Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,343
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 1

PERJALANAN bas ekspres yang menuju ke Lumut itu bergerak lancar.Tiada gangguan aliran lalu lintas kerana kenderaan di jalanan tidak sebanyak hari sebelumnya. Barangkali kerana hari itu hari bekerja.

Kurang 15 minit lagi bas itu akan tiba di Terminal Bas Lumut selepas lebih tiga jam di jalanan. Kelihatan seorang pemuda masih terlentok di tepi tingkat di sebuah kerusi. Nyenyak tidurnya. Di sebelahnya pula ada seorang gadis tomboi berkulit cerah, sederhana tinggi dan berpakaian agak rugged. Mereka saling tidak mengenali.Sejak dari mula naik bas di TBS tadi lagi, mereka tak sempat berkenalan kerana pemudaitu sudah memejamkan matanya. 

Sesekali gadis itu tersenyum sendiri tatkala telinganya disapa dengkuran pemuda yang kelihatan sedikit tidak terurus itu. Rambutnya kelihatan berserabut dan tak tersisir walaupun berpotongan pendek. Di bawah bingkai matanya juga ada lebam kemerahan seperti seorang yang menghidap insomnia.

Setelah tiga jam lebih di lebuh raya, Bas Ekpres Transnasional itu akhirnya tiba di pekan Lumut dan seketika kemudian bas ekspres itu masuk ke perkaranganTerminal Bas Lumut.

“Sudah sampai Lumut!” Laung pemandu bas dengan suara yang lantang. Penumpang-penumpang mula bangun dari labuhan punggung masing-masing kecuali pemuda yang berusia 27 tahun itu yang masih nyenyak di tepi tingkap.

Gadis tomboi di sebelah menyedari dia yang masih nyenyak. Mulanya gadis itu serba-salah untuk mengejutkannya, tapi selepas melihat semua penumpang sudah turun dari bas, gadis itu rasa bertanggungjawab.

“Bro, kita dah sampai Lumut.” Gadis itu bersuara sambil menolak sedikit bahu si pemuda.

Si pemuda terjaga dari lena panjangnya.

“Dah sampai?” Soalnya yang masih mamai.

“Ya, dah sampai Lumut,” balas gadis tomboi.

“Err… terima kasih.”

Satu senyum pendek diukirnya kepada gadis itu. Gadis itu kemudianmengatur langkah untuk turun dari bas. Dia seraya bangun dari labuhan punggungnya. Sambil menguap panjang perlahan-lahan dia membuka penutup ruangan barang di atas kepalanya. Beg galasnya kemudian ditarik keluar dari ruang menyimpan itu dan digalasnya. Tiada banyak barang pun dalam beg itu, sekadar dua tiga helai baju. Sememangnya, dia tidak merancang untuk berkelana sejauh itu.

Kemudian, kakinya menapak ke bahagian kepala bas. Dia melewati pintu bas dengan fikiran yang sedikit buntu. Tak tahu ke mana harus ditujuinya.Nyata, pekan itu cukup asing buatnya yang baru pertama kali menjejak kaki di situ.

Punggungnya dilabuhkan seketika ke sebuah bangku konkrit. Pandangannya dilemparkan ke sekeliling terminal itu mencari sedikit petunjuk untuk ke destinasi seterusnya, lalu dia mengeluarkan sekeping gambar lama dari beg galasnya. Ada tertera satu alamat sebuah rumah tumpangan di bahagian belakanggambar itu.

Matanya kembali melilau ke sekitar. Sekilas dia terpandang gadis tomboy yang mengejutkannya dari tidur tadi keluar dari sebuah kedai runcit. Gadis tomboi itu kemudian melabuhkan punggung di sebuah kerusi tidak jauh dari tempat dia duduk itu. Pantas dia bangkit dari labuhan punggungnya dan menapak ke arah gadis itu.

“Assalamualaikum, maaf menganggu. Tumpang tanya, bagaimana cara nak ke Pulau Pangkor?” Soalnya penuh bertatasusila. Gadis tomboi yang baru hendak meneguk minumannya itu sedikit terkejut bila disapa secara tiba-tiba sebegitu.

“Sekejap, gua perlu minum dulu sebab terlalu haus. Panas betul cuaca hari ni,” balas gadis itu lalu bersahaja meneguk air mineral.

“Fuh, lega!” ucap gadis itu kemudian, cukup bersahaja tingkahnya. Gadis itu mengetat semula penutup botol airnya.

“Okey, untuk ke sana bro perlu naik feri. Tahu tak kat mana kaunter feri?”

“Err, tak tahu,”

“Kalau begitu, jom aku tunjukkan kaunter tiket feri,” kata gadis itu lagi. Sikap baiknya mula menyenangkan hati si pemuda walaupun gaya bahasanya sedikit kasar.

“Tak pernah pergi ke Pangkor ke?” Soal gadis tomboi itu kembali ketika mereka beriringan menuju ke arah jeti.

“Ya, tak pernah.”

“Patutlah. Tapi, takkan tak buat research dulu sebelum nak ke sana.” Gadis tomboi yang menyarung jeans Levis, t-shirt berpotret Kurt Cobain dan bersepatu Converse itu terus bersuara. Si pemuda sekadar mengukir sengih, menampakkan sedikit kebodohannya.

“Err… apa nama bro?” soal gadis itu, makin menunjukkan kemesraan.

“Putra,”

“Okey, Bro Putra perlu ambik tiket feri dahulu di kaunter depan itu.Harga tiketnya RM10. Selepas itu,  perlu tunggu feri di jeti sana.Lebih kurang 40 minit perjalanan dengan feri, bro akan sampai Pulau Pangkor.” Gadis tomboi itu memberi penerangan lanjut.

“Terima kasih, cik…”

“Azrine, panggil Az aje.”

Seulas senyum diukir Az, menghilangkan seketika sisi tomboinya dan menampakkan sisi kefemininannya.

“Terima kasih banyak-banyak Az. Dah dua kali tolong saya hari ini,”ucap Putra berbudi bahasa.

Small matter aje, bro.” Az membalas dengan satu lagi senyuman. Ada manisnya.

“Az tinggal di mana?”

Gua tinggal di pekan ini aje. Mak gua ada buka keda icenderamata di hujung sana.Nanti bila bro nak balik semula ke KL, singgahlah kedai mak gua. Mana tahu ada cenderamata yang berkenan untuk dibawa pulang.” Az menjawab, sempat mempromosi kedai cederamata emaknya. Nyata dia seorang yang cepat mesra. Putra mengangguk dengan senyuman. Walaupun pendek, senyuman itu cukup untuk menampakkan sisi maskulinnya.

“Nak ke Pangkor ni, berkursus atau bercuti?” Soal Az lagi.

“Err… sebenarnya saya nak cari kerja di sana,” balas Putra dengan sedikit segan.

“Oh, begitu rupanya. Dah dapat kerja ke?” Soal Az lebih lanjut. Putra menggelengkan kepalanya.

“Mahu kerja yang bagaimana?” Az terus ringan mulutnya.

“Saya tak kisah kerja yang bagaimanapun. Janji kerja halal dan ada tempat tinggal di sana. Rancangnya nak bermula di tempat ini dahulu,” balas Putra sambil menunjukkan alamat yang tertera pada gambar lama yang dibawanya kepada Az. Az sedikit terkejut, namun beberapa saat kemudian dia mengukir senyum. Kali ini senyumnya melirik panjang.

“Insya Allah, adalah itu rezeki bro di sana,” kata Az dihujung senyumnya.

“Moga-moga begitulah,” balas Putra.

“Hmm, bro pergi beli tiket dululah, lambat pulak nanti bila ramai orang,” ujar Az selepas melihat sebuah feri telah berlabuh di jeti.

“Okey.” Putra menuruti saranan Az itu dan segera menapak ke arah kaunter tiket yang ditunjuk oleh Az. Selepas membeli sekeping tiket, dia berpaling semula ke arah tempat  Az berdiri tadi. Namun gadis itu telah menghilang. Dia mencari ke kiri dan ke kanan. Lehernya juga dipanjangkan ke sekitar, namun bayang Az tidak dapat lagi dijejaknya. Datang juga rasa sedikit pelik di hatinya, Az seumpama mempunyai kuasa ghaib.

Hajatnya mahu membalas budi dengan mengajak Az makan bersamanya memandangkan dia masih ada masa setengah jam sebelum feri bertolak.

Akhirnya tinjauan itu bertukar sasaran. Kini dia mencari kedai makan untuk mengisi perutnya. Sejak dari TBS lagi perutnnya itu kosong. Walaupun dalam perjalanan tadi bas ada berhenti di R&R, namun dia tidak menyedarinya kerana nyenyak tidur.

Sebuah restoran Berjaya dijejaknya. Tanpa berfikir panjang lagi, langkah kaki terus diaturnya ke sasaran kerana tidak mahu asid gastrik memenuhi perutnya.

Usai makan, dia menuju terus ke jeti. Menyedari dia masih mempunyai sedikit masa sebelum feri bertolak, dia menapak ke satu sudut berpagar besi. Anak matanya dilemparkan ke lautan yang saujana luas di hadapannya. Angin damai menyapanya. Sungguh nyaman sekali. Sekilas dia teringat sesuatu dalam poket seluarnya.

Poket itu diseluknya. Sebuah Samsung J5 dikeluarkan. Dia menatap sepi seketika telefon itu. Satu nafas dalam ditariknya dan kemudian dilepas perlahan-lahan. Seperlahan hembusan nafasnya itu juga, telefon itu dilepaskandari tangannya.

Blurpp!

Telefon itu tenggelam ke dasar dan sekelip hilang daripada pandangan matanya.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan