Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 37

Bila The Loser bertemu The Pianist

Apakah Tugu Cinta Bakal Dibina?

Atau Bencana Yang Akan Tiba?

 PERMAINAN piano Nadim berterusan, menghiburkan tetamu-tetamu yang hadir memenuhi dewan. Jika tadi irama lembut dan mendayu-dayu bagai elektrik mengalir ke setiap urat saraf pendengar, kali ini irama yang dimainkan lelaki itu lebih rancak.

Mata Cika langsung tidak berganjak dari lelaki itu. Dia sebetulnya sangat tertarik dengan bakat yang ada pada Nadim Ammar. Seorang pemain piano, kacak pula tu tentu sahaja berupaya membikin hati para gadis bergetar. Seperti apa yang dialaminya saat ini.

Tingkah-laku Cika terkesan di mata Gina. Bukan Gina seorang sahaja. Malah Idham juga mengerti siapa yang sedang dipandang dengan kusyuknya oleh gadis itu. Sesekali mata Idham merenung lelaki di atas pentas utama. Dia asyik tertanya-tanya apa hubungan sebenar Cika dengan lelaki pemain piano itu?

“Asyik tengok ke sana sahaja. Lama-lama biji mata kau boleh jatuh.” Bisik Gina, cuba menyedarkan sahabatnya.

Cika tersentak. Terkelip-kelip matanya memerhatikan ke arah Gina.

Sorry, apa kau cakap?” Soal Cika.

Gina tersengih. Kuatnya berkhayal sampai tak sedar apa!

“Aku cakap fasal pemain piano tu. Aku juga cakap tentang kau.”

Dahi Cika berkerut. Gagal menyelar maksud yang cuba disampaikan gadis itu.

“Sejak bila kau kenal dengan mamat tu?” Soal Gina seraya memuncungkan mulutnya ke arah Nadim Ammar di atas pentas.

Cika tersengih. Mula menyedari bahawa tembelangnya sudah pecah. Malunya!

“Aku kenal dia kat Jumbo Jeep. Selalu terserempak kat situ sebab dia pemain piano di Jumbo Jeep.” Ujar Cika. Walaupun bukan semuanya betul, tapi lebih baik simpan maklumat terperinci yang lain. Jangan kecohkan semua!

“Itu saja?”

“Maksud kau?”

“Aku nampak kau dengan dia kat luar tadi. Mesra semacam aje.” Sengih Gina.

Cika menelan liur. Aduh mesrakah? Kalau aksinya yang menepuk tampar bahu Nadim tadi dianggap mesra, ini sudah jadi kes pelik! Sebenarnya dia mahu memarahi Nadim sebentar tadi. Tapi tamparan itu sudah jadi tamparan manja. Kenapa pulak ya?

“Kau suka dia ya?” Tebak Gina lagi.

“Eh mana ada. Jangan nak merepek boleh tak? Sebenarnya, kalau kau nak tahu dialah lelaki yang tarik aku sewaktu aku nak jatuh dari tingkap pejabat Tuan Aaziz tempohari.” Hendak tak hendak, Cika terpaksa menjelaskannya.

Mulut Gina melopong.

Get out!”

“Aku cakap betul ni.”

Gina menggelengkan kepalanya. Semakin difikirkan semakin susah dia mahu percaya.

Mata Cika pula bertembung dengan sepasang mata Idham yang asyik merenungnya. Dia terdiam. Entah kenapa, renungan mata lelaki itu tajam terhadapnya. Dia segera mengalihkan pandangan, malas mahu melayan lelaki itu. Cuci mata dengan wajah Nadim Ammar lagi best!

“Dia masih marahkan kita tu.” Bisik Hasrul di telinga Idham. Dia mengerti perasaan temannya itu. Bukan dia sahaja, hampir semua orang di meja itu tahu sejarah yang berlaku di antara Idham dan Cika suatu ketika dahulu. Dan kini reunion ini mempertemukan mereka kembali setelah kedua-duanya sudah dewasa dan berkerjaya.

“Dah dua belas tahun, tak surut-surut marah dia tu.” Rungut Idham separuh bengang. Yang separuh lagi kerana cemburukan pemain piano yang nampaknya berjaya menarik perhatian Cika. Tak boleh jadi ni!

“Itu kau. Yang aku ni, yang dah jadi ahli keluarga dia pun dia buat derk je. Masak aku kalau Lily tahu hal ni.” Keluh Hasrul.

Idham terdiam. Cika..Cika..macamana nak lembutkan hati batu kau ni? Dan yang paling penting macamana nak buat kau sukakan aku dan bukannya pemain piano hingusan tu? Idham mengetap bibir. Bengang!

“Rul, kau boleh tolong aku tak?” Tanya Idham.

“Tolong apa?”

Dia segera membisikkan sesuatu ke telinga Hasrul. Hasrul tergaman. Wajahnya segera berubah sebaik mendengar permintaan Idham.

What? Kau gila ke?” Bisik Hasrul seraya mengelengkan kepalanya.

“Aku tak mahu involve lagi hal-hal macam ni. Kau tu pun satu, macamana kau boleh terfikir nak buat benda ni lagi?” Marah Hasrul tapi dengan nada berbisik. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu yang lain-lain mendengar kata-katanya.

