Bab 7

ULFAH memandang wajah Puan Rasidah dengan perasaan bersalah. Dia yang memutuskan untuk tidak meneruskan pertunangan kerana dia telah tahu kebenaran yang tersimpan daripada pengetahuannya. Patutlah Puan Asiah beria-ia mahukan dia dijodohkan dengan Zaif. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Kalaulah Lufi Izzar tidak memberitahunya, sampai bila-bila dia akan hidup dalam sebuah pembohongan dan dia yang akan terluka seribu kali.

Wajah Puan Rasidah tenang sahaja. Dia tidak pula melatah apabila dengan tiba-tiba Ulfah mahu membatalkan majlis pertunangan. Tetapi dia ingin tahu juga apa sebabnya. Lantaran itu, dia meminta sebuah pertemuan diatur bagi merungkai perkara sebenar. 

Puan Asiah yang duduk bertentangan dengan Ulfah hanya menundukkan wajah. Kesal dengan sikap pentingkan dirinya. Hati Ulfah dijadikan taruhan demi untuk menyelamatkan anaknya. 

“Jadi, apa sebabnya Ulfah nak batalkan pertunangan ni? Mak su hairan bila Ulfah dengan tiba-tiba nak batalkan majlis pertunangan.” Puan Rasidah terlebih dahulu membuka mulut, memecahkan kesepian memandangkan yang lain hanya diam sahaja. 

Ulfah meramas jari-jemari. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan kepada Puan Rasidah. Takkanlah dia hendak memberitahu bahawa Zaif itu gay? Pasti terkejut besar Puan Rasidah apabila mengetahui perkara sebenar. 

Melihatkan Ulfah hanya diam, Puan Asiah berdehem. Terus pandangan Puan Rasidah beralih ke arah Puan Asiah.

“Macam ni, Liza. Anak saya sebenarnya …” Ayat Puan Asiah tergantung kerana dia diterpa rasa bersalah yang amat mengenangkan anaknya yang buat hal. Ulfah memang perempuan baik dan layak untuk mendapat lelaki yang baik juga. Dan dia pula ada hati hendak menjodohkan anaknya dengan gadis sebaik Ulfah. 

“Kenapa? Apa yang sebenarnya berlaku?” Hati Puan Rasidah diusik rasa syak. Dia tahu ada sebab yang tidak elok apabila anak saudaranya sendiri yang membuat keputusan.

“Anak saya dah ada orang lain.”

Lufi Izzar tersentak dari tempat duduknya. Dah ada orang lain? Pandai benar Puan Asiah menipu. Kenapa tidak dedahkan saja perangai sebenar Zaif? Dah terang-terangan Zaif tidak berkenan dengan kaum perempuan. 

Sementara itu, Ulfah juga kelihatan terperanjat dengan kata-kata itu. Dia tahu Puan Asiah pasti keberatan untuk mengatakan perkara sebenar pada Puan Rasidah. Nak-nak lagi anaknya tidak normal seperti lelaki lain. Dia mahu menjaga aib barangkali.

“Dah ada orang lain?” Suara Puan Rasidah sedikit meninggi kerana terkejut dengan pemberitahuan itu. Dah tahu anak sudah berpunya, kenapa masih mahu meminang Ulfah untuk anak itu?

“Maafkan saya, Liza. Dia tak bagitahu saya selama ni.”

“Awak main-mainkan perasaan anak saudara saya, Asiah.” Puan Rasidah kedengaran kecewa.

“Maafkan saya. Saya tahu saya salah.” Puan Asiah hanya mampu meminta maaf kerana tiada apa yang boleh dilakukan selain daripada mendapatkan kemaafan perempuan bergelar ibu saudara kepada Ulfah itu. Dalam hal ini, dia yang bersalah kerana dia cuba menyembunyikan hal sebenar walhal dia sudah tahu. Dia yang berdegil mahu menjodohkan Zaif dengan Ulfah sehinggakan menepikan perasaan gadis itu sendiri.

“Nasib baik la awak bagitahu awal-awal. Kalau tak, dalam diam anak saudara saya diduakan oleh anak awak.” 

“Saya yang salah, Liza. Saya tak sepatutnya …”

Puan Rasidah mengangkat tangan, menghalang Puan Asiah daripada meneruskan kata-katanya. Tiada gunanya lagi Puan Asiah berterusan meraih kemaafan. Dia sudah bersyukur kerana Puan Asiah tampil memberitahu perkara sebenar daripada membiarkan dia tertanya-tanya. Sekurang-kurangnya Ulfah tidak merana di kemudian harinya.

