Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,466
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 2

FERI mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan jeti. Sepanjang perjalanan itu, Putra menikmati keindahan lautan. Ketenangan perlahan-lahan menerobos ke hatinya. Dia mengeluarkan semula gambar lama ditunjukkan kepada  Az tadi. Tak semena hatinya terasa sayu. Dia masih ingat akan tulisan yang tertera pada bahagian belakang gambar sebuah rumah tumpangan di pinggir pantai itu. Tulisan yang cukup indah di matanya. Namun, rasa sayu itu pantas dibuangnya. Satu lagi nafas dalam dilepaskannya. Dia datang ke Pulau Pangkor itu bukan untuk bersedih tapi untuk mencipta keriangan. Itu tekadnya.

Belum puas menikmati keindahan lautan dan persekitarannya, feri itu akhirnya tiba di Jeti Pulau Pangkor selepas kira-kira 40 minit perjalanan. Putra bangun dari labuhan punggung dan mengekori penumpang-penumpang lain kelur dari perut feri. Kemudian dia menapak hingga ke pintu utama jeti. Pandanganya dililaukan ke sekitar. Damai mula menyapanya. Udara segar menelusuk ke rongga hidungnya. Aroma laut juga. Banting-banting yang mempromosikan satu pertandingan yang bakal berlangsung di pulau itu tergantung di sana-sini  dan melambai-lambai ditiup angin, seolah-olah menyambut kehadirannya.

Pulau itu sungguh asing buat dirinya. Sekali lagi dia dilanda kebuntuan.

            “Nak ke mana?” Seseorangtiba-tiba menyapanya. Dia segera berpaling ke arah suara itu. Dilihatnya seoranglelaki bermisai tebal berdiri dua tiga langkah di hadapannya.

            “Err… saya nak ke alamat ini,” balas Putra sambil menghulurkan gambar lama yang sudah kusam kepada lelaki itu.

            “Blue Inn?”

            “Ya, Blue Inn”

            “Sekejap ya, tunggu saya dekat van sana,saya hendak cari seorang dua penumpang lagi,” kata lelaki itu.

“Van yang mana satu? Semua berwarna pink,” soal Putra yang sedikit keliru kerana semua van di situ berwarna merah jambu.

“Bukan yang pink itu. Itu semua teksi. Van Vanette berwarna putih dekat dengan tandas awam itu.” Lelaki itu memberi penjelasan. Putra memanjangkan lehernya dan dia dapat menjejak van yang dimaksudkan. Dia segera menapak ke arah van itu.

            Setiba berdekatan van itu, Putra menyedari lelaki yang menyapanya tadi ialah seorang pemandu van sapu. Namun, dia tidak kisah akan hal itu kerana fikirannya kini hanya mahu segera tiba di alamat yang dicarinya itu sahaja. Hatinya juga sudah terpesona dengan keindahan persekitaran pulau itu. Nyata dia mula bersetuju dengan cerita-cerita yang didengari tentang keindahan pulau itu selama ini. Pulau peranginan itu sememangnya cantik. Sudah lama juga dia memasang impian untuk berkunjung kesitu. Semenjak dia terjumpa gambar lama yang sudah sekian lama tersimpan itu. Gambar lama itu selalu dibawa di dalam beg sandangnya kerana menyimpan satu nostalgia  yang takkan mungkin luput dari ingatannya.

           Bauan semulajadi lautan sesekali menyerap ke lubang hidungnya. Diselang-seli bau tembakau keras rokok seludup beberapa orang pemandu van yang sedang menunggu dan memancing penumpang di tapak parkir itu. Tercetus juga di fikirannya, betapa lelaki-lelaki itu baru saja mencemarkan udara segar di situ. Sayang sekali mereka tidak menghargai keindahan yang dikurniai Ilahi kepada mereka.

            Agak ramai penumpang feri yang dinaiki Putra tadi. Semua kerusi penuh walaupun bukan hari minggu. Barangkali disebabkan waktu itu cuti sekolah baru sahaja bermula. Ada juga yang berdiri di pelantar terbuka di bahagian bumbung feri. Pelbagai jenis kulit bangsa. Pasti juga meningkat lagi pendapatan ekonomi penduduk di pulau itu nanti. Motivasi Putra sedikit meningkat. Pasti juga ada peluang pekerjaan sedang menantinya.

            “Jom!” Lelaki bermisai tebal yang menyapanya tadi muncul kembali di hadapan Putra. Membuntuti lelaki itu tiga orang pelancong. Sepasang dari benua Eropah dan seorang pelancong tempatan. Putra mengambil tempat duduk di bahagian hadapan, bersebelahan pemandu. Seorang pelancong muda berbangsa Cina dari Kuala Lumpur mengambil tempat duduk di bahagian belakang sekali. Putra perasan amoi itu dari Kuala Lumpur kerana menaiki bas yang sama dengannya tadi. Manakala pasangan mat salleh mengambil tempat di bahagian tengah van.

            “Berapa hari bercuti di sini?” soal pemandu itu yang lihat pada fizikalnya hampir melewati usia 40-an.

            “Sebenarnya, saya bukan pelancong. Tapi nak cuba cari pekerjaan di sini,” balas Putra.

            “Datang dari mana?”

            “KL”

            “Orang KL datang cari kerja di sini, hai dah tak ada kerja kat sana ke?” ujar pemandu itu dengan mengilai kecil. Ada bau perlian dalam ujarannya itu.

           “Kerja itu banyak, tapi saya nak beralih angin. Nak merasa kehidupandi sini,” jelas Putra bersahaja.

            “Nak cari kerja dekat Blue Inn ke?”

            “Kalau ada, saya nak bermula di situlah,” balas Putra lagi.

            Sekali lagi lelaki itu meletus tawa. Tapi kali ini lebih kuat. Seperti ada sesuatu yang menggelikan hatinya.

            Putra mengerut dahinya, sedikit bingung kerana menyedari dia tidak membuat apa-apa lawak jenaka. Namun, dia tidak mahu bersoal panjang pasal itu.

            Beberapa minit perjalanan, van Vannete tua itu berhenti di pinggir jalan. 

           “Hujung denai itulah Blue Inn. Kita berhenti di sini sahaja. Kamu kena berjalan ke sana,”ujar pemandu van. Wajahnya masih beriak sinis, entah mengapa. 

            “Berapa tambangnya?”

            “Lima ringgit,” balas pemandu itu dengan senyuman sinis masih melekat di bibirnya.

            Mak eh, mahalnya! Perjalanan dari jeti tadi tak adalah jauh mana. Cekik darah betul! Menggerutu rasa terkejut itu dalam hati Putra. Mahu tak mahu dia membayar sahaja tambang itu kerana fikirnya tak guna bertekak dengan prebet sapu.

            “Semoga berjaya,” ucap pemandu itu lagi ketika kakinya mengangkat pedal brek. Makin sinis juga riak wajahnya.

           Van Vanette putih itu kemudian berlalu pergi, mahu meneruskan perjalanan menghantar tiga orang pelancong ke destinasi inapan masing-masing. Daripada perbualan pemandu van dengan ketiga-tiga pelancong,mereka menuju ke lokasi inapan bajet yang dicadangkan sendiri oleh pemandu van itu. Pelik juga Putra mengapa pemandu van tidak mencadangkan Blue Inn? Senang pun senang, sekali harung sahaja. Penggunaan petrol pun dapat  dijimatkan.

           Setelah van putih itu hilang dari pandangan matanya, Putra mula mengatur langkah  melalui denai berbatu.Di hadapannya sebuah rumah tumpangan yang kelihatan sunyi dan seperti tidak terurus. Tidak ubah seperti sebuah rumah hantu yang selalu menjadi latar lokasi filem-filem di layar perak. Baru Putra mengerti maksud riak sinis pemandu van tadi dan mengapa dia tidak mengesyorkan Blue Inn kepada tiga pelancong yang menaiki vannya? Namun, perasaannya sedikitpun tidak bergoyang kerana kerana hatinya sudah melonjak gembira berjaya tiba di situ.

           Tiba di pekarangan, Putra tidak terus ke kaunter pendaftaran. Sebaliknya, dia meninggalkan beg galasnya pada satu bangku di hadapan rumah tumpangan itu dan menapak ke persisir pantai yang terhampar memutih. 

            Fikirannya tenang dibuai bayu dan keindahan pantai. Udara segar dan nyaman dihirup sepuas-puasnya. Suasana yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Matanya pegun ke horizontal yang kebiruan. Alunan ombak menambahkan lagi keindahan panorama lewat petang itu. Seakan keindahan suasana telah menjirus jauh-jauh kesengsaraan hatinya.

           Dari ruang utama rumah penginapan itu, sepasang anak mata rupa-rupanya memerhati setiap gerak-gerinya.

            Sejenak di persisiran itu,Putra kembali semula ke tempat dia meninggalkan begnya tadi. Beg sandang yang terisi beberapa helai pakaian itu digalas kembali ke bahunya. Dia kemudian memanjat anak tangga menuju ke lobi yang menempatkan kaunter pendaftaran. Tak semena-mena bahunya dilanggar seorang pemuda yang berkaca mata hitam dan bertopi mengkuang yang seperti selalu di pakai oleh penyanyi pop antarabangsa terkenal, Jason Mraz. Daripada seluar bandana dan kemeja bunga-bunganya, lagak pemuda itu seperti seorang pelancong.

          “Sorry,” ucap Putra bersopan-santun. Namun, pemuda itu berlalu tanpa sedikit pun tidak mengendahnya. 

            Kerek betul!

           Putra menyambung kembali langkahnya ke kaunter. Ketika melewati muka pintu utama, makin dirasai kesunyian di situ. Tidak seperti rumah atau resort inapan yang pernah dikunjunginya sebelum ini.

            “Selamat petang,” sambut seorang gadis yang menjaga kaunter. Putra membalas sapaan itu dengan senyuman sambil matanya menjeling ke arah sebuah jam yang tergantung di dinding di belakang kaunter. Dia sebenarnya tertanya-tanya juga tentang waktu kerana jam tangannya telah tercicir entah di mana, bahana kegopohannya sendiri.       

            “Encik mahu bilik ke?” Soal gadis itu lagi. Sekali lagi Putra tersenyum. Rasa segan tiba-tiba mengundang di hatinya.

            “Err… sebenarnya, saya bukan nak bilik, tapi nak cari kerja kat sini.” Mahu tak mahu harus juga dia berterus terang, menjelaskan tujuan sebenar kehadirannya.

           “Cari kerja? Di sini tak ada kerja kosong, encik,” balas gadis  itu. Nyata juga dia terkejut.

            “Tak ada ke apa-apa kerja? Saya tak kisah apa-apa kerja sekalipun. Basuh pinggan, mengemas bilik,masak pun saya boleh. Pasal gajipun, saya tak kisah. Janji saya ada tempat tidur dan makan minum saja,” ujar Putra mula rasa terdesak. Memang betul, semua pekerjaan itu mampu dilakukannya. Dia sememangnya mempunyai semua pengalaman itu dahulu.

            “Maaf encik, kalau encik datang cepat tadi, mungkin ada kerja untuk encik. Tapi kerja itu dah diisi orang lain. Baru sahaja beberapa minit tadi diisi oleh seseorang,” jelas gadis itu lagi.

            “Betul ke? Sebab tadi kawan saya cakap, mungkin ada peluang pekerjaan di sini,” Putra mula rasa hampa. Dalam keadaan  itu, secara spontan dia teringatkan kata-kata Az di Lumut tadi. Entah mengapa fikirannya terimbau pertemuan dengan gadis tomboi itu tadi, padahal dia baru sahaja mengenalinya. Mungkin itu aturan daripada Tuhan.

            “Tunggu sebentar,encik kata apa tadi? Apa nama kawan encik itu?”

            “Az,” jelas Putra.Walaupun baru mengenali Az, dia sudah menganggap gadis tomboi itu kawannya.

            “Oh, kawan Azlah ni ya,” ungkap gadis itu dengan senyuman menguntum di bibirnya.

            “Cik kenal Az ke?”

            “Kenal sangat, best friend saya sejak di sekolah menengah dulu lagi.”

            “Alhamdulillah, kalau begitu bolehlah saya pakai kabel Az untuk mohon kerja di sini,” ujar Putra dengan nada berjenaka. Gadis penyambut tetamu itu tergelak kecil.

            “Okey, begini encik…”

            “Panggil Putra saja.”

            “Okey, boleh saya panggil Abang Putra?” Pinta gadis itu penuh sopan selepas merasakan Putra lebih tua daripadanya. Putra mengangguk berserta senyuman.

            “Begini Abang Putra, kerja yang saya katakan tadi memang untuk Abang Putra. Az ada call saya tadi. Jadi, kerja tu memang saya reserve untuk abang Putra.”Penjelasan gadis kaunter itu membuatkan Putra sedikit tergamam, tak sangka Az sebaik itu. Rasa gamam itu kemudian berubah gembira. 

            “Terima kasih cik…”

            “Ima Zuriana. Abang Putra boleh panggil Ima saja.” Ima memotong. Tak lekang senyum di bibirnya, seumpama salah satu pakej yang ada dalam diri gadis itu.

            “Ima pengurus di sini ke?” Soal Putra untuk lebih jelas.

            “Bukan, Ima cuma tolong kakak. Peranan Ima di sini sebagai pembantu merangkap penyambut tetamu,” jelas Ima. Perwatakan Ima hampir sama dengan Az,  seorang yang ramah-tamah.

            “Pengurusnya dimana? Dia tahu ke saya diterima bekerja di sini?” Soal Putra, mahu kesahihan yang jitu. Bimbang juga dia akan hal itu.

            “Pengurus sebenar rumah tumpangan ini ialah ayah Ima, tapi ayah tak berapa sihat. Jadi saya, kakak dan adik yang ambil alih mengurus rumah penginapan ini sekarang. Abang Putra jangan risau, Ima dah maklum hal ini kepada kakak,” jelas Ima lebih lanjut.

           “Oh begitu rupanya. Berapa ramai pekerja rumah tumpangan ini?” Soal Putra lagi.

            “Hmmm... beginilah, Ima berterus-terang sajalah ya. Sebenarnya, Blue Inn sedang mengalami kemerosotan. Kami tak mampu nak menggajikan pekerja. Tapi, memandangkan sekarang musim cuti sekolah, kami terpaksa mencari seorang pekerja tambahan untuk membantu, sebagai persediaan sekiranya ada kunjungan yang ramai. Moga-moga begitulah harapannya. Memang tak ada pekerja lain. Abang Putralah satu-satunya pekerja kami, itupun kalau Abang Putra masih berminat untuk menjadi pekerja kami selepas mendengar penjelasan Ima ini.” Ima tanpa mahu berselindung lagi menerangkan situasi sebenar Blue Inn.

           “Ya, abang masih mahu bekerja di sini. Macam abang cakap tadi. Soal gaji abang tak kisah. Kalau tak ada pun tak mengapa. Ada tempat tinggal dan makan minum pun dah memadai untuk abang,” balas Putra pantas.Memang bukan niatnya datang ke pulau itu untuk mengejar wang ringgit. Seulas senyum lagi terukir di bibirnya.

            Ima mengerut sedikit dahinya. Seakan dia tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Belum pernah didengarnya orang bekerja tak mahu gaji.

           “Betul ke ni?” Ima cuba merungkai rasa skeptikalnya. 

           Putra mengukir senyum dan sedikitpun tidak teragak-agak menggangguk kepalanya.

           “Kalau begitu,  jom saya tunjukkan bilik Abang Putra,” ujar Ima. Kini dia yakin dengan jawapan daripada Putra tadi walaupun fikirannya masih terasa pelik dengan kata-kata Putra yang tidak berkira soal gaji. Putra kemudian membuntuti Ima menuju ke sebuah bilik inapan.

            “Okey, ini bilik Abang Putra,” ujar Ima sambil menolak daun pintu bilik sederhana luas itu.

            "Okey, terima kasih banyak-banyak, Ima." Orang berbudi kenalah berbahasa.

            "Sama-sama,"

            Putra masuk ke bilik itu. Di dalam bilik itu terdapat sebuah katil bujang, sebuah gerobok kayu dan sebuah meja sisi. Melirik senyum di bibir Putra. Nyata dia cukup gembira dengan kemudahan itu walupun tak seberapa.

            “Ima turun ke depan dululah  ya, takut ada pengunjung menunggu. Abang Putra berehatlah dulu,” pinta Ima.

            "Okey," balas Putra sambil meletakkan beg galasnya di bucu katil. Sekilas datang satu pertanyaan di fikirannya. Lalu pantas dia menjongol keluar sedikit kepalanya di pintu.

            “Ima, sekejap!" Laungnya.

             "Ada apa Abang Putra?" Ima yang terhenti langkahnya segera menyoal.

             "Jawatan abang sebagai apa?” 

             "Lah!" Secara spontan Ima menepuk dahinya setelah menyedari kelupaannya.

             Putra di muka pinta mengukir sengih. tercuit juga sedikit hatinya dengan tingkah Ima itu.

            “Semua yang disebut oleh Abang Putra tadi,” balas Ima dengan senyuman kemudiannya.

            Sebetulnya, tiada jawatan spesifik di Blue Inn. Rumah tumpangan kecil itu sememangnya tiada jawatan tetap. Boleh melakukan semua kerja sememangnya adalah satu kelebihan untuk diterima bekerja di situ.

            “Okey.” Putra menunjukkan simbol ibu jarinya. Kemudian, dia berkalih semula ke katilnya. Senyum lebar terukir di tubir bibirnya.

            “Tak kisahlah apa kerjapun, janji aku ada kerja,”

            “Janji aku ada makan minum,”

            “Janji aku ada tempat…  tidur!” 

            Putra riang menghitung itu semua sambil merebahkan tubuhnya ke katil. Tangannya di depa seluas-luasnya. Terasa enak sekali berbaring sebegitu. Lebih-lebih lagi apabila disapa bayu segar dari Laut Selat Melaka. Nyaman sungguh.

            Seketika dia berbaring, dia bingkas bangun semula. Rambutnya diusap-usap supaya lebih rapi dan kemas. Dia sedar betapa dia harus menunjukkan komitmennya. Lebih penting, mencipta kembali keriangan dalam hidupnya demi melupakan kepiluan yang dialaminya selama ini.

           Begnya segera disimpan ke dalam gerobok kayu di satu sudut bilik. Kemudian, dia melewati pintu bilik dan menuju semula ke kaunter untuk mendapatkan  Ima.Tiba di situ, kelihatan Ima sedang berborak dengan seseorang di talian telefon.

            Tidak mahu mengganggu Ima, dia melangkah terus ke muka pintu utama rumah tumpangan yang diberi nama Blue Inn itu.

            Perkataan Blue pasti merujuk kepada warna lautan yang membiru di hadapan itu, fikir Putra.

            Udara segar dari pantai segera menyapanya. Perasaannya dirasakan cukup tenang. Dia menghela satu nafas sambil tersenyum sendirian. Tak pernah dirasakan setenang itu sebelum ini. Ketika dia meninjau ke segenap pantai, anak matanya sekali lagi menangkap pemuda yang melanggar bahunya tadi sedang berehat di buai hammock  tidak berapa jauh dari tempatnya berdiri itu. Wajah riangnya tiba-tiba berubah kelat.

            Berlagak! Hatinya menyumpah.

            “Abang Putra, jom saya tunjukkan sekitar Blue Inn ini,” kedengaran Ima  melaung kepadanya. Pandangan dan tubuhnya berkalih ke arah kaunter.

            “Jom,” balas Putra  dengan penuh semangat.

            “Az kirim salam kat Abang Putra”

            “Waalaikumussalam. Diakah yang telefon tadi?” 

            “A’ah, hujung minggu nanti, dia datang ke sini”

            Raut wajah Az masih segar di ingatan Putra. Nyata dia terhutang budi kepada gadis tomboi itu. Diakui walaupun begitu penampilan Az, masih terserlah kemanisan wajahnya. 

            “Ima cakap, Ima ada kakak dan adik. Mana mereka? Abang tak nampak pun mereka.” Putra meleraikan sedikit tanda tanya yang bermain di fikirannya.

            “Kakak sulung Ima namanya Ika. Dia seorang cikgu, mengajar di Sekolah Kebangsaan Sri Pangkor. Dia ke Ipoh pagi tadi, ada kursus di sana dua hari. Lewat petang esok baru dia balik. Adik lelaki Ima pulak namanya Indra. Biasalah remaja baru habis SPM, tak selalu lekat di rumah. Merayau ajelah kerjanya. Nanti mereka balik, Ima kenalkan mereka berdua kepada abang,” balas Ima. 

            “Ayah Ima?” Soal Putra lagi.

            “Macam Ima cakap sebelum ini, ayah tak berapa sihat. Sejak mak meninggalkan kami, ayah jadi murung. Dia hanya berkurung di dalam biliknya. Ayah jadi sedih teramat, mak sanggup tinggalkan kami demi mengikut seorang pelancong asing.” Jelas Ima lagi.Nyata tiada apa yang mahu disembunyikannya. Putra jadi bersimpati. Suasana terdiam seketika. Tak mahu juga dia menyibukkan diri menyelidik lanjut tentang hal peribadi itu.

           Mereka kemudian melihat persekitaran bahagian utama rumah tumpangan itu. Ima menunjukkan beberapa bilik dan juga bahagian dapur kepada Putra. Rancak juga Putra bertanya untuk beberapa kepastian. 

           “Hmmm… untuk bayar gaji Abang Putra, rasanya kami tak mampu nak bayar tinggi. Bergantung kepada jumlah pengunjung.” Ima bersuara sedikit payah ketika mereka beralih ke luar rumah untuk meninjau beberapa buah bilik yang terpisah dengan rumah utama itu.Walaupun sudah dijelaskan oleh Putra, masih juga ada keraguan di hati Ima kerana belum pernah dalam sejarah hidupnya dia mendengar ada orang bekerja tak mahu gaji.

            “Pasal gaji, Ima tak payah risau. Macam abang cakap awal-awal tadi, ada tempat tinggal dan makan minum dah cukup untuk abang.” Putra mengulangai pendiriannya. Namun kali ini dengan nada yang lebih bersungguh.

            “Mana boleh macam itu. Dah bekerja, mesti ada gaji.” Rasa pelik Ima masih mengganggu.

            “Ya, betul. Abang tak kisah pasal gaji itu. Kalau ada, abang terima. Kalau tak ada pun abang okey aje. Lagipun, bukan itu yang abang harapkan di sini. Sebenarnya, abang ingin merasa suasana kehidupan di sini. Wang ringgit itu bukan keutamaan abang.” Penjelasan Putra itu membuatkan Ima berasa makin pelik. Jelas kelihatan kerutan di dahinya. Mula ada tanda tanya di hatinya tentang siapa Putra sebenarnya?

             Putra berkata benar. Dia sememangnya langsung tidak memikirkan soal kebendaan di situ. Jiwanya hanya mendambakan ketenangan di pulau itu.

            “Abang Putra tak ada keluarga ke yang perlu ditanggung?” Ima cuba menyelidiki lanjut peribadi Putra.

            Putra terdiam buat seketika. Soalan itu memerangkap dirinya. Dia tidak pasti apa yang mahu diisinya sebagai jawapan untuk soalan itu.

            “Abang Putra…” Ima cuba mengejutkan Putra yang dilihatnya seperti sedang mengelamun.

            “Hah,”

            “Abang Putra tak jawab lagi soalan saya,” kata Ima yang masih menunggu jawapan.

            “Err… abang sebenarnya sebatang kara, anak yatim piatu.” Putra mengungkap dengan sedikit payah.

            Ima jadi terdiam sejenak. Riak wajahnya seperti dia kesal bertanya soalan itu tadi. 

            “Tanah Blue Inn ini dari mana sampai ke mana?” Putra segera mengubah topik perbualan, juga mahu segera mengubah mood suasana. Bersarang juga rasa kesal di hatinya kerana berbohong kepada Ima. Dia terpaksa berbohong.

             Ketika itu mereka menghampiri lantai pasir yang memutih di hadapan Blue Inn itu. 

            “Dari hujung sana, sampai hujung sana.” Ima meluruskan telujuknya ke dua arah. 

            “Oh, kayak-kayak dan jet ski itu milik Blue Inn juga ke?” Tanya Putra lagi selepas anak matanya menangkap beberapa buah kayak dan jet ski di bawah sebuah bangsal yang seakan sudah lama tidak digunakan. Ada keterujaan di wajahnya.

            “Ya, milik Blue Inn,” jawab Ima menutup penerangannya tentang Blue Inn petang itu.

            Senyum Putra makin mekar selepas itu. Selebar hamparan pasir yang memutih dan seluas lautan yang membiru di hadapan matanya.

            I’m yours! Hatinya menjerit ke arah lautan.





Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan