Bab 6

PUAN ASIAH sudah tidak berupaya menghalang keputusan yang dibuat oleh pihak sebelah apabila Puan Rasidah iaitu mak su kepada Ulfah sendiri meminta pembatalan majlis pertunangan yang sepatutnya dilangsungkan sebulan lagi. Dia tidak tahu apa yang menyebabkan Puan Rasidah meminta pembatalan itu kerana keputusan itu dibuat secara tiba-tiba.

“Mak su Ulfah minta pembatalan majlis tunang,” maklum Puan Asiah kepada Lufi Izzar yang sedang menjamah mi goreng. 

“Betul ke?” Lufi Izzar berpura-pura tidak tahu. 

“Ya. Mak pun tak tahu kenapa. Mak su dia pun tak cakap apa sebabnya.” 

“Baguslah kalau tak jadi. Kalau jadi, kesian Kak Ulfah tahu?” Lufi Izzar tidak terkilan langsung dengan keputusan mengejut itu kerana sememangnya itu yang diharapkan olehnya sebelum ini. Setelah melihat Ulfah dengan mata kepala sendiri, hatinya terpanggil untuk memiliki hati Ulfah. Umur bukan penghalang dan bukan satu faktor untuk dia berhenti daripada memikat Ulfah. Kali pertama dia melihat gambar Ulfah, hatinya sudah terpaut pada Ulfah. Sayangnya pada waktu itu Puan Asiah berkeras mahu menjodohkan Ulfah dengan Zaif. Setelah tahu kebenarannya, Puan Asiah tidak lagi memikirkan soal itu. 

“Lufi macam suka aje,” duga Puan Asiah yang dapat menangkap wajah Lufi Izzar yang kelihatan ceria.

Lufi Izzar tersenyum. Suapan mi goreng terhenti. Matanya kembali fokus pada Puan Asiah.

“Lufi memang tak berkenan Kak Ulfah jadi kakak ipar Lufi.”

“Kenapa?”

“Sebab Lufi yang nakkan dia.” 

Puan Asiah hampir ternganga. Sebelum ini Lufi Izzar ada menyatakan hasratnya untuk menggantikan Zaif. Sangkanya, Lufi Izzar hanya bergurau. Apa yang ada dalam fikiran remaja berusia 18 tahun seperti Lufi Izzar?

“Lufi, apa Lufi cakap ni?”

Lufi Izzar mengeluh. Dia sudah mengaku terang-terangan, tidak berkias. Puan Asiah masih tidak fahamkah? Hanya kerana umur dia baru 18 tahun, Puan Asiah meraguinya? Ramai saja lelaki sebayanya yang menikah awal. Yang sudah ada anak pada umur 20 tahun pun berlambak. Elok juga kahwin awal daripada buat perkara tidak senonoh. Tak manis dipandang orang kalau berkepit sepanjang masa tanpa ikatan halal.

“Lufi memang nakkan dia.” Sekali lagi dia mengulang ayat yang sama bagi membuatkan Puan Asiah faham bahawa kata-katanya bukan sekadar omong kosong. Dia tahu apa yang diucapkannya dan dia sedar apa akibatnya. Dia bukan budak kecil. Dia berada pada tahap yang mana dia boleh menyukai seorang perempuan tanpa dipinta. Jika hari ini Puan Asiah mahu meminang Ulfah untuknya, esok juga dia mahu melafazkan ijab. Tidak mahu Ulfah terjatuh pada tangan orang lain. Dia dah cop dari awal lagi. Siapa yang cuba masuk line, dia akan tentang habis-habisan.

Puan Asiah menjatuhkan garfu ke bawah. Dia menopang dagu. “Lufi, jangan main-main soal perasaan. Boleh jadi Lufi cuma admire Ulfah. Tak semestinya Lufi sayangkan dia ke apa.”

“Mak, Lufi dah kenal hati budi dia. Lufi bukan admire dia lagi, tapi Lufi memang nak jaga dan lindungi dia. Mak ni susah la nak faham. Lufi tengah serius ni.” 

“Kenal? Macam mana Lufi boleh kenal Ulfah? Mak tak pernah kenalkan Lufi dengan dia.” Wajah Puan Asiah terkerut. Setahunya, pertemuan Lufi Izzar dan Ulfah tidak pernah terjadi walau sekali kerana sewaktu dia mengambil Lufi Izzar dari jagaan opah, dia sudah merisik Ulfah untuk Zaif.

“Kawan Lufi sebenarnya adik Kak Ulfah,” jelas Lufi Izzar, tidak berahsia lagi mengenai hal itu.  

“Jadi, Ulfah tahu pasal along sebab Lufi yang bagitahu?” 

Lufi Izzar tidak gentar untuk mengaku. Benda yang seharusnya diberitahu tidak boleh terus disimpan.

“Lufi sedar tak apa yang Lufi dah buat?”

“Apa yang Lufi dah buat?” Lufi Izzar menyoal balik dengan riak wajah selamba. Baginya, dia tidak bersalah langsung dalam hal ini. Ulfah berhak tahu. Dan dia hanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

“Pasal hal along, biar mak yang uruskan. Yang Lufi memandai pergi bagitahu Ulfah tu kenapa?” Puan Asiah kedengaran tidak puas hati dengan tindakan anak bongsunya itu. 

“Sampai bila mak nak rahsiakan perkara tu daripada Kak Ulfah? Elok sangat la kalau dia tahu.” 

“Ini urusan orang tua. Lufi tak payah masuk campur,” tukas Puan Asiah. Kecik-kecik dah pandai nak mencampuri urusan orang dewasa. 

“Ala, mak ni. Lufi cuma nak mudahkan kerja aje.” Lufi Izzar sudah menarik muncung. Bukannya dia merumitkan masalah. Puan Asiah yang menjadikannya rumit sejak dari awal lagi. Dah tahu anak sulungnya itu tidak berperasaan terhadap wanita, masih juga mahu mencari calon isteri buat Zaif. Perempuan sebaik Ulfah mahu diberikan kepada Zaif yang tidak akan pandai menghargai? Baik tak payah. Bagi dekat dia lagi baik la. Sekurang-kurangnya cita rasanya masih pada kaum Hawa. Sudah pasti Ulfah akan dijaga dengan baik. Pemilik takhta di hatinya akan mendapat layanan istimewa daripadanya.

“Mudahkan kerja la sangat. Mak dah la terlepas nak bermenantukan Ulfah. Lufi pula buat perangai. Geramnya mak …” Puan Asiah memicit dahi.

“Mak nak dia jadi menantu mak sangat ke?” Lufi Izzar bertanya walhal dia sudah tahu jawapannya. 

“Mesti la. Perempuan baik macam tu mana nak dapat? Dah ada kat depan mata, baik rembat terus.” Puan Asiah kedengaran serius. 

Lufi Izzar menarik senyuman di bibir. Nak menantu sebaik Ulfah ya? Mudah saja sebenarnya. Kalau Ulfah tidak jadi bertunang dengan Zaif, dia akan cuba memikat perempuan itu pula. Tak jadi kakak ipar, jadi isterinya lebih baik. Ah, sejak terkena panahan cinta dia sudah mula angau. Macam ini rupanya bila dah jatuh cinta. Hati dia tidak kebal manalah jawabnya. Kononnya takkan jatuh cinta pandang pertama. Alih-alih Ulfah juga yang menjadikan dia tidak tentu arah. Berjodoh pula dia dengan perempuan itu.

“Yang Lufi senyum-senyum macam orang kurang siuman ni dah kenapa?” Puan Asiah menyoal, hairan dengan tingkah anaknya.

“Tak ada apa-apa,” dalih Lufi Izzar kemudiannya menyumbat mi goreng ke dalam mulut.


ALIEF terlompat akibat tepukan pada bahunya. Karipap yang berada di tangannya melayang hilang entah ke mana. 

“Woi, kau tak bagi salam dulu ke? Main terjah aje. Karipap aku dah hilang dah. Tu yang last tu.” Alief merungut sambil menumbuk Lufi Izzar di bahu. Matanya masih ligat mencari karipap yang hilang itu.

“Aku belikan yang lain,” usul Lufi Izzar tanpa rasa bersalah. Dia mahu berganjak namun tangannya dilelar oleh Alief.

“Mana boleh. Itu yang kakak aku buatkan untuk aku. Yang kau beli nanti takkan sama rasa dia dengan karipap buatan kakak aku. Spoil betul la kau ni.” Alief tidak berhenti merungut.

“Karipap kakak kau buat?” Mata Lufi Izzar sedikit terbeliak. “Ah, aku tolong carikan karipap tu.”

Alief menahan Lufi Izzar yang mahu membongkokkan badannya ke bawah meja kantin. “Kalau dah jumpa pun mana boleh makan dah. Dah kotor. Kau jangan nak buat kerja gila. Nanti orang ingat kau ni hilang akal.”

“Memang tak boleh makan tapi kau boleh simpan kan? Itu kan kakak kau yang buat?”

Alief tidak tahu sama ada Lufi Izzar benar-benar serius atau sekadar ingin bergurau dengannya. Buat apa disimpan karipap? Bukannya boleh mendatangkan apa-apa untung. Dah namanya pun makanan. Makanan disumbat ke dalam perut, bukan disimpan seperti hiasan di di dalam rumah pula. Otak Lufi Izzar dah tak betul agaknya.

“Kau ni dah makan ubat belum?” Alief bertanya dengan niat untuk bergurau. Lufi Izzar menggelengkan kepala. “Belum. Kau ada bawakan ubat untuk aku?”

Serentak, Alief dan Lufi Izzar menghamburkan tawa yang mengundang perhatian pelajar-pelajar yang lain.  Mereka tayang wajah tidak puas hati. 

“Kau boleh diam tak? Suara dah macam monyet menyalak aje aku tengok,” tegur salah seorang daripada mereka. Rakan-rakannya mengangguk, mengiakan. Ini mesti spesies yang ikut telunjuk kawan. Seorang yang cakap, yang lain angguk saja. Alief sempat mengutuk sekumpulan pelajar itu di dalam hati. 

“Kenapa nak diam? Ini bukan perpustakaan. Ini kantin. Tempat orang makan. Lagi satu, monyet tahu menyalak ke? Kau pernah nampak atau dengar?” Alief menjawab, langsung tidak kisah akan pandangan tajam yang dilemparkan ke arahnya. Dia melemparkan pandangan sinis ke arah pelajar yang menggelarnya ‘monyet’.

Lufi Izzar menepuk bahu Alief sekali lagi, mengajaknya segera beredar dari situ. Lagi lima minit masa rehat akan tamat. Dia tak naklah kawannya itu bergaduh di kantin. Naik nama mereka di pentas perhimpunan nanti. Kalau dek ketahuan Puan Asiah, kena piat telingalah jawabnya.

“Kau ni kan … Kalau tak buat kecoh satu hari memang tak sah,” ujar Lufi Izzar yang berjalan beriringan dengan Alief. 

“Kecoh aje pun. Bukannya gaduh besar.” Alief mencemik. “Yang along kau tu lagi teruk. Dia buat satu umat kecoh. Dah tak ada perempuan ke kat dunia ni? Nasib baik la kakak aku tak jadi bertunang dengan dia. Kalau tak, hari-hari minum air mata la jawabnya.” Alief bersuara dalam nada yang rendah, tidak mahu perbualan mereka didengari oleh sesiapa. Jika orang tahu, boleh heboh satu sekolah tentang orientasi seksualiti along kepada Lufi Izzar. Tak pasal-pasal Lufi Izzar turut dilabel sebagai gay.

Lufi Izzar terdiam. Dia sudah malas memikirkan soal Zaif. Membuang masa saja. Menegur sudah. Marahkan dia pun sudah. Tetapi dia masih tak nak dengar cakap orang. Ditegur pula dikatakan menyibuk pula. Alahai, manusia memang berperangai pelik. Tetapi Zaif bukan sahaja pelik malah sudah terpesong terus. Diajak kembali ke jalan sebenar, hatinya sudah keras seperti batu. 

“Maaflah, Lufi. Aku bukan nak sakitkan hati kau ke apa. Aku cuma geram aje. Patutlah aku tak berkenan dengan dia. Rupa-rupanya ada sebabnya.” 

“Kenapa nak minta maaf? Memang along aku tu yang buat salah.” Lufi Izzar tidak ambil hati pun. 

“Lufi, kau masih straight kan?” Tiba-tiba sahaja Alief melontarkan soalan sedemikian. Risau juga kalau-kalau Lufi Izzar beralih cita rasa. 

“Kenapa tanya aku macam tu?” Dahi Lufi Izzar tergaris kerut.

“Aku tak nak abang ipar ‘bengkok’. Nanti aku tak dapat main dengan anak buah. Aku nak jadi pak su tahu?”

Lufi Izzar tersenyum senget. Ke situ pula difikirnya. Belajar pun belum habis takkan dia sudah mahu menikah terus? Kata orang, kenallah hati budi orang itu dulu sebelum betul-betul serius mahu membina masjid.

“Aku masih lurus dan sampai bila-bila pun akan lurus.” 

“Bagus. Ini la dikatakan lelaki sejati.” Alief mengangkat ibu jari.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.