“Awak tak perlu cakap apa-apa, Asiah. Saya pun dah malas nak panjangkan masalah ni. Benda kita boleh selesaikan, kita selesaikan hari ni juga.” 

“Selesaikan apa lagi? Memang dah selesai pun, mak su. Ulfah memang tak nak bertunang.” Ulfah menyampuk setelah agak lama berdiam diri. Sesekali dia perasan pandangan Lufi Izzar yang ditujukan ke arahnya. Tenungan Lufi Izzar membuatkan dia tidak selesa namun entah kenapa, ada perasaan asing pula yang menusuk hati. Haih, takkanlah dengan budak pun aku nak try? Hatinya mendesis, memarahi diri sendiri yang tidak pandai mengawal hati. Jatuh cinta dengan budak sekolah? Tidak pernah terlintas di fikirannya. 

“Ya, mak su tahu. Ulfah dah buat keputusan dan mak su pun tak nak bantah sebab itu keputusan Ulfah. Nak-nak lagi, bakal tunang Ulfah pun dah ada orang lain. Kenapa nak bazirkan masa untuk diduakan dia kan?”

Kata-kata Puan Rasidah itu berbaur pedas dan menyengat telinga Puan Asiah. Tetapi, Puan Asiah tidak mampu bersuara kerana dia sedar ada kebenaran di sebalik kata-kata wanita itu. 

“Betul tu mak su. Saya sokong apa yang mak su cakap tadi. Kenapa nak bazirkan masa untuk orang macam along? Tak ada faedah langsung.” Lufi Izzar mencelah, menyokong Puan Rasidah. Dia pula yang terlebih gembira apabila Ulfah nekad tidak mahu meneruskan pertunangannya dengan Zaif. Cerahlah peluangnya untuk mendapatkan Ulfah. Bagus juga Zaif tak nakkan Ulfah. Yang tak bagusnya, alongnya itu terperangkap dalam hubungan sesama jenis. Astaghfirullahalazim.

“Lufi panggil apa mak su tadi? Mak su?” Ulfah pandang Lufi Izzar meminta penjelasan. Sejak bila pula Lufi Izzar itu menjadi anak saudara Puan Rasidah? 

Lufi Izzar yang menyedari dia tersasul memanggil gelaran itu pada Puan Rasidah terus menampar mulutnya sendiri. Langsung tak pandai cover. Dia mengutuk diri sendiri di dalam hati.

“Maafkan saya, mak su.” Sekali lagi dia tersasul. Tetapi dia masih mampu menayang wajah suci. Pangkal leher digaru.

“Nak jadi anak saudara mak su ke nak jadi suami Ulfah ni?” Mata Puan Rasidah mengecil. Lufi Izzar menggelabah. Sindiran atau tawaran? Kalau tawaran, memang dia nak!

Ulfah menampar perlahan paha Puan Rasidah. Dia merasakan gurauan itu tidak kena ada tempatnya. Ada ke patut Puan Rasidah bertanya seperti itu? 

“Kenapa mak su cakap macam tu? Tengok Lufi. Pipi dia dah merah tu.” Bibir Ulfah memuncung ke arah Lufi Izzar. Bukan main lagi memanggil Puan Rasidah dengan gelaran ‘mak su’. 

Lufi Izzar lantas menyentuh kedua-dua belah pipinya. Biar betul? Pipinya merah? Alamak, takkanlah lelaki pun boleh merona malu? Dia mahu menutup seluruh wajah agar tidak terlihat oleh sesiapa.

Ulfah sedikit tercuit melihat gelagat Lufi Izzar yang cuba menyembunyikan warna merah di pipinya. Padahal bukan merah pun. Dia saja hendak mengusik remaja itu. Yang tua buli yang muda sudah menjadi perkara biasa.

“Merah sangat tu.” Puan Rasidah pula menambah.

“Lufi ni … Ada ke panggil Puan Rasidah macam tu? Sejak bila pula mak ni ada ikatan adik-beradik dengan Puan Rasidah?” Kali ini Puan Asiah menegur anaknya. Dia membawa Lufi Izzar bersama kerana anak lelakinya itu yang beria-ia mahu mengikutnya. Tahu benar Lufi Izzar mahu bertemu dengan Ulfah. Anaknya memang sudah angau. Tak sabar nak menikah kut.

