Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
8,670
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 16

PAGI  itu, selepas sarapan,Putra menghantar Sofea dan rakan-rakannya ke jeti. Biarpun tugas itu boleh dilakukan Amran, tapi dia mahu mengambil kesempatan itu untuk singgah di bengkel Ah Chong untuk mendapatkan komponen Norton yang mahu dibaikinya.

            “Kami ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Blue Inn kerana banyak  membantu kami sepanjang kami di pulau ini.  Perkhidmatan Blue Inn sangat-sangat memuaskan hati kami. Walaupun kami membayar dengan harga yang murah, tapi Blue Inn telah melayan kami seperti vvip. Kami takkan lupakan Blue Inn.” Sofea sebagai ketua kumpulan itu memberi kata-kata penghargaan.

            “Paling kami takkan lupakan masakan abang Putra yang lazat, lawak jenaka abang dan semestinya suara merdu abang.” Aisyah, yang paling manis dalam kumpulan itu menambah. Putra tertawa kecil tatkala dipuji sebegitu.

            “Saya selaku warga Blue Inn juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Cik Sofea, Aisyah, Luna ,Esther dan Tijah kerana memilih Blue Inn. Harapan kami di Blue Inn, jika ada kelebihan dan kebaikan daripada perkhidmatan kami war-warkanlah kepada umum.Tapi jika ada sebarang keburukan, usahlah diceritakan kepada orang lain.” Putra memberi kata-kata balas yang penuh makna dengan ukiran senyum mesra. Terserlah ketampanannya bila senyum begitu.

            “Eh, mana ada yang buruknya. Semuanya baik-baik belaka. Kami sangat puas hati dengan perkhidmatan dan layanan Blue Inn. Sungguh! Ini bukan kata-kata nak mengambil hati, tapi jujur dan tulus daripada hati kami. Insha Allah, kami akan mempromosikan Blue Inn kepada rakan-rakan dan ahli kelurga kami,” Tijah yang tak banyak suara di kalangan lima sahabat itu, entah mengapa tiba-tiba sahaja ringan mulutnya hari itu.Seperti biasa, pekat dengan loghat daerah kelahirannya. Mendengar Tijah bersuara sahaja sudah boleh mengundang kelucuan kepada semua, belum lagi melihat sikap lurus bendulnya. Sememangnya dia merupakan penghibur kepada lima sahabat itu, walaupun agak malu-malu.

            “Alhamdullilah, terima kasih ya semua. Kalau datang ke pulau ini lagi, carilah kami. Kami berbesar hati menerima kamu semua sebagai tetamu kami, Insha Allah.” ucap Putra lagi sebagai penutup kepada perpisahan itu. Mereka kemudian saling bersalam, sebelum menyusun langkah ke tempat menunggu. Pandangan Putra menghantar lima gadis manis itu hingga ke tempat menunggu kira-kira 50 meter dari pintu masuk utama jeti. Sempat dia melambai tangannya kepada Aisyah yang berpaling saat akhir kepadanya sebelum gadis itu masuk ke perut feri. Aisyah turut melambai kepadanya. Masih ada dalam ingatannya kemanisan wajah gadis berlekuk lesung pipit itu. Setiap kali memandang gadis itu, fikirannya pasti terimbau ke masa lalunya. Setiap kali itu jugalah hatinya terusik.

            “Nanti jangan lupa datang lagi!” Laung Putra buat kali yang terakhir. Pastinya laungan itu tidak dapat didengari oleh Aisyah yang ditenggelami bunyi enjin feri. Namun, Aisyah terus melambai kepadanya dengan senyuman girang.

            “Manis…” kata Putra kepada diri sendiri dengan senyum nakal meniti di tubir bibirnya.

            Selepas Aisyah dan kawan-kawannya hilang dari pandangan mata, Putra kembali semula ke arah Volkswagen yang diparkir di tapak letak kenderaan. Arah tuju seterusnya ialah bengkel Ah Chong.  Dia sudah membuat senarai komponen Norton yang diperlukannya.

            Berpandukan tunjuk arah yang diberi oleh Kamarul, Putra tidak susah untuk mencari bengkel Ah Chongg. Kerana tak banyak bengkel motosikal yang terdapat di pekan itu. Lokasi bengkel Ah Chong juga tak susah letakannya kerana berhampiran dengan pejabat pos.

            Namun, waktu ketika itu masih awal. Bengkel Ah Keong belum lagi dibuka. Jadi Putra melencong langkahnya seketika ke sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam. Dia membeli senaskhah akhbar. Selepas membayar harga akhbar kompak itu, dia kembali semula ke van yang diparkir betul-betul di depan bengkel Ah Keong.

            Sementara menunggu Ah Chong datang membuka bengkelnya, Putra mula mengisi waktu menunggu itu dengan membaca isi berita yang terkandung dalam akhbar kompak berharga RM1.20 itu. Sudah menjadi tabiatnya akan mula membaca isi kandungan di halaman paling belakang dahulu. Kawan baiknya waktu di zaman sekolah dulu pernah mengata tabiatnya itu terbawa-bawa cara membaca akhbar edisi jawi padahal halaman paling belakang itu menjadi keutamaannya kerana di halaman itu dilaporkan berita-berita tentang sukan. Penggemar sukan sepertinya pasti akan sentiasa mahu mengikuti perkembangan semasa, terutamanya sukan bola sepak. Peminat pasukan Liverpool katakan.

            Dia tersenyum sendirian. Paparan tajuk satu berita di halaman itu sangat menggembirakan hatinya. Pasukan bolasepak kegemarannya berjaya menumpaskan pasukan boleh sepak yang paling tidak disukainya. Senyumnya bertambah lebar bila membaca pasukan kegemarannya itu menang di tempat lawan.

           “YNWA!” Laungnya sambil menggenggam tangan. Kata-kata semangat itu sering dilaungkan setiap kali pasukan kegemarannya itu menumbangkan lawan yang menjadi musuh ketat itu.

           Tiba-tiba kaca cermin tingkap di bahagian pintu pemandu Volkswagen itu diketuk dari luar. Pandangan Putra segera dipalingkan. Kelihatan Jamal dan konco-konconya berada di luar vannya itu. Rupa-rupanya,  tanpa disedari ketika dia meninggal jeti tadi, Adli dan Zaki telah mengekorinya.

          Jamal memberi isyarat memanggilnya keluar. Putra dengan tenang membuka pintu van dan keluar. Dalam ketenangannya itu dia telah bersedia dengan segala kemungkinan.

          “Ya, ada apa?” Soal Putra tanpa menunjukkan dia gemuruh.

          “Amboi-amboi, kau! Tanya aku ada apa?” Jamal yang berwajah sinis membalas.

          “Inilah yang dikatakan sudah gaharu cendana pula. Sudah tahu masih nak tanya lagi.” Adli mencelah, cuba menunjukkan lagaknya sebagai seorang gengster.

          "Macam tak kena aje kata bidalan kau tu?" Zaki yang pantang ada salah Adli menyampuk.

          "Err...ya ke?" Soal Adli sambil menggaru-garu kepala, menampakkan kedunguannya.

          “Hoi, kau siapa hah! Apa kena mengena kau dengan rumah tumpangan buruk tu?” Bentak Jamal dengan wajah menyinga.

          “Saya Putra. Saya pekerja Blue Inn.” Putra cuba menunjukkan kemesraan dengan menghulurkan tangannya kepada Jamal. Dia kalau boleh tidak mahu bersengketa dengan sesiapa. Dia sedar dia sekadar menumpang membina kehidupan baru di pulau itu. 

          Salamnya itu tidak sedikitpun diendahkan oleh Jamal. Orang tengah bengang masakan mahu berdiplomasi. Lebih-lebih lagi fikirannya dan dipenuhi hasutan keangkuhan.

          “Kau dengar sini baik-baik, kau jangan nak tunjuk besar kepala kau kat pulau ni! Ini kawasan aku! Kau itu orang luar! Orang luar buat cara orang luar! Masuk tempat orang jangan nak main langgar sahaja!” Jamal dengan keras memberi amarannya.

           Putra sedar orang angkuh seperti Jamal itu takkan mahu berbincang dengan elok-elok.

          “Ya, aku sedar aku orang luar di sini. Tapi, kalau kau dan kawan-kawan kau tak mengganggu warga Blue Inn, aku pun tak ingin nak kacau urusan kau! Tak ada isu nak besar kepala ke apa. Pulau ini ciptaan Yang Maha Esa. Sesiapa pun boleh datang ke sini. Memang aku orang luar dan aku datang ke sini bawa otak bukannya bawa mata pisau. Tapi kalau kau dan kawan-kawan kau kurang ajar, aku pun boleh juga jadi kurang ajar. Setakat kau orang bertiga, apalah sangat. Aku tak gentar!” Putra penuh ketenangan membalas kata-kata keras Jamal. Sememangnya tiada gentar di hatinya dan bukan dia mahu bercakap besar. Dia sudah banyak kali menghadapi situasi sebegitu dalam hidupnya sebelum ini.

          “Eh, cakap besar pulak kau ya!” Bentak Jamal lagi. Wajahnya makin meram padam.

          “Bukan cakap besar, tapi memang aku tak gentar dengan kau orang semua. Aku dah pernah beradu dengan pelbagai jenis orang. Setakat kamu bertiga ni, hanya samseng tahap kampung aje. Kau tengok parut kat tangan aku ini. Ini aku dapat waktu dalam penjara dulu,” balas Putra. Dia mengada-adakan cerita sebenarnya. Parut itu ialah kesan daripada kemalangan jalan raya yangmenimpanya beberapa tahun yang lalu. Tujuannya mereka-reka cerita itu tidak lain tidak bukan sekadar mahu menakut-nakutkan Jamal dan konco-konconya. Wajah Zaki dan Adli berubah cuak, terpedaya dengan kata-kata Putra itu. Jamal juga mula  menampakkan tanda-tanda dia terpedaya. Manakan tidak? Belum pernah ada yang berani mencanggahnya sebelum ini, jauh sekali menentangnya. Mula ada rasa gentar dihatinya dan merasakanPutra bukan calang-calang orang.

          “Aku beri amaran kepada kau, jangan berani kacau aku lagi!” Letus Jamal. Nada suaranya sedikit berubah. Tak sekeras sebelumnya.

         “Baik, aku tak akan kacau urusan kau jika kau tak ganggu warga Blue Inn!” Putra memberi janjinya.

         Jamal dan konco-konconya kemudian berlalu pergi. Putra sekadar memerhati tiga samseng itu berlalu dengan van Vannete biru pudar mereka sehingga hilang dari pandangannya. Dia sedikitpun tidak perasan dialognya dengan Jamal tadi telah menjadi perhatian orang di sekitar tempat itu.

         “Kenapa Jamal dan kawan-kawanya itu? Apa yang mereka tak puas hati?” Sapa seorang lelaki Cina yang menghampirinya.

          “Tak ada apa-apa,” balas Putra. Senyuman buat-buat diukir dibibirnya. Dia tidak mahu memanjangkan hal itu.

          “Tak habis-habis Jamal dan kawan-kawannya itu. Ada-ada sahaja tak puas hati dengan orang lain,” gumam lelaki Cina yang tak dikenali itu. Putra sekadar melebarkan senyuman basa-basinya.

         “Dari Blue Inn ke?” Soal lelaki Cina itu kemudian.

         “Ya, betul. Ini Pak Cik Chong ke?” Balas Putra sambil mengaju soalan balas. Lelaki itu mengangguk bersama senyuman.

         “Saya Putra. Baru kerja di Blue Inn.” Putra memperkenalkan dirinya. Mereka bersalam.

         “Oh begitu rupanya. Patutlah sebelum ini tak pernah nampak. Ada apa pagi-pagi dah menunggu di depan bengkel saya ini?” Soal Ah Chong kembali, cukup fasih Bahasa Melayunya. Dia sememangnya cukup rapat dengan Kamarul dan juga Indra.

         “Saya nak tanya tentang beberapa komponen motor,” jelas Putra yang mengekori Ah Chong masuk ke bengkel yang baru sahaja dibuka oleh seorang gadis Cina.

         “Ini anak saya, May.” Ah Chong sempat memperkenalkan anak gadisnya.Gadis itu tersenyum kepada Putra.

         “Hai, May. Saya Putra,” ucap Putra sambil menghulurkan tangan kanannya kepada May.

         “Hai.” May membalas dengan mesra. Mereka bersalam.

          “Indra tak datang sekali?” Soal May kemudian.

          “Tak, dia perlu bawa guest pusing-pusing pulau hari ini,” jawab Putra. Dia mula mengagak May sebaya dan dengan Indra. Gaya pemakaiannya juga seperti dia berkongsi minat genre muzik yang sama.

          May kemudian meminta diri untuk menguruskan urusan pengkeranian bengkel ayahnya itu. Dia sebenarnya bertugas sebagai kerani merangkap juruwang di bengkel itu.         

         “Kamarul apa khabar?” Soal Ah Chong. Dia memang selalu mengambil berat tentang Kamarul. Mereka berkawan baik sejak zaman sekolah rendah lagi dan hubungan itu diikuti pula oleh May yang berteman rapat dengan Indra. Semuanya disebabkan berkongsi minat yang sama terhadap kereta dan motosikal.

         “Bos sihat. Dia yang suruh saya berjumpa dengan pak cik untuk bertanya tentang komponen Norton.” Putra menjelas.

         “Kamarul sudah keluar dari bilik ke?” Nyata Ah Chong sangat terkejut dengan penjelasan Putra itu. Manakan tidak terkejut, sudah berbelas tahun Kamarul berkurung dan tidak mahu berjumpa dengan sesiapa, kecuali anaknya Ika dan Ima. Indra sekalipun sejak usia 6 tahun lagi tidak bersua muka dengannya. Putra mengangguk kepalanya berserta senyuman.

         “Betul?” Ah Chong seakan masih tidak percaya. Sekali lagi Putra menggangguk kepalanya. Kali ini anggukkannya lebih bersungguh.

         “Macam mana dia boleh keluar? Sebelum ini, sudah macam-macam cara kami cuba pujuk dia keluar. Tapi, semuanya tak berjaya.” Soal Ah Chong lagi. Raut wajahnya jelas dia tertanya-tanya dan teruja.

        “Saya pun tak pasti. Waktu saya masuk dan lihat kenderaan yang tersimpan dalam sebuah garaj, tiba-tiba dia muncul dan tercegak di depan pintu garaj itu.” Putra menerang kembali peristiwa yang berlaku semalam. Ah Chong mengukir senyum. Seperti menerobos satu cahaya gembira dalam terowong hatinya.

        “Jiwanya kepada kereta dan motor masih ada rupanya dan dia sudah jumpa orang yang sesuai untuk mewarisi Norton itu,” ungkap Ah Chong kemudian. Senyumannya bertambah lebar, betapa menjelaskan hatinya gembira bukan kepalang.  Seakan lelaki Cina itu juga mula senang dengan Putra.

        Putra sedikit binggung melihat kelakuan Ah Chong yang tersenyum panjang sambil merenungnya.

       "Ada bawa senarai barang yang diperlukan itu?" Soal Ah Chong.

       "Ada, ini senarainya."

       Sekeping kertas bertukar tangan.

       Ah Chong melihat senarai itu dengan teliti.

      “Beri pak cik sedikit masa,” kata Ah Chong kemudian dengan satu lagi lirikan senyuman.

       Komponen-komponen itu akan ditempah melalui kenalannya di Kuala Lumpur kerana alat ganti Norton sedikit sukar untuk dicari.

       Selepas urusannya di bengkel itu selesai, Putra memandu pulang semula ke Blue Inn.



Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan