilenyapkan, tapi dia tidak mampu. Tidak walau sepicing pun dia mampu menghalau lembaran kenangan yang mengikat dirinya pada sebuah nama. Naomi…

Tut. Nadim, ini kakak. Where have you been lately? Kakak dah bosan bercakap dengan mesin perakam suara ni. If you get my message, please call me back. Tut.’

Dia tidak mempedulikan suara dari mesin perakam telefonnya. Marseila selalu sahaja mencarinya jika hal itu bersangkut-paut dengan ayahnya. Dan saat ini dia tidak mahu berfikir apa-apa pun. Tubuhnya tidak berganjak dari sofa bulat itu. Matanya dipejamkan. Dia ingin tidur sebentar! Namun wajah Naomi terus menerpa ke ruang ingatan, membuatkan dia mengeluh panjang. Sakitnya rasa ini bila cinta menjadi racun berbisa! Naomi, I missed you a lot!

* * * *

Dia tidak mampu tidur walau sepicing. Biliknya terasa sunyi sepi. Meski dia kadangkala tidur bertemankan bunyi muzik dari siaran radio, namun entah kenapa malam ini suara DJ bagai angin lalu. Anehnya dia seperti tidak mendengar langsung suara DJ berceloteh itu dan ini.

Puas terpisat-pisat di dalam selimut tebal, Cika bingkas bangun. Dia duduk di birai katil. Tangannya segera menyeluk sesuatu dari dalam beg bimbitnya di tepi katil. Sebuah buku tebal berwarna hitam dan sebatang pen dikeluarkan dari dalam beg tersebut.

Kini dia menconteng-conteng sesuatu di dalam buku tersebut. Mulanya ia hanya contengan biasa. Namun dari contengan biasa, muncul satu imej lain, terlakar di paparan kertas. Imej-imej tidak sempurna itu mula berubah menjadi seraut wajah. Dari seraut wajah muncul pula sepasang mata yang sedang merenungnya. Serta sekelumit senyuman yang kelihatan dingin.

Pen yang dipegang Cika tiba-tiba jatuh. Dia terkedu sambil memerhatikan imej yang dilukisnya. Gila! Kenapa tiba-tiba sahaja kau melukis wajah lelaki itu Cika? Apa relevennya dia dalam hidup kau? Suara hatinya bertanya. Cepat-cepat dia mencampakkan buku itu ke atas meja. Hatinya kesal kerana dia berbuat sesuatu yang tidak wajar. Damn it Cika! Stop it!Jangan asyik memikirkan perkara yang bukan-bukan. Lelaki itu hanya penyelamat, tidak lebih dari itu!

Sebentar tadi Ubek menjenguknya di bilik. Abangnya itu tak sudah-sudah memujinya kerana tindakannya hari ini. Kata Ubek, babah dan umi mereka juga turut berbangga dengan dirinya. Tapi kata-kata Ubek sedikit pun tidak tercerna di ruang minda, Dia tidak perlukan pujian-pujian itu. Bahkan dia langsung merasa dirinya tidak layak menerima pujian itu lantaran menyelamatkan Pak Mat tadi bukan agenda utamanya. Agenda sebenarnya ialah melarikan diri dari Datuk Fakhri. Itu baru betul!

Bodoh betul kau ni Cika! Kerana tindakan tak fikir panjang itu, nyaris-nyaris kau hilang nyawa hari ini. Dia meraut wajah. Gerun memikirkan hari ini dia telah menempah maut.

No! Fikir dari sudut positif Cika. Kalau bukan kerana kejadian hari ini, tak mungkin kau akan menemui lelaki itu semula. Tak mungkin dia akan jadi penyelamat kau! Bukankah itu bagus? Cika berpeluk tubuh di katilnya. Masih teringat-ingat renungan tajam yang mengasyikkan itu! Damn it Cika! Kau memang sudah angau terhadap lelaki itu.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh