Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,467
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 5

USAI makan malam itu, masing-masing membawa haluan sendiri. Putra masih menunaikan tugasnya di ruang dapur itu. Banyak pinggan mangkuk yang perlu dicucinya. Selesai tugas itu, dia menapak ke ruang utama. Tiba di situ, dilihatnya tiada sesiapa. Matanya sempat menjeling sebuah gitar Kapok yang tersandar di satu sudut di ruang itu. Perlahan-lahan terbit senyum di bibirnya, seakan ada nostalgia dengan alat muzik bertali itu.

            Kakinya menapak ke arah pintu utama. Sambil menggeliat dia melewati pintu itu. Kepalanya juga dipusing ke kiri dan kanan untuk mengendurkan sedikit ketegangan urat-urat tengkuknya. Pandangannya dilemparkan ke sekitar untuk mencari Ika dan Ima. Namun, tidak jua kelihatan dua beradik itu. Begitu juga Amran. Indra sudah diketahuinya keluar dengan semangat anak mudanya. Pengunjung yang bernama Jessica itu juga entah ke mana menghilanngnya?

           Anak matanya kemudian tertarik kepada satu kawasan unggun api yang seperti sekian lama terbiar. Terbit satu senyuman lagi di bibirnya, seperti memberi satu makna. Dia memusingkan semula tubuhnya dan mengatur langkah kembali ke ruang dapur. Laci kabinet ditariknya. Tangannya kemudian mengambil sekotak mancis cap lada merah dari sorok itu. Sekilas pula senyum sumbing terukir di bibirnya. Sudah masuk alaf baru, masih ada mancis cap itu dijual di pasaran rupanya.

          Selepas mendapatkan mancis itu, dia kembali semula ke ruang lobi. Sebelum melewati pintu utama, sempat dia mencapai gitar Kapok dan dibawa bersamanya ke tempat unggun api yang dilihatnya tadi.

         Tiba di tapak itu, gitar Kapok dibaringkan seketika ke lantai pasir. Dia mengutip batang kayu dan ranting kering yang dibawa ombak di persisir pantai. Batang kayu dan ranting kering itu ditimbunkan. Kemudian, dia menyalakan mancis dengan berpunca apikan kertas surat khabar lama. Api kemudian sedikit demi sedikit membesar.

         “Ini barulah dikatakan gaya hidup budak pantai. Yeah, I have made fire! I have made fire!” ungkap Putra sambil meniru aksi dan nada suara Tom Hanks dalam filem Cast Away. Selain Johnny Depp, pelakon Hollywood itu juga menjadi aktor kegemarannya.  

         Keriangan Putra itu sampai juga ke halwa telinga Ika dan Ima yang sedang asyik melayan dua buah novel tulisan seorang novelis bestseller yang baru dibeli oleh Ika di Ipoh sebelum balik ke Pulau Pangkor petang tadi.

        “Hah! Apa pula kali ini?” Keluh Ika. Ima mengangkat kedua-dua bahunya sambil melirik senyum.

        “Jom, kita tengok apa yang sedang dibuatnya itu,” ajak Ima.

         Ika menuruti ajakannya itu. Mereka lantas bangun dari baringan dan mengatur langkah panjang ke arah halaman Blue Inn.

        “Unggun api dipadankan pulak dengan gitar Kapok! Fuh, macam makan biskut jagung dengan kopi o. Ngam Ho! Kata kumpulan Spider.” Putra membebel seorang diri sebelum melabuh punggung pada lantai pasir. Gitar Kapok berhabuk yang terbaring sepi di sisinya dicapai kembali. Gitar itu kemudian dikepik di celah ketiak beralaskan pehanya. Dibetulkan sedikit penalaan tali gitar tua itu.

        “Hmm, lagu apa ya sebagai pembuka malam yang indah ini?” Bicara sendirinya terus membelah kesepian malam.

         “Hah, I’m Yours! Okey jugak sebagai tanda aku sudah menjadi milikmu wahai samudera yang indah,” ungkapnya berpuitis dengan senyum yang melirik sambil mendepakan kedua-dua tangannya ke arah lautan.

         Lagu yang dipopularkan oleh Jason Mraz itu kemudian dipetiknya.Suaranya yang lunak memecah suasana hinggakan kedengaran sampai ke bilik Kamarul. Cukup untuk mendorong lelaki berusia 56 tahun itu bangun dari baringannya untuk menjenguk di jendela.

        Suara Putra itu juga menyelinap lebih jelas ke liang telinga Ika dan Ima saat mereka terjongol di muka pintu utama Blue Inn. Masing-masing saling berpandangan dan berbalas senyuman tatkala melihat suasana itu, mendorong kedua-duanya melangkah panjang ke arah Putra untuk menyertai keriangan itu.

        Putra tersenyum tatkala melihat dua beradik itu melabuh punggung di sisinya. Dia terus berlagu sehingga ke hujung lagu itu. Ika dan Ima asyik mendengarnya berlagu.

       “Wah, merdunya suara abang Putra. Tak sangka Abang Putra juga pandai menyanyi dan memetik gitar,” puji Ima sambil bertepuk tangan. Ika juga turut sama bertepuk tangan, seakan sekata dengan adiknya itu.

        “Terima kasih, terima kasih,” balas Putra dengan lagak bersahajanya.

         “Nyanyilah lagi, Abang Putra. Kami masih tak puas dengar suara merdu abang Putra. Dah lama juga kami tak merasa suasana sebegini,” dorong Ima. Ika menyokong kata-katanya itu dengan anggukan.

         “Okey, sebagai tribute kepada dua gadis manis dan cantik di hadapan saya ini, saya persembahkan sebuah lagu dari Bob Marley. Judulnya No Woman No Cry.” Putra mengungkap sebelum mula memetik lagu itu. Ima dan Ika saling berpandangan dan tersenyum. Nyata lagu itu telah menggamit kenangan kepada mereka berdua kerana lagu itu selalu dilagukan oleh ayahnya dahulu. Sepanjan glagu itu, Ika dan Ima turut menyanyi bersama Putra tatkala tiba di bahagian korusnya. Sememangnya bahagian itu cukup terkesan kepada mereka berdua.

         Kamarul Idham yang mengintai di tepi tingkap kamar tidurnya juga mula digamit kenangan. Kelopak matanya mula bergenang. Kotak Fikirannya seperti baru diketuk dan dia juga seperti baru terjaga dari koma yang sekian lama. Matanya dipejam perlahan-lahan. Langit mendung di bingkai matanya akhirnya menumpaskan titis-titis puitisnya.

         Ketika Putra masih berlagu, tiba-tiba menderu enjin sebuah motosikal ke halaman Blue Inn. Kelihatan seorang pemuda cemas berlari ke arah mereka bertiga selepas menongkat motosikal itu.

        “Kak Ika! Kak Ima! Pelanggan Blue Inn buat kecoh di Samudera Bar! Dia mabuk teruk di sana!” Maklum pemuda itu.

         Ika, Ima dan Putra saling berpandangan. Mereka masih belum dapat mengagak siapakah orang yang dimaksudkan oleh pemuda itu kerana pada hari itu ada dua orang pengunjung yang menghuni di Blue Inn. Walaupun Amran keluar bersiar-siar di sekitar pulau selepas makan malam tadi, Jessica juga menghilang sejak dari tengah hari lagi.

        “Kau pasti pelanggan kami, Din?” Soal Ima ingin kepastian.

        “Ya, kak. Pak Abu kebetulan lalu di situ. Dia cuba menenangkan lelaki itu. Tapi macam tak jalan. Dia mula bergaduh dengan orang-orang di bar. Pak Abu yang suruh saya beritahu kepada Kak Ima dan Kak Ika,” jelas pemuda yang dikenali sebagai Din itu lagi.

        “Abang Putra, jom teman kami ke sana!” Ajak Ima segera. Putra terus bangun dan mengekori Ima dan Ika yang melangkah pantas ke arah parkir. Kini mereka bertiga jelas siapa gerangan yang dimaksudkan.

         Ima memberi kunci sebuah van Volkswagen kepada Putra. Namun, Putra entah mengapa terkaku seketika? Riak wajahnya juga seperti keresahan. Dia seperti berbelah bagi untuk memulakan perjalanan.

        “Abang Putra, kenapa? Abang Putra tak tahu memandu ke?” Soal Ima.

         “Err, tak ada apa-apa. Boleh…” balas Putra cepat-cepat.

         “Kalau boleh, jom cepat. Takut makin teruk situasi di sana nanti.” Ima mendorong. Mahu tak mahu, Putra segera  menghidupkan enjin van itu walaupun dalam perasaan yang payah. Van itu kemudian memasuki jalan raya,  membawa mereka terus  ke Samudra Bar.

          Putra sebenarnya pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya suatu ketika dahulu. Jadi  trauma itu masih kuat menghantuinya.

         “Boleh laju sikit,” pinta Ika yang kegelisahan. Hatinya makin tak senang bila Putra memandu seperti budak skema baru belajar lesen. Mahu tak mahu Putra menambah kelajuan panduannya. Din telah mendahului mereka dengan motosikalnya.

          Suasana masih tegang di pekarangan Samudra Bar ketika Putra, Ika dan Ima tiba di situ. Kelihatan sekumpulan lelaki masih membantai sekujur tubuh yang sudah tidak sedarkan diri dan terbaring di lantai pasir. Pak Abu segera mendapatkan mereka dan memberitahu apa yang terjadi selepas Din meninggalkan kawasan itu untuk mencari mereka di Blue Inn. Amran telah dipukul oleh beberapa pemuda pulau sehingga pengsan.

          Putra segera masuk campur dan menolak pemuda-pemuda itu.

         “Sudah!” Tempik Putra.

          Namun, seorang pemuda pulau kelihatan masih tidak berpuas hati dan masih mahu menyerang Amran. Pemuda itu cuba mengayun penyepaknya ke arah tubuh Amran. Melihat tindakan pemuda itu, pantas Putra menepis kaki pemuda itu. Pemuda itu jadi makin geram dan menghala pula penumbuknya ke muka Putra. Pantas juga Putra mematahkan serangan itu. Tangan pemuda itu ditangkapnya lalu dikilas ke belakang. Boleh sahaja dia memberi salam perkenalan kepada pemuda itu dengan penumbuknya. Tapi, dia tidak mahu memanjangkan lagi perbalahan itu. Pemuda itu sekali lagi ditolaknya. Sekali lagi juga pemuda yang bertubuh setaranya itu jatuh terjelepok.

        “Hoi, kau siapa nak masuk campur!” bentak pemuda itu keras. Mukannya merah padam menahan amarah.

        “Sudahlah Jamal.” Pak Abu cuba menenangkan keadaan.

        Putra segera mengangkat Amran dan memapahnya  ke arah van. Ika dan Ima pula memohon maaf kepada pengurus dan pekerja-pekerja bar. Namun, Jamal dan dua rakannya yang memukul Amran tadi masih tidak berpuas hati.

        “Seorang pelanggan pun tak boleh jaga. Kalau tak boleh jaga, tutup sahajalah Blue Inn itu! Jual saja kepada pemaju! Dapat juga pembangunan di pulau ini!” Pemuda yang bernama Jamal itu mencemuh.

        Indra yang kebetulan turut berada di sekitar bar itu bersama rakan-rakannya mendengar cemuhan Jamal itu. Darah mudanya mula membuak. Namun, cuba ditahan rasa itu dahulu.

       “Hoi, gadis  murahan! baik kau dengan adik-adik kau itu bungkus aje pakaian dan ikut mak kau lari keluar dari pulau ini! Bawak ayah kau yang dayus itu sekali!” Laung Jamal lagi dan disambut gelak tawa oleh dua rakannya.

       Indra mengetap bibirnya. Darah mudanya membuak sampai ke kepala. Secara automatik juga buku limanya tergenggam kejap. Tubuhnya dirasakan ringan dan membingkas. Dia menerpa ke arah Jamal dan rakan-rakannya. Pak Abu yang melihat keadaan itu segera menahan Indra daripada mendekati Jamal dan rakan-rakannya. Tak mahu perbalahan merebak lebih teruk.

       “Hah! Ini seorang lagi. Sampah yang dihanyutkan Blue Inn! Tengoklah rupanya, dah macam flower horn aku tengok.” Jamal mengapi-apikan Indra pula.

       “Apa hal kau ni Jamal? Kan Ika dan Ima dah minta maaf pada Encik Leong. Encik Leong pun dah beri kemaafan. Kau nak bising apa lagi? Kau itu pengunjung saja di bar ini, bukannya pemilik bar ini pun.” Pak Abu terus cuba menenangkan keadaan.

       “Habis itu kau orang tua, siapa pulak? Sejak bila kau jadi pelindung keluarga Kamarul ini? Tentu ada apa-apa kan?”Jamal dengan angkuh membalas. Makin sinis kata-katanya.

       “Pelindung apanya? Ada apa-apa apanya? Aku cuma tak nak memanjangkan perbalahan. Yang kau nak mengapi-apikan lagi kenapa? Kalau kau marah pada Kamarul sekalipun, janganlah libatkan anak-anaknya!” Kesabaran Pak Abu teruji. Dia memang tahu sengketa antara Jamal dan Kamarul. Jamal langsung tidak menghormati bapa saudaranya sendiri.

        “Ah, bukan aku tak tahu! Tentu anak dara Kamarul berdua ni dah tidur dengan kau.” Jamal terus berkata kurang ajar. Kata-katanya itu makin disambut hilai tawa dua rakannya.

        “Astagfirullhal adzim, mengucap Jamal! Ika dan Ima itu bukan orang lain dengan kau, sepupu kau. Tergamak kau menghina saudara sedarah kau sendiri.”Pak Abu beristigfar.

        “Ah, aku mana ada saudara-mara keji macam mereka! Kalau maknya dah ikut jantan lain, nak panggil apa lagi? Memang patut panggil begitu. Kalau maknya pelacur, anak-anak gadisnya pun samalah, murahan! Macam aku tak tahu dua orang ini pun menjual diri kepada pelancong dekat Blue Inn itu. Kalau tak menjual diri, masakan ada lagi orang mahu berkunjung ke situ!” bentak Jamal dengan bongkak.

         “Celaka kau!” Indra yang terlepas dari kawalan Pak Abu menerpa ke arah Jamal, pemuda yang lapan tahun tua daripadanya. Satu tumbukan cuba dilepaskan ke muka Jamal. Namun, Jamal dapat mengelak dan bertindak balas menyadung kaki Indra. Indra terjatuh. Indra yang cuba bangkit bangun kemudian ditangkap oleh dua rakan Jamal. Seorang daripada mereka kemudian mengilas kedua-dua tangan Indra ke belakang. Indra cuba meronta-ronta, namun tidak berjaya lepas kerana kilasan itu kejap dan kemas. Satu tumbukan kemudian dilepaskan ke muka Indra oleh Jamal. Indra sekali lagi jatuh ke tanah. Ika dan Ima menjerit cemas.

          Pak Abu yang cuba menghalang Jamal daripada terus mengasari Indra dihadang oleh dua rakan Jamal. Encik Leong, pekerjanya dan pengunjung-pengunjung lain tidak berani masuk campur kerana mengenali Jamal yang merupakan ketua samseng di pulau itu. Jamal mencekak sekali lagi baju Indra dan bersedia untuk melepaskan satu lagi tumbukan ke muka Indra. Putra yang melihat situasi itu dari van berlari pantas dan menolak belakang Jamal. Tolakkan kuatnya itu membuatkan Jamal sekali lagi hilang imbangan dan jatuh ke tanah.

        “Hah, ini lawan kau! Kalau berani masuklah!” jerkah Putra. Dua rakan Jamal cuba menerpa, namun menghentikan niat mereka itu bila melihat Putra sudah siap dengan kekudanya. Jamal yang terkejut dengan situasi itu bangkit bangun dan mahu menyerang balas. Namun, dia terpaksa membatalkan hasratnya itu bila melihat dua buah motosikal polis peronda berhenti di hadapan bar itu.

         Putra cuba memapah Indra bangun, namun tangannya ditepis oleh Indra. Indra bingkas bangun dan berlalu menuju ke vespanya. Putra sedikit terpinga dengan tingkah Indra itu, namun tatkala melihat dua anggota polis menapak ke arah kawasan itu,  dia segera kembali semula ke van Volkswagen.

         “Apa hal ni?” Soal salah seorang anggota polis.

         “Err… tak ada apa-apa, tuan. Hal kecil sahaja.” Encik Leong yang tak mahu perniangaannya terganggu segera mengambil alih suasana.

         “Betul tak ada apa-apa?” Soal seorang lagi anggota polis.

         “Betul tuan, tak ada apa-apa. Hal kecil sahaja. Sudah bermaaf-maafan,” tambah Pak Abu pula. Dia kalau boleh tidak mahu anak-anak rakan baiknya itu diheret kepada soal yang lebih panjang.

         “Kalau tak ada apa-apa, baguslah,” ujar pegawai polis itu lagi.  Jamal dan kawan-kawannya yang seperti tidak mahu hal itu berpanjangan ke balai polis juga mula beredar dari kawasan itu.   Begitu juga Ika dan Ima, kembali semula ke arah van. Pak Abu mengiringi mereka.

         “Terima kasih ya, Pak Abu,” ucap Ika.

         “Sama-sama,” balas Pak Abu sebelum mereka berpisah.

         Dari kejauhan, adegan tadi turut disaksikan oleh Jessica. Sejak dari petang dia berada di sekitar Samudra Bar itu. Tergamam juga dirinya melihat kejadian itu.

         Putra, Ika dan Ima segera membawa pulang Amran ke Blue Inn. Bau alcohol menguasai ruang kabin van. Mulut Amran kelihatan sedikit berdarah akibat dipukul. Bingkai matanya juga sudah mula memperlihatkan kesan dipukul. Dia mula sedar dari pengsannya. Namun, pada tahap separa dan meraban. Mulutnya membebel. Semua isi kehidupannya diluahkan tanpa sedar sepanjang perjalanan pulang ke Blue Inn itu. Kini, Putra, Ika dan Ima mula memahami apa yang sedang dilaluinya.

        Tiba di Blue Inn, Amran beberapa kali muntah. Putra segera memapah Amran ke biliknya. Amran masih tidak henti bebelannya. Selepas beberapa ketika, dia lena di atas katil.

Selepas memastikan Amran sudah lena, Putra kembali semula ke laman depan. Ika dan Ima menunggu di situ.

       “Indra bagaimana?” Soal Putra ketika melabuh punggung pada bangku kayu.

       “Entahlah. Dia dah berkurung di biliknya, tapi lega juga hati kami dia dah balik. Apa-apapun kami berdua ucapkan terima kasih. Kalau tak ada Abang Putra tadi, tak tahulah apa jadinya,” balas Ima.

        “Boleh abang tahu, siapa mereka tadi?” Putra cuba merungkai.

        “Itu Jamal dan rakan sekutunya. Mereka samseng di pulau ini.” Ika menjelas.

        “Jamal itu sebenarnya sepupu kami. Tapi, entah apa yang dia marah sangat dengan kami? Dia itu seperti berdendam dengan keluarga kami. Selalu cari pasal.” Ima menambah.

         Suasana selepas itu terdiam. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Ika dan Ima kemudian meminta diri ke bilik tidur masing-masing, meninggalkan Putra bersendirian di situ untuk beberapa ketika lagi. 

         Satu nafas dalam dilepaskan Putra. Seakan dia cuba membuang keresahannya dan perlahan-lahan dia bangun dari labuhan punggungnya. Kakinya kemudian menapak  ke arah bilik tidurnya.

         Selepas menutup pintu biliknya, dia merebahkan tubuhnya ke tilam.Tangannya di bawa ke dahi. Kejadian di Samudra Bar tadi kembali masuk ke kotak fikirnya. Terlalu banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh warga Blue Inn rupanya. Selepas berfikir sedalam-dalamnya, satu nafas panjang ditarik dan dilepaskan perlahan-lahan.

         Aku perlu bawa kembali keriangan di sini!

        Tertanam tekad itu di hatinya seraya dia mengiringkan badannya ke kanan, posisi tidur kebiasaannya. Perlahan-lahan kemudian matanya terkatup.



Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan