BUNYI tapak kaki menjengah masuk ke
biliknya semakin jelas, tapi dia hanya berbuat endah tak endah. Dia masih berdiam
diri di dalam selimut. Tadi dia sudah bangun bersolat, tapi entah macamana
kembali menyambung tidur. Penat tubuhnya tidak mahu hilang sejak dia mengikut
Ubek memancing di The Woods malam semalam. Ditambah lagi
dengan penat dileter ibunya, penat kerana terpaksa bertemujanji buat kali
ketiga belas dan macam-macam lagi.
Memancing
sudah menjadi hobi keduanya meskipun ibunya langsung tidak berkenan dengan hobi
barunya itu. Kata ibunya, hobi itu hanya yang membuang masa. Kata ayahnya pula,
hobi itu menyeronokkan. Kata Ubek abangnya, memancing itu lebih seronok dari
bertemujanji dengan kekasih hati. Lantas kedua-duanya sering bertengkar sekadar
mahu mendefinsikan tabiat memancingnya yang baru-baru ini dikenalpasti oleh
Ubek.
Baginya
pula, membuang masa ke tak membuang masa ke, asalkan boleh lari sekejap dari
gangguan Fitzerald, kliennya serta Dato’ Fakhri, dia sudah bersyukur. Tak
terlayan dia menghadap kerenah Fitzerald yang asyik menghantar berdozen-dozen
bunga ke pejabatnya dengan madah-madah jiwang yang terlakar pada kad-kad di
jambangan itu. Memang mamat dari USA itu romantik habis! Tapi
romantik lelaki itu hanya membuatkan dia geli geleman.
Juga dia sudah muak dengan rayuan
demi rayuan Dato’ Fakhri, duda anak dua yang sering mengintai peluang untuk
menjadikannya pengganti arwah isterinya. Itu belum masuk dengan lirikan nakal
anak bujang Dato’ Fakhri, Irman yang sama naik dengan bapaknya dalam bab
usha-mengusha ni. Yang peningnya dia kerana terpaksa melayan kerenah
ketiga-tiganya yang tidak masuk akal.
Ibunya pula tidak ada kerja lain
selain asyik menyuruh dia menghadiri blind
date. Boleh kata setiap dua minggu sekali pasti ada calon yang diperkenalkan
ibunya. Dan malam semalam adalah blind
datenya yang ke-tiga belas. Orangnya boleh tahan sebenarnya tapi penakut
dan gelabah. Awal-awal sudah cabut lari bila dia berlakon sekejap. Jenis macam
ni ke nak buat calon laki? Not acceptable!
Mujurlah bila dia balik petang
semalam, kelibat ibunya tidak ada. Wanita itu mengikuti rombongan sekolah ke Nilai.
Dia faham benar, ibunya itu bukan mahu sangat menemani pelajar-pelajar naik bas
ke sana ke mari.
Ibunya lebih berminat dengan aktiviti membeli-belah pelbagai jenis kain dan
langsir di Nilai. Dia benar-benar bersyukur ibunya tidak ada, jika tidak entah
macamana dia mahu menjawab pertanyaan ibunya itu tentang Zain. Lepas itu
abangnya Ubek mengajak dia pula ke Kampung Teluk Gong, memancing di sana. Semuanya ambil
peluang bila ibunya tidak ada di rumah. Baru lagi telinga mereka bernanah
kerana dileter wanita itu kerana memancing di Ulu Yam, abangnya Ubek seakan
tidak kenal istilah serik.
“Jomlah adik, temankan abang.” Pujuk
Ubek berulangkali.
Mahu tak mahu dia terpaksa mengikut.
Itupun kerana dapat approvaldari Encik
Nordin, second komanden dalam batalion Puan Bahyah. Asalnya mereka bertiga mahu
pergi bersama-sama. Tapi pada minit-minit terakhir Encik Nordin tidak mahu
mengikut kerana keesokan harinya dia ada majlis keraian yang harus dihadiri.
Anak gadis teman baiknya Shamsudin akan diijabkabulkan pukul 11 pagi keesokkan
harinya. Diikutkan hatinya dia malas mahu mengikut, tapi desakan rakan baiknya
dalam orkestra tidak harus diabaikan begitu sahaja.
Setelah awal subuh baru dia sampai
ke rumah bersama Ubek. Itu yang dia penat sangat sebenarnya. Seperti biasa,
Ubek tidak pernah memancing apa-apa kecuali seekor dua anak ikan yang sebesar
ibu jari.
“Adik memang brutal, tak takut ke
umi marah?”
Tiba-tiba sahaja dia teringatkan
kata-kata Ubek ketika mereka menanti ikan memakan umpan di pinggir sungai.
“Nak takut apa?”
“Leteran umi la apa lagi?” Ubek
tersengih.
“Takut juga, tapi nak buat macamana?
Abang patut tengok si Zain tu. Muka nampak macho
habis tapi bila kena sergah sikit dah kelam kabut. Dari Cika kahwin dengan
lelaki macam tu, lebih baik Cika kahwin dengan ikan buntal.” Dia ketawa kecil.
Sekadar bercerita kosong dengan si abang yang memang kaki pancing dan dia turut
sama berkongsi kegemaran abangnya itu.
“Yalah, orang tu cuma minat Josh
Duhamel sahaja.” Usik Ubek seraya ketawa terkeheh-keheh.
Dia terdiam sejenak. Mungkin kalau
abangnya tidak menyebut tentang Josh Duhamel, dia sudah melupakan lelaki yang
dijumpainya di bilik air wanita di Restoran Jumbo Jeep tempohari serta insiden
yang memalukan di dalam tandas wanita di situ.
“Berlagak sungguh mamat tu. Macamlah
handsome sangat.” Dia mencebik. Tapi
cebikannya tidak mengandungi kebencian lantaran wajah itu lebih membuatkan dia
tertarik dan terpukau.
Entah kenapa, setiap kali dia mahu
melelapkan mata, setiap kali itu juga wajah itu terimbas bagaikan scanner machine. Terhimpun di matanya
membuatkan dia terbuai sehingga terlena.
Renungan lelaki itu juga masih kekal
di hatinya sehingga kini. Sepasang mata lelaki itu bagaikan mempunyai aura
untuk membuatkan dia terkenang-kenang seperti orang gila bayang. Kalaulah dia
ada peluang untuk terus bertemu lelaki itu! Keluh hati kecilnya. Tapi peluang
itu tidak mungkin ada lagi tatkala pertemuan terakhir mereka berakhir dengan
kata mengata dan sindir menyindir antara mereka.
Cika! Damn it! Kenapa mesti kau gila bayang begini? Setelah
berpuluh-puluh lelaki kau temui sepanjang hidup kau, kenapa lelaki itu juga
yang kau ingatkan? Takkan kau dah lupa bagaimana sedap mulutnya mengata kau
yang bukan-bukan! Hate him but don’t love
him! Seru suara hatinya.
Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi
langsir pintunya diselak. Dalam mamai-mamai, dia memasang telinga. Siapa pulak
la yang rajin selak langsir kat bilik aku ni? Ah malas layan! Tidur lagi baik!
Manalah tahu dia boleh bermimpi bertemu Josh Duhamel. Maksudnya original Josh Duhamel. Bukan fake Josh Duhamel yang berlagak maut tu.
Dasar lelaki sengal! Getus Cika geram.
“Nak tidur sampai pukul berapa ni?
Sampai tengahari ke?” Suara itu singgah menjamah gegendang telinganya. Dia
membuka mata lalu terkebil-kebil sejenak di dalam selimut. Macam kenal suara
tu!
“Orang lain dah ada kat meja makan
tu, tengah makan dan siap-siap nak pergi kerja. Yang awak ni kalau hari-hari
tak payah kena kejutkan, tak payah kena panggil turun, tak boleh ke?”
Dia menarik nafas. Dah start meleter dah orang tua ni! Dia
mengeluh. Perlahan-lahan dia menyelak selimut lalu tersengih pada wajah yang
sudah bercekak pinggang di hadapannya.
“Eh bila umi balik? Cika tak tahu
pun.” Dia menegur.
“Pukul 7 pagi tadi lagi umi dah
sampai ke rumah. Yang awak tu entah solat subuh ke belum?” Suara Puan Bahyah
terus menyelidik. Rancak mahu menyiasat aktiviti anak-anaknya yang cukup culas
mahu menunaikan solat.
“Sudahlah umi. Cika dah solat lepas
tu sambung tidur. Umi tak ke sekolah hari ni?”
“Tak, umi cuti hari ni.”
“Banyak beli kain kat Nilai tu?”
Mata Puan Bahyah membulat ke arah
anaknya. Cika tersengih-sengih. Alamak dah kena panah arjuna dah! Dia mengerti
benar maksud renungan ibunya kali ini.
“Cika nak bangun la ni umi.” Dia
membuang selimut dengan perasaan malas. Aduh! Malasnya nak bangun! Malasnya nak
pergi kerja! Malasnya nak mandi!
“Dah jangan nak buat muka sememeh tu
depan umi. Sekarang awak pergi ambil tuala, pergi mandi sekarang. Umi tunggu
kat sini sampai awak siap. Bukan umi tak tahu perangai awak tu, pantang umi
lepa sikit, awak humban diri atas katil tu lagi.” Leter Puan Bahyah.
“Yalah..yalah..Cika nak pergi mandi
la ni. Umi ni suka sangat berleter tau. Bosanlah Cika macam ni.” Dia
merungut-rungut sambil berdiri di birai katil. Tuala yang tersangkut di
pelantar dicapai lalu dia segera bergegas ke bilik air.
“Amboi menjawab pulak budak ni.
Kalau awak tak buat perangai, tak ada nya umi nak berkeras dengan awak macam
ni. Awak tu bukan budak-budak lagi Cika, umur dah nak masuk 29 tahun.” Getus
Puan Bahyah.
“Cika baru 28 la umi. Tak payahlah
umi nak ingatkan selalu, bosan dah Cika dengar umi asyik berleter.” Cika
menjerit dari dalam bilik air yang terkatup rapat.
“Awak
dengan abang awak tu sama aje. Bila umi cakap sikit, awak kata umi ni suka
berleter. Tapi cakap umi awak dua beradik langsung tak nak dengar.” Jerit Puan
Bahyah cuba
menyaingi bunyi pancuran showerdari
dalam kamar mandi.
Mendengar
Cika diam sahaja, tidak membalas lagi kata-katanya, Puan Bahyah hanya mampu mengeluh
panjang. Apalah nasibnya! Ada
anak dara seorang, perangai tak serupa anak orang. Tiru perangai siapa si Cika
ni agaknya! Ada
anak bujang, pun asyik berkepit dengan ikan.
Malas
mahu menanti di situ, dia segera turun ke tingkat bawah. Menghampiri meja makan
yang sudah ditempati oleh suami dan anak lelaki sulungnya Ubek yang beberapa
kali asyik menguap.
“Apa
yang riuh rendah tu?” Tegur Encik Nordin sambil menyuap mee goreng ke mulut.
Ubek yang duduk di sebelah ayahnya sibuk membelek-belek ipad di tangannya.
“Anak
dara awaklah apa lagi? Saya cakap sepatah, dibalasnya berpatah-patah. Panjang
benar akalnya sekarang ni, sebiji macam si Ubek ni.” Puan Bahyah menjeling anak
sulungnya.
Ubek
tersengih, namun matanya masih tidak berganjak dari gadget di tangannya.
“Hati
saya ni bang, geram sangat mengingatkan telatah si Cika ni. Malu saya dengan si
Safiah tu. Bukan main serius lagi kita nak kenenkan dia dengan si Zain tu, dah
tu tak fasal-fasal jadi macam ni pulak. Safiah sms saya semalam, beritahu Zain
balik sampai demam-demam dimainkan di Cika tu.” Keluh Puan Bahyah.
“Ala nak dipaksa buat apa
kalau Cika tak suka.” Jawab Encik Nordin selamba.
Puan
Bahyah menjegilkan biji matanya, merenung si suami yang nampak lebih berminat
mengkhatamkan sepinggan mee goreng dari berbicara tentang anak mereka.
“Bang,
kalau awak tak ingat, mari saya ingatkan awak. Si Cika anak kesayangan awak tu
dah masuk 28 tahun. Dah cukup umur untuk kahwin pun. Awak tak teringin ke nak bermenantu?”
Soal Puan Bahyah.
“Teringin
tu teringin jugak, tapi kalau si Cika tu tak berkenan, kita nak paksa pun tak
guna jugak. Ni bukan zaman macam kita dulu Cik Bahyah oi.” Sahut Encik Nordin.
Ambil mudah seperti biasa.
“Habis
nak suruh dia cari sendiri? Abang, Cika tu sejak sekolah, masuk universiti
sampai sekarang, bukan main liat nak cari teman lelaki. Ada orang nakkan dia, dia pula tak mahu.
Kononnya belum puas hidup bebas. Lepas tu alasan dia lagi tak ada masa nak
cari. Pergi memancing dengan Ubek ni sampai ke Ulu Yam, ke Telok Gong tu ada
masa pulak!” Getus Puan Bahyah.
“Alah
umi ni, kalau cakap fasal Cika..tak ada benda lain ke nak sebut. Asyik-asyik
nak suruh dia kahwin. Yang Ubek ni, umi tak peduli pun.” Celah Ubek pura-pura
merajuk.
“Kamu
tu jantan, mana ada expired date.
Tapi Cika tu lain. Jangan katakan dating,
teman lelaki pun tak ada.” Keluh Puan Bahyah bimbang.
Ubek
ketawa kecil. Lucu mendengar kata-kata uminya. Encik Nordin hanya mampu
menggelengkan kepala. Dia tahu benar sikap isterinya yang tak habis-habis mahu
mencarikan jodoh untuk anak gadis mereka.
“Cika
tu nak tunggu Josh Duhamel dia.” Ujar Ubek.
“Apa?
Josh Duhamel tu siapa?” Encik Nordin tercengang.
“Alah
ayah ni, Josh Duhamel yang berlakon Las
Vegas dengan filem Transformer tu lah. Adik nak lelaki
yang macam Josh Duhamel tu.” Canang Ubek ketawa kecil.
“Umi
tak nak adik awak cari mat saleh buat laki. Umi nak dia pilih orang melayu
kita, yang ada adab sopan dan budi bahasa.” Pintas Puan Bahyah pantas. Takut
benar dia jika Cika memilih lelaki yang bukan-bukan untuk dibuat suami.
Ketawa
Ubek semakin kuat kedengaran. Lucu mendengar persepsi ibunya yang ketara tidak
tahu apa-apa tentang bahasa kiasannya. Ibunya itu nama sahaja guru bahasa
melayu di sebuah sekolah menengah, tapi bahasa kias-kias, pusing-pusing pun
ibunya tidak faham.
Cika
yang sedang menuruni anak tangga langsung terdengar bunyi ketawa abangnya. Dia
tahu tentu ada sesuatu yang sedang dibincangkan oleh ahli keluarganya ketika
itu. Tentu tak lain tak bukan tentang dirinya! Bukankah sejak akhir-akhir ini
topik berkaitan dirinya suka benar ditimbulkan keluarganya terutama ibunya Puan
Bahyah.
Aduh!
Kalau macam ni baik aku langsung terus ke pejabat. Fikir Cika. Lagipun kes
dirinya dengan calon menantu pilihan ibunya masih belum beres. Dia sendiri masih
belum disoalsiasat ibunya tentang Zain. Sebelum dia disembur habis-habisan,
baik dia cabut lari awal-awal.
Diam-diam
dia menyelinap ruang makan menuju ke arah pintu. Kasut disarung sebelum dengan
senyap-senyap juga dia memasuki perut kereta. Bibirnya tersenyum puas sebaik
dapat menghidupkan enjin kereta. Yes!
Line clear!