Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 3

SAFI semakin buntu. Sekarang ini fikirannya memang tidak keruan. Mana hendak fikir hati yang terluka, pada masa yang sama kena menghadap bekas kekasih hati setiap hari. Boleh masuk Tanjung Rambutan kalau silap gaya!

Mulai hari ini, dia juga kena cepat-cepat mencari kerja di tempat lain. Suasana baharu dan kawan sekerja yang baharu. Surat khabar juga dia kena beli dan sebarang iklan kerja akan dipertimbangkan andai bersesuaian. Kawan-kawan lama juga perlu dihubungi untuk bertanyakan kerja kosong di tempat mereka.

Sedang dia melayan perasaan sendiri, tiba-tiba kedengaran bunyi seretan tayar yang agak kuat. Sebuah kereta berhenti mengejut betul-betul di hadapannya. Seketika Safi terpaku. Jantungnya seakan terhenti berdenyut tatkala menyedari jarak bumper kereta dengan dirinya tidak sampai tiga inci! Lama dia berdiri dengan kaki menggeletar. Sehingga pemandu kereta itu keluar, dia masih di situ.

Seorang lelaki menghampiri dan memandang Safi tidak berkelip. Nasib dia sempat berhentikan kereta. Sebenarnya dia hendak marah juga, tetapi tidak sampai hati. Wajah gadis di hadapannya sudah pucat lesi. Andai dia tinggikan suara, mahu pengsan terkejut.

“Dik, tahulah perempuan yang baik-baik tidak memandang dan dipandang. Tapi, janganlah sampai tak pandang kiri kanan ketika melintas jalan! Tak sayang nyawa ke?” tegurnya perlahan. Mata lelaki itu masih tidak lekang dari memandang Safi.

Safi pula kelu lidah hendak memohon maaf. Memang kelalaian diri sendiri kerana tidak mempedulikan keadaan sekeliling. Menonong sahaja ketika berjalan. Semuanya gara-gara berasa amat geram dengan Nana yang sengaja menaikkan darahnya.

“Awak tak apa-apa, kan?” sambung lelaki itu lagi.

Safi menggeleng dan tidak berani mengangkat muka. Mujur pemilik kereta itu tidak marah-marah atas kecuaian dirinya. Saat ini matanya hanya mampu memandang kasut yang tersarung di kaki pemilik kereta yang hampir melanggar dirinya. Kasut kulit jenama Louis Vuitton itu lama ditenung.

Tiba-tiba terasa ingin sekali memandang wajah empunya diri, tetapi segera ditepis keinginan itu. Andai lain kali berjumpa di mana-mana, seganlah dia. Baiklah dia tidak tahu langsung bagaimana rupa lelaki itu. Entah-entah suara sahaja lembut dan tidak kasar, tetapi wajahnya dipenuhi jerawat batu. Oh, tak mahu!

“Kalau macam tu, boleh tak adik tolong ke tepi?” pinta lelaki budiman itu dan terus beredar masuk ke dalam keretanya.

Aduhai… apasal suara dia merdu sangat? Safi menurut sahaja dan sempat menjeling plat nombor keretanya. Tidak lama selepas itu baru dia mengangat muka dan memandang kereta BMW sport kuning yang sudah pun memecut.

‘Ruginya… apasal aku lepaskan peluang yang terhidang? Kalau jadikan dia kekasih hati, bukankah selesai masalah aku?’ Safi mengutuk diri sendiri.

‘Tapi… tak boleh jugak. Aku bukannya tahu dia masih bujang atau sudah beranak-pinak. Eh, kalau dia dah jadi bapak budak, tak adanya dia nak pakai BMW sport. Dah tentulah dia pakai Toyata Estima atau Alpard! Haila, memang macam-macam dia rugi hari ini!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.