“Mak ni …” Lufi Izzar mencemikkan wajahnya. Tiada seorang pun yang menyokongnya. Dia bukannya sengaja. Lagipun, dia tidak bersikap biadab. Dia hanya menghormati Puan Rasidah sebagai orang yang lebih tua daripadanya. Untung nanti jadi mak saudara dia juga kalau dia dan Ulfah berjodoh.

“Dah la. Kalau nak panggil mak su pun tak apa,” ujar Puan Rasidah langsung tidak kisah.

“Eh?” Ulfah pandang Puan Rasidah dengan rasa tidak percaya. 

“Biar la kalau dia nak panggil mak su pun. Anggap aje mak su ni macam mak cik dia,” tambah Puan Rasidah.

“Yes!” Lufi Izzar yang terlebih gembira.

“Lufi, behave la,” tegur Puan Asiah, menepuk paha anaknya. Lufi Izzar menarik wajah. Dia gembira pun salah ke?


“TADI bukan main gembira anak Puan Asiah. Dia ada apa-apa dengan Ulfah ke?” Puan Rasidah terus menghujani anak saudaranya dengan soalan apabila perasan cara Lufi Izzar memandang Ulfah. Lain macam benar pandangannya. Macam orang yang jatuh cinta. 

Tangan Ulfah yang ralit mencuci pinggan terhenti. Pili air ditutup. Dia meninggalkan pinggan yang tidak berbasuh di dalam sinki. 

“Lufi tu macam adik pada Ulfah. Dia kan sama umur dengan Alief.” Ulfah memberi jawapan balas. 

“Ya ke? Tapi mak su perasan cara dia pandang Ulfah tak macam seorang adik pandang seorang kakak.”

“Mak su salah faham tu. Dia tu kan budak lagi.” Ulfah menolak jauh-jauh andaian Puan Rasidah. 

“Mak su ni lebih berpengalaman, Ulfah. Dulu masa pak su kamu nak mengorat mak su, macam itulah cara dia pandang mak su.” Puan Rasidah mula membangkitkan kisah percintaan dia dan suaminya. 

“Mak su, itu zaman dulu,” pangkas Ulfah lembut. Puan Rasidah merengus perlahan. Baginya, zaman dulu atau zaman sekarang sama saja. Lelaki tetap lelaki. Perempuan tetap perempuan. Kalau seorang lelaki itu dah berkenan dengan seorang perempuan, dia memang hanya nampak perempuan itu seorang sahaja. Macam itulah yang dia nampak apabila dia memerhatikan Lufi Izzar tadi. Remaja itu sibuk benar mencuri pandang ke arah anak saudaranya. Bukan sekali saja malah berkali-kali. Kalau dah tengok sampai naik juling biji mata, takkanlah tak ada maksud apa-apa? Nampak sangat Lufi Izzar menaruh perasaan terhadap Ulfah.

Jangan cakap dia tidak perasan. Sejak Lufi Izzar tiba bersama dengan Puan Asiah, dia tahu pandangan Lufi Izzar ditujukan pada siapa. Takkanlah anak saudaranya masih tidak perasan?

“Mak su ni cakap yang bukan-bukan pula. Kalau dia sukakan Ulfah sekalipun, takkanlah Ulfah nak sukakan dia balik? Dia muda dari Ulfah kut. Masih belajar pula tu.” 

“Aik, muda ke tua kalau dah jodoh takkan ke mana.” Puan Rasidah jelas tidak kisah tentang umur. Dia dan suaminya juga berbeza usia. Dia lebih tua tiga tahun daripada suaminya. Tiada masalah pun untuk mereka mendirikan masjid. Kekal juga sehingga ke hari ini. Kalau dah jodoh, memang Allah s.w.t akan satukan kedua-duanya. 

“Mak su, dengan abang dia tak jadi takkanlah Ulfah nak rembat si adik pula? Ulfah bukannya terdesak sangat nak bersuami sampai yang muda pun Ulfah nak buat suami.” Ulfah tidak kemaruk untuk mencari suami setelah dia tidak jadi bertunang dengan Zaif. Dah tak ada jodoh nak buat macam mana? 

“Mak su bukan paksa Ulfah ke apa. Mak su tanya aje kan?”

Ulfah diam. Memanglah Puan Rasidah bertanya tetapi gayanya macam memaksa pun ada. Entah-entah Puan Rasidah memang mahu dia berkahwin secepat mungkin. Sekarang ni siapa yang terdesak sebenarnya? Dia atau Puan Rasidah? 


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.