Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 6

“ANAK-ANAK… cepat kemas rumah!” jerit Aisarah setelah menerima panggilan daripada seseorang. Tangan dia juga turut pantas membuat kerja. Memang ketika ada tetamu sahaja baru rumahnya tidak seperti tongkang pecah. Ketika ini jugalah anak-anak akan bersopan santun sikit dan tunjuk perangai terlebih baik.

“Kenapa ibu? Kawan ibu nak datang ke?” soal Yusof yang sedang menonton televisyen.

“Jangan banyak tanya, adik dengan abang cepat kemas! Abang, bakul baju tu tolong bawa masuk bilik,” arah Aisarah lagi.

Tadi, dia baru sahaja mengangkat pakaian di jemuran. Kain memang cepat kering apabila cuaca agak panas. Kononnya hendak melipat baju, namun ada sahaja kerja lain yang dia kena buat. Sekejap Wafa merengek hendak air tamar koko. Selepas itu hendak makan nuggets pula. Sedang dia sibuk mengoreng, Yusof beritahu Wafa tumpahkan air. Memang terseksa jiwa raga kalau hari-hari dia begini.

“Bilik mana ibu?” soal Yusof pula.

“Bilik mana lagi? Bilik Sale Super Storelah!” Aisarah menjeling geram. Kadang-kadang anak sulungnya itu sengaja menaikkan suhu badannya.

“Hehe… lupa pulak.” Yusof sudah tersengih, sengaja mahu menduga ibunya.

“Adik dah nak siap kemas semua mainan. Tinggal nak sapu aje,” beritahu Aireen yang berusia empat tahun pula.

Tidak sampai lima minit, ruang tamu sudah tersusun. Bertambah wangi apabila Aireen turut menyembur Febreze. Dia memang cekap dalam bab mengemas dan mewangikan suasana. Begitu juga kalau bab hendak melawa, kalah model kanak-kanak di TV.

“Huh lega… dah siap.” Yusof menarik nafas panjang setelah membantu adiknya memasukkan semua mainan ke dalam kotak besar. Kotak itu Aisarah beli khas untuk menyimpan alat permainan anak-anaknya.

“Ibu… sebenarnya siapa yang nak datang?” soal Aireen menghampiri ibunya yang sudah duduk di sofa.

“Siapa lagi? Mama Safi la....” Akhirnya Aisarah beritahu juga. Dia membahasakan Safi Awadah sebagai Mama Safi kepada anak-anaknya.

“La… Mama Safi ke? Penat aje abang tolong adik kemas,” keluh Yusof.

“Apalah abang ni… bagus la kalau Mama Safi datang. Rumah kita mesti kemas dan cantik. Kalau tak, asyik selerak aje,” sampuk Aireen.

“Adiklah yang selalu sepah-sepah barang mainan. Main-main jadi cikgulah, paksa orang jadi anak muridlah.” Yusof sudah mula membebel, tidak padan dengan lelaki!

“Rumah yang selerak, itu tandanya ada anak-anak yang kreatif. Macam adik-beradik kitalah, bijak dan pandai,” balas Aireen memuji diri sendiri.

“Dah, dah… jangan nak bergaduh! Nanti ibu jadi angry bird baru tau,” tegur Aisarah sambil buat muka garang.

“Alah, angry bird aje pun…” balas Aireen sambil tersenyum. Kenal sangat dengan ibu mereka yang suka mengugut, tetapi selalu sahaja kalah dengan anak-anak apabila mereka mula merajuk dengannya.

JAM dua belas tengah hari, tetamu yang ditunggu sudah menunjuk muka. “Assalamualaikum…” ucap Safi sebaik tiba dengan kereta Myvinya.

“Waalaikumussalam. Masuklah Mama Safi,” pelawa Yusof setelah membuka pintu gril.

“Amboi… cantiknya rumah. Akak sihat?” puji Safi sambil menyalam tangan Aisarah kemudian anak-anaknya pula.

“Hmm… harap orang datang rumah ajelah baru rumah ni berkemas,” balas Aisarah kemudian turut tertawa.

“Tak fahamlah dengan Abang Arif tu. Dah tahu anak macam anak-anak tangga, kedekut nak gajikan pembantu rumah,” komen Safi pula.

“Abang Arif tu memang! Sengaja nak dera akak yang dah tinggal sekeping ni. Lepas tu lagi berangan nak tambah anak,” adu Aisarah.

“Akak larat lagi ke?” Safi tersenyum mendengarnya.

Setahunya, Arif Zikri bukanlah tidak berduit. Kalau hendak gajikan dua orang pembantu pun lebih dari mampu. Entah kenapa dia tidak mahu orang lain menguruskan anak-anaknya. Nasib baik bekerja sendiri dan boleh datang pejabat ikut suka hati.

Selepas mandikan anak-anak dan memberi mereka makan, baru dia bersiap untuk pergi bekerja. Kalau jumpa dia di pejabat, memang tiada siapa yang akan percaya Ir. Arif Zikri seorang yang ringan tulang menguruskan anak-anak.

Tengah hari pula, dia pasti segera balik ke rumah untuk menghantar makanan. Aisarah memang tidak sempatlah hendak memasak. Mujur juga jarak perjalanan antara rumah dan pejabatnya dalam sepuluh minit sahaja.

Begitupun setiap hujung minggu, ada pembantu rumah sambilan yang dia gajikan untuk mengemas rumah, mengemop dan membuat kerja-kerja lain yang Aisarah tidak mampu lakukan. Pada masa itu, dia akan membawa keluarganya keluar bersantai dan membeli-belah.

“Hmm… tak larat pun kena paksa diri jugak. Nasib Yusof dan Aireen sudah boleh diharap. Kadang-kadang akak biar aje anak-anak tak mandi dan rumah berselerak. Tunggulah kekanda awak tu balik, biar dia kemas sendiri.” Dalam merungut, senyuman tetap terukir di bibir Aisarah.

“Tak apalah kalau macam tu, dia rajin jugak menolong. Kalau orang lain, jangan haraplah,” balas Safi yang masak benar dengan perangai Arif Zikri. Kalau boleh semua benda dia hendak buat. Aisarah memang beruntung menjadi isterinya.

“Dia terpaksalah buat sebab dah janji dengan akak. Balik aje kerja, akak terus serah tugas jaga anak-anak ni kat dia. Lantaklah walau dia masih penat,” beritahu Aisarah lagi.

“Sampainya hati akak buat abang macam tu. Kesian pulak Safi mendengarnya.” Berkerut dahi Safi sambil memandang anak-anak Aisarah yang comel dan keletah.

“Yalah, dari celik mata sampai tutup mata, kerja rumah ni mana pernah habis? Mana nak susukan anak, mandi pun kadang-kadang tak sempat. Si kecik tu ha, nasib tidur. Kalau tak, bukan boleh letak,” cerita Aisarah pasal anak bongsunya yang asyik hendak berdukung.

“Aduhai… tak dapat saya bayangkan kalau saya yang berada di tempat akak. Bukan lagi badan tinggal sekeping, mahu serupa lidi!” Safi juga berasa lucu dengan cerita Aisarah.

Akhirnya Aisarah dan Safi sama-sama ketawa. Anak-anak pula hanya tercengang melihat ibu dan Mama Safi mereka berborak sakan.

“Kita nak dapat adik lagi ke ibu?” Tiba-tiba Aireen pula menyampuk dengan muka ceria. Sukalah dia kerana bertambah anak murid dalam kelas mainan dia.

“Betullah tu. Tahun depan ayah timang adik lagi.” Aisarah mengeyakan.

“Bagus kalau ada anak ramai ni, wajah akak pasti awet muda. Masa anak keempat dan kelima aje penat sikit. Masuk anak ketujuh atau kelapan, dah senang dah sebab ada kakak dan abang yang tolong uruskan adik-adik.”

“Safi pandailah cakap. Yang sakit badan, akak jugak,” keluh Aisarah. Andai selepas bersalin terus boleh sembuh tidak apa juga. Ini, kena berpantang dan pergerakan juga terhad. Makan pun tidak boleh sembarangan.

“Yusof selalu tolong ibu, kan?” tanya Safi pada Yusof yang leka menonoton televisyen.

“Hmm… memang abanglah yang selalu jadi mangsa,” jawab Yusof selamba.

“Safi pulak, dari Rawang ke?” tanya Aisarah pula. Asyik bercerita pasal anak-anak, hampir terlupa pula bertanya pasal Safi.

“Taklah, sebenarnya dah sebulan Safi menyewa kat Selayang Bharu.”

“La… tak cerita kat akak pun?” Terkejut Aisarah apabila Safi beritahu dia sudah berpindah.

“Saja tak nak heboh-heboh. Teringin nak hidup di tempat baru dengan kawan-kawan,” balas Safi.

“Ni dah dapat kerja ke belum?” Aisarah ingin tahu juga perkembangannya. Bulan lepas Safi beritahu dia sudah berhenti dari bekerja di syarikat pembinaan. Tidak pula Safi beritahu sebabnya. Aisarah memang malas hendak bertanya lanjut.

“Belum. Minggu depan baru ada temu duga.”

“Kerja ajelah dengan abang,” saran Aisarah pula. Setahunya, syarikat suaminya juga memerlukan ramai staf kerana banyak projek yang masuk.

“Tak naklah. Rasanya kerja dengan orang lain lagi selesa. Tak adalah asyik kena tegur aje dengan abang bertuah tu.” Safi beralasan.

“Dia tegur sebab sayangkan Safi,” sangkal Aisarah.

“Ya sangatlah tu!”

“Ke… Safi masih tak boleh lupakan kenangan lalu?” duga Aisarah.

“Tak payah cakaplah kak. Semua tu dah jadi sejarah. Nasib abang dapat isteri yang memahami. Boleh jugak Safi tumpang manja dengan anak-anak. Kalau orang lain, rasanya dah masam muka dengan Safi.”

“Kejap aje masa berlalu, kan?” ujar Aisarah. Seketika kenangan lalu terimbau di ingatan. Punyalah bersusah payah Safi mencari pengganti, akhirnya sampai sekarang masih sendiri. Langsung tiada terdengar dia rapat dengan mana-mana lelaki.

“Nanti Safi makan sini tau. Tak lama lagi abang balik makan tengah hari. Katanya hari ini dia beli makanan istimewa sikit. Bolehlah makan sekali.”

“Saya okey aje.” Safi memberi persetujuan walau sebenarnya agak keberatan hendak berjumpa Arif Zikri. Nanti soalan yang sama juga yang akan diulang-ulang setiap kali berjumpa.

“Safi tengokkan budak-budak ni, akak nak ke dapur,” pesan Aisarah dan terus berlalu.

“Okey.” Safi memerhati anak-anak Aisarah. Memang dia sudah melupakan kenangan silam, namun mana mungkin semuanya terpadam begitu sahaja. Sebaik teringat terkenang jua. Apabila terdetik, berbagai perasaan tetap menyinggah di hati.

“Hai… bilalah pemilik BMW kuning terpacak kat depan mata aku? Dah jenuh menunggu ni!” keluhnya. Tiba-tiba insiden enam tahun lalu terlayar di ruangan mata.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.