Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
BAB 28

DIA baharu keluar dari Maju Construction, sebuah syarikat pembinaan yang bekerjasama dengan syarikatnya dalam penjualan 12 lot rumah banglo berkembar yang terletak di Taman Andalas Perdana.

Ini bukan kali pertama dia bekerjasama dengan syarikat pemaju itu. Masuk yang ini sudah kali ketiga. Dia benar-benar bersyukur syarikat besar itu sanggup bekerjasama dengan G-Properties meskipun semua kliennya maklum dengan G-Properties yang diterajui oleh dua orang gadis yang bujang trang tang-tang lagi.

Paling dia bersyukur, Haji Osman Salleh, Pengarah Urusan Maju Construction itu bukan seperti Datuk Fakhri yang miang-miang keladi. Bukan juga seperti lelaki-lelaki lain yang sering ditemuinya. Mereka yang lain apabila bertemunya dengan Gina macam musang berbulu ayam. Mujur Haji Osman bukan begitu. Sebaliknya lelaki itu melayannya dengan Gina umpama seorang ayah mendidik anak-anaknya. Itu yang membuatkan dia senang hati bekerjasama dengan lelaki itu.

Pergelangan tangannya ditilik, sudah pukul 4 petang. Mujur perbincangan di syarikat itu tidak lama. Dia berhasrat mahu pulang sahaja ke rumah, dan bukannya kembali ke G-Properties. Hari ini dia sudah letih. Dia hanya ingin pulang ke katilnya dan tidur.

Di dalam petak lift, dia membelek-belek telefon bimbitnya. Sekadar menghantar SMS pada Gina, memakluman perbincangannya dengan Haji Osman berjalan dengan lancar. Bermakna untuk kali ini mereka akan terus menjadi agen hartanah mewakili Mega Structure.

Sebaik lift itu berhenti di bawah lobi, Cika segera melangkah keluar. Tas tangannya dikemaskan di bahu sambil tangannya membimbit beberapa fail dan sampul surat yang dibawanya keluar dari bilik mesyuarat di Mega Structure. Langkahnya diatur pantas, menyusuri laluan di bahagian lobi. Destinasinya ialah pintu utama di hadapannya.

Dari arah hadapan, dia melihat satu kelibat tubuh yang amat dikenali sedang berjalan masuk dari pintu hadapan. Fitzerald tidak keseorangan. Lelaki itu sedang berbual-bual dengan dua orang lelaki lain. Melihat lelaki itu, langkah Cika serta-merta perlahan. Alamak! Fitzerald! Perlahan-lahan dia menukar arah. Dia tidak boleh membiarkan Fitzerald melihatnya di situ. Kalau lelaki itu menyedari kehadirannya, jangan harap dia boleh melepaskan dirinya dari Fitzerald. Paling-paling kurang dia akan dipaksa minum bersama lelaki itu di kafeteria di dalam bangunan ini. Come on Cika! You can do it! Selamatkan diri kau dari Fitzerald yang jiwang karat itu.

Kali ini Cika menukar haluan ke arah pintu keluar yang satu lagi. Malah dia melangkah lebih pantas dari tadi. Risau sungguh dia kalau Fitzerald sempat melihatnya di situ. Jangan dia nampak aku sudahlah! Doa Cika sedikit resah.

“Cika!” Panggilan itu singgah di telinga. Cika menelan liur. Aduh! Sudah nampakkah? Tapi apasal suara mamat itu berbeza? Cika meluruskan pandangan. Tapi yang muncul di hadapannya bukan Fitzerald, tapi seraut wajah yang selama ini cuba dielakkannya. Cika menarik nafas panjang. Idham Hariz! Aku bermimpikah? Apa lelaki itu buat di sini?

Idham Hariz melambaikan tangannya bersama segaris senyuman di bibir. Cika hanya tercegat seperti patung. Wajah lelaki itu tampak ceria, sedangkan wajahnya pula mencuka. Idham gembira tapi dia berduka. Pertemuan ini bukan seperti apa yang diinginkannya! Cika menggelengkan kepala seraya mengundur selangkah dua ke belakang.

Melihat gadis itu mengundur seolah-olah mahu mengelakkan diri darinya. Idham menarik nafas panjang. Dahinya berkerut lebar. Dia tak sangka terserempak dengan Cika di sini, tapi dia gembira sekalipun gadis itu sebaliknya.

Cika menelan liur sekali lagi. Apa patut dia buat? Idham di hadapannya sedangkan Fitzerald berada di belakangnya. Kedua-duanya mahu dielakkan tetapi dia tidak berupaya lantaran main exit yang ada di situ hanya ada dua pintu. Perlahan-lahan dia berpaling. Matanya masih melekat pada Fitzerald yang sedang berjalan masuk ke arah ruang legar lobi bersama teman-temannya. Sejurus dia mengalihkan pandangannya pula ke arah Idham yang sedang merenungnya dengan wajah bingung.

Melihat wajah lelaki itu, Cika bagaikan mendapat keberanian baru. Dia sudah tahu apa yang patut dilakukannya. Antara Idham dan Fitzerald, dia lebih rela memilih Fitzerald. Sekalipun telinganya geli-geleman mendengar Fitzerald berkata-kata, namun itu lebih baik buatnya dari menghadap wajah Idham Hariz.

Perlahan-lahan dia mengundur diri lalu berpaling ke arah Fitzerald. Kali ini dia nekad mahu menegur lelaki berbangsa Kaukasia itu. Seperti yang dijangka, Fitzerald tercengang melihat kehadirannya, tapi lelaki itu terlihat riang. Serta-merta teman-temannya ditinggalkan sebelum dia meluru ke arah Cika.

Cika, glad to see you here. Do you have any idea how much I miss you?” Tiba-tiba sahaja tubuh kecilnya dirangkul, seraya pipinya dikucup ala-ala French Kiss. Cika terkejut beruk. Ciuman di pipi kirinya membuatkan darahnya berderau. Tak payah berpaling ke belakang pun dia tahu Idham pasti ikut terkejut melihat adegan percuma itu. Dan yang tak bestnya, sudah ada beberapa orang yang berpaling-paling ke arahnya dengan raut wajah tertanya-tanya. Hello, aku bukan mistress mamat USA ni tau! Getus Cika di hati kecilnya.

Fitz..this is not right.” Cika mengeluh.

Fitzerald mengerutkan dahinya. Sejurus dia menepuk dahinya.

“Ops! Sorry Cika, saya lupa. I’m really sorry.” Ungkap Fitzerald, kesal kerana menyapa Cika seperti dia menyapa teman-temannya yang lain. Cika gadis melayu yang tidak boleh disentuh dan disapa sebegitu rupa. Tidak elok di mata masyarakat. Begitulah yang pernah Cika jelaskan padanya sewaktu dia mahu melakukan perkara yang serupa ketika mula-mula berkenalan dengan Cika dahulu.

“Tak apalah, tapi jangan buat selalu. Nanti semua orang ingat kita ada affairpulak.” Rungut Cika.

Affair? Do you want to?” Wajah Fitzerald bersinar-sinar.

“Fitz!” Cika mengetap bibir. Nak kena mamat ni nampaknya!

Melihat wajah Cika yang muncung empat belas, Fitzerald hanya ketawa. Dia pula hanya mengusik. Tak mungkin gadis secomel Cika mahu melakukan perkara sebegitu dengan orang asing sepertinya. Dia benar-benar sukakan gadis itu. Tapi dia juga tahu Cika bukan seperti gadis-gadis melayu lain yang pernah ditemuinya yang sanggup mengikutnya ke kelab malam, sanggup mabuk bersamanya dan mungkin juga sanggup menidurinya.

Sorry my dear, I’ m just joking. So tell me what are you doing here?” Tanya Fitzerald. Pertanyaan lelaki itu membuatkan Cika segera teringatkan Idham Hariz. Perlahan-lahan dia berpaling ke belakang, namun kelibat lelaki itu sudah tidak ada di situ. Cika jadi lega sedikit. Mujurlah! Tak sia-sia bibir seksi Fitzerald salah mendarat di pipinya sebentar tadi. Idham pasti terkejut dan mungkin juga ketika ini sedang menelefon ibunya mengatakan NO pada jodoh yang diaturkan ibu-ibu mereka. Entah kenapa memikirkan semua itu, Cika jadi sedikit lega. Tak sia-sia dia terserempak dengan Fitzerald di situ. Thanks Fitz..harus kena belanja mamat ni minum ni.

Previous: BAB 27
Next: BAB 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh