Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 21

HARI ini, Safi datang lagi ke rumah Umi Hasnah. Minggu lepas dengan nasi beriani, tetapi kali ini dia berlenggang-kangkung sahaja.

Sewaktu tiba di rumah Umi Hasnah, baru Safi perasan ada motor lama Honda C70 di garaj sebelah kanan. Tempoh hari tidak nampak pula. Motor itu dipandang lagi. ‘Sah-sahlah abang seri yang pakai motor ni, takkan Kak Hajar kut?’ Safi tersenyum sendiri.

Sungguh dia tidak menyangka Idan sanggup menggunakan motor itu. Kalau orang lain, rasanya sudah campak motor itu ke dalam lombong. Tak pun, sudah dijual kepada tauke kedai besi buruk. Namun, dia sedikit pelik kerana nombor platnya bukan seperti plat kenderaan yang sudah berusia berpuluh tahun.

“Itu motor arwah suami umi,” beritahu Umi Hasnah sebaik menyedari Safi asyik menelek motor lama itu.

“Oh!” Safi berasa segan sebaik menyedari Umi Hasnah telah lama memerhati gelagatnya. Nasib dia hanya mengutuk Idan dalam hati sahaja. Kalau tidak, memang dia tiada harapan langsung jadi menantu Umi Hasnah!

“Umur motor tu pun sama dengan umur Idan. Sayang betul dia dengan motor tu,” beritahu Umi Hasnah lagi. Tiba-tiba terkenang pula sewaktu Idan kecil dahulu. Anaknya itu suka sekali dapat membonceng motor itu. Tiap-tiap hari Idan akan mengikut arwah suaminya ke surau untuk bersolat maghrib dan isyak.

“Dia bawak ke mana motor tu, umi?”

“Tak ke mana pun. Sejak arwah tak ada, kalau pergi masjid kat depan tu, dia mesti naik motor ni.”

“Tak segan pulak dia guna motor tu?” tanya Safi lagi, sedikit hairan. Andai dirinya, memang dia tidak sanggup!

“Tulah, pernah jugak umi tegur. Katanya, selagi boleh guna, dia akan bawak pergi masjid. Dapat jugak bagi pahala kat arwah ayah.” Umi Hasnah sedikit sebak ketika menuturkannya.

Safi terdiam dengan jawapan yang Umi Hasnah berikan. ‘Astaghfirullahalazim…’ Dia segera beristighfar dalam hati sebaik menyedari kesalahan diri. Punyalah sesuka hati mengutuk Idan, padahal lelaki itu mahu menjadi anak yang berbakti kepada orang tuanya.

“Eh, marilah kita masuk. Anak Hajar pun ada, boleh umi kenalkan,” ajak Umi Hasnah.

“Yalah.” Safi mengekori Umi Hasnah masuk ke dalam rumah.

“Mariam, meh jumpa Kak Safi.” Umi Hasnah memanggil cucu tunggalnya.

“Ya nek. Ooo… inilah Kak Safi yang nenek selalu cerita tu. Cantik,” puji Mariam sambil menyalam tangan Safi.

“Ni anak Kak Hajar, ya?” tanya Safi sambil mengukir senyuman.

“Yup. Nama panjang Mariam Awadah, tapi akak boleh panggil Mariam aje.”

“Eh, nama kedua kita serupalah! Kenapa Kak Hajar tak pernah cakap pun kat Safi?” Safi menoleh memandang Hajar yang turut ada bersama.

Hajar senyum sahaja.

“Mama sengaja nak beri kejutan kat kita berdualah tu!” sampuk Mariam.

“Kalau awal-awal dah beritahu, tak seronoklah. Kan, umi?” Hajar menjeling uminya pula.

“Betul tu. Nama korang berdua memang sedap dan maksudnya pun bagus. Semoga jadi wanita yang solehah, lembut dan baik-baik aje,” tutur Umi Hasnah.

“Dengar tu Mariam, apa yang nenek cakap kena semat dalam jiwa,” pesan Hajar kepada anaknya.

“Ya, mama... Mariam akan cuba jadi anak solehah dan sentiasa mendengar kata,” ucap Mariam sambil memeluk bahu mamanya.

“Hari ini umi nak masak istimewa sikit. Safi dengan Mariam kena tolong, sambil tu boleh belajar sekali.”

Bestnya dapat masak ramai-ramai kat rumah umi.” Safi menyatakan kegembiraannya. Ingatkan kenapalah Hajar suruh datang ke rumah, walhal hari ini dia juga tidak masuk pejabat. Sekarang baru Safi tahu sebabnya. Selain dapat berkenalan dengan Mariam, dapat belajar resipi umi dan makan sedap-sedap!

“Safi selalu masak kat rumah?” tanya Umi Hasnah sambil mengeluarkan bahan mentah dari peti sejuk. Bahan-bahan lain sudah tersedia di atas meja.

“Tak jugak umi. Balik kerja dah penat. Tunggu hari minggu baru masak. Hari lain memang makan kat kedai.” Safi berterus-terang sahaja. Kalau sempat masak pun setakat goreng ikan dan buat telur dadar sahaja. Sayur memang tak masaklah, sekadar timun dan tomato dibuat ulam. Itu kira sudah habis rajin!

“Umi faham, tapi lagi bagus kalau dapat masak kat rumah. Makan kat kedai, entah apa ramuan yang dia orang pakai,” nasihat Umi Hasnah.

“Umi tu bercakap bukan main, tapi selalu jugak order beriani kambing!” perli Hajar pula.

“Itu lain, umi bukan makan hari-hari.”

“Tak hari-hari, apanya? Dalam seminggu tiga empat kali jugak umi makan.”

“Umi cuit aje pun, selebihnya anak-anak umi yang makan,” dalih Umi Hasnah.

Safi senyum sahaja mendengarnya. Terasa diri sebahagian dari keluarga ini apabila bersama begini. “Hari ini kita nak masak apa, umi?”

“Hari ni kita buat daging masak hitam dengan ayam masak merah. Resipi umi lain sikit, memang rasanya tak sama macam kat restoran.”

“Kak Safi dah tak sabar nak tahu resipi nenek. Cepatlah mula,” sampuk Mariam pula.

“Resipi ni kena tulis, lain kali boleh rujuk. Mariam tukang catat,” arah Umi Hasnah.

“Amboi umi… sebelum-sebelum ni bukannya nak turun ilmu kat Hajar. Tak aci betullah umi ni!” usik Hajar.

“Aci tak aci! Dah anak cucu ada sekali, masa nilah boleh kongsi resipi,” balas Umi Hasnah pula. Tahu anaknya sekadar mahu bergurau dan tidak bermaksud apa-apa.

Umi Hasnah memang gembira sekali dapat berkumpul dengan anak cucu dan insya-ALLAH bakal menantu juga. Kerja yang leceh dan remeh akhirnya dapat disempurnakan dengan lebih cepat apabila ada yang tukang bantu. Menjelang pukul satu, daging masak hitam dan ayam masak merah siap sedia untuk dihidangkan.

Sementara Safi dan Mariam mengemas dapur dan membasuh pinggan mangkuk yang digunakan tadi, Umi Hasnah masuk ke bilik. Dia mahu menukar baju kerana berasa tidak selesa. Tadi, ada rempah yang terkena bajunya.

JAM satu petang, Idan sudah tiba di rumah. Hari ini dia makan tengah hari di rumah untuk memenuhi permintaan uminya. Baru sahaja membuka pintu utama, bau masakan uminya sudah menusuk ke hidung. Perut yang lapar memang sudah tidak tertahan. Tanpa berlengah, dia terus menjejakkan kaki ke ruang dapur.

Tiba-tiba wajah Idan sudah berubah. Dia segera mengheret tangan Hajar keluar dari dapur. Safi yang tidak perasan kehadiran Idan meneruskan kerjanya. Selesai membasuh pinggan, dia mengelap dapur pula.

“Sakitlah!” marah Hajar sambil merentap tangannya dari pegangan Idan.

“Kanapa Safi ada kat rumah ni?” soal Idan tanpa berbasa-basi.

“La, sebab tu aje?” Hajar buat muka tidak bersalah.

“Akak tak jawab lagi soalan Idan!” marahnya.

“Umi yang ajak dia makan tengah hari kat sini,” beritahu Hajar.

“Saya tak suka akak bawak orang luar datang ke rumah!” tutur Idan. Kakaknya ini memang suka sangat buat perkara yang dia tidak gemar.

“Peduli apa akak? Janji akak dan umi suka,” balas Hajar pula. Sengaja menaikkan darah adiknya.

“Huh!” Idan mendengus dan terus menuju ke pintu utama. Sebaik ternampak Safi di dapur, terus hilang seleranya.

“Baru sampai, dah nak keluar pulak?”

“Idan nak balik ofis. Kenyang!”

“Umi masak makanan kegemaran arwah ayah tau!” sebut Hajar, namun Idan sudah masuk ke dalam keretanya.

Hajar mengeluh, nasib umi tidak menyedari kepulangan Idan.

Akhirnya hanya mereka berempat sahaja menjamu selera dengan resipi istimewa Umi Hasnah. Walaupun sedikit terkilan, Umi Hasnah tetap gembira. Makan malam nanti masih boleh makan bersama anak bujangnya itu.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.