Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
18,554
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 1

Uzma tersenyum tatkala sepasang matanya bertembung dengan sepasang mata yang berlindung di belakang kaca mata berkanta tebal. Mata bulat yang dicalit dengan celak hitam membuatkan sepasang mata itu kelihatan bertambah bulat. Keningnya juga gelap dilukis. Bibir wanita berusia awal lima puluhan yang disapu lipstik berwarna merah garang itu merekah dengan kuntuman senyuman. Itulah Mak Teh, kakak ketiga arwah ibu kandungnya. Ketika umurnya berusia sepuluh tahun puas Mak Teh memujuk dirinya untuk menetap bersama-sama namun, tidak berhasil. Bukan apa... Dah dari lahir dia hidup di rumah itu tiba-tiba saja mahu dibawa pergi. Mau dia tidak mengamuk. Akhirnya hasrat Mak Teh langsung tidak kesampaian sehinggalah dia tamat bersekolah menengah.

"Angah tu dah lama berkerja. Tapi, dua tahun ni siang malam ke hulu hilir tak berhenti buat kerja.." rungut Mak Teh dalam loghat nogori di hujung meja makan yang dilitupi oleh kain alas kosong berwarna hijau tua.

Dua buah meja segi empat yang asalnya berasingan dirapatkan supaya menjadi panjang oleh Atuk yang mengepalai rumah di tanah faraid ini. Kerusi plastik berwarna putih seperti yang biasa dijumpai di kedai makan kemas bersusun kecuali empat buah yang sedang digunakan ketika ini. Uzma menjadi pendengar setia sambil tangannya lincah menuang teh panas yang baru dibancuh ke dalam beberapa biji cawan kaca. Satu-satunya koleksi cawan kepunyaan arwah Wan yang menjadi peninggalan. Kemudian, dia mengagihkan minuman tersebut kepada para tetamu.

Selesai tugasnya di situ, dia kembali ke ruang tamu. Menyambung menonton rancangan realiti televisyen dari Taiwan yang sedang ditonton ketika tetamu-tetamu itu tiba sebentar tadi.

"Laa... Baguslah macam tu. Kenapa nak dibimbangnya?" tegur Wan Cu yang sedang melayan cicit pertamanya yang berusia tiga tahun minum.

Wan Cu yang berada di penghujung lima puluhan duduk di tengah-tengah. Bertentangan dengan beliau adalah anak sepupunya iaitu Pak Tam. Waktu petang begini menjadi kebiasaan kepada Pak Tam datang menemui Atuk sambil duduk berbual-bual. Semenjak Pak Tam kehilangan isteri kira-kira enam tahun yang lalu, rumah Atuk bagaikan rumah nombor dua bagi pesara kerajaan itu. Cuma, petang ini terasa meriah dengan kehadiran Wan Cu dan Mak Teh.

"Mana tak bimbang, Cu. Duduk sorang-sorang dekat bandar besar. Siang malam asyik sibuk dengan kerja. Makan pakai entah ke mana." sahut Mak Teh menjelaskan kebimbangannya yang berasas itu.

"Eh, kalau macam tu elok menikah aje. Ada jugak bini jaga. Terurus sikit hidup tu." usul Pak Tam dengan niat untuk berjenaka.

"Itulah sebabnya Yah ke mari."

Bicara yang riuh-rendah sebentar tadi tiba-tiba sepi. Pak Teh bungkam disisi Pak Tam yang mula kehairanan kerana lawak yang sengaja dibuat-buat itu bertukar menjadi serius pula.

"Hajat apa? Angah nak kahwin ke? Dengan siapa?" seru Atuk yang baru keluar dari bilik air.

Uzma juga tidak lagi menumpukan perhatian ke arah kaca televisyen. Dalam diam perbualan di anjung yang hanya dipisahkan oleh dinding bata itu diikuti. Melalui ekor mata, dia berpura-pura tidak melihatkan sebahagian susuk tubuh tetamu yang dapat dilihat melalui pintu masuk yang luas terbuka. Lagi pula perbualan mereka juga agak kuat hinggakan dia tidak perlu memperlahankan bunyi yang keluar dari peti televisyen.

Angah nak kahwin?

Wah, dah lama betul keluarga mereka tidak mengadakan kenduri kahwin. Seingatnya, yang terakhir ialah kenduri Kak Mas, anak kepada Mak Long yang menetap di Teluk Intan kira-kira empat tahun yang lalu. Itupun majlis tersebut diadakan di sebuah hotel. Buat pertama kali merasalah Uzma menjejakkan kaki di hotel mewah yang terletak di Ipoh itu. Angah, anak kedua Mak Teh berusia dua puluh lima tahun. Lepasan sebuah kolej dalam jurusan senibina. Uzma jarang-jarang dapat bertemu dengan sepupunya yang seorang itu sebagaimana yang dirungutkan oleh Mak Teh sebentar tadi. Sibuk manjang! Apa yang Uzma tahu dari cakap-cakap Kak Chik, anak Mak Teh yang keempat, Angah berkerja sebagai pelukis pelan. Tetapi, tidak pula diambil tahu tentang syarikat tempat Angah berkerja. Malamnya pula, Angah mengambil upah sebagai runner menghantar makanan.

Ketika mendengar cerita Kak Chik sebelum ini, dia tidak begitu mengendahkan perihal Angah itu. Namun, setelah memahami situasi yang dibentangkan oleh Mak Teh barulah dia boleh membuat kesimpulan. Angah berkerja keras nak kumpul duit untuk kahwin rupanya. Ewah, tak sangka sepupunya itu seorang yang bertanggungjawab dan sanggup bersusah payah demi gadis tercinta!

"Ju, mari sini!" laung Mak Teh secara tiba-tiba.

Uzma terpana buat seketika sebaik mendengar namanya dipanggil. Tanpa menutup peti televisyen, bingkas dia bangun dan menghampiri Mak Teh. Kesemua mata tertumpu kearahnya. Lontaran pandangan daripada mereka semua membuatkan pipinya hangat. Dia tertunduk malu.

"Sebenarnya apa yang arwah Idah minta dahulu, hari nilah Yah nak kotakan." ucap Mak Teh seraya mencapai tangan Uzma.

Menjalar pelbagai teka-teki di benak. Matanya tunduk merenung Mak Teh yang sedang duduk di sisinya.

"Nanti Ju kahwin dengan Angah, ye." seru Mak Teh sekaligus mengejutkan Uzma.

Tetapi, anehnya hanya dia seorang kelihatan terkejut. Atuk dilihat membuang pandang ke luar anjung. Wan Cu pula selamba mencubit sedikit dodol asli di dalam piring lalu disuakan kepada si kecil Firdaus yang berbadan keding seperti tidak cukup zat. Pak Teh menatapnya sebentar sebelum mata dipakukan ke atas meja. Begitu juga Pak Tam. Sah. Memang ada yang tidak kena pada semua orang.

Uzma kembali mengalihkan pandangan ke arah Atuk. Seakan dapat menelah fikirannya, Atuk langsung melarikan lagi matanya dari bertentangan. Atuk pun tahu? Eh, mestilah tahu. Arwah emak Uzma anak bongsu Atuk yang tinggal bersamanya semenjak lahir sehinggalah berkahwin dan mendapat Uzma. Tetapi, takdir menentukan segalanya. Ketika dia berusia dua bulan, arwah emak dijemput pulang oleh Ilahi. Arwah ayah pula lemas di sungai ketika dia masih di bangku tadika.

"Hujung bulan depan Ju dan Angah nikah tau."

Seperti mengarah Mak Teh bersuara lagi. Mulut Uzma terkunci rapat. Mengiyakan tidak. Menolak pun tidak. Bagi orang tua-tua, diam itu tanda setuju. Tapi, dia langsung tak bersetuju!

"Tak boleh! Aku tak izinkan!"

Secara tiba-tiba Atuk membentak. Bentakan orang tua itu bukan sekadar di bibir. Buku lima yang dihentak ke atas meja makan menyebabkan meja panjang tersebut bergegar. Ditambah pula dengan bunyi geseran cawan dan piring bergetaran akibat tujahan kasar itu membuatkan Uzma terkedu. Begitu juga semua orang di situ. Pandangan masing-masing tertuju pula ke arah Atuk yang mencerlung memandang Mak Teh yang duduk bertentangan dengannya.

"Eh, kenapa pulak, ayah? Bukan ke dari dulu lagi Yah selalu sebut tentang hal ni. Kenapa tiba-tiba ayah bantah pulak?"

Dengan berani Mak Teh menyoal. Di antara lima orang anak-anak Atuk, Mak Tehlah yang seringkali tampil mencabar sebarang keputusan Atuk yang dirasakan tidak tepat.

Uzma diam merenungi skop suasana yang berantakan. Dia ingin memfokuskan kepada dirinya sahaja. Dari dulu? Kalau dari dulu mengapa dia tidak pernah tahu? Sahlah ada sesuatu yang disembunyikan oleh mereka selama ini dari pengetahuannya.

"Aku dah ada calon untuk dia." sahut Atuk dengan wajah yang masih garang.

Apa??

Lamunan Uzma terpadam dengan serta-merta. Hampir-hampir dia terjelepuk jatuh jikalau bukan kedua belah kakinya masih kuat dipasak ke lantai. Belum cukup dengan pernyataan yang mengundang kacau bilau daripada Mak Teh, Atuk menambah pula rusuhan itu dengan satu ayat yang sungguh memeranjatkan. Matanya tidak lagi terpaku kepada Mak Teh. Dijeling sekilas wajah-wajah yang ada di situ. Tiada sesiapa yang mahu menoleh ke arahnya ketika ini. Apatah lagi bertanyakan keadaannya.

Dia, ibarat sebiji bola di dalam sebuah perlawanan yang besar. Menjadi rebutan untuk dilowongkan ke dalam gawang yang sepatutnya. Tetapi situasinya kini lebih parah. Nasibnya sedang diperjudikan. Hujung baju lengan panjang yang dipakai digenggam kuat. Jelingannya berlabuh kearah Firdaus yang terkebil-kebil memandangnya. Serasa ingin sekali mereka berdua bertukar tempat. Menjadi budak kecil yang ditatang penuh manja dan dipenuhi segala keinginan. Tetapi khayalan akal yang dungu sebegitu tak patut terlahir di fikiran.

Arrgghhh!!

Fikiran Uzma berkecamuk. Namun, dia tidak boleh bersikap pengecut. Tak kan mahu biarkan sahaja dirinya menjadi mangsa?

"Aaa-.."

Baru sahaja mahu membuka mulut untuk meluahkan isi hati, tiba-tiba Atuk terlebih dahulu menyampuk,

"Aku tetap dengan keputusan aku!"

Uzma lihat Mak Teh terpana seketika sebelum bertukar pandang dengan suaminya, kemudian Wan Cu. Dia tahu, Mak Teh dan Pak Teh sedang kecut ketika ini. Begitu juga dengan dirinya sendiri. Suara meninggi dari Atuk yang jarang sekali timbul itu menandakan saat ini orang tua itu benar-benar sedang berang. Usahlah dipertikaikan lagi keputusan beliau. Jikalau putih, maka putihlah. Titik.

Tanpa sepatah bicara Mak Teh bingkas bangun. Diikuti oleh Pak Teh. Huluran salam diberikan. Itupun daripada Pak Teh seorang. Mak Teh sudah tergesa-gesa menyarung sandal ke kaki sebelum bergegas masuk ke dalam Proton Wira Aeroback yang diparkir di bawah pohon rambutan. Lirikan Uzma mengikuti gerak-geri ibu dan bapa saudaranya itu sebelum kenderaan berwarna merah itu menghilang dari pandangan. Pandangan Wan Cu singgah sebentar ke arahnya sebelum ianya dibawa kepada Atuk.

"Betul ke Malik, kau nak jodohkan Ju dengan orang lain?" tanya Wan Cu seakan tidak mempercayai kata-kata Atuk sebentar tadi.

"Ye. Betullah. Takkan aku nak bohong." ujar Atuk dalam nada yang masih tegang.

"Kau tak bincang dulu dengan Ju? Aku tengok mukanya dah pucat."

Atuk diam. Juga semua yang ada di situ.

"Kau memang ada hak. Tapi, Ju ni lagi berhak. Kau ada tanya dia nak buat apa lepas ni? Tak beringin ke dia nak sambung belajar? Baru tinggal sekolah dah kau nak nikahkan dia." leter Wan Cu panjang lebar.

Separuh jiwa Uzma berasa lega kerana sebahagian luahan hatinya telah pun diucapkan oleh nenek saudaranya itu.

"Aku tak tahu nak cakap apa dah. Kau anak beranak sama aje. Degil! Keras kepala!" tambah Wan Cu sekaligus bangun diikuti oleh Firdaus yang dipimpin agar melangkah dari anjung bersegi empat tepat yang dipagari oleh jaring besi di sekelilingnya.

Sekali lagi pemergian tetamu itu dihantar oleh lirikan penuh kehampaan. Hati kecil mula berbisik. Mahukah dia mencuba bersuara sekali lagi menyampaikan isi hatinya? Wajah bengis Atuk sudah tidak kelihatan. Tetapi entah apa yang difikirkan oleh orang tua itu ketika ini. Dan, baru dia perasan, Pak Tam langsung tidak terbetik kata. Padahal dia juga yang mula-mula membuka isu itu. Barangkali orang tua itu masih terkejut memikirkan betapa seriusnya jenaka yang dimulai olehnya itu.

Uzma menatap wajah Atuk yang coreng-moreng dengan garisan tua sambil menarik nafas yang dalam.

"Ju..."

Atuk terlebih dahulu memanggil. Uzma membisu. Bingkisan kecewa pada pandangan mata ketara kerana sekali lagi keinginan untuk bersuara dipintas.

"Duduklah. Dari tadi berdiri." kata Atuk lembut. Uzma akur. Mengisi tempat kosong tinggalan Wan Cu.

"Atuk bukan tak nak bagitahu Ju..."

"Aku balik dulu, Abang De." spontan Pak Tam mencelah lantas bangun menuju ke muka pintu.

Sandal kulit disarung lalu orang tua itu menghidupkan enjin motosikal yang ditunggangi. Gayanya buru-buru. Seperti mana tetamu lain silih berpergian, begitulah kelam-kabut lagak Pak Tam tika melarikan diri dari situasi janggal itu. Bergema bunyi bising yang datang dari motosikal kapcai milik Pak Tam sebelum ianya perlahan-lahan menyepi.

Pandangan Uzma terus terarah ke luar rumah. Memandang beberapa batang pokok rambutan yang sedang lebat berbunga. Begitu juga dengan sebatang pokok pulasan yang rimbun. Dari awal isu itu timbul benaknya tidak berhenti dari memikir-mikir.

"Atuk, arwah mak cakap apa sebelum meninggal?" tanya Uzma sambil berpaling ke arah satu-satunya lelaki yang dikasihi sepanjang hidupnya.

Atuk menyepi buat beberapa ketika. Mencari kata-kata untuk menjelaskan kepada cucu tersayang akan kedudukan yang sebenar.

"Arwah mak Ju mintak Mak Teh ambik Ju sebagai anak dia. Tapi, Mak Teh pulak anggap, arwah emak Ju nak Mak Teh jadikan Ju sebagai menantu. Sedangkan emak Ju minta dia jadi ibu susu saja untuk Ju." cerita Atuk.

Uzma menadah sahaja telinga mendengar berita yang belum pernah dimaklumkan kepadanya sebelum ini. Atuk melirik ke dalam mata Uzma seketika sebelum mencapai cawan air di hadapannya. Lalu disuakan ke mulut. Beberapa teguk minuman yang sudah sejuk itu masuk ke tekak.

"Ju nak sambung belajar lagi ke?" tanya Atuk.

Uzma melihat tepat ke dalam mata Atuk yang gemar mengenakan kopiah putih dan berbaju kemeja lengan pendek. Sepasang mata nan tua itu nampak letih. Ada sedikit kesan lebam di bawah mata menandakan orang tua itu tidak cukup tidur.

Jikalau sebentar tadi berkobar-kobar hati kecil mahu bertempik memberikan kata putus, kini, lidahnya kelu. Untuk menyambung pelajaran ke menara gading bukan sedikit bekalan perbelanjaan diperlukan. Atuk bukan orang senang. Berkerja kampung di ladang sawit milik Ah Seng semenjak muda. Kini, di kala usia nan senja, Atuk mengambil upah membela lembu ternakan Mak Unggal, jiran di tanah sebelah yang menetap di Kuala Lumpur. Lebih kurang sepuluh ekor lembu kacukan milik saudara jauh Atuk itu dipelihara oleh Atuk sendiri. Upahnya tidaklah lumayan. Namun, cukup untuk perbelanjaan mereka berdua setiap bulan.

Dia teragak-agak pula untuk berlaku jujur. Bimbang keinginan hati menjadi bebanan kepada orang tua itu pula. Tetapi dalam masa yang sama haluan hidupnya bakal dikemudikan oleh orang lain dan dia tidak ingin diperlakukan sedemikian rupa.

"Erm, Ju ingat Ju nak kerja dulu. Kumpul duit barulah sambung belajar." getusnya tanpa sengaja.

Entah bagaimana tiba-tiba sahaja idea itu hadir. Tetapi, boleh tahan juga alasannya itu.

"Tapi, kalau Ju nikah pun, Ju masih boleh sambung belajar."

Uzma mengangkat wajah. Tergamam kerana Atuk masih berkeras ingin menikahkannya meskipun telah maklum akan niatnya sebentar tadi. Kata-kata Atuk langsung tidak disahut. Lagipun tiada bicara yang mampu dituturkan olehnya saat ini. Dinding kecewa di sanubari hampir-hampir roboh. Dipandang Atuk dengan pandangan penuh pengharapan. Memohon dalam senyap agar Atuk mengerti keinginan jiwanya yang enggan diijabkabulkan lagi. Atuk membalas pandang. Cuma, kosong. Begitu juga suara. Tiada. Parah. Siapa lagi yang boleh membantunya jikalau Atuk sudah menyimpul mati keputusannya itu.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.