Home Novel Cinta Manisnya Cinta di Cappadocia (Manisnya Cinta)
Manisnya Cinta di Cappadocia (Manisnya Cinta)
8/12/2014 11:23:29
64,989
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

4

TELAH aku jangka bagaimana reaksi emak dan abah. Sudah aku kuatkan hati untuk menghadapinya. Kini bukan soal aku de-ngan Alfredo sahaja, tetapi sudah membabitkan Juita pula. Kami sudah membuat keputusan yang terbaik dan aku harus mempertahankannya.

"Memang menolak tuah!" Suara abah kedengaran hampa. Ketika itu aku sekadar mendengar sahaja kemarahan abah yang meluap-luap. Aku sedar memang ramai orang cuba mendekati Alfredo. Mungkin betul juga kata abah yang aku ini sengaja menolak tuah, tapi...

"Lepas ni Ifti takkan jumpa orang yang sebaik Fredo lagi!" Kata-kata emak meng-api-apikan lagi kemarahan abah.

Aku bungkam. Sama sekali aku tidak menduga yang abah dan emak akan marah sampai begitu sekali. Besar -sangatkah kesalahan yang aku buat? Salahkah aku memutuskan -hubungan yang sudah tidak bermakna apa-apa lagi?

Aku yakin di luar sana, ramai lagi orang lain yang sebaik Alfredo. Malah mungkin ada yang lebih baik lagi. Berilah peluang kepadaku untuk membuktikannya. Tetapi -keyakinan ini tidak terluah dalam kata-kata. Aku takut abah akan mencabar aku pula. Buatnya dia memberi tempoh kepadaku membawa lelaki itu di hadapannya, mana aku hendak gagau? Takkanlah hendak main cekup sesiapa sahaja?

Emak pula memang tidak boleh dibawa berunding. Dalam keadaan sekarang ini, dia bagaikan tidak dapat tidak hendak berbesan juga dengan Auntie Azlina. Walaupun kakak Alfredo ada yang masih belum berpunya, tetapi satu-satunya anak lelaki emak pula sudah berumah tangga. Hendak dipadankan dengan Izelea, hatinya sudah tertambat kepada Syahril. Jadi, sandaran harapannya selama ini hanyalah kepada aku sahaja. Kini harapan itu sudah punah...

"Apa abah nak cakap dengan keluarga dia... memalukan betul!" bentak abah lagi.

Aku menelan air liur yang terasa pahit. Terkebil-kebil aku memandang abah. Kemudian aku mengalih pandangan ke arah emak, cuba memohon simpati. Tetapi yang nyata emak tidak di pihakku.

Emak menangis seolah-olah mengharap agar tangisan itu dapat mengubah keputusan yang aku dan Alfredo buat tadi. Sedangkan harapan untuk berkongsi hidup dengan Alfredo memang sudah tidak ada lagi. Alfredo sudah melepaskan aku dari hatinya. Aku juga begitu, tetapi tidak pasti sejak bila. Mungkin selama ini dia langsung tidak ada di dalam hatiku.

"Maafkan Ifti, mak..." pintaku bersungguh-sungguh -sambil cuba memeluknya, tetapi emak menepis tanganku. Emak benar-benar marah dan sedih. Aku dihimpit rasa -bersalah kerana mengecewakannya.

Aku benar-benar rasa sendirian kini. Aku perlu keluar daripada segala tuduhan yang dilemparkan. Aku hendak emak dan abah tahu bahawa apalah gunanya aku berkahwin dengan Alfredo, kalau hatinya men-cintai orang lain dan aku pula tidak mencintainya.

"Dia dah ada orang lain! Takkanlah Ifti nak paksa dia?" Akhirnya aku cuba membela diri. Setakat itu sahaja. Tidak tergamak rasanya mengungkit tentang keterlanjuran me-reka. Biarlah ia terus menjadi rahsia.

Kalaulah abah atau sesiapa sahaja hendak -meletakkan kesalahan itu di bahuku, aku terpaksa terima. Kalau ke-luarga Alfredo menganggap aku mung-kir janji, aku akan pinta -mereka bertanya kepada Alfredo sendiri. Kehadiran Juita adalah bukti yang sejelas-jelasnya bahawa aku tidak -diperlu-kan lagi dalam hidupnya.

"Dah tak ada jodoh... nak buat macam mana?" kataku.

Emak dengan abah harus menerima hakikat ini. Aku yakin hubungan kami yang terputus itu tidak sampai -men-jejas-kan hubungan mereka dengan keluarga Alfredo. - Takkan-lah semata-mata ke-rana kami tidak jadi berkahwin, maka mereka hendak berpatah arang pula. Bukankah soal jodoh pertemuan, rezeki dan ajal maut telah tersurat sejak di Lohmahfuz lagi?

TIGA bulan berlalu dengan begitu pantas. Petang itu selepas pulang dari pejabat, aku unjukkan kepada emak dan abah kad undangan perkahwinan Alfredo dengan Juita, meskipun aku tahu, Auntie Azlina dan Uncle Fahmi sudah meng-undang mereka. Sekadar ingin emak tahu bahawa antara aku dengan Alfredo, kami masih bersahabat.

"Nak pergi ke?" Sinis pertanyaan emak itu. Mungkin emak masih kesal kerana hasrat untuk berbesan dengan Auntie Azlina tidak kesampaian. Tetapi emak tidak boleh mengorbankan aku semata-mata untuk mencapai hasratnya yang satu.

"Eh, orang dah jemput mak, takkanlah tak pergi pulak!" Aku menjawab dengan selamba.

Emak terdiam seketika. Entah apa yang difikirkannya. Agaknya emak bingung memikirkan sikapku yang seolah-olah tidak ada perasaan. Tetapi sungguh ikhlas aku katakan bahawa aku amat mendoakan kebahagiaan Alfredo. Semoga jodohnya dengan Juita berkekalan hingga ke akhir hayat.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.