Bab 8

LUFI IZZAR membaringkan tubuhnya di katil. Dua jam menghadap Pengajian Am, matanya sudah berpinar. Kalau musim peperiksaan nanti, memang boleh naik juling matanya hendak menghafal satu buku Pengajian Am. Dia pula bukannya jenis yang suka menghafal. Kitab suci Quran pun tidak dihafaz, bagaimana hendak menghafal satu buku pelajaran?

Mata sudah mengantuk benar namun bunyi telefon menandakan mesej masuk dalam ruangan Whatsapp menghentikan niatnya untuk melelapkan mata. Dia terus mencapai telefon dari meja katil. Tangan mula membuka mesej yang diterimanya. Bibirnya tiba-tiba menarik senyuman apabila gambar Ulfah terpampang di ruang mata. Baik punya kawan. Alief benar-benar ingin membantunya. Siap dikirimkan gambar Ulfah lagi kepadanya. Mana nak dapat bakal adik ipar yang sporting? Kalau Alief ada di hadapannya saat ini, sudah pasti dia memeluk kawannya itu tanda berterima kasih. Tak sia-sia dia berkawan dengan Alief. Mudahlah kerjanya nanti.

Tanpa berlengah, Lufi Izzar mendail nombor sahabat baiknya. Dia perlu mengucapkan terima kasih pada Alief yang ‘bersusah-payah’ menghantar gambar itu padanya. Tak minta pun Alief sendiri yang bagi. Kalau dek ketahuan Ulfah pasal ini, apa agaknya reaksinya? Gambar kan privasi seseorang. Dia pula sesuka hati simpan gambar yang diambil tanpa keizinan pemiliknya.

“Dah tengok gambar? Macam mana? Cantik tak kakak aku dalam gambar tu? Itu gambar raya tahun lepas tu.”

Belum sempat dia menghulurkan salam, telinganya terlebih dahulu diterjah dengan soalan-soalan Alief. Bagaikan peluru berpandu. Seronok dapat mengirimkan gambar kakaknya itu.

Lufi Izzar tersenyum-senyum mengenangkan gelagat rakannya itu. Main terjah saja. Patutnya bagilah salam dulu ke apa. Yang menelefon dia tetapi Alief pula yang berlagak seperti pemanggil.

“Gila kau ni. Aku tak sempat bagi salam kut!” 

Di hujung talian Alief tergelak besar. Setelah tawanya mati, dia terus menghulurkan ucapan salam. 

“Waalaikumussalam,” jawab Lufi Izzar.

“Eh, kau yang telefon aku tapi kau pula jawab salam?” 

Sekali lagi Alief meledakkan tawa. Seronok benar dia nampaknya. Entah apalah yang mencuit hatinya. Lufi Izzar juga tertanya-tanya. 

“Kau ni macam terlebih gembira aje. Ada apa-apa ke ni?” Lufi Izzar menanti balasan Alief. 

“Mana ada apa-apa.” Alief menafikan.

“Yalah tu tak ada apa-apa. Eleh, aku dah kenal kau sangat. Kau tak bagitahu pun aku dah tahu,” ujar Lufi Izzar tidak percaya. Dengan dia, Alief tak perlu berbohong. Dia sudah dapat meneka.

“Tak percayakan aku?”

“Aku memang tak pernah percayakan kau.”

“Eleh, aku gembira sebab kau la.” Alief berterus-terang. 

“Gembira sebab aku dah dapat gambar ni dengan jayanya?”

“Tahu pun,” sahut Alief.

Lufi Izzar menggelengkan kepala. Ingatkan dia saja yang nakal. Kawannya pun sama sahaja. Dua kali lima kata orang. Kasihan benar Ulfah terpaksa menghadap dua pelajar Tingkatan Enam yang tidak matang.

“Kau bagi kat aku ni ada minta keizinan dia tak?”

“Gila la kalau aku tanya akak aku. Dah sah-sah dia takkan bagi punya. Apa la kau ni. Kau tak nak ke? Tak nak, kau padam aje la.” Alief sempat hendak menguji rakannya. Nak tahu juga sama ada Lufi Izzar berani ke tidak memadam gambar Ulfah. Jika gambar itu dipadam, memang taklah dia nak bagi yang baru.

Lufi Izzar tersengih. Benda yang susah nak dapat kut. Alief bagi pun dia dah bersyukur sangat.

“Takkan la aku nak padam pula kan?”

“Aku dah bagi gambar tu kau jangan nak buat benda merepek pula.” Alief mengingatkan dalam nada serius. 

“Nak buat benda merepek macam mana pula tu?” Lufi Izzar buat-buat tidak faham padahal dia tahu sangat apa yang dimaksudkan oleh rakannya itu. Takkanlah dia hendak buat macam tu pula? Dia tak nak menggunakan cara halus untuk mendapatkan hati Ulfah. Dia mahu perempuan itu jatuh cinta padanya tanpa dipaksa. Itu barulah dikatakan cinta sejati, saling menerima antara satu sama lain. Dia seorang sahaja yang mencintai, tiada gunanya juga. 

“Yalah. Macam kau bomohkan gambar tu ke apa.” Alief memberi jawapan.

“Aku takkan buat macam tu. Aku tahu mana yang halal, mana yang haram.” Lufi Izzar menolak andaian Alief. 

“Bagus. Kalau aku tahu kau buat macam tu, aku pula bomohkan kau!” Sempat lagi Alief mengugut. Lufi Izzar pula berasa seram sejuk mendengarkan ugutan kawannya itu. 

“Takkan la. Kau jangan risau. Lagipun aku memang nak jadi abang ipar kau pun. Macam mana? Suka tak jadi adik ipar aku nanti?” Dia teruja benar hendak menjadi abang ipar kepada Alief.

“Suka. Senang nak lepak nanti.” Ketawa Alief lepas. Di hujung talian, Lufi Izzar dapat menangkap suara Ulfah yang menegur adiknya agar merendahkan suara. Rindu pula pada orangnya. Dapat dengar suara pun jadilah. Terherot-herot bibirnya dengan senyuman apabila membayangkan bagaimana Ulfah melayan dia sebagai suami kelak. Rasa tidak sabar pula hendak menaiki takhta sebagai suami orang. Kalau dah angau, memang dah tak ingat benda lain dah. Hanya wajah Ulfah sahaja yang terbayang di ruang mata. Takkan pernah ada perempuan lain.

“Kakak aku dah bising. Esok kita lepak sama-sama ya?” ujar Alief berkira-kira hendak menamatkan perbualan kerana sudah ditegur oleh Ulfah.

“Ya.” Lufi Izzar menjawab pendek. Rasanya dia dan Alief memang selalu lepak bersama. Pergi ke mana-mana pun berdua. Sehari tidak berjalan berdua memang tidak sah kecuali pada hujung minggu. Boleh pula dia cakap macam itu? Kepala Alief tak betul kut malam ini.

“Assalamualaikum.”

Lufi Izzar menjawab salam. Dia membuka folder gambar. Matanya tidak lepas menatap gambar Ulfah yang manis berselendang biru air bersama senyuman yang memikat. Hari-hari tengok gambar ini, memang dia boleh dikatakan mabuk cinta. Alahai, dahsyat juga penangan cinta ini. Sekali tengok aku dah jatuh cinta pada Ulfah. Masalahnya, macam mana aku nak pikat dia? Lufi Izzar mati akal. Bukan mudah hendak memikat perempuan bernama Ulfah. Lebih-lebih lagi perempuan ialah kakak kepada kawannya sendiri.


LUFI IZZAR menghempaskan badannya ke katil. Penat. Hari ini dia benar-benar ketiadaan tenaga. Rakan-rakan sekelas ajak pergi main futsal pun dia terpaksa menolak. Mereka tidak tahu penat ke? Sampai kat rumah saja, jarum jam dah menunjukkan angka 4.15 petang. Sekejap lagi azan Asar akan berkumandang. Takkanlah hendak tergesa-gesa dalam menunaikan solat Asar? Allah s.w.t tidak suka orang yang menunaikan ibadahnya dalam tergesa-gesa. 

Sudahnya dia menolak pelawaan mereka. Alief yang asalnya beria-ia mengajaknya juga tidak jadi hendak pergi ke sana. Bila dia tak nak pergi, Alief turut tidak mahu pergi. Sejak akhir-akhir, ini rakannya itu memang kerap sangat membuat keputusan dengan merujuk dia. Dia seperti dah jadi macam abang ipar rasmi kepada Alief.

Lufi Izzar mengerling sekilas telefon yang berada dalam genggamannya. Ada mesej masuk. Tak kedengaran pula beep beep. Oh, dia silentkan telefonnya. Patutlah...

“Huh?”

Dia terus terbangun dari katil. Tangannya mencari-cari nombor Alief.

“Alief, betul ke ni?”

Alif menyahut panggilan dengan rengusan kecil. “Eh, bagi salam dulu tak boleh ke?” perlinya. Tahulah suka sangat. Janganlah sampai tiada adab pula. Kata-kata itu bukan dari mulut dia tetapi dari mulut Ulfah yang kerap sahaja berleter dan dia pula terpaksa menadah telinga. Hendak harapkan siapa lagi untuk ‘mendidik’ dia kalau bukan kakak kesayangannya itu? Dia hanya ada Ulfah sahaja. 

“Assalamualaikum.” 

“Waalaikumussalam. Itu baru bagus. Nak jadi suami kakak aku kan? Kena la belajar jadi orang yang ada adab. Bila orang jawab panggilan tu kau bagi la salam. Ini tak, terus terjah macam tu aje.” Alief berleter panjang. 

“Yalah, ustaz. Oh ya, pasal kenduri yang kau cakap dalam whatsapp tadi betul ke?” Lufi Izzar bertanya bagi mendapatkan kepastian. Mana tahu Alief sekadar hendak mengenakan dia atau ajak-ajak ayam sahaja.

“Betul la. Kau ingat aku tipu kau ke? Kenduri kesyukuran tu minggu depan. Rumah mak su. Mak su bagitahu akak aku yang dia nak ajak mak kau ke kenduri kesyukuran tu tapi aku yakin kalau ajak mak kau aje, kau pun dengan tak malunya akan datang juga. Kan?” 

Lufi Izzar dapat mendengar tawa kecil yang meletus dari mulut Alief. Dia tidak ambil kisah pun sebab kata-kata rakannya itu memang ada benarnya. Kalau Puan Asiah diajak sama, memanglah dia akan ikut sama. Rugilah kalau dia tak pergi. Nanti bolehlah pikat hati Puan Rasidah.  Tetapi dia hairan juga apabila Puan Rasidah mahu mengajak ibunya. Pertunangan Ulfah dengan Zaif telah dibatalkan. Mengapa Puan Rasidah berlagak tidak kisah dengan pembatalan yang mengejut itu?

“Aku nak tanya kau ni.” Lufi Izzar menarik nafas perlahan sebelum menghelanya. 

“Apa dia? Nak tanya akak aku pakai baju warna apa minggu depan untuk kenduri tu? Memang tak la aku tahu.” Alief membalas dengan selamba. Galak benar dia mengenakan kawannya itu. 

“Kau ni... Bukan aku nak tanya pasal tu. Aku nak tanya pasal mak su kau.”

“Kenapa dengan mak su aku?” Alief kembali serius.

“Mak su kau okey ke dengan mak aku? Maksud aku, kakak kau kan tak jadi kahwin dengan along aku. Dia okey ke?” Lufi Izzar menyusun bicara dengan berhati-hati agar Alief tidak salah faham dengan soalannya itu.

“Okey aje la. Akak aku cakap mak su dah anggap mak kau macam kawan dia. Tak jadi nak satukan along kau dengan kakak aku, tak ada masalah langsung. Dia cakap yang penting hubungan silatulrahim tu jangan putus. Lagipun tak jadi dengan along kau kan? Mesti jadi dengan kau punya la!” Alief ketawa mengekek.

“Haha. Yakin nampak?” 

“Mesti la aku yakin, kawan oi. Siapa tak nak abang ipar hensem dan baik macam kau ni?” 

Lufi Izzar tersenyum sumbing walaupun senyumannya tidak nampak oleh Alief. Mulalah tu hendak melalut yang bukan-bukan. Ramai lagi yang kacak di luar sana. Bukan dia seorang. Melebih-lebih pula kawannya itu.

“Yalah. Aku aje yang hensem, yang baik.” Lufi Izzar memuji diri sendiri. Bangga juga apabila kawan sendiri yang memuji.

“Eleh, perasannya...” 

“Eh, tadi kau juga yang cakap macam tu?” 

Alief tergelak besar. 

“Gelak pula dah? Kau ni hari-hari memang tak makan ubat ya? Ke kau nak aku carikan ubat yang lebih berkesan untuk kau?” Kali ini Lufi Izzar mengenakan rakannya. 

“Lawak la kau ni. Okey la, Lufi. Nanti aku roger kau balik pasal kenduri tu. Kalau aku tak cakap apa-apa pun, mak kau mesti dah tahu punya pasal tu.”

“Okey. Terima kasih sebab dah sediakan jalan untuk aku.” Suara Lufi Izzar separa berbisik. 

“Jalan dah tersedia sejak dari dulu lagi cuma kau dengan akak aku baru dipertemukan oleh Allah s.w.t. Kalau kau jadi along kau, mesti kau dah tak tolak akak aku kan?”

“Alief, terima kasih tahu.” 

“Sama-sama, Lufi. Aku tahu kau memang lelaki yang terbaik untuk kakak aku. Patut la aku rasa macam seronok aje berkawan dengan kau.”

Sebaik sahaja memberi salam, Lufi Izzar kembali berbaring di katil. Tidak sabar pula hendak menunggu minggu depan.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.