Home Novel Cinta JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
JANGAN GODA AKU (fka MR PERFECT)
Zura Rahman
23/3/2015 09:57:20
113,951
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7

BEBERAPA bulan telah berlalu. Dia tidak mahu tunggu lama-lama. Harap-harap Azman melamarnya. Bercinta lama-lama pun tidak berguna jika perkahwinan tidak kekal. Lyn berangan-angan lagi. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini perkara itu sahaja yang melintasi fikirannya. 

Tok tok tok!

Seseorang mengetuk mejanya dengan agak kuat. Lyn menoleh serta-merta. Dia kaget sedikit dengan gangguan yang tiba-tiba.

“Ya, Wafa…” tutur Lyn dengan wajah yang sengaja dimaniskan. Dia tidak mahu rakan sekerjanya itu mengetahui bahawa dia sedang termenung, terutama sekali jika ‘anak buah’nya sendiri yang memerangkapnya begitu.

“Ada berita tak baik!” Kata Wafa tiba-tiba. Wajahnya terlukis ketidaksenangan dengan berita yang dibawanya.

Lyn mengerutkan dahi. “Apa pula berita yang tak baik ni?”

“Bos akan bertukar ke subsidiary!”

“Encik Anuar?”

“Iyalah. Siapa lagi. Atau, you ada bos lain?”

“Mana you dengar cerita ni? I tak pernah dengar ura-ura pasal ni pun?”

“Betul. Tapi ini dikira pertukaran tiba-tiba.”

“Kenapa pula? Tak ada angin, tak ada ribut….” Berita yang dibawa Wafa itu betul-betul mengejutkannya. Tentu ada sebab yang munasabah dengan pertukaran yang tiba-tiba itu. Seingatnya, Encik Anuar tiada apa-apa masalah dengan bos besar Nadine Corp. Apa pula sebabnya?

“Entahlah Lyn. Tak tahu pula I.”

“Hmm, bila dia kena pergi sana?”

“Dengarnya, bulan depan.”

“Betul ke ni? Siapa yang cakap?”

“Ana yang bagitahu.” Ana, setiausaha Encik Anuar! Selalunya jika Ana yang membawa berita itu, hampir 100% adalah benar.

“Okey… siapa yang akan gantikan dia?”

“I tak tahu. Ana kata management belum beri sebarang maklumat lagi. Tapi pertukaran tu kemungkinan besar akan berlaku,” ucap Wafa lemah seraya menarik kerusi dengan lagak malas. Dia duduk di hadapan Lyn.

Lyn menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Dia memandang Wafa dan skrin komputernya silih berganti. Sesiapa sahaja yang akan menggantikan bosnya kini, dia berharap dia seorang ketua yang baik.

Wafa kelihatan kurang bersemangat dengan berita yang baru didengarnya. “I harap bos baru pun okey macam Encik Anuar tu. Kalau tak, tak seronoklah….” kata Wafa dengan air muka kurang senang. Jelas terpancar di wajahnya kebimbangan tentang bos baru yang akan menggantikan Encik Anuar.

“Apa lagi yang Ana cerita?” 

“Belum ada apa-apa lagi. Nanti I risik-risik…. Eh, I nak baliklah. Dah tak ada mood nak kerjalah kalau macam ni,” kata Wafa lalu terus kembali ke kubikelnya. Dari mejanya, dia nampak Wafa mengemas meja dan menutup komputer. Secepat kilat wanita itu mengucapkan selamat tinggal kepada Lyn yang masih duduk termangu di kubikelnya.

Dia kembali ke skrin komputer yang sudah kelihatan hitam akibat ditinggal terlalu lama. Lyn menggerak-gerakkan tetikus. Unjuran wang tunai terpampar di skrin sekali lagi. Dia perlu membuat sedikit perubahan ke atas bajet syarikat. Seminggu dua ini hanya jasadnya yang berada di bumi Malaysia, mindanya sudah berada di Rom, Itali. Ah, dia sudah tidak sabar untuk bercuti. Namun ada sesuatu yang mencuri hatinya di sini.

“Jangan lupa contact I kat sini,” pesan azman ketika diberitahu dia perlu mendaftar masuk ke pesawat.

“Mestilah I contact you. Jangan tak jawab pula.”

“I mesti jawab. Kalau ada wifi, WhatsApp I. Kalau tak dapat, message tau.” Panjang sekali pesanan lelaki itu.

Lyn mengangguk.

I’m going to miss you,” ucap Azman tiba-tiba. Matanya redup merenung Lyn.

Hati Lyn mekar bak bunga mengembang di pagi hari. Azman memang bermulut manis. Dia juga suka Azman yang gentlemen. Mereka jarang berjumpa tetapi setiap kali mereka berjumpa, Azman akan memberinya sepenuh perhatian. Sesungguhnya dia seorang yang sangat romantik.

“Kenapa you pergi lama sangat?” tanya Azman.

Cara lelaki itu bercakap seolah-olah si dia tidak sanggup berpisah dengannya. Bukankah itu sungguh manis? Lyn tidak dapat membohongi dirinya bahawa dia berasa istimewa setiap kali dia bersama lelaki itu.

“17 hari aje….”

“Lamalah tu….”

Sekali lagi Lyn terasa terawang-awang dengan tuturkata Azman. Sungguh manis di telinga. Sungguh enak di jiwa.

“I balik nanti kita jumpa ya,” janji Lyn kepada Azman. Dia menghadiahkan lelaki itu sebuah senyuman manis. Lyn tidak dapat menyembunyikan kegembiraan yang terpendam di dalam hati. Rasanya semuanya tertulis di atas wajahnya kini.

Lelaki itu hanya mengangguk sambil tersenyum. “Jaga diri ya. Hati-hati kat sana,” pesan Azman lagi.

“Ya… jangan risau. I bukan pergi seorang.”

Have fun and have a safe journey.”


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.