Home Novel Cinta Manisnya Cinta di Cappadocia (Manisnya Cinta)
Manisnya Cinta di Cappadocia (Manisnya Cinta)
8/12/2014 11:23:29
65,237
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

8

APABILA dikenang-kenangkan, seribu satu macam perkara boleh berlaku apa-bila menyentuh soal nikah kahwin ini. Ada yang bertunang bertahun-tahun, tetapi akhirnya tidak jadi kahwin. Ada pula yang 'terkahwin' dan tidak kurang pula yang dipaksa kahwin. Ada pula yang beberapa hari lagi hendak kahwin, tiba-tiba terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan kerana berlaku kejadian yang tidak diduga. Yang lebih haru, ada pula bakal pengantin yang meninggal dunia pada hari pernikahan. Persiapan untuk majlis perkahwinan akhirnya bertukar menjadi kenduri tahlil untuk arwah.

Aku teringat kepada Kak Raina dan majlis perkahwinannya. Pagi itu tiba-tiba sahaja Kak Raina muncul di pejabat walaupun dia sepatutnya sudah bercuti. Hari -pernikahannya empat hari sahaja lagi akan menjelang. Aku yakin ada se-suatu yang tidak kena apabila aku melihat matanya yang bengkak dan merah.

"Kenapa kak?" Akhirnya aku memberanikan diri ber-tanya. Manalah tahu jika dia memerlukan seseorang untuk berkongsi cerita atau mencurahkan perasaan. Aku semakin panik apabila dia tiba-tiba menangis dan berlari-lari anak menuju ke bilik air. Sofie yang kebetulan baru sampai tercengang-cengang.

Setelah seketika, barulah aku menurutinya. Bimbang juga membiarkan dia bersendirian dalam keadaan begitu. Kak Raina masih teresak-esak ketika aku mengusap-usap bahunya. Aku membiarkan dia terus menangis. Biarlah segala keresahan di jiwanya luruh bersama air mata.

"Akak tak jadi kahwin." Suara Kak Raina hiba.

"Tak jadi kahwin?" Aku mengulang sebut ayat itu perlahan. Spontan aku memahami beban penanggungan di jiwa Kak Raina.

Dalam sebak Kak Raina mengulang sebut ayat itu sekali lagi. Kak Raina menangis kerana dia tidak jadi kahwin. Bermakna segala persiapannya selama ini sia-sia sahaja.

Aku segera teringat kepada Esma, tunangannya. Pemuda itu pilihan hati Kak Raina dan aku tidak mahu -memberi komen apa-apa, walaupun aksinya kadang-kadang -melucu-kan. Aku merasakan Esma seolah-olah tidak -berpijak di bumi nyata. Dia nampaknya seperti orang sedang berkhayal sahaja lagaknya. Aku tidaklah berani hendak mengutuk lebih-lebih ke-rana bimbang pula 'bahagian' aku nanti. Entah-entah lebih teruk daripada Esma yang selalu nampak lucu -apabila -mulutnya melopong ketika mendengar kami bercerita. Sepatah perkataan yang kerap meluncur daripada mulutnya ialah'is it.' Lembut sahaja dia menuturnya sehingga-kan -akhirnya frasa itu menjadi bahan gurauan kami, walaupun frasa yang sebetulnya ialah'isn't it'.

Kak Raina menangis hiba di hadapanku tanpa silu. Aku menghulurkan kertas tisu kepadanya. Tidak cukup, aku beri lagi dan akhirnya satu gulungan kecil itu aku hulurkan kepadanya. Dia memang menangis bersungguh-sungguh, siap dengan menghembus hingus sekali.

"Dia cakap dia tak nak kahwin dengan akak."

Kali ini Kak Raina tidak berselindung lagi. Aku meng-angguk-angguk sahaja dan terus memberi ruang kepadanya untuk meluahkan apa sahaja. Tentulah sedih apabila orang yang selama ini diharapkan untuk menjadi suami tiba-tiba berubah hati. Lebih haru lagi majlisnya tidak sampai se-minggu lagi.

Aku memberikan sedikit nasihat agar dia bersabar dan membanyakkan istighfar. Selain daripada itu aku tidak -berani, kerana bimbang akan memberi 'ajaran sesat' pula.

"Pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak hendak, akak lagi tak hingin!" Tiba-tiba Kak Raina menghamburkan kata-kata itu penuh geram.

Ewah, dalam keadaan begini pun sempat lagi Kak Raina berpantun? Aku yakin Kak Raina sudah berada di puncak kemarahan yang tidak terhingga kepada Esma.

Cakaplah apa sahaja kak, Esma tak ada kat sini. Bisikku dalam hati. Aku sudah maklum perangai Kak Raina. Cuba Esma berdiri di hadapannya, dia akan cair macam air batu yang dibalut dalam kertas surat khabar. Sekejap sahaja di--pujuk, marahnya akan cepat reda.

"Lelaki tak sedar diri!" kutuk Kak Raina lagi.

Sementara hati tengah marah, kesat sahajalah -bahasa-nya. Aku memandang Kak Raina dan membandingkan dia dengan Esma. Terbayang di mataku wajah Esma dengan matanya yang kuyu macam orang tidak cukup tidur. Gaya berjalannya pula lemah longlai sahaja macam tiga hari tidak makan nasi. Aku pun tidak tahu macam mana Kak Raina boleh jatuh hati kepadanya.

Tetapi inilah ajaibnya cinta. Cinta itu buta dan cinta tidak mengenal engkau siapa, aku siapa. Apabila sudah ditusuk panah cinta, jiwa dan raga sanggup diserahkan. Tidur dan baring semuanya menjadi serba tidak kena. Hanya wajahnya yang terbayang di ruang mata. Agaknya inilah perasaan yang memalu hati dan jiwa Kak Raina sehingga dia tidak kisah walaupun Esma begitu. Satu hal yang aku amat pasti ialah, Kak Raina memilihnya bukan kerana harta ke-rana setahu aku motosikal pun Esma tidak ada. Ke hulu ke hilir dia memandu kereta Kak Raina, sementelah pula Kak Raina tidak tahu memandu.

Aku pun tidak pasti apa kerjanya. Cuma Kak Raina kata, Esma membuka agensi pengiklanannya sendiri. Aku pun tidak dapat membayangkan bagaimana Esma menguruskan syarikatnya. Yakinkah orang hendak berurusan dengannya kalau setiap masa aku nampak dia melopong sahaja macam orang tidak tahu apa-apa.

Don't judge a book by its cover.Aku segera kembali pada hakikat bahawa menilai diri seseorang bukanlah dari luarannya sahaja. Kak Raina sudah tentulah tahu hati budi Esma, maka separuh mati dia menyayanginya. Tidak ada apa yang boleh mengubah pendirian Kak Raina, biarpun kami di pejabat menganggap Kak Raina boleh mencari seseorang yang sepuluh kali lebih baik daripada Esma. Tetapi, kalau Kak Raina sudah bulat hati hendak berkahwin dengan Esma, tentulah dia hendak Esma juga. Memang menolak tuah betul Esma ini!

"Dia ingat muka dia tuhandsome sangat sampai akak tergila-gila pada dia! Muka macam tu, sekali akakclick, se-puluh orang mari tau!" Kak Raina memetik ibu jari dan jari manisnya dengan riak wajah penuh geram.

Aku mengangguk sahaja kerana sedar Kak Raina hendak melepaskan rasa kecewa dan marah yang terbuku di hatinya. Kini yang jelas hilang sudah segala yang baik-baik tentang Esma yang selama ini selalu dicanangkannya. Orang tengah marah, perkara yang selama ini di-simpan sebagai rahsia, kini sudah bukan rahsia lagi.

Tangisan Kak Raina kini sudah benar-benar reda. Aku menarik nafas lega. Bukan aku memujuk, tetapi sekadar mendengar dia meluahkan rasa hati. Aku mahu Kak Raina sedar bahawa dia masih ada kawan-kawan untuk bercerita dan berkongsi suka dukanya.

Aku meneruskan kerja seperti biasa setelah meletakkan secawan Milo panas di atas meja Kak Raina. Sofie yang agakbusybody segera datang ke mejaku. Aku memberi isyarat supaya dia berlalu. Sekalipun hendak mendengar cerita, aku perlu memilih waktu yang sesuai. Bagi aku, kisah sedih yang baru sahaja dialami oleh Kak Raina bukanlah cerita sensasi yang patut dijaja.

Aku terpaku apabila dari sebalik daun pintu yang -terkuak, aku ternampak Esma. Aku tahu tujuan kedatangannya sudah tentulah kerana mencari Kak Raina. Takkanlah dia hendak cari orang lain pula. Hendak bertanya apa-apa, nampak benar pula aku sudah tahu hal mereka. Melihatkan Esma yang se-olah-olah tidak tentu arah dan berdiri sahaja di muka pintu, aku menjenguk ke meja sebelah.

"Esma datang cari akak," bisikku pada Kak Raina.

Namun Kak Raina tidak mengendahkan, -walaupun aku tahu dia mendengarnya. Dia masih terpaku di -tempat duduknya. Hatiku berdebar-debar apabila Esma berjalan -melewati mejaku.

Silap-silap haribulan adashooting drama ni, bisikku dalam hati dan memandang Sofie dengan wajah bimbang. Kami saling mengangkat bahu.

Aku memasang telinga. Tidak pula aku mendengar suara Kak Raina menyuruh Esma pergi. Kalau tadi bukan main lagi berapi-api marahnya. Kini apabila Esma di depan mata, pijak semut pun tidak mati. Hatiku tidak dapat menahan diri daripada terus mencuri dengar.

"I nak minta maaf." Terdengar lembut suara Esma.

Hai, kalau memujuk rayu, lembut gigi dari lidah!

"I nak gurau aje... takkanlah I nak batalkan majlis kita," tambah Esma lagi. Kali ini suaranya semakin perlahan.

Ewah, pandai pulak mamat ni mengayat! Kak Raina pun satu, tak sepatah kata pun aku dengar daripada mulutnya. Sudah kelu lidah agaknya.

Sepi seketika. Kemudian aku mendengar suara Esma yang sebak. Entah apa yang diucapkan aku pun tidak tahu, tapi yang pasti Esma sedang menangis.

Eei, tak malu betul... menangis di khalayak pulak tu! Sesungguhnya begitu hebat sekali penangan cinta Kak Raina. Tidak cukup de-ngan pujuk rayu, Esma sampai -menitiskan air mata pula. Hai, tak lembutkah lagi hati Kak Raina -mendengar tangisan Esma? Bukankah air mata seorang lelaki terlalu mahal harganya?

Aku meletakkan jari telunjuk di atas bibir apabila Sofie tiba-tiba duduk di sebelahku.

"I still loving you... I still loving you, Raina." Terdengar Esma merayu-rayu dalam sebak.

Kata-kata cinta yang dilafazkan oleh Esma terdengar lucu. Tentulah dalam fikiran yang sedang berserabut, Esma sampai tidak sedar ucapan cinta dalam bahasa Inggeris yang diucapkannya itu lintang-pukang nahunya. Aku dan Sofie menekup mulut menahan ketawa. Lama juga kami -men-dengar mereka bercakap-cakap selepas itu.

Kami pura-pura sibuk membelek itu ini di atas meja -apabila Esma dan Kak Raina berjalan seiringan di hadapan kami sambil tergelak-gelak. Tak salahlah andaian yang aku buat tadi. Eee... tak faham betul!

Akhirnya Kak Raina dan Esma bernikah juga. Tetapi yang membuat-kan Kak Raina dan seluruh ahli keluarganya sebak dan kelam-kabut adalah kejadian yang berlaku pada hari mereka hendak menyembelih lembu. Tidak ada siapa yang menduga, lembu yang sejak seminggu dibeli, dijaga makan minum dan ditambat di pangkal pokok kelapa telah mati ke-rana terjerut lehernya.

Masing-masing pun mulalah membuat pelbagai teori dan andaian. Aku pun tidak faham macam mana kejadian ini boleh berlaku. Lembu tu pulak macam tidak sudi sahaja -dirinya menjadi santapan tetamu yang datang ke majlis -kenduri kahwin Kak Raina dan membunuh diri pula!

Sesungguhnya segala yang terjadi termasuklah juga soal jodoh pertemuan, ajal maut dan rezeki adalah di tangan ALLAH. Segala-galanya sudah tersurat dan tertulis sejak dari azali. Jodohku juga begitu. Tapi siapa? Bilakah dia akan datang kepadaku?

Ah, entahlah! Terlalu banyak persoalan yang tidak ku--temui jawapan.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.