Bab 1

ALIEF menapak masuk ke dalam kelas dengan riang sambil bersiul kecil. Dia meletakkan beg di tempat duduknya sebelum mengambil tempat di bahagian belakang.

“Aiya! Kau buat apa ni Lufi? Study? Come on la. STPM lambat lagilah. Time macam inilah kita kena have fun. Betul tak?” Alief menyergah rakan barunya. Lufi Izzar yang ralit menulis sesuatu pada buku kecil berupa diari terus menutup helaian buku itu dan menyimpannya di dalam laci bawah meja. Wajahnya cemberut tanda tidak senang hati dengan gangguan Alief.

“Kau ni sibuklah, Alief. Aku nak buat apa pun, aku punya sukalah. Kau jangan nak menyibuk boleh tak?” Lufi Izzar melepaskan rasa tidak puas hatinya terhadap Alief yang sememangnya terkenal dengan sikap penyibuknya. Memang langsung tidak boleh duduk diam. Selagi guru tidak masuk kelas, jangan haraplah dia hendak duduk diam sahaja di tempat duduknya. Dia akan berkeliaran di segenap ruang kelas dan apabila guru masuk barulah dia sibuk tercari-cari tempat duduknya.

“Aik, marah ke?” Alief mencucuk bahu Lufi Izzar. Dia memang tidak boleh duduk diam langsung. Seketika, dia menelan air liur. Kenapa lengan mamat ini keras semacam? Macam batu. Sekali lagi dia mencucuk lengan itu menyebabkan Lufi Izzar mengaduh. 

“Apa kau buat ni? Kau ingat lengan aku ini apa? Batu?” marah Lufi Izzar sambil menggosok-gosok lengannya.

“Kenapa lengan kau ni keras semacam? Kau makan apa?” Alief menopang dagu, menantikan jawapan balas rakannya itu. Dia memang tidak kekok langsung dengan Lufi Izzar walaupun baru beberapa hari Lufi Izzar berpindah ke sekolah itu. Lufi Izzar juga nampaknya lebih selesa berkawan dengannya berbanding dengan pelajar lain.

“Sebab itulah kau cucuk lengan aku sesuka hati kau ya?” soal Lufi Izzar dengan mata yang tajam.

“Rileks la, bro. Jangan marah-marah. Nanti susah nak pikat awek tahu? Perempuan tak suka lelaki yang panas baran.” Alief ketawa mengekek. Entah apa yang lucunya, Lufi Izzar tidak tahu. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Alief memang aneh. Terlalu aneh. Dalam banyak-banyak rakan sekelas, dia didekati oleh orang aneh itu. Tetapi bagus juga. Dia sebenarnya tidak suka sangat berkepit dengan rakan yang ramai. Setakat seorang dua itu dia tidak kisah sangat. Sejak dari zaman sekolah rendah lagi dia dikenali sebagai pelajar yang pasif. Tetapi, itu tidak bermaksud dia tidak mempunyai kawan. 

“Kau ni peliklah,” komen Lufi Izzar akhirnya.

“Huh?”

“Kau tak rasa diri kau pelik ke?” 

Alief menggaru leher. Pelik? Dia tidak pula merasakan dirinya pelik. Dia memang jenis yang happy go lucky. Mungkin disebabkan itu, rakan barunya itu melabelnya sebagai seorang yang pelik. Tetapi apabila difikirkan balik, Lufi Izzar lebih pelik daripadanya. 

“Cikgu dah masuk!” laung rakan sekelas dari pintu masuk. Alief menepuk bahu Lufi Izzar sebelum bingkas bangun, Terkocoh-kocoh dia mendapatkan tempat duduknya yang berada di penjuru kanan. Lufi Izzar hanya menjungkit bahu. Seaneh-aneh Alief, entah kenapa dia berasa selesa dengan lelaki itu.


MULUT Alief tidak berhenti bercakap sejak dari tadi. Lufi Izzar hanya mendengar sahaja, malas hendak menyampuk. Bukan apa, apabila dia menyampuk lagilah Alief tidak mahu berhenti langsung. Mulutnya sudah mengalahkan perempuan. Kalau duduk semeja dengan perempuan yang suka ‘membawang’, kecoh jadinya. 

“Lufi, kau nak main game tak hari ini? Kat rumah aku?” Alief menyiku Lufi Izzar, mempelawa rakannya itu. 

“Game? Kau ingat aku suka main game?” Lufi Izzar membalas acuh tidak acuh.

“Ish, kau ni tak seronok langsung. Sama macam kakak aku. Dalam hidup ni janganlah serius sangat, bro.” Alief tayang muka tidak puas hati. Lufi Izzar buat tidak tahu sahaja. Malas melayan. 

“Jomlah, Lufi. Kakak aku balik lambat hari ini sebab dia cakap dia nak pergi beli barang. Bosanlah aku kat rumah. Temankanlah aku. Tak rugi apa-apa pun kalau kau temankan aku. Kan? Kan?” Alief merayu bagaikan anak kecil. 

“Kau ni dah kenapa? Selama ni boleh pula kau duduk sorang-sorang kat rumah? Main game sorang-sorang?” Lufi Izzar semakin tidak faham dengan perangai rakan barunya itu. Sejak dia masuk ke kelas tadi sampailah ke waktu rehat, Alief asyik menempel dengannya. Dia mulai berasa rimas. 

“Itu dulu. Sekarang aku ada kawan baik punya, takkanlah aku tak ajak?” 

“Amboi, Alief. Aku yang dah lama berkawan dengan kau ni pun kau tak pernah ajak. Si Zen yang kau baru kenal boleh pula kau ajak?” Seseorang menyampuk dari belakang. Alief menoleh. Dia tersengih, mengakui bahawa dia tidak pernah mengajak kawan-kawan yang lain datang ke rumahnya. 

“Seriuslah? Kau nak ke datang ke rumah aku?” tanya Alief sambil lewa kepada rakan yang menyampuk itu.

“Ajak-ajak tahi ayam baik tak payah. Aku rela tidur kat rumah,” balas rakannya kemudiannya menjuihkan bibirnya.

Alief melepaskan tawa. “Tahu pun.”

Lufi Izzar mengerling ke arah Alief. Alief mengangkat kening. “Kenapa?”

“Kenapa kau suka menempel dengan aku? Kau tak tanya aku sama ada aku suka kau atau tak.”

Alief terbatuk kecil. Kata-kata itu agak pedas. Ya, sebaik sahaja Lufi Izzar berpindah ke sekolah itu, dia terus menegur Lufi Izzar. Dia tidak pula ingin mengambil tahu sama ada rakan barunya itu sukakannya atau tidak. Malunya. Mahu disorok di mana wajah yang tidak hensem ini?

“Aku gurau sajalah. Aku suka kau jadi kawan aku walaupun kau ni jenis pelik sikit.” Lufi Izzar akhirnya bersuara.

Sebaris ayat terakhir itu menyebabkan wajah Alief kembali ceria. Matanya bersinar galak. Dia tahu Lufi Izzar baik orangnya.

“Petang ni jadi eh?”

“Jadi apa?” Lufi Izzar berpura-pura tidak faham.

“Main game kat rumah aku. Please?” Alief sudah merapatkan kedua-dua tapak tangan, merayu tanpa ada rasa malu.

Lufi Izzar menggaru pangkal lehernya sebelum mengangguk malas.


“BAGILAH chance kat aku pula. Dah dua kali kau menang kut, mana adil! Aku nak menang juga. Kau kena beralah dengan aku. Barulah adil.” Alief merungut setelah dia kalah. Kalau dia tahu Lufi Izzar memang hebat dalam game ini, tidak mungkin dia mengajak rakannya itu bermain sebagai lawannya.  

“Tadi kau yang beria-ia ajak aku. Sekarang kau nak merungut pula? Aku menang sebab aku pandai main, kira adillah tu. Kalau aku bagi kau menang sebab nak jaga hati kau, mana adilnya kat situ?” bidas Lufi Izzar sebaik sahaja meneguk jus oren yang disediakan oleh Alief. Tekaknya terasa kering.

“Manalah aku tahu kau pandai main game ni.” 

Wajah Alief berubah monyok. Salah dia pilih lawan.

Lufi Izzar menggelengkan kepala. Ada-ada sahaja perangai kawannya yang seorang ini.

“Alief!”

Serentak, kedua-duanya menoleh ke arah suara itu. 


Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.