“Aku ada sebab aku sendiri. Please..kau kena tolong. Sekali ini sahaja!” Pinta Idham separuh merayu. Hasrul mendengus keras. Hendak tak hendak dia bangun dari kerusinya lalu menuju ke suatu arah.

Beberapa minit kemudian, muncul sekumpulan gadis-gadis menuju ke arah Cika. Cika dan Gina yang sedang berbual-bual tergaman seketika.

Well, betullah. Ini Cika The Loser tu. Makin cantik, makin bergaya.”

“Ingatkan tak datang tadi. Rupa-rupanya masih macam dulu, tak tahu malu!” Suara lantang itu menyapa telinga para hadirin yang duduk berdekatan.

Menyirap darah Cika mendengarnya. Dia berpaling lalu ternampak gadis-gadis yang mengerumuninya. Dia sudah tidak ingat wajah-wajah itu, tapi dia tahu gadis-gadis itu tentunya pemuja lelaki bernama Idham Hariz itu. Like the old time! Ada sahaja yang cuba menyakitkan hatinya.

“Kau ni apa kes ya? Apa yang kau sakit hati sangat dengan Cika ni?” Gina campur tangan. Geram melihat sindiran-sindiran itu terpaksa ditelan Cika.

“Aku tak ada kes, maklumlah bukan aku yang cari fasal kat sekolah ni dulu. Tapi kawan kau ni yang tak tahu malu! Sukalah tu dapat duduk dengan Idham, sebab senang nak mengenyam kan?” Lancang sekali tutur kata gadis itu.

Pang! Tak disangka-sangka Gina menampar mulut lancang itu.

Cika terkejut besar. Idham Hariz juga terkejut. Serta-merta bunyi piano yang mengiringi majlis itu juga ikut terhenti. Semua mata kini tertumpu pada insiden tak disangka-sangka itu.

“Kenapa kau tampar aku?’ Tengking gadis malang itu.

“Sebab kau kurang ajar sangat. Dah dua belas tahun tapi korang masih sama, suka menyakitkan hati Cika. Pernah dia buat salah pada kamu semua? Tak pernah kan? Pernah dia pijak-pijak maruah kau macam yang kau orang buat pada dia? Tak pernah kan? So leave her alone!” Bentak Gina tegas. Dia sudah fed up dengan semua ini.

“Kau orang tahu siapa Cika sekarang? Dia pemilik syarikat G-Properties. Kalau korang nak beli rumah atau nak cari aset, cari dia. Dia tahu di mana nak cari rumah atau tanah yang sesuai dengan kau orang ni.” Sambung Gina lagi, sengaja mahu mengangkat saham Cika.

Cika tunduk. Airmatanya hampir hendak luruh. Dia sedar semua pasang mata sedang memerhatikannya. Please Cika..don’t cry. Not now!

“Dan sesiapa yang tak ada kerja tetap tu, boleh datang jumpa dia. Dia dengan gembiranya akan beri kau orang kerja sebab dia cari duit dengan otak dia, bukan sekadar menghabiskan duit mak bapak dia dan berlagak macam kau orang.” Gina menyambung syarahan.

Cika tiba-tiba bingkas bangun. “Stop it Gina. Please stop.”

“Kenapa? Kau sendiri kata kau tak nak jadi macam dulu bukan? Sekarang aku rasa kita kena ajar mereka ni semua agar hormat perasaan orang lain.” Getus Gina enggan mengalah.

Cika terdiam. Dia memerhatikan Gina dan Idham silih berganti. Apa gunanya lagi kalau sekali lagi maruah dirinya dipertaruhkan? Gina membelanya kerana gadis itu sahabat baiknya, tapi Idham seperti biasa senyap sahaja. Lalu apa gunanya kata-kata maaf lelaki itu? Hasrul juga hanya mampu memandang kosong ke arahnya. Lalu sampai bila kenangan masa silamnya akan berhenti? Dan yang paling teruk saat ini, dia terpandang kelibat Nadim Ammar di atas pentas yang sedang memandang tepat ke arahnya. Tentu lelaki itu tertanya-tanya apa sebenarnya yang sudah berlaku. Cika mengetap bibir. Dia malu! Semua orang sedang memandangnya. Semua orang sedang menilainya seperti dahulu!

I’m done here.” Bisik Cika lalu mengambil tas tangannya, lalu beredar dari situ. Gina tergaman, tidak menyangka Cika akan mengambil keputusan yang sama seperti dahulu. Berpaling dari penghinaan yang menghampirinya begitu sahaja. Why don’t you fight for yourself Cika? Keluh Gina sedikit kecewa.

Hasrul menjeling ke arah Idham yang kelihatan sangsi apakah mahu mengejar Cika yang keluar dewan atau sekadar duduk sahaja menunggu di situ. Ini idea kaulah, sampai semuanya jadi begini! Gumam Hasrul simpati dengan Cika.

“Okey semua, kita teruskan majlis. Semua balik kat tempat masing-masing, jangan keruhkan suasana. This is our reunion, not a war.” Jerit suatu suara entah dari mana. Semua yang berkumpul tadi mulai surut ke meja masing-masing. Tinggal Gina, Idham dan Hasrul yang terdiam seperti patung.

“Eh! Mana pianist kita?” Terdengar suara-suara mempersoalkan pemain piano yang sudah hilang dari pentas. Suara orang ramai kembali hingar-bingar. Barangkali bingung melihat pemain piano muda itu sudah tidak ada di tempatnya.

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh