Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 12

HARI Khamis, Safi sedikit sibuk. Awal-awal lagi Hajar sudah beritahu yang dia mahu Safi mengikutnya menghadiri mesyuarat projek baharu. Safi yang tidak sampai seminggu memulakan tugas terpaksa mendapatkan maklumat berkenaan projek itu. Sejak semalam lagi dia tekun membaca dan meneliti semua fail berkaitan projek baharu itu.

Kali ini, Hajar sememangnya mahu melatih Safi menjadi ‘Si Kembang Cina’ yang pandai macam-macam. Dia tidak mahu pembantu peribadinya hanya tahu buat kerja di pejabat sahaja. Apa jua ilmu dan pengalaman yang berguna, dia akan kongsikan. Dia mahu asuh Safi menjadi seorang yang serba tahu dan mahir dalam banyak perkara. Berbagai perancangan sudah ada di kepala Hajar, tinggal hendak laksanakan sahaja.

“Safi bosan ke?” tegur Hajar ketika gadis itu menemaninya makan di restoran yang selalu dia kunjungi. Tadi, dia tidak sempat makan tengah hari. Apabila terasa lapar dan teringin makan mi goreng, terus dia mengajak Safi.

“Apa, kak?” Sebaik perasan, Safi segera memandang bosnya.

“Ni mesti dah berangan hingga ke hujung dunia!” usik Hajar.

“Maaf kak. Banyak benda dalam fikiran,” ucap Safi dengan rasa segan. Boleh pula dia teralit dalam masa yang singkat.

“Safi fikir apa? Orang bujang bukannya ada banyak masalah. Lainlah macam akak ni.” Hajar ingin tahu juga apa yang bermain di fikiran pembantu perbadinya itu.

“Hmm… macam mana nak cakap, ya?” Safi berkira-kira sendiri.

“Cakap ajelah, akak sedia mendengarnya.”

“Hari tu, kenapa akak tak berterus-terang dengan saya pasal Encik Idan?” Terluah juga pertanyaan yang sering menghantui Safi.

“La… pasal tu ke?” Hajar pura-pura terkejut.

“Yalah, segan saya dengan akak. Dahlah siap kutuk teruk-teruk adik akak tu,” ujar Safi. Dia memang berasa serba salah sebab sudah terlepas kata. Andai berbicara yang baik-baik, tidak mengapa juga.

“Akak suka dengan orang yang jujur. Bagus kata bagus. Tak suka terus kata tak suka,” balas Hajar pula. Padanya Safi seorang gadis yang tidak suka berpura semata-mata hendak membodek. Apa yang dia tidak berpuas hati, terus dia beritahu tanpa berselindung.

“Alah, kes saya lain...” balas Safi.

“Apa sebenarnya yang Safi risaukan? Cuba beritahu akak,” pinta Hajar kemudian sambung menjamah mi goreng yang sudah tinggal separuh.

“Akak ambil saya bekerja sebab kesian ke?” Akhirnya soalan itu keluar juga. Wajah Hajar direnung sambil menanti jawapan daripadanya.

“Aduhai Safi… kenapa fikir macam tu pulak?”

“Yalah, adik akak tolak saya mesti sebab saya tak layak dan tak memenuhi kriteria yang syarikat mahukan.” Safi memberikan alasannya.

“Tak! Adik akak tolak Safi bukan sebab Safi tak layak, sebaliknya sebab terlebih layak!” jawab Hajar dengan yakin sekali. Dia bukan tidak kenal dengan adik tunggalnya itu. Sekilas ikan di air, dia sudah tahu ikan itu sedap dimasak apa. Seketika dia turut tersenyum meleret.

“Macam tu pulak? Tak fahamlah saya.” Safi jadi keliru pula dengan jawapan yang Hajar berikan.

“Apa yang berlaku adalah takdir yang telah TUHAN aturkan. Safi perlukan pekerjaan dan akak pulak mahukan pembantu. TUHAN pertemukan kita kerana kita saling memerlukan,” tutur Hajar. Buat masa ini, itulah jawapan bernas yang dapat dia berikan. Walaupun ada alasan yang lain, tidak perlu dia kongsikan dengan gadis itu.

“Entahlah, tak tahu nak cakap macam mana,” keluh Safi pula. Jarinya mengacau air barli dengan sudu. Kemudian, dia menyisipnya perlahan.

“Pada Idan, Safi tak layak jadi pembantu peribadi dia aje. Pada akak pulak, Safi sangat layak diserap masuk untuk jawatan apa sekalipun. Termasuk jawatan yang tak ada dalam senarai!” Hajar sudah tersenyum-senyum.

Berkelip-kelip mata Safi mendengarnya. Bosnya seperti mahu beritahu sesuatu kepadanya, tetapi berlapik pula. “Akak tak gaduh dengan dia pasal hal ni?”

“Di pejabat tu, tiap-tiap hari kita orang bergaduh. Tak ada bendalah bila akak ambil Safi jadi staf akak. Safi bekerja di bawah akak, bukan dia,” beritahu Hajar bagi menyakinkan gadis itu.

“Dia kan pengarah urusan di syarikat ni?”

“Sebenarnya, ada pengarah yang lebih besar dari dia. Akak dan Idan cuma bos kat pejabat aje. Di rumah, dia adalah adik akak dan anak kepada Umi Hasnah. Umilah bos paling besar dan pengarah paling berkuasa!” balas Hajar kemudian tertawa pula.

Safi turut tersenyum mendengarnya. Faham apa yang Hajar maksudkan, tetapi tetap berasa seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

“Safi tak payah risau dan buat kerja seperti biasa. Kalau dia suruh Safi buat sesuatu, rujuk dengan akak dulu. Kalau akak kata okey, baru ambil tindakan,” pesan Hajar.

“Kalau dia suruh buat jugak?” soal Safi pula.

“Buat tak tahu aje.” Selamba sahaja Hajar memberikan jawapan. Padahal, Safi juga perlu mematuhi arahan adiknya selaku pengarah urusan.

“Susahlah saya kalau macam tu,” keluh Safi. Dia bukan langsung tiada pengalaman bekerja. Andai mahu bertahan lama, arahan daripada semua yang berpangkat bos perlu diambil berat.

“Apa pulak susahnya? Pejabat dia kat tingkat bawah. Kalau dia nak Safi buat sesuatu, dia kena datang ke tingkat atas jumpa akak dulu.”

“Okey…” Safi mengangguk. Begitupun masih ada yang bermain di fikirannya. Mungkin lain kali sahaja dia bertanya pada bosnya itu.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.