Home Novel Cinta Manisnya Cinta di Cappadocia (Manisnya Cinta)
Manisnya Cinta di Cappadocia (Manisnya Cinta)
8/12/2014 11:23:29
64,969
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

3

SELAMA ini aku amat menghargai ke-sabaran Alfredo. Namun kebelakangan ini aku semakin meragui kesetiaannya. Dia sen-tiasa sibuk, banyak temu janji dengan pelanggan, -mesyuarat dan pelbagai alasan lagi. Akhirnya, kami bagaikan membawa haluan sendiri. Aku dengan hidupku dan Alfredo juga -begitu. Sesekali aku merasakan hu-bungan kami tidak akan -berkesudahan dengan titik bahagia. Keyakinanku yang goyah semakin menguatkan kepercayaanku pada cerita Nivel. Tapi aku pendamkan sahaja rasa curiga itu kerana Alfredo telah bersungguh-sungguh menafi-kannya. Mungkin -pengakuannya benar!

Entah berapa lama hubungan kami dingin dan beku, aku sendiri tidak tahu sehinggalah pada suatu hari emak membebel. Katanya, Auntie Azlina ada memberitahu yang Alfredo membawa pulang seorang wanita ke rumah untuk diperkenal-kan kepadanya. Terkebil-kebil aku mendengarnya. Wajah Juita segera melintas di tubir mataku. Tentulah Juita yang dibawa oleh Alfredo. Diperkenalkan kepada ibunya --se-bagai siapa? Calon isteri?

Aku bagaikan baru tersedar dan kembali pada realiti. Hatiku tertanya-tanya, apakah aku sudah terlambat? Selama ini aku menyangka Alfredo sedang memberiku waktu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Tetapi mungkin aku mengambil masa yang terlalu lama sehingga Alfredo bosan dan tidak sabar lagi menunggu.

"I nak jumpa you malam ni," pintaku kepada Alfredo sedikit mendesak. Otakku berputar ligat memikirkan hujah-hujah seandainya Alfredo menolak permintaanku.

“Eh, mimpi apa malam tadi?” soal Alfredo.

“Tak mimpi apapun! Tapi I nak jumpa you malam ni!” desakku lagi.

“Okey... okey... malam nanti I jemput you.” Alfredo menyambutnya dengan gembira. Suaranya terdengar mesra. Gurauan dan usikannya masih seperti dahulu juga. Aku segera menidakkan kegusaran yang melanda hati Auntie Azlina. Alfredo tidak berubah, masih setia dalam berkasih.

Malam itu kami ke Cafe Naili's Place. Alfredo datang menjemputku di rumah. Suka benar hati emak -menyambut kedatangannya tadi. Masakan tidak, Alfredo sudah -terlalu rapat dengan keluarga kami. Bagi emak, terjalinnya hu-bungan antara aku dengan Alfredo bagaikan memakna ikatan persahabatan dengan Auntie Azlina, temannya sejak di alam persekolahan dahulu.

Bagi aku, malam ini adalah malam penentuan. Kami harus berbincang sebagai dua orang dewasa yang waras dan matang fikiran. Aku menyerahkan segala-galanya pada ketentuan ALLAH. Tidak akan ada paksaan atau terpaksa lagi. Selama ini memang aku ikutkan sahaja rentaknya. Kalau Alfredo berzapin, zapinlah aku. Kalau dia bertango, aku juga akan mengikut lenggok tarinya. Dan kini kalau Alfredo sudah bertemu orang lain sebagai pasangan tarinya, aku juga harus akur. Aku kira wajarlah aku berundur diri. Buat apalah aku terhegeh-hegeh mengharapkannya lagi.

Cafe Naili's Place masih belum ramai pengunjung ketika kami sampai. Kami memilih tempat duduk berdekatan de-ngan sebuah akuarium. Setiap kali ke situ dengan Alfredo, aku memang suka duduk di situ. Menjamu selera sambil memandang aksi ikan-ikan di dalam kaca. Di atas meja hanya ada sebuah pelita kecil minyak tanah yang boleh diubah laras cahaya mengikut citarasa pengunjung.

Di dinding dan bumbung yang beratap rumbia, bergantungan lampu-lampu yang melimpahkan cahaya malap. Kesuraman mencetuskan suasana yang begitu romantis. Bagi pasangan kekasih, sudah tentulah suasana sebegini akan se-makin mengeratkan jalinan kasih mesra.

Tetapi kini aku tidak berasa apa-apa lagi. Mungkin Al-fredo juga begitu. Mungkin dia sedang membayangkan orang lain, walaupun aku sedang duduk di hadapannya. Kami menjamu selera dengan perbualan biasa. Aku masih menanti-nanti peluang itu tiba, tetapi nampaknya Alfredo begitu berhati-hati ketika menuturkan kata-kata.

"You sibuk sangat akhir-akhir ini." Aku cuba memancing. Alfredo ketawa kecil.

"Kita sama-sama sibuk, Ifti. You asyik dengan kerja... I pun macam tu jugak," kata Alfredo sambil meletakkan ta-ngannya di atas tanganku. Aku biarkan sahaja dia meng-genggam jari-jemariku. Tidak terasa apa-apa lagi. Kosong!

"Ibu you kata ... err... you... ada bawak orang datang ke rumah, betul ke?” soalku lambat-lambat agar Alfredo -mendengarnya dengan jelas.

Alfredo menepuk dahi. Meskipun dalam cahaya yang samar-samar, aku nampak air mukanya berubah. Kekalutan cuba disembunyikan dalam ketawa yang sengaja dibuat-buat.

"Ibu memang tak boleh simpan rahsia," katanya tidak berselindung lagi. Aku kira selama ini Alfredo memang menanti masa untuk berterus terang denganku. Aku harus bersedia dan menerima apa sahaja kemungkinan.

"Rahsia apa, Fredo?" soalku sambil mere-nungnya.

Azizi Alfredo, pemuda berdarah kacukan Filipino di sebelah bapa dan Melayu di sebelah ibu itu sedikit menggelabah.

"Tak ada rahsialah! Sebenarnya I memang nak beritahu you yang I ajak Juita datang ke rumah... saja jalan-jalan."

Alfredo tergelak-gelak. Begitu bersahaja.

Saja jalan-jalan? Soalku berkali-kali di dalam hati. Aku sendiri tidak pernah mengajak lelaki lain datang ke rumah, sekalipun untuk berjalan-jalan sahaja. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Sesuatu yang Alfredo juga tahu.

"Juita tu kan dah bertunang... you tak takut ke keluar dengan tunang orang? Tak bimbang ke kalau tunang dia belasah you? Nanti tak pasal-pasal bertelur dahi!"

Aku sekadar menyatakan apa juga kemungkinan yang akan berlaku. Bukan niatku untuk menakut-nakutkannya. Mustahil tunang Juita akan mendiamkan diri seandainya dia tahu Juita keluar dengan orang lain.

"Juita dah putus tunang," pantas Alfredo menjawab. Muka-nya ditundukkan sedikit.

Hakikat itu langsung tidak disembunyikan oleh Alfredo. Tidak susah untuk membuatkan Alfredo berterus terang. Ditekan sedikit sahaja, dia sudah kelam-kabut dan akhirnya memberikan jawapan.

Aku semakin faham duduk perkara. Tentulah kepada Alfredo tempat Juita mencurahkan rasa hati yang kecewa. Tentulah Alfredo mendengarnya dengan penuh simpati. Walaupun aku tidak begitu me-ngenali Juita, tetapi daripada cerita Alfredo, aku seolah-olah dapat meneka sikapnya. Bagi Juita, siapalah Fauzi tunangnya kalau hendak dibandingkan dengan Alfredo yang kacak, berkedudukan dan berharta pula. Mustahil Juita tidak tahu latar belakang Alfredo.

Selama ini pastilah Juita ternanti-nanti peluang untuk mendampingi Alfredo. Peluang itu pula akhirnya datang -apabila aku semakin mengabaikan Al-fredo. Tentulah Alfredo berpaling kepada Juita bagi mengisi kekosongan di -jiwanya apabila aku tiba-tiba jadi sangsi untuk meneruskan hu-bungan kami. Mereka akhirnya menjadi dua insan yang -saling memerlukan. Aku harus mengakui bahawa memilih Juita adalah yang terbaik untuk dirinya. Biarlah Alfredo berkahwin dengan orang yang benar-benar mencintainya.

"Berterus terang ajelah Fredo," pintaku tenang.

"Berterus terang apa?" soal Alfredo sambil mengusap lembut jari-jemariku. Aku biarkan juga. Biarlah untuk kali yang terakhir!

"I bukan tuduh... tapi rasanya you dengan Juita bukan kawan biasa lagi, kan? I tak tahu setakat mana hubungan you dengan dia... tapi I dapat rasakan yang you tak perlukan I lagi," kataku sambil menarik perlahan-lahan tanganku.

"Jangan cakap macam tu, Ifti!" Nada suara Alfredo se-dikit merayu. Dia cuba meraih kembali tanganku, tetapi segera aku elak. Alfredo terkejut.

Aku menyilangkan tangan dan berpeluk tubuh, berharap agar kekuatan akan kembali ke dalam diriku. Mujurlah cahaya lampu yang suram membuatkan riak wajahku yang sedih tidak begitu ketara. Putus cinta perkara biasa. Aku cuba meyakinkan hatiku begitu.

"Ifti..." Lembut dan mesra suaranya memanggil namaku seperti selalu. Aku berpaling ke arahnya. Mencari sinar cinta dan kesetiaan di matanya. Seakan-akan tiada lagi semua itu.

Aku kembali tenang dan bersedia menerima apa sahaja keputusannya, sekalipun pahit yang harus aku telan. Pada saat itu tiba-tiba sahaja melintas wajah emak dan abah di mataku. Berbolak-balik hatiku dibuatnya. Adakah aku harus mempertahankan hubungan ini kerana aku tidak tergamak untuk melukakan hati mereka?

"I tak tahu apa yang patut I buat... sana sayang, sini pun sayang... kalau boleh I nak kedua-duanya sekali," ucap Alfredo akhirnya.

Tiba-tiba hatiku marah kepada Alfredo. Tidak sangka dia akan berkata begitu. Aku tahu dari segi material Alfredo memang mampu, tetapi bolehkah Alfredo berlaku adil? Bukan mudah hendak menguruskan dua orang isteri dalam satu masa. Antara aku dengan Juita, yang mana satu akan menjadi keutamaannya? Aku tentulah tidak mahu mengalah dan Juita pula sudah pasti tidak mahu beralah. Tidak ada -toleransi, yang ada cuma bebanan perasaan dan sakit hati.

Aku tak mahu berkongsi kasih! Sudah menjadi prinsip hidupku begitu. Aku mahu dia memilih antara dua. Aku ataupun Juita. Aku lebih rela melepaskan dia pergi. Kali ini aku mengambil pendekatan berupa ugutan pula.

"I sayang you, Ifti," ujar Alfredo sambil cuba meraih ta-nganku kembali, namun aku mengelak. Aku membetulkan duduk dan bersandar agar aku jauh daripadanya.

"Sayang aje buat apa, tapi tak setia," sindirku.

"I minta maaf, Ifti. I tahu you marah... tapi..."

Aku kembali memandang Alfredo, memberi isyarat -bahawa aku ingin mendengar apa sahaja yang ingin -disampaikannya ketika ini. Aku ulang sekali lagi kata-kataku tadi, seakan-akan yakin bahawa Alfredo sudah membuat pilihan.

Namun Alfredo masih diam. Nampak sukar baginya untuk menyusun kata-kata. Mungkin berat persoalan yang menekan di benaknya ketika ini.

"Err... hubungan I dengan dia dah terlalu jauh, Ifti... I tak boleh tinggalkan dia macam tu aje."

Terasa hendak pitam aku mendengar pengakuan Alfredo. Tafsiranku sudah tentulah tentang ketelanjuran mereka atau... ah, entahlah! Tetapi kalaulah benar, aku tidak tahu me-ngapa Juita sampai sanggup menggadai maruah dan harga diri semata-mata untuk mengikat Alfredo agar tidak pergi meninggalkannya? Masya-ALLAH...

“Mengapa you dan Juita sanggup melakukan perkara mungkar? I tak sangka iman you senipis kulit bawang!”

Alfredo diam membisu. Bagaimanapun aku tetap menghargai sikapnya yang tidak berdolak-dalik dan sanggup bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya. Aku tahu itu bukan alasan Alfredo untuk melepaskan dirinya daripadaku. Tetapi kalau sekalipun dia berbohong, aku tidak berasa rugi apa-apa. Cuma aku harus bersiap sedia untuk menghadapi reaksi emak dan abah pula.

Jalan sedang terbuka di hadapanku. Aku ingin -kembali pada realiti. Aku sudah terlalu penat untuk meneruskan hubungan yang langsung tidak memberi apa-apa erti kepada diriku ini. Aku sudah jemu melakonkan watak yang serupa di hadapan semua orang. Selama ini ucapan kata cinta dan -sayang bukannya lahir daripada lubuk hatiku, tetapi -hanyalah di bibir sahaja. Maafkanlah aku, Fredo!

"You tak perlu buat pilihan, Fredo."

Sebaris ayat itu aku ucapkan dalam intonasi suara yang meyakinkan. Aku tahu Alfredo faham maksudku walaupun dia terus membisu. Mungkin hatinya berbelah bahagi. Sebahagian untukku dan sebahagian lagi untuk Juita. Dan keseluruhan hati Alfredo sebenarnya adalah milik ibunya yang sekali gus menentukan siapa juga menantu pilihannya. Aku tahu Alfredo serba salah. Aku juga tahu yang hatinya memang lebih berat kepada Juita. Jadi, akulah yang harus berundur diri.

Parents kita harus faham Fredo. Kita tak boleh setiap masa nakplease dia orang aje... sekarang ni dah libatkan Juita pulak," ujarku. Sengaja aku timbulkan nama Juita pula agar Alfredo lebih yakin bahawa perpisahan antara kami adalah sesuatu yang wajar dan tidak dapat dielakkan lagi.

Alfredo melepaskan keluhan berat. Wajahnya muram. Ah, pandai benar dia hendak meraih simpatiku dengan riak wajah begitu!

"Sebenarnya I dah lama tahu hubungan you dengan Juita. I fikir setakat hubungan biasa aje... tapi hari ni -semua-nya dah jelas." Aku berjeda.

“Kita harus ambil satu keputusan yang muktamad. Hubungan kita berakhir di sini. I rela you memilih Juita. Mungkin antara kita dah ditakdirkan tak hidup bersama. Kita harus redha, Fredo.”

Aku mahu agar Alfredo boleh meneruskan apa juga agenda yang sudah direncanakannya bersama Juita. Lagipun aku bimbang kalau-kalau hubungan yang terlarang itu -membenihkan 'sesuatu' yang tidak sepatutnya. Harapanku biarlah zuriatnya kelak lahir dari ikatan yang sah di sisi agama.

"I boleh terima semua ni Fredo," tambahku lagi.

"Err... tapi... macam mana... err... dengan hubungan kita?" soal Alfredo ragu-ragu. Barangkali dia masih tidak faham atau mungkin masih belum nampak jalan penye-lesaian yang terbaik buat kami. Buat Juita juga selebihnya.

"Hubungan kita sampai setakat ni aje. Jangan fikirkan tentang I... Juita lebih perlukan you," kataku penuh yakin merelakan perpisahan ini.

Alfredo masih termangu-mangu. Mungkin berat hati untuk memutuskan hubungan yang sudah bertahun-tahun terjalin. Tetapi bagi aku, tempoh sebegitu lama tidak boleh dijadikan ukuran. Apalah ertinya ikatan perkahwinan kalau hati kami tidak ikhlas menerimanya.

"Juita perlukan you," ulangku lagi.

"Selama ni pun I rasa kita dah macam adik-beradik se-benarnya, Fredo," luahku ikhlas. Membuka rahsia hati yang selama ini kemas tersimpan.

"Jadi selama ni I bertepuk sebelah tanganlah ya?" Sinis nada suaranya.

Aku serba salah kerana sudah terlepas kata. Sepatutnya, biarlah hakikat itu menjadi rahsia hatiku sahaja. Biarlah dia terus tidak tahu.

Aku juga sebenarnya ikut bertepuk, tetapi mungkin -tepukannya tidak cukup kuat. Tidak dengan sepenuh hati. Kasih dan sayang kepadanya hanya di permuka-an, tetapi tidak sampai meresap jauh hingga ke dasar hati. Selama ini aku cuba sedaya upaya memberi hatiku kepadanya, tetapi hingga setakat itu sahajalah yang termampu.

Masing-masing melayan perasaan sendiri. Agak lama juga kami begitu. Akhirnya, Alfredo memecah kesepian - de-ngan mengucapkan kata maaf. Hubungan kami tidak mencapai matlamat yang disandarkan kepada kami selama ini. Perpisahan ini sudah pasti akan mengecewakan hati keluarga kami. Tetapi inilah jalan penyelesaian yang terbaik.

"Friendship lasts forever, Fredo."

Aku yakin Alfredo cukup faham maksud kata-kataku.

Kami bersetuju untuk mengekalkan hubungan per-sahabatan. Alfredo sudah tentulah pergi mendapatkan Juita, sedangkan aku masih termangu-mangu.

Ketika bangun untuk keluar, aku terpandang Nazmi sedang tersenyum. Dia tidak bersendirian. Aku tidak tahu sejak bila dia berada di situ. Aku membalas senyumannya sambil beriringan keluar dengan Alfredo.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.