Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 4

SEDIH, hari ini Safi memang berasa sungguh sedih. Andai ditanya perasaannya ketika ini, sungguh tiada jawapan lain. Baru sahaja mahu mengimpikan kehidupan yang lebih bermakna dengan insan yang disayangi, kini dia terpaksa melupakan segalanya. Selepas ini, tiada lagi panggilan rindu mahupun ucapan-ucapan yang sering menyeri hidupnya.

Sepatutnya dia yang duduk di sebelah Arif Zikri, lelaki yang dikenali sejak sekian lama. Lelaki yang telah mencuri hatinya tanpa perlu bersusah payah. Namun, saat ini dia terpaksa memandang lelaki itu dari kejauhan. Dia bukan jodohnya. Mulai detik ini, kasih di hati juga akan bertukar status. Tiada lagi istilah kekasih hati.

Selesai majlis persandingan di rumah pusaka orang tua Arif Zikri, Safi mengambil tempat di buaian di tepi sudut rumah. Pokok bunga tanjung yang rendang telah melindunginya dari terkena pancaran cahaya matahari. Lama juga dia sendirian menyelami perasaan sendiri. Cuba membuang kenangan yang dahulunya menghiasi kamar hati.

“Hmm… buat apa sorang-sorang kat sini?” tegur satu suara.

Safi segera menoleh pada yang bersuara. Segaris senyuman terus terukir. “Saja ambil angin kat luar. Nak tolong kat dapur, tak ada apa yang hendak dibuat.” Safi sekadar membalas pertanyaan Arif Zikri.

Kenduri kahwin Arif Zikri dan Aisarah, diuruskan oleh emak saudara Arif Zikri. Saudara-mara juga ramai yang membantu dalam melicinkan perjalanan majlis. Dia memang tidak perlu bersusah hati fikir pasal hal kenduri. Bos katering yang menyediakan makanan adalah sepupunya juga, lagilah memudahkan segala urusan.

“Boleh kita berbual?” tanya Arif Zikri sambil menarik kerusi plastik lalu duduk.

“Abang ni… macam tak biasa pulak!” ujar Safi sambil membuang pandang pada pekerja katering yang sedang mengemas meja dan membuang sampah.

“Sebenarnya, abang tak terfikir langsung semua ini terjadi pada kita...” keluh Arif Zikri. Dia juga turut memerhati pekerja katering yang ligat sahaja membuat kerja masing-masing. Tadi mereka sibuk menghidang, kini sibuk mengemas pula.

“Nak buat macam mana? Anggap ajelah yang kita ni sememangnya tiada jodoh,” balas Safi. Dia sendiri tidak tahu hendak kata apa. Apa yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Andai tidak dalam masa terdekat, suatu hari nanti dia akan dapat jawapan kenapa TUHAN menguji dirinya begini.

“Abang risaukan Safi. Diri abang tak kisah sangat,” beritahu Arif Zikri pula.

“Abang jangan risau, Safi pandai jaga diri.” Cepat-cepat Safi beritahu dirinya okey sahaja dengan apa yang terjadi.

“Itu abang tahu, tapi Safi pun kena cepat-cepat cari pengganti. Kena lupakan semua perasaan yang pernah wujud antara kita,” nasihat Arif Zikri.

“Safi akan cuba. Abang pulak, janji akan jaga Kak Aisarah baik-baik,” pesannya.

“Insya-ALLAH… dia dah jadi amanah dan tanggungjawab abang.”

“Kena sayang dia lebih dari Safi…” tekan Safi lagi. Dia benar-benar maksudkan dan bukan sekadar di bibir sahaja.

“Dah jadi isteri abang, macam mana pun abang kena sayangkan dia jugak,” balas Arif Zikri.

“Tak bolehlah macam tu! Abang kena ikhlas dan bukan kerana terpaksa. Dia sanggup berkorban demi kita. Tolong ingat sampai bila-bila,” tegas Safi. Nada suaranya juga menjurus kepada arahan yang patut ditunaikan.

“Ya, abang takkan mungkir janji abang pada Safi,” janji Arif Zikri.

“Kalau abang lukakan hati dia, siap abang!” ugut Safi. Walaupun perasaan sebak tiba-tiba sahaja menyerangnya, dia cuba untuk melindunginya.

Arif Zikri tertawa mendengarnya. “Ada-ada saja Safi ni!”

“Abang jangan gelak! Besar tau tanggungjawab abang.” Safi mengingatkan walaupun dia amat pasti Arif Zikri seorang yang bertanggungjawab dan akan mengotakan janjinya.

“Safi jugak tanggungjawab abang,” ujarnya penuh makna. Amat berharap Safi faham maksudnya.

“Safi lain. Safi masih ada Tok Wan…” Saat itu juga Safi rasa mahu terus terbang ke Kedah. Mahu meluahkan segala yang dirasa kepada Tok Wan.

“Tok Wan kat Kedah, di sini Safi tak ada sesiapa.” Wajah Safi direnung sejenak. Sedar betapa gadis yang pernah bertahkta di hatinya sedang melawan rasa sedihnya.

“Boleh tak, abang jangan risau sangat? Safi dari kecil lagi sudah diajar untuk berdikari,” ujar Safi yang tidak mahu Arif Zikri terlalu mengambil berat tentang dirinya.

Dia bukannya budak hingusan yang kurang ilmu dan pengalaman di dada. Setakat hidup sendiri di perantauan bukanlah masalah besar sangat. Tapi itulah, apabila perkara yang melibatkan perasaan, tetap kena pendam sendiri.

“Lega hati abang mendengarnya.”

“Abang pergilah berehat. Rasanya Kak Aisarah ada kat dalam,” suruh Safi. Andai ada yang nampak mereka berdua di situ, rasa tidak sedap hati pula. Bukan semua orang tahu apa sebenarnya terjadi antara dirinya dan Arif Zikri.

“Yalah.” Arif Zikri bangun dan melangkah longlai menuju ke rumah. Seketika dia menoleh ke arah Safi yang masih duduk di buaian. Bukan sesuatu yang mudah untuk melalui kehidupan seterusnya. Bertambah payah untuk membuang dan melepaskan gadis itu pergi dari sudut hati.

Di ambang pintu, Aisarah mengukir senyuman buat lelaki yang telah menjadi suaminya. Selepas berkali-kali solat istikharah dan mohon pertunjuk, akhirnya dia pasrah dengan ketentuan takdir.

Arif Zikri turut membalasnya. Spontan, dia meraih tangan Aisarah lalu dibawa ke bibir dan dikucup lembut. Seperti isterinya, dia juga menerima segala yang terjadi dengan lapang dada. Diri tidak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling mencintai. Sebaliknya akan berkahwin dengan jodoh yang telah ALLAH tentukan sejak azali.

“Percayalah, mulai saat kita diijab kabulkan, hati abang hanya milik Aisarah seorang…” ucapnya dan membawa Aisarah ke dalam pelukan. Langsung tidak mempedulikan pada tetamu yang masih belum beransur pulang.

Aisarah membalas pelukan suaminya dengan perasaan amat terharu. Bersama lelaki ini dia akan mengharungi liku-liku kehidupan. Dia sudah pasang niat untuk menjadi isteri solehah dan setia hingga akhir hayat.

Di hujung sana, Safi Awadah menangis dalam senyuman. Mencintai tidak bermakna memiliki. Melepaskan seseorang yang amat dikasihi memang perit, namun dia tidak terkilan langsung. Dialah insan yang paling gembira apabila dapat menggembirakan insan-insan yang paling dia sayang.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.