Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
11,604
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 13

MALAM kian larut. Perkarangan Blue Inn sudah sunyi sepi. 5 sekawan pelajar UMT telah masuk ke alam mimpi. Barangkali kerana kepenatan seharian berenang di taman laut. Selepas sahaja menikmati makan malam  terus mereka merebahkan tubuh ke tilam. Encik Remy dan Puan Marissa yang dalam mood bulan madu juga masuk ke bilik mereka lebih awal kerana kepenatan mengelilingi sekitar pulau sepanjang hari itu dengan skuter. Manakala Ika pula, selepas sahaja solat Isyak terus terlelap ketika membaca sebuah novel. Indra, seperti malam-malam sebelumnya keluar melepak dengan kawan-kawan remajanya.

          Namun begitu, Putra masih belum melelapkan matanya. Ikutkan, dialah yang paling penat kerana pelbagai kerja dilakukannya sepanjang hari itu. Tapi, sudah menjadi tabiatnya membaca sebelum tidur. Dia melirik senyum. Telinganya sejak dari tadi menangkap ritma dengkuran dari mulut Amran. Penat sangat rakan sebiliknya itu. Orang bandar yang tak pernah membuat kerja-kerja rencam, pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada tubuhnya. Walaupun dengkuran itu kadangnya mengganggu konsentrasi Putra yang sedang menyambung bacaan novel Karamnya Kapal Van Der Wijk, namun dia sedikit terhibur dengan situasi itu. Cukup untuk mengingatkannya kepada rakan karibnya yang bernama Meor suatu ketika dahulu. Saling tak tumpah karekter rakannya itu dengan Amran. Jadi, dia sudah lali dengan kesan bunyi yang keluar dari mulut sebegitu.

         Di sebuah bilik yang lain, Ima dan Az juga belum dapat memejamkan mata mereka. Masing-masing ketika itu sedang melayani perasaan masing-masing. Seorang terkenangkan kekasihnya yang sedang bertugas sebagai anggota keselamatan di tengah lautan. Manakala seorang lagi masih teringat perbualannya dengan seorang jejaka di taman laut siang tadi. Pendek kata, kedua-duanya sedang diserang sejenis serangga yang dinamakan angau.

         "Eh, tadi waktu kat taman laut, apa benda yang kau bualkan dengan Abang Putra? Aku tengok dari jauh intim aje." Tiba-tiba Ima memecah suasana selepas sekilas dia juga teringat akan adegan itu.

         "Err, intim apa pulak ni? Kami berbual biasa ajelah." Az cuba menepis tanggapan Ima itu, walaupun pada hakikatnya siang tadi kali pertama dalam hidupnya dia merasakan hatinya berdetak sedikit lebih kencang ketika berbual dengan seorang lelaki.

         "Alah, kau tak payah nak nafikannya lah. Walaupun dari jauh, aku dapat lihat kau bertenung mata dengan Abang Putra kat taman laut siang tadi." Ujar Ima lagi, lebih bersungguh nadanya.

         "Mana ada? Gua nak bertenung mata dengan lelaki? Sorry sikit, hati gua bukan hati sentimental lah!" Az masih juga cuba menafikan. Sememangnya dia tidak mahu Ima menjejak apa yang sedang bergetar di lubuku hatinya. Ego tomboinya masih tinggi. Malu siot kalau Ima tahu apa yang dirasainya itu.

         "Kau berbual apa dengan Abang Putra?" Ima akhirnya mengendurkan sedikit tekanannya. Sememangnya dia cukup mengenali Az yang lebih lelaki daripada perempuan itu. 

         "Dia cuma ucap terima kasih kepada gua, sebab gua dia diterima bekerja di sini," balas Az selepas menarik nafas lega.

         "Oh, pasal itu aje." Ima seperti mendapat kefahamannya.

         Az cepat-cepat mengangguk.


SEMENTARA itu malam masih muda di Samudra Bar, pesta minum-minum masih rancak berlangsung. Bunyi muzik disko menghangatkan lagi suasana. Bukan hanya kalangan pelancong sahaja berkumpul dan berhibur situ kala itu, tetapi juga ramai budak-budak pantai yang turut mencari hiburan malam sambal memancing pelancong-pelancong wanita untuk mendapatkan keseronokan tambahan, terutamanya minah salleh yang sudah mabuk.

            “Apa ini, Jamal! Lu cakap boleh dapatkan Blue Inn untuk wa. Tapi, sampai sekarang masih lagi terkebil-kebil. Duit enjoy-enjoy wa dah bagi. Tapi hasilnya belum juga lu bagi pada wa!” Lelaki Cina berperut buncit danberkepala botak itu kelihatan cukup marah sekali.

            “Beri wa sikit masa lagi, bos” Jamal cuba meminta ehsan dengan wajah menahan malu. Mahu tak malu, kredibitinya sebagai samseng paling ditakuti di pulau itu telah sedikit  tercalar.

            “Berapa banyak masa lagi? Wa tengok sekarang, dah macam tak ada harapan sahaja. Blue Inn sejak kebelakangan ini makin mendapat sambutan.” Mr. Wong bersuara lagi. Mukanya cukup ketat. Seolah-olah memendam rasa hampa yang kelat.

            “Macam mana bos tahu?” Jamal mengerut dahinya.

            “Siang tadi wa ada jumpa seorang pekerja Blue Inn di jeti nelayan. Dia kata, makin ramai guest yang datang berkunjung ke Blue Inn sekarang.” Mr. Wong menjelas selepas menghirup birnya.

            “Eh, bila masa pulak Blue Inn ada pekerja?” Jamal kehairanan. 

            “Itulah lu, Jamal. Cakap aje besar, kata semua tentang Blue Inn dalam tangan lu. Ini apa cerita? Blue Inn sudah ada pekerja pun lu tak tahu!” Mr. Wong nyata bengang malam itu. Manakan tidak bengang, tauke Cina itu sudah mengeluarkan banyak belanja untuk merahsuah Jamal dan konco-konconya supaya menganggu Kamarul IIdham dan keluarganya. Tindakan demikian supaya mendorong Kamarul dan anak-anaknya menjual tanah Blue Inn itu. Mr.Wong bercita-cita mahu membeli tanah itu kerana mahu menjualnya kepada sebuah syarikat pemaju dari China. Pastinya dia akan mendapat keuntungan berlipat ganda nanti.

            “Ini mesti mamat yang menolong Ika dan adik-adiknya tempoh hari.” Zaki, salah seorang konco Jamal mencelah.

            “Barangkali mamat yang sama seperti diberitahu Pak Rani seminggu yang lalu, tapi kita tak percaya.” Adli pula menambah.

            “Sial!” Jamal akhirnya mengingati gerangan yang dimaksudkan itu.

            “Mamat itulah bos, yang berani masuk campur waktu kami belasah pengunjung Blue Inn tempoh hari.” Zaki berkata lagi.

           “ Ayo, takkan mamat itu seorang lu orang bertiga tak boleh nak handle, samseng apa lu orang ni!” Mr.Wong menghambur kutukannya.

            “Tempoh hari mamat itu bernasib baik aje bos, sebab ada polis datang. Kalau tak, dah berkicap muka dia bos, kami kerjakan. Bos jangang bimbang, kami akan selesaikan mamat itu secepat mungkin! Ini Jamal lah bos, tiada siapa di pulau ini  yang berani mencanggah saya!” Jamal berkata angkuh.

            Zaki dan Adli menggangguk-angguk kepala mereka, menyokong kata-kata Jamal itu.

            “Okey, macam inilah, wa bagi lu orang masa sikit lagi. Tapi jangan lama-lama. Wa perlukan tanah Blue Inn itu cepat sebab pembeli dari China itu sudah push wa. Takut pembeli itu lari pada orang lain pulak nanti. Banyak rugi, itu projek juta-juta. Wa kaya, lu orang pun kaya,” ungkap Mr.Wong selepas menghabiskan minumannya. Dia kemudian bangun dari labuhan pada kerusi bar.

            “Baik, bos! Saya akan pastikan Blue Inn jatuh ke tangan bos.Lagipun saya sudah usahakan satu lagi cara untuk mengambil tanah itu. Tak boleh dengan cara kekerasan, kita guna cara undang-undang.” Jamal seperti biasa memberi satu janji. Bibirnya juga mengukir satu senyuman sinis. 

            “Lu berjanji lu mesti tepati. Kalau tak tepati binasa diri nanti. Wa tak suka orang tak menepati janji! Lu orang mesti ikut contoh itu motto David Teoh, produser filem terkenal itu. Bukan janji tapi pasti!” Mr. Wong memberi satu peringatan yang keras. Dia mula melangkah untuk berlalu pergi.

            “Baik, bos. Eh, bos, ini malam tak payung ke?” Laung Jamal.

            “Buat kerja dulu,baru sembang pasal payung. Ini hujan pun tak ada, mana boleh buka payung! Wa bukan bodoh nak buka payung kalau tak hujan!” Mr. Wong sekali lagi memberi peringatan dengan kiasan yang cukup keras.

            Jamal dan konco-konconya terus terdiam tatkala mendengar kata-kata keras daripada seorang taiko Cina itu. Mereka cukup kenali latar belakang Mr. Wong yang mempunyai hubungan dengan sebuah kumpulan kongsi gelap itu.

            “Sial!” Jamal melepaskan rasa geramnya.Zaki dan Adli juga menarik wajah hampa.

            “Macam mana ni, bro? Mr.Wong dah bagi warning kepada kita,” Zaki menyatakan keresahannya.

            “Betul tu,” tokok Adli.

            “Kau orang jangan bimbanglah! Kan aku adah cakap, aku dah upah seorang peguam untuk ambil tanah itu. Mak aku masih ada hak pada tanah itu. Sekarang kita uruskan mamat penyibuk itu dulu!” Ujar Jamal dengan lantang. Wajahnya seumpama seekor singa jantan yang rasa tercabar.

            “Kita nak buat apa dengan mamat itu, bro? Takkan kita nak terjah Blue Inn dan belasah dia macam itu aje, tak pasal-pasal ke dalam kita nanti,” soal Adli yang sedikit kurang cerdik dan paling penakut dalam kumpulan itu.

            “Apalah bangang kau ni! Kita carilah waktu dan tempat yang sesuai, baru kita hentam dia.” Zaki yang selalu berlagak pandai itu menempelak Adli. 

            Jamal mengangguk-angguk kepalanya, sebagai tanda setuju dengan buah fikiran Zaki itu.

            “Waktu dan tempat yang sesuai itu bila dan kat mana?” Adli masih lagi menunjuk kebodohannya.

            Zaki menggaru-garu kepalanya kerana dia sendiri tidak pasti waktu dan tempat yang sesuai untuk melaksanakan rancangan jahat mereka itu. Sebodoh-bodoh Adli, kali ini berjaya juga dia membuatkan Zaki terkelu.

            “Kita tunggu waktu dia pergi ke jeti atau ke pasar. Pasti dia akan ke dua tempat ini setiap hariuntuk mengambil guest dan membelikeperluan dapur. Aku yakin jawatannya di Blue Inn itu sebagai pembantu sahaja.”Jamal memberikan satu kesimpulan.

            Zaki dan Adli saling berpandangan. Kemudian mereka saling mengangguk kepala dan mengukir senyum sinis. Nyata jawapan daripada Jamal itu memberi kefahaman kepada mereka berdua.

            “Jadi, tugasan kau orang berdua mulai hari ini awasi gerak geri mamat itu. Ekori ke mana saja dia pergi. Aku akan minta Pak Ngah aku sekali perhatikan mamat tu. Bila dah line clear, cepat-cepat beritahu aku.Tahulah aku ajar mamat tu nanti. Biar dia tahu siapa aku kat pulau ni!” Jamal merencana rancangan sambal menggenggam buku limanya, seolah-olah tidak sabar lagi untuk mengayun buku lima itu ke muka Putra. Senyuman sinis melirik panjang di bibirnya.

            “Baik bos!” Jawab Zaki dan Adli serentak.



Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan