Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 31

“HAI, Abang seri!”

Tiba-tiba sahaja Safi muncul di hadapan Idan. Wajahnya bercahaya bak bulan purnama mengambang penuh.

Idan yang sedang leka meneliti dokumen projek terus tersentak. ‘Tiada ketukan pintu, malah pintu juga tertutup sejak tadi. Bagaimana dia masuk?’ Dia tertanya sendiri.

“Abang tahu tak? Saya boleh nampak bagaimana rupanya hati abang,” tutur Safi. Senyuman manis turut terukir di bibirnya.

Idan terkebil-kebil dengan apa yang gadis itu lontarkan. Sudahlah kehadirannya entah dari mana, selepas itu, boleh pula berbicara yang bukan-bukan di hadapannya?

“Ini hati saya, abang boleh nampak, kan? It fits yours, perfectly. Take it, make it yours and I will keep your heart safely within me.” Safi berbahasa Inggeris pula.

Idan semakin pelik. Safi ini baru keluar dari rumah sakit jiwa ke? Begitupun hatinya turut bergetar saat mendengar ayat yang diucapkan.

“Tak percaya?” sambung Safi lagi.

Lama Idan memandang gadis itu sebelum dia dikejutkan dengan ketukan meja yang agak kuat.

“Idan… kau okey ke?” tegur Zahim yang sedikit cemas dengan kelakuan lelaki itu sebentar tadi.

“Hah?” Idan terpinga-pinga. Matanya meliar memandang sekeliling.

“Kau ni dah kenapa?” tanya Zahim lagi.

“Eh, mana pulak perginya perempuan tu?” tanya Idan pula. Dia masih tercari-cari kelibat Safi yang tiba-tiba sahaja lenyap dalam sekelip mata.

“Kau cakap pasal perempuan mana ni?” Zahim semakin pelik dengan gelagat Idan.

“Safilah, siapa lagi?” jawab Idan, sedikit keras nada suaranya.

“Hari ni dia cuti, kau mengigau ke?”

Lama Idan memandang Zahim. Sebaik tersedar, dia mengucap panjang dan meraup wajahnya berkali-kali.

“Aduhai… aku ingatkan Safi tu aje yang angau dengan kau. Rupanya kau pun dua kali lima dengan dia!”

Zahim mengurut dada. Tadi dia berasa cuak juga sewaktu melihat keadaan Idan. Bagaikan orang kena pukau pula. Terasa berdiri bulu romanya.

“Mana ada!” Idan berpura-pura sibuk dengan membuka fail projek.

“Habis tu, tadi tu apa?” Zahim tersengih. Dalam keadaan begini pun si Idan ini masih mahu mengelak.

“Entah!” jawabnya sepatah.

“Mana boleh entah-entah? Ni mesti ada apa-apa.”

“Kebelakangan ini fikiran aku memang serabut.” Hanya itu alasan yang mampu Idan berikan. Sebenarnya, dia pun tidak pasti apa yang berlaku sebentar tadi.

“Kau teringatkan dia ni,” usik Zahim.

“Kau jangan nak mengarut, ya?”

“Kau tak rasa ke yang Safi tu sebenarnya sedang beri perhatian kat kau?” duga Zahim.

“Perhatian apa?” soal Idan pula, berlagak seperti tidak faham.

“Susah betullah bercakap dengan plywood kayu-kayan ni!”

“Amboi, sesedap mulut kau aje nak mengutuk aku!” marah Idan.

“Bukan aku yang beri gelaran tu. Aku terdengar Safi gelar kau macam tu masa bergosip kat pantri,” jelas Zahim. Memang dia terpaksa menahan gelak ketika pertama kali mendengarnya.

“Sempat pulak kau mengintip dia orang tu?” sindir Idan.

“Aku tak intip, cuma terdengar.”

“Apa lagi yang kau dengar?”

‘Mahu tahu pulak si Idan ini. Ingatkan tidak mahu peduli,’ getus Zahim.

“Aku tanya ni, apa lagi yang kau dengar?” ulang Idan apabila Zahim membisu pula.

“Macam-macam, yang pasti Safi tu memang ada hati kat kau.” Zahim beritahu apa yang dia rasa dari pemerhatiannya sejak dua menjak ini.

“Ada hati dengan duit aku, adalah!” balas Idan pula.

“Idan, Idan… percayalah cakap aku, bukan duit mahupun kemewahan yang Safi kejar,” tutur Zahim macamlah tahu sangat isi hati gadis itu.

“Mana kau tahu? Bukan itu ke yang kebanyakan perempuan nak?”

You might think she wants you car, your money and gifts. But the right woman wants your time, your smile, your honesty, your effort and you choosing to put her as a priority.” Panjang lebar pula bicara Zahim.

“Huh! Ayat siapa pulak yang kau sebut tu?” perli Idan.

“Kenapalah kau ni kayu sangat? Keras dan bagai tak ada perasaan langsung?” Geram betul Zahim dengan sepupunya ini.

“Boleh tak, kalau kau tak cakap berbelit-belit?” marah Idan pula.

“Kau ni dah hilang rasa cinta ke? Kesiannya aku dengan kau ni,” keluh Zahim.

“Kau nak cakap apa sebenarnya?” Wajah Zahim dipandang serius.

“Cinta itu apabila hati disentuh pada suatu yang tak pernah kau rasa. Satu hari nanti kau akan faham apa yang aku maksudkan.” Zahim menyebut ayat yang pernah Safi ucapkan ketika bersembang dengan Ina.

“Tak payah nak buat ayat jiwang dengan akulah! Berbulu telinga mendengarnya.” Seketika Idan memejamkan matanya.

“Safi sukakan kau. Takkan itu pun kau tak boleh nak nampak?” tegur Zahim.

“Sukakan aku? Safi tu tak habis-habis buat aku sesak nafas,” keluh Idan.

“Itulah cinta! Ia buat kau tak keruan. Buat kau asyik fikir pasal dia! Macam tadi tu ha, sampai mengigau!” balas Zahim kemudian ketawa kecil.

“Kalau dia cintakan aku pun, itu cinta yang dirancang,” bidas Idan pula.

“Kau silap. Cinta tidak boleh dirancang! Kita tak boleh tentukan bila ia patut hadir. Cinta jugak tak boleh dibeli dengan wang ringgit,” ujar Zahim, menafikan tuduhan Idan terhadap Safi.

“Kau tak ingat ke, apa dia pernah cakap depan kita berdua?” Idan mengingatkan Zahim sewaktu temu duga dahulu.

“Bila tengah marah, macam-macam perkataan boleh keluar, Idan. Takkan itu pun kau nak ambil hati?”

“Aku siang-siang lagi dah boleh baca apa niat budak perempuan tu,” ujar Idan dengan yakinnya.

“Dia bukan budak, ya? Safi tu terlebih layak untuk diambil sebagai isteri,” tekan Zahim.

Whatever! Aku dah boleh agak pelan dia. Buat aku jatuh cinta kat dia. Bila aku tergoda dan nak kahwin dengan dia, confirm dia suruh mak bapak dia tolak. Lepas tu bolehlah dia canang satu dunia dan gelakkan aku.”

“Tengok, kau masih tak tahu siapa dia yang sebenarnya.” Zahim melepaskan keluhan.

“Percayalah cakap aku. Itulah yang akan dia lakukan untuk balas dendam dekat aku.”

“Dendam apanya? Dia takkan buat macam tu.” Zahim memang tidak suka Idan berprasangka begitu.

“Mana kau tahu?”

“Kau tak pernah pun nak peduli pasal orang lain, kan? Untuk pengetahuan kau, perempuan yang kau panggil budak tu, dah tak ada mak bapak!”

Idan terkedu memandang Zahim.

“Dia anak yatim piatu, Idan! Kalau kau ambil dia jadi isteri kau, banyak pahala kau dapat.”

Idan tidak membalas. Sekadar melepaskan pandangan ke luar tingkap biliknya. Baru teringat yang Hajar juga pernah beritahu perkara yang sama ketika dia pertikaikan tindakan kakaknya mengambil Safi sebagai stafnya.

“Cuba berfikiran positif sikit. Dia rapat dengan kakak dan umi kau sebab nak tumpang kasih. Mak dia meninggal tak lama selepas dia dilahirkan,” cerita Zahim lagi.

“Mana kau korek cerita ni?” tanya Idan. Nada suaranya sudah mengendur.

“Nak kenal orang bukan susah. Sekarang ni zaman IT, kau boleh aje tahu banyak perkara bila membaca status yang dipos di Facebook. Senang aje nak menilai ayat-ayat yang ditulis,” ujar Zahim.

“Hmm… bila pulak kau berkawan dengan dia kat Facebook? Banyak pulak masa kau?”

“Aku tak perlu berkawan dengan dia di Facebook untuk tahu semua tu. Nak tahu tentang seseorang, tanyalah kawan baik dia,” bidas Zahim. Dia cukup tidak suka apabila Idan asyik menyindirnya sejak tadi.

Idan kembali senyap.

“Aku ingatkan Jauhari mengenal Manikam. Rupa-rupanya, Idan Jauhari depan aku ni hanya kenal Maniam, Pak Guard tu aje!” Giliran Zahim pula menyindir Idan.

Idan tidak membalas apa-apa. ‘Teruk sangatkah aku ni?’ bisiknya sendiri.

Previous: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.