Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 14

IDHAM asyik membelek-belek sampul kad yang baru diterimanya siang tadi, sambil terfikir-fikir siapa yang menghantar kad tersebut. Macam tau-tau sahaja yang dia sudah pulang ke tanahair.

“Surat apa tu?” Puan Jamilah yang sedang menyiram pokok bunganya sempat menoleh ke arah Idham yang tercegat di hadapan pintu pagar. Posmen sudah berlalu, tapi anak bujangnya itu masih tercegat di di situ. Kenapa agaknya? “Entahlah mama, Am belum buka.” Ujar Idham seraya menoleh ke arah ibunya. Puan Jamilah tidak berkata apa-apa, hanya mengangguk lalu meneruskan kerja-kerjanya yang terbengkalai tadi.

Idham beredar ke arah kerusi rehat di tepi kolam renang. Di situ dia melempiaskan duduknya seraya mula membuka sampul surat yang diterimanya. Dari dalam sampul, dia menarik sekeping kad berwarna biru muda yang terperosok di dalam. Kad apa pulak ni? Jemputan kahwinkah?

Namun sebaik membaca isi kandungan kad tersebut, bibirnya tiba-tiba tersenyum. Rupa-rupanya dia dijemput menghadiri reunion sekolah lama! Seronok juga! Lagipun sudah lama dia tidak bertemu kawan-kawan rapatnya.

Setelah menamatkan persekolahan, masing-masing berubah haluan. Ada yang menyambung pelajaran, ada yang sudah bekerja dan tak kurang juga ada yang mengambil keputusan berkahwin awal. Standard sudah dewasa konon-konon!

Idham ketawa kecil. Dia mengerling jarum jam di pergelangan tangannya. Baru pukul 11 pagi. Masih awal sebenarnya. Hari ini dia ada interview di salah sebuah syarikat broker saham terbesar di ibukota tepat jam 2 petang nanti. Sebenarnya hendak dikatakan interview pun tidak tepat, kerana dia dilamar DLeBroking tersebut sejurus dia mengambil keputusan mahu pulang ke tanahair. Ternyata reputasinya di Wall Street banyak membantunya.

Sedang dia leka termenung, Puan Jamilah tiba-tiba menghampirinya. Bibir wanita itu menguntum senyuman manis.

“Am, Auntie Bahyah baru aje call mama tadi. Dia ajak kita keluar makan esok. Bolehlah Am jumpa Cika esok.” Ujar Puan Jamilah dengan wajah ceria.

Idham terdiam. Kata-kata mamanya membuatkan dia tergaman. Jumpa Cika esok?

“Hai kenapa ni? Lain macam sahaja mama tengok muka Am ni. Am tak suka jumpa Cika?” Soal Puan Jamilah dengan wajah hairan.

Dia cepat-cepat menggelengkan kepalanya sebelum lebih banyak idea yang bukan-bukan meniti di fikiran ibunya. Yang nyata wanita itu tidak pernah tahu bahawa hubungannya dengan Cika bukan semudah seperti yang difikirkan oleh kedua-dua ibu mereka. Dia dan Cika ibarat USA dengan RUSIA yang manis di di luar tapi payau di dalam.

“Am kena tengok schedule Am dulu mama.” Ujarnya.

“Am kan tak kerja lagi. Baru nak pergi interview hari ni kan.” Getus Puan Jamilah.

“Tapi interview ni untuk cukupkan syarat aje mama. Officially Am memang dah dapat job ni. Manalah tau esok dah mula kerja.” Ujarnya sengaja mahu berdalih. Sedang hatinya masih ragu-ragu apakah Cika mahu menerima kehadirannya? Jangan respon gadis itu terhadapnya ‘HISTERIA’ cukuplah!

“Tak apalah, nanti Am beritahu mama semula. Tak eloklah kalau kita tak hadir sedangkan Auntie Bahyah dah aturkan semuanya. Cika tu pun mesti dah tak sabar-sabar nak jumpa Am.” Wajah Puan Jamilah jelas teruja. Hanya Idham sahaja yang tidak tahu apa yang harus diperkatakannya. Hendak memberitahu ibunya perkara sebenar, dia tidak sampai hati pula.

“Am cuba mama.” Ujarnya lemah.

Sepeninggalan ibunya, dia masih termenung di kerusi rehat itu. Memikirkan Cika dan semua kenakalan-kenakalannya dahulu. Betullah cakap orang, usia mematangkan fikiran. Dalam usia 17 tahun dia masih anak muda yang bodoh. Yang melakukan banyak perkara tanpa berfikir panjang. Tapi dalam usia menjangkau 29 tahun, dia kini lelaki matang yang sedang cuba melupakan perkara silamnya. Kejahatannya terhadap Cika entah kenapa tetap subur di kotak fikiran. Dia sering sahaja merasa bersalah pada gadis itu. Kalaulah masa dapat diundur semula, dia tidak akan melakukan semua itu pada Cika.

Dia mungkin membenci kau Idham. Masih membenci kau seperti dulu! Suara hatinya berbisik.

Sudah dua belas tahun. Masihkah benci itu subur di hatinya?

Perempuan tidak pernah melupakan rasa sakit di jiwa. Salah kau kerana kau menyiramnya setiap masa sehingga ia subur.

I hate you Idham Hariz. I’m gonna hate you forever.” Itu cakap-cakap Cika yang sering kali diungkapkan gadis itu. Acapkali diperdengarkan di telinganya sehinggakan dia naik muak. Ironinya perkataan itu masih melekat di hatinya sehingga kini. Cika! Aku tahu aku salah. Aku tahu aku insan yang sangat kejam terhadap seorang gadis naif seperti kau. Tapi aku hanya manusia. Manusia sering berbuat kesilapan yang mungkin akan dikesali. Dan manusia itu adalah aku. Will you forgive me? Bisik Idham seraya menarik nafas panjang.

* * * *

“TAHNIAH Encik Idham. Saya harap Encik Idham dapat memberi khidmat terbaik untuk DLeBroking. Kami amat mengalu-alukan stock broker berpengalaman seperti Encik Idham.” Ujar Tuan Basir, CEO DLeBroking. Lelaki botak berperut gendut itu tidak ubah seperti ketuanya Mr. Robinson di tempat lama. Kalau dinilai di bahagian perut serta kepala yang botak licin tu, memang serupa sekali!

“Terima kasih saya ucapkan sebab tuan sudi terima saya berkhidmat di sini.” Ujar Idham pula sekadar berbasa-basi.

“Jangan cakap begitu. Pengalaman Encik Hariz dengan Wall Street yang kami perlukan sebenarnya. Saya kenal Mr. Robinson itu, katanya Encik Idham antara genius dan top broker yang pernah mereka miliki di WS. Di sini kami mempunyai banyak klien-klien dengan jumlah akaun yang besar. Do you think you can handle all the account?”

Pertanyaan itu dijawab dengan anggukan, mengamit senyuman di bibir Tuan Basir. Ternyata lelaki itu berpuas hati dengan keyakinan yang ditunjukkannya.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, sekejap lagi staff saya akan bawa Encik Idham melawat di sekitar pejabat ini.” Ujar lelaki itu.

“Err..bila saya boleh mula tuan?” Soal Idham, inginkan jawapan lebih tepat bila tugasnya bermula. Dia sudah tidak sabar mahu bekerja.

“Kalau minggu depan bagaimana?”

Idham terdiam. Minggu depan?

“Eh tak apa tuan. Kalau esok pun saya boleh mula kerja.” Idham menawarkan diri. Lagipun dia berat hati mahu berjumpa dengan Cika seperti yang diaturkan ibunya dengan Puan Bahyah. Dia masih belum bersedia, dan hanya perihal kerja sahaja yang boleh menjadi alasan terbaik untuknya mengelakkan diri dari menghadiri pertemuan yang mungkin bertukar bencana.

Tuan Basir ketawa kecil. Barangkali kagum dengan sikap Idham yang menawarkan diri masuk kerja secepat yang mungkin.

“Encik Idham, saya sanjung semangat awak tu. Tapi awak kan baru pulang dari luar negara. Minggu hadapan sajalah awak masuk kerja.” Usul Tuan Basir tenang.

Idham terdiam. Dia sudah kehabisan idea mahu berkata-kata. Terasa bodoh pula dirinya kerana soal Cika, dia sanggup masuk kerja lebih awal. Kalau dengan Mr. Robinson, cuti tak diberi pun dia sanggup apply jika mahu tourseluruh Europe dengan kawan-kawannya.

Sebaik pulang dari DLeBrocking, sebuah syarikat broker saham yang agak besar di ibukota, Idham berjalan-jalan di pusat beli belah. Bukan ada apa-apa pun yang hendak dibeli. Sebaliknya dia hanya mahu mencuci mata untuk menghilangkan kebosanan yang dirasainya.

Terfikir juga dia untuk membeli sepasang sut baru untuk majlis reunionsekolah lamanya. Dia memang berhasrat untuk menunjukkan wajahnya. Sudah lama teman-teman sekolahnya tidak dijengah khabar berita. Inilah peluang terbaik untuk mereka berkumpul dan saling bertukar cerita. Si polan mana yang sudah kahwin atau belum, si polan mana yang dulu kurus sekarang dah buncit, si polan mana yang dahulu bercinta bagai nak rak sekarang putus di tengah jalan. Itu semua meskipun nampak seperti cerita-cerita yang membuang masa sahaja, tapi penting untuk merapatkan silatulrahim.

Bagaimana dengan Cika agaknya? Apakah gadis itu akan pergi ke majlis reunion tersebut? Jika dilihat pada sesi persekolahan yang tertera di dalam kad, Cika yang muda setahun darinya sepatutnya akan dijemput juga.

Tiba-tiba sahaja dia bersemangat untuk membeli sepasang sut baru. Dengan sut baru itu dia akan kelihatan segak bergaya di hadapan Cika. Jika Cika yang dahulu hodoh kini sudah cantik seperti yang dilihatnya di dalam gambar, takkan dia yang sudah sedia kacak kelihatan pula. Sudah semestinya dia akan bergaya sakan, menunjukkan karisma yang sama seperti di sekolah dahulu.

Ketika sedang leka membelek-belek pakaian di sebuah kedai, Idham langsung tidak perasan dua orang gadis sudah melangkah masuk ke dalam kedai tersebut. Kedua-duanya begitu asyik membelek-belek pakaian di dalam kedai tersebut.

“Saya nak cuba yang ini.” Ujar Idham pada seorang pelayan. Gadis itu segera menunjukkan arah ke fitting room. Tanpa banyak soal dia memasuki fitting room tersebut untuk mencuba pakaian yang mahu dibelinya.

Ketika dia berada di dalam bilik tersebut, telinganya dapat menangkap beberapa suara sedang bercakap tidak jauh dari fitting room yang dimasukinya. Seolah-olah, gadis-gadis itu sedang berbual di luar biliknya sahaja. Idham tersenyum. Kuatnya suara, macam diaorang sorang aje ada mulut! Bisik hati kecilnya.

Dia tidak mempedulikan gadis-gadis itu lagi. Sebaliknya dia lebih berminat pada sut berwarna hitam yang mahu dibelinya. Setelah digayakan, ia nampak sesuai dengan tubuhnya. Mujur sajalah tubuhnya tetap sahaja tegap dan tampan walaupun dalam usia 29 tahun. Tidak seperti beberapa orang temannya yang usia masih muda tapi sudah botak di tengah dan berperut boroi. Jaga makan saja beb cukuplah! Sesekali pergi ke gim untuk mendapatkan otot perut six packs. Itu yang diamalkannya sewaktu dia berada di luar negara. Dan hasilnya dia kekal nampak segak dan bergaya.

“Kau beli baju ni sebab nak ke reunion tu ke?”

“Bukanlah, aku saja-saja tengok.”

“Tapi yang kau beli ni dress labuh. Kau memang bercadang nak ke reunion tu kan? Aku ingat kau tak jadi nak pergi.” Keluh si gadis.

Dahi Idham berkerut. Reunion?

I have my second thought. Kalau aku tak pergi, nampak sangat aku ni chicken. Lagipun kita bukan macam dulu lagi. Kenapa harus aku peruk diri aku kat tempat yang sama aje semata-mata sebab dia?”

Are you sure Cika?”

Damn sure. Kau pun patut pilih gaun yang paling vogue untuk tunjukkan kat manusia-manusia yang tak ada hati dan perasaan kat sekolah kita tu yang kita bukan macam dulu lagi. And I am not that loser anymore.”

Wajah Idham berubah. Cika? The Loser? YA ALLAH! Apakah gadis yang sedang bercakap-cakap di luar fitting roomnya ialah Cika?

“Aku takut kau cakap aje. Sampai depan sekolah nanti, kau patah balik semula.” Suara gadis yang seorang lagi kedengaran.

“Aku dah ekad ni.”

“Kalau Idham ada?”

Idham menahan nafas. Namanya disebut. Ini bermakna Cika tidak pernah melupakannya. Melupakan apa yang sudah dilakukannya selama ini. Dia terus menanti Cika membuka mulut, menjawab pertanyaan gadis yang seorang lagi. Percaya atau pun tidak, dia sangat ingin mendengar jawapan Cika.

“Aku tak kisah kalau dia ada sekalipun.” Jawab gadis itu.

“Kau tak kisah? Yalah tu, macamlah boleh percaya.” Ejek gadis yang seorang lagi.

“Jangan sebut nama Idham boleh tak? Sekali aku benci kat seseorang, sampai bila-bila pun aku benci. Dia lelaki paling aku benci kat dunia ni. Sekalipun dia seorang aje lelaki dalam dunia ni, aku lebih rela mati dari pilih lelaki macam tu.”

Idham terkedu. Terungkai segala jawapan yang ingin didengarinya. Aduh! Cika memang tidak pernah berhenti membencinya. Habis bagaimana dengan rancangan kedua-dua orang tua mereka? Bagaimana harus dia memberi jawapan jika ibunya bertanya tentang temujanjinya dengan Cika esok? Sudah jelas lagi nyata, gadis itu tidak mungkin mahu bertemunya.

“Kenapa lambat sangat orang kat dalam tu?” Tiba-tiba Idham terdengar suara gadis itu bertanya. Dia terkedu, baru menyedari bahawa dia masih berada di bilik fitting room, sedang mencuba bajunya. Dan dia juga sedar, kedua-dua gadis itu bercakap di hadapan bilik itu kerana ada tujuan lain. Mereka sedang menanti untuk mencuba pakaian. Alamak! Macamana ni? Kalau dia keluar, sah-sah Cika mungkin akan melihatnya.

“Entahlah, aku pun rasa macam tu. Dah lama kita tunggu kat sini. Ada orang ke tak sebenarnya ni?” Suara gadis lain turut menyokong.

Belum sempat Idham berfikir panjang, bilik kecil itu bergegar, menandakan ada orang sedang cuba memulas-mulas tombol pintu. Idham menarik nafas panjang. Berdebar-debar dia dibuatnya. Cepat-cepat dia menarik sendal dari dalam agar rapat dan tidak terbuka. Manalah tahu nak dijadikan cerita, tenaga gadis-gadis yang sedang marah itu mampu membuka pintu bilik persalinan itu, tak fasal-fasal dia dibelasah pula.

“Ada orang lah.” Ujar Cika.

“Ahah ada orang, tapi apasal diam aje?”

Idham pura-pura batuk, menunjukkan dia masih di dalam.

Kedua-dua gadis itu terdiam sebentar.

Idham tahu dia harus mencari ikhtiar lain. Sedang dia cuba berfikir apa yang patut dilakukannya, telefon bimbitnya pula berdering. Dia terkejut besar. Alamak! Cepat-cepat dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam saku lalu melihat pada paparan skrin. Mama! Nak jawab ke tidak ni? Dia jadi ragu-ragu dibuatnya. Kalau dijawab, dia takut Cika mengecamnya. Kalau tidak dijawab, bising pula ibunya nanti.

Hendak tak hendak, dia segera menjawab panggilan ibunya. Hidungnya dikepit dengan jari sebelum dia bersuara.

“Hello!” Suaranya sudah berubah garau. Tidak lagi macho seperti biasa. Ah belasah ajelah! Janji Cika tidak tahu yang dia ada di dalam fitting room itu.

“Am, itu kamu ke? Kenapa dengan suara tu?”

“Maaf puan, puan salah orang ni. Anak puan tengah sibuk sekarang.”

“Am, apa yang Am merepek ni? Mama nak tahu Am kat mana sekarang? Interview macamana?”

“Anak puan dah dapat kerja tu. Jangan bimbang, kejap lagi dia balik.”

“Apa kena dengan kamu ni Am? Suara tu kenapa? Tertelan biji cempedak ke?” keluh ibunya di talian.

Idham hendak ketawa tapi dia cuba bersabar. Tertelan biji cempedak pulak! Macamlah kat Kuala Lumpur ni banyak cempedak. Dia terus melayan panggilan ibunya dengan suara garau yang dibuat-buat.

Sementara itu di luar bilik, Cika dan Gina saling berpandangan. Sedari tadi mereka memasang telinga.

“Aduh! Dia berborak pulak dah.” Keluh Gina.

“Cari bilik lainlah.” Cadang Cika.

“Jom kita cuba yang sebelah sana.” Usul Gina sudah mulai bosan menanti orang di dalam fitting room. Hendak keluar ke tidak dia ni? Dah dekat setengah jam ni!

“Ingat ini tandas ke nak melepak lama-lama.” Laung Gina sebelum beredar. Geram dengan telatah si pelanggan kedai tersebut yang melepak sambil berbual dalam telefon di dalam bilik persalinanan.

Cika terkedu dibuatnya. Cepat-cepat dia menarik tangan Gina agar menjauhi bilik tersebut. Suara orang di dalam fitting room itu dahlah garau macam harimau, buat-buatnya orangnya besar macam gajah, haru biru mereka kena belasah macam siput sedut. Mulut Gina pun satu, tak ada insuran langsung. Sia-sia aje Prudential buat promo sana sini!

Bunyi tapak kaki itu kedengaran semakin lama semakin jauh. Idham menarik nafas lega. Aduh mujurlah! Jika kedua-duanya nekad menunggu di situ sampai keluar, harus ibunya buat laporan polis tentang kehilangannya